usahawan kek


Tuminah Siran (kanan) bersama anaknya, Hanizah Baharuddin (kiri sekali) dan Chef Faizal Ibrahim.

MEREKA yang telah biasa bekerja daripada muda hingga ke usia persaraan pastinya bingung memikirkan apakah yang hendak dilakukan setelah bersara nanti.Sudah tentu tidak betah duduk sahaja di rumah kerana ini akan membuatkan tubuh semakin lesu, tidak aktif dan boleh mengundang pelbagai jenis penyakit pula.

Bagi Tuminah Siran, 60, dia telah membuat perancangan sendiri agar usia persaraannya diisi dengan aktiviti yang tidak membosankan dan dalam masa yang sama mampu memberi pendapatan.Bermula daripada masih bertugas sebagai pembantu tadbir selama 32 tahun di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Tuminah telah pun membuat kek dan biskut untuk kawan-kawan.

''Ketika masih bekerja lagi saya kerap mengikuti kelas membuat kek dan biskut bagi menambah pengetahuan. Dalam masa yang sama, saya sering mendapat tempahan daripada kawan-kawan di pejabat,'' kata Tuminah yang ditemui di kedainya, Kedai Kek Bukit Idaman, Bukit Idaman, Selayang, Selangor baru-baru ini.Tambahnya, perniagaan daripada rumah itu telah dimulakan sejak tahun 80-an lagi. Bagaimanapun sebaik bersara pada 2002, dia terus membuka kedai kek yang dimiliki bersama suaminya, Baharuddin Kasran.Bermodalkan RM100,000, kedai kek keluarga ini turut diuruskan oleh anak bongsunya, Hanizah dan suaminya, Mahathir Mohd.

Hanizah yang berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan minat yang mendalam terhadap perniagaan tersebut dan sanggup membantu ibunya sepenuh masa menguruskan kedai.''Kek dan biskut kami benar-benar mengikut resipi home made. Walaupun perlu dibuat dalam jumlah banyak, kami tetap menggunakan resipi sama, tidak dikurang atau dilebihkan. Ini bagi mengekalkan rasanya.

''Jika perlu dibuat dalam jumlah besar, paling banyak pun, bancuhan dibuat dalam empat kali adunan agar rasa biskut atau kek tetap konsisten,'' ujar ibu kepada tiga orang anak ini lagi.

Menurut Tuminah lagi, walaupun produk biskut dan kek keluarannya tidak menggunakan pengawet namun ia boleh tahan sehingga tiga bulan.Katanya, kek coklat lembap paling digemari pelanggan selain biskut tat nanas di mana intinya dibuat sendiri dan bukan menggunakan inti dalam tin.''Untuk raya yang baru lalu, kami membuat 10 jenis biskut seperti tat nanas, almond london, arabian cashewnut, coklat cip, cornflakes crunchy, makmur, jejari emas dan mazola.''Selain itu, kuih-kuih tradisional seperti baulu, buah rotan, kuih ros dan maruku kacang hijau sentiasa ada sepanjang masa,'' jelasnya yang dibantu oleh Chef Faizal Ibrahim dan empat orang pekerja.Tuminah juga membuat kuih-muih sejuk beku seperti donut, karipap dan popia serta pastri yang dibekalkan kepada katerer atau dihantar ke kedai-kedai sekitar Putrajaya.

''Saya amat berterima kasih kerana mendapat kerjasama dan bantuan mesin daripada Jabatan Pertanian serta sokongan berbentuk kursus pemprosesan makanan daripada Kemas Wilayah Persekutuan,'' kata Tuminah yang kini mempunyai kedai cawangan di Paya Jaras Dalam, Selangor.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: