Perang' promosi servis kereta
Seperti sudah menjadi satu kebiasaan, perang promosi di antara bengkel-bengkel kereta sudah bermula sejak awal Ramadan lagi.
KAIN rentang yang digantung tinggi itu memang menarik perhatian. Bukan kerana tulisan atau gabungan pelbagai warna yang digunakan, tetapi angka yang tertera di situ nampaknya begitu mengesankan."Promosi hebat! Tukar minyak hitam, penapis minyak, air bateri dan servis, cuma RM68". Begitulah 'jerit' kain rentang yang ditulis dalam dua versi, bahasa Melayu dan Mandarin. Ia seolah-olah melambai-lambai pengguna agar singgah di bengkel tersebut.Seperti sudah menjadi satu kebiasaan, perang promosi di antara bengkel-bengkel kereta sudah bermula sejak awal Ramadan lagi.Alasannya satu iaitu semua orang mahu membuat servis kereta menjelang Aidilfitri. Ini kerana tiada siapa yang ingin balik beraya dalam keadaan sakit hati kerana terpaksa menunggu berjam-jam di tepi lebuh raya apabila kereta 'buat hal'.
Keterujaan orang ramai untuk memastikan kereta masing-masing dalam keadaan terbaik untuk balik ke kampung menjadikan mereka 'mangsa' segelintir pemilik bengkel yang tidak beretika. Mereka sanggup menipu demi memperoleh keuntungan segera.Pemilik bengkel Abe Auto Garage, Ibrahim Mat Yaakob, 26, atau lebih mesra dipanggil Awe tidak menafikan ada segelintir bengkel sengaja mengambil kesempatan terhadap pengguna pada musim perayaan."Keadaan ini berlaku kerana sikap pengguna sendiri yang tidak lagi memikirkan kos pembaikan, asalkan kereta yang dipandu balik beraya ke kampung tidak buat hal di tengah perjalanan," ujarnya.
Beliau menambah : "Banyak juga bengkel yang mengadakan promosi melibatkan pelbagai penukaran alat ganti dan minyak enjin. Dengar macam bagus, namun pelanggan perlu tahu keperluan kereta masing-masing kerana mungkin alat ganti yang sedia ada tidak perlu ditukar baru."Menurutnya, ada kes yang mana promosi yang pada awalnya nampak murah, tetapi pada akhirnya menjadi sangat mahal."Ini belum lagi menyentuh tentang kualiti alat ganti atau minyak enjin yang digunakan. Tidak mustahil, mereka menggunakan alat ganti tiruan atau rendah kualitinya. Jadi, ketahanannya boleh diragui," tambah Awe sambil menyatakan pasaran alat ganti kini dibanjiri oleh barang klon dan dikitar semula.Sebenarnya, Awe masih merancang untuk membuat promosi melibatkan servis asas kenderaan seperti menukar minyak enjin, penapis udara, palam pencucuh serta air bateri pada harga RM100 dan ke bawah.
Pemilik bengkel Pun Car Cooler & Accessories Centre yang berlokasi di Taman Nirwana Ampang yang mahu dikenali sebagai Ah Pun, 46, menyatakan, dia tidak merancang membuat sebarang promosi kerana bayaran servis yang ditawarkannya sudah berpatutan."Saya berpendapat promosi hanyalah satu iklan untuk menarik minat orang ramai. Mungkin murah, tetapi pengguna tidak diberitahu apa barang yang ditawarkan. Ada juga pelanggan yang cuba servis promosi itu tidak berpuas hati. Bila periksa, alat ganti yang ditukar separuh sahaja."Tukar timing belt sahaja, oil seal tidak. Berapa lama boleh tahan? Lama-lama bocor, apa gunanya tukar baru," katanya yang menerima lebih 30 buah kereta sehari, terutamanya ketika Hari Raya semakin hampir."Lagi satu, kalau kereta rosak di tepi jalan, saya nasihatkan berhati-hati dengan tow truck. Biasanya, apabila kereta dibawa ke bengkel tertentu, enjin dan pelbagai lagi telah dibuka, sedangkan pemilik kereta tadi belum sampai di bengkel tersebut. Apa yang dikesalkan, kerosakan hanya sedikit sahaja. Jika ini berlaku, maknanya kita telah ditipu dan cajnya menelan kos beribu-ribu ringgit," pesan Ah Pun dengan wajah serius.
Sementara itu, mekanik sambilan, Zainuri Ahmad berkata, ada baiknya bengkel mengadakan promosi bagi menarik pelanggan. Namun, katanya, pengguna dinasihatkan menilai sendiri apa yang terkandung di dalam pakej iklan yang ditawarkan."Kalau setakat minyak hitam, penapis dan air bateri, harganya sekitar RM60 hingga RM70 sahaja. Jadi, pengguna perlu ambil tahu serba sedikit mengenai barang-barang ini,'' ujarnya.Sementara itu, seorang penjawat awam, Aziz Ibrahim, 39, memberitahu dia tidak percaya semua bengkel membuat promosi yang menipu pengguna.
Menurutnya, apa yang penting, pengguna perlu tahu serba sedikit tentang kereta dan jangan bergantung sepenuhnya kepada mekanik.Sekurang-kurangnya, apabila mekanik cadangkan ada alat ganti yang perlu ditukar, mereka boleh lihat dahulu adakah kerosakan yang dikatakan itu betul-betul berlaku."Kes ini biasanya berlaku kepada pengguna wanita. Mekanik tidak bertanggungjawab mungkin menukar tayar dengan tayar lama. Sebagai pengguna, kita kena periksa sendiri kerana terdapat tarikh pada tayar," katanya sambil memberitahu kereta Kia Optima yang akan dipandunya untuk balik ke kampung sudah dihantar ke pusat servis Kia yang bertauliah.Shahrizad Mohamad, 30, pula memberitahu, andainya kereta diselenggara dengan baik dan mengikut jadual, ia tidak perlu diservis semata-mata kerana hendak balik ke kampung menyambut Raya. - AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
0 comments:
Post a Comment