Penyegar di Jonker Street




Keistimewaan seleksi jus buah di Limau-limau Cafe, Jalan Hang Jebat, Melaka, disampaikan dari mulut ke mulut.

SETELAH letih melangkahkan kaki di sepanjang Jalan Hang Jebat yang dipenuhi deretan kedai cenderamata dan barangan antik, tentu badan menjadi letih dan tekak berasa dahaga.Di jalan yang bertukar menjadi siar kaki bazar dengan jolokan popular Jonker Street pada hujung minggu ini, sesiapa pun mudah menemukan sebuah restoran dengan dinding bercat hijau muda terang.


PAPAN menu mencuri perhatian.


Sesuai dengan namanya, Limau-limau Cafe dihias sebegitu rupa untuk menarik kedatangan tetamu yang rata-ratanya pelancong asing. Penampilan kafe ini diperindah dengan gantungan karya lukisan, ornamen hiasan dan juga cenderamata hasil tangan yang kesemuanya boleh dibeli.Lebih menarik, di kafe bergaya bar ini juga, pelbagai maklumat pelancongan negeri dalam bentuk notis, risalah dan kad bisnes boleh didapatkan.


ORNAMEN lilin turut dijual di Limau-limau Cafe.


“Setiap pengusaha kafe atau rumah tumpangan di sekitar kawasan ini mempunyai kerjasama yang baik antara satu sama lain.

“Kami saling membantu mempromosikan perniagaan masing-masing atas kepentingan industri pelancongan di negeri ini,” kata pemilik kafe, Sharen, ketika ditemui EKSTRA.


SUASANA meriah di sepanjang Jonker Street boleh disaksikan secara langsung dari hadapan kafe.


Namun, bukan hanya itu yang membuatkan orang ramai berpusu-pusu ke kaunternya. Limau-limau Cafe terkenal kerana menghidangkan minuman jus buah segar. Percayalah, buah-buahannya dipilih dengan teliti hingga jusnya tidak perlu dicampur dengan air atau gula!Paling mencetus ‘fenomena’ adalah lassi mangga. Begitu juga dengan gabungan jus mangga dan pisang, serta banyak lagi minuman kisaran ais lain yang berasaskan kombinasi buah-buahan dan susu kocak.

Bagi penggemar kafein, seleksi kopi dan teh juga disertakan dalam senarai menunya. Tidak ketinggalan, perut yang kosong boleh diisi dengan hidangan seperti salad, sandwic, dan beberapa lagi snek enak.“Biarpun waktu operasi kami berakhir pada awal malam, kedatangan pengunjung pada siang hari tidak mengecewakan. Saya dan pekerja kafe sentiasa memastikan mereka gembira dengan kunjungan ke kafe ini dan Melaka amnya,” ujar Sharen.


LASAGNA daging yang menyelerakan.


Kalau anda berasa lapar dan mahu memesan sesuatu yang ringkas dan cepat mengenyangkan, EKSTRA menyarankan anda mencuba lasagna daging.Memang tidak dapat dinafikan selera akan tergoda apabila melihat dan menghidu daging cincang berempah berlapis pasta keju ini.Tapi awas, jangan terlalu gelojoh. Isi lasagna yang panas ketika dihidang itu boleh melecurkan lidah! – HAMZAH ABDUL HAMID

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: