Songkok jadi pelengkap


ABDULLAH HUSIN menyusun songkok-songkok yang telah siap di kediamannya di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan.



SELAIN baju raya, songkok juga antara kelengkapan raya yang mendapat tumpuan untuk dipakai dengan baju Melayu pada pagi Syawal oleh golongan lelaki termasuk kanak-kanak.Biarpun songkok juga dipakai ketika menghadiri acara rasmi diraja dan protokol kerajaan, kenduri serta majlis perkahwinan, pemakaian songkok agak popular setiap kali musim hari raya.Justeru tidak hairanlah songkok berwarna gelap ini masih lagi digunakan sehingga sekarang biarpun fesyen pakaian tradisional sentiasa berubah mengikut peredaran zaman.Menurut seorang pembuat songkok di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan, Abdullah Husin, 60, rezekinya semakin bertambah setiap kali tiba bulan Ramadan dan Syawal.Permintaan sangat menggalakkan dan kadangkala di luar kemampuan. Selain secara pukal, beliau juga bersedia membuat songkok yang ditempah khusus oleh individu.Pada musim perayaan, tempahan yang diterima berjumlah sekitar 5,000 hingga 6,000 buah, kebanyakannya daripada pemborong di sekitar negeri ini, Melaka dan Johor.

Abdullah yang dibantu isterinya, Laila Khamis, 45, membuat songkok sepenuh masa di rumahnya sejak 40 tahun lalu. Beliau mewarisi kemahiran itu daripada ayah dan bapa saudaranya.Modal permulaannya ialah RM10,000 untuk membeli enam buah mesin jahit, kain baldu dan peralatan lain."Walaupun saya mempunyai enam mesin jahit, jumlah tempahan terpaksa dibataskan kerana semua kerja hanya dilakukan oleh saya dan isteri."Dulu anak seramai lapan orang membantu namun kini hanya tinggal anak bongsu berusia 12 tahun, Musalmah, menolong membuat songkok kerana yang lain telah berpindah," ujarnya.Pembuat songkok berpengalaman itu menaruh harapan yang besar terhadap anak sulungnya, Ismail, 24, untuk mewarisi perniagaan membuat songkok pada masa akan datang.Beliau juga bersedia menurunkan kemahiran itu kepada sesiapa sahaja yang berminat namun seorang pembuat songkok perlu tekun dan mementingkan ketelitian masa membuatnya."Sekali pandang, memang nampak mudah. Tetapi jika tidak teliti, songkok yang dibuat itu berkemungkinan besar tidak sama pula dengan kehendak pelanggan," ujar Abdullah.Abdullah memberitahu, terdapat lima jenis kain baldu digunakan untuk membuat songkok orang dewasa iaitu '3-crown', super, kabul, kuda emas serta benang seribu.Songkok kanak-kanak dibuat daripada kain baldu Korea. Harganya ditentukan melalui jenis kain. Songkok yang tinggi harganya pasti lebih mahal berbanding songkok saiz biasa.

Ditanya tentang perancangannya, beliau berhasrat untuk mengembangkan operasi dengan berpindah ke sebuah bengkel dan menggaji pekerja bagi memajukan lagi perniagaannya.
Bercakap mengenai sejarah songkok, ia dipercayai berasal dari India dan Pakistan namun dipopularkan orang Indonesia beragama Islam dalam bentuk ala tarbus atau fez Turki.
Songkok mula menjadi antara pakaian pengikat kepala dalam dunia peradaban Melayu Nusantara seawal abad ke-20 kerana lebih selesa berbanding setanjak, semutar atau tengkolok.

Ini dapat dilihat daripada foto lama tokoh ulama pembaharuan seperti Syed Sheikh Al-Hadi, pengasas madrasah terkenal Al-Junid di Singapura dan Al-Mashoor Pulau Pinang.Di Indonesia, songkok juga dikenali dengan nama peci dan menjadi pemakaian kepala rasmi sejak dipelopori oleh presiden pertama, Allahyarham Sukarno untuk setiap majlis rasmi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: