Penjenamaan Kereta Sewa LTSM -satu pencapaian membanggakan.

Seramai 33 pengusaha kereta sewa yang beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu menerima kunci kereta sewa berwajah baru model Proton Wira dan Waja. Kerajaan Negeri yakin ia mampu meningkatkan imej Terengganu menjelang beberapa festival menarik antaranya, Tahun Melawat Terengganu (TMT )2008 , Monsoon Cup dan Sukan Malaysia (Sukma) 2008 yang diadakan di Terengganu.

Untuk itu, sebagai langkah permulaan, usaha penjenamaan semula kereta sewa yang beroperasi di LTSM di jadikan perintis kepada program peningkatan imej dan kecekapan sistem pengangkutan awam Terengganu. Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Penjenamaan Kereta Sewa LTSM, di Perkarangan Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (31 Julai).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Industri Kecil & Sederhana (IKS) dan Peniaga Kecil Negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said dan Pengurus Besar Kanan Malaysia Airport Berhad (MAB), Dato’ Azmi Murad. Menurut Dato’ Seri Idris, sebanyak RM 10,000 diperuntukkan kepada setiap pengusaha kereta sewa dalam projek kali ini untuk meringankan beban pembiayaan kewangan bagi membolehkan pengusaha tersbut menukar kereta sewa yang berusia melebihi 10 tahun kepada kereta sewa yang baru.

“Kita juga menyediakan kursus yang sesuai untuk pengusaha tersebut dalam memastikan perkhidmatan mereka sentiasa ditahap yang terbaik sepanjang masa”, kata beliau pada sidang media selepas majlis pelancaran tersebut. Sementara itu, pengusaha kereta sewa, Haji Salleh Abu Bakar, 75, dari Kg. Tok Jiring menceritakan pengalamannya telah menjadi pengusaha kereta sewa semenjak dari tahun 1982.

“Pada mulanya saya membawa kereta sewa menggunakan kereta keluaran Opel model Gemini, selepas itu saya tukar kepada model Toyota Crown. “Waktu itu, saya mengambil penumpang di sekitar pusat bandar Kuala Terengganu dan setahun lepas baru menukar haluan untuk mengambil penumpang di LTSM”, katanya lagi. Sementara itu dalam perkembangan lain, para bakal Haji khususnya di Pantai Timur, akan mendapat kemudahan baru apabila landasan LTSM dipanjangkan dan diperlebarkan bagi memboleh pesawat termoden dan terbesar, Boeing 747 melakukan pendaratan seterusnya membolehkan digunakan untuk penerbangan jarak jauh termasuklah untuk terbang terus ke Jeddah atau Madinah disiapkan menjelang Oktober 2008.
Dato’ Seri Idris berkata, dengan siapnya kemudahan tersebut penerbangan jemaah haji tidak perlu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kerajaan Negeri telah mengadakan perbincangan dengan pihak terbabit telah memperlihatkan perkembangan positif, permohonan juga dihantar kepada Perdana Menteri, Kementerian Pengangkutan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri agar hasrat untuk menjadikan LTSM sebagai salah sebuah lapangan terbang yang boleh memuatkan menampung pesawat Boeing 747 dapat direalisasikan.

“Bagaimanapun, kos sebenar memanjangkan landasan terbabit masih lagi tidak diketahui, tetapi kita tidak mempunyai masalah untuk mengeluarkan dana khas untuk tujuan terbabit,” ujarnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: