Menjadikan "Keropok Lekor" Sebagai Sosej Sarapan Untuk Dunia

SEREMBAN, 28 Okt (Bernama) -- Seorang pakar hari ini berkata bukan perkara mustahil bagi pembuat makanan ringan "keropok lekor" yang kini hanya menumpukan kepada pasaran orang Melayu untuk beralih menjadi pengeluar sosej sarapan untuk pasaran dunia.Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Dr Mahani Zainal Abidin berkata mereka hanya perlu melihat pada skop yang lebih luas bahawa perniagaan tradisional mereka boleh mengalami pertumbuhan pesat menuju ke arah itu.Bagi membolehkan perkara itu berlaku, petani dan pekerja pertanian perlu meningkatkan kemahiran mereka untuk memodenkan sektor pertanian, termasuk mewujudkan konsep universiti terbuka bagi golongan itu, katanya semasa membentangkan kertas kerja pada Forum Khas Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 di sini hari ini.

Dr Mahani berkata kerajaan juga perlu memperkenalkan sistem pendidikan berasaskan kemahiran seperti vokasional yang mengambil kira pengalaman dan kemahiran dalam penganugerahan kelayakan.Katanya pada masa ini 70 peratus daripada petani dan pekerja tani mempunyai kelulusan setakat sekolah rendah dan seramai 68 peratus pekebun kecil berpendapatan kurang dari RM510 sebulan dan memiliki purata keluasan tanah 1.5 hektar.

Dr Mahani berkata pertanian moden sangat saintifik dengan pelbagai piawaian dan standard yang sukar difahami oleh petani yang tidak mempunyai pendidikan tinggi bagi mengeluarkan hasil pertanian yang boleh diterima pasaran antarabangsa.Katanya kerajaan juga perlu mewujudkan peluang pendidikan bagi golongan muda untuk menceburi sektor pertanian, terutama mereka yang belajar setakat Penilaian Menengah Rendah (PMR) supaya golongan pelapis dapat diwujudkan.Beliau berkata golongan itu sebaik tamat sekolah di Tingkat Tiga akan mencari kerja dan membeli motosikal tanpa melihat kepada peluang pekerjaan di sektor pertanian yang juga dapat memberikan pulangan yang sama atau lebih baik lagi.

Selain Dr Mahani, forum yang dikendalikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan turut disertai bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam yang juga pengerusi Synergy Drive Bhd, Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) Prof Ungku A Aziz dan Pengerusi PFM Capital Sdn Bhd Tan Sri Arshad Ayob.

Sementara itu, Arshad mencadangkan supaya Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tidak tertumpu kepada aktiviti ketenteraan tetapi juga aktiviti pertanian bagi menanam minat di kalangan remaja bagaimana untuk menjadi usahawan tani yang berjaya."Baik dalam bidang perladangan, penternakan atau pengeluaran. Biar generasi ini jelas tentang hala tuju bidang ini yang sememangnya mampu menjadi sebagai satu profesion yang menjamin kehidupan mereka," katanya.Beliau berkata malah sekolah juga perlu menghidupkan semula mata pelajaran sains pertanian supaya generasi muda mempunyai asas dalam bidang tersebut.Konvensyen dua hari bertema "Melayu Dalam Pertanian: Dulu, Kini dan Akan Datang" yang bermula semalam, dianjurkan bersama oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Biro Pertanian Umno dan Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan.

Ia bagi mencetus kesedaran dalam kalangan anggota Umno khususnya, mengenai pentingnya industri pertanian terhadap ekonomi orang Melayu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: