Jambu 88: Dari jual tepi jalan ke konsep francais


Harlina Hamid dan Azahari Zakaria (kiri sekali) mengendalikan salah sebuah gerai jambu 88 yang dikembangkan berdasarkan konsep francais di Petaling Jaya, baru-baru ini.

PETALING JAYA 4 Okt. - 'Usaha tangga kejayaan', pepatah tersebut amat sesuai untuk menggambarkan ketekunan sepasang suami isteri berniaga jambu tepi jalan mengharungi pelbagai rintangan dalam mencapai kejayaan dalam hidup.

Bermula pada tahun 2007 dengan hanya berbekalkan motor roda tiga dan tanpa lesen perniagaan, beliau gigih berusaha menjaja ditepi jalan sekitar Taman Medan Petaling Jaya dan juga Puchong.Tetapi hari ini, Azahari Zakaria atau Atan boleh tersenyum gembira setelah perniagaan berasaskan jambu yang diusahakan selama tiga tahun membuahkan hasil kepada yang lumayan.

Kesenangan bukan datang bergolek, menurutnya dalam mencapai kejayaan tersebut pelbagai cabaran dan rintangan dihadapi dan diharungi beliau.

Kini beliau boleh berbangga dengan memiliki 11 buah lori serta dua buah pusat stokis yang menunjukkan usaha beliau dalam mencapai kejayaan tanpa pinjaman dan bantuan dari mana-mana pihak.Beliau dan isterinya, Harlina Hamid bukan hanya berjaya memajukan diri mereka bahkan juga menjadi pembimbing kepada peniaga kecil-kecilan untuk belajar berniaga dengan mereka.Dengan menggunakan konsep rakan niaga, syarikat Jambu Lapan Lapan Sdn. Bhd. milik mereka memberi peluang kepada peniaga dengan menyediakan peluang perniagaan menggunakan jenama mereka.Pengarah Urusannya, Azahari Zakaria berkata, pelan perniagaan yang baik serta peluang berniaga juga diwujudkan bagi memberi peluang kepada mereka yang ingin menceburi bidang ini.''Konsep rakan niaga diperkenalkan dengan mengadaptasi dari ciri-ciri francais dimana peserta yang ingin menjadi rakan niaga akan dibekalkan dengan segala peralatan bagi memulakan perniagaan,'' jelasnya.Pengarah Eksekutifnya, Harlina Hamid pula berkata, setiap peserta yang ingin menjadi rakan niaga akan dikenakan RM5,000 termasuklah peralatan, kursus penyediaan makanan serta pengurusan kewangan.Menurutnya, nilai tersebut sebagai pusingan modal kepada rakan niaga kami bagi membolehkan mereka mendapatkan barangan seperti jambu dan kordial jambu untuk diniagakan.Azahari berkata, setiap rakan niaga diberi peluang sama rata dan keuntungan adalah mengikut kerajinan dan jualan mereka.

Menurutnya, rakan niaga juga berpeluang untuk meningkatkan diri mereka dengan membuat sewa beli lori dengan syarikat yang mana memudahkan perniagaan mereka berpindah dari satu kawasan ke kawasan yang lain.Buat masa sekarang, syarikat mempunyai seramai 158 orang rakan niaga di seluruh negara dan paling ramai adalah di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Azahari berkata, kebanyakan rakan kongsi masih lagi menggunakan meja lipat ditepi jalan dan masa operasi bergantung kepada mereka.''Kami mencadangkan masa operasi dari pukul 10 pagi hingga 7 petang tetapi bergantung juga dengan kawasan tersebut dan mengikut kesesuaiannya,'' katanya.Produk yang dijual merupakan jambu potong dan jus jambu yang menggunakan 100 peratus pati jambu yang di kisar dan dilakukan sendiri di kilangnya di Taman Medan.Semua bahan mentah perniagaan seperti jambu, asam dan pati jus boleh didapati di stokis yang sekarang syarikat mempunyai dua buah stokis di kawasan tengah dan utara.

Bagi kawasan tengah, rakan niaga boleh mengambil bahan mentah mereka dari stokis di Petaling Jaya manakala bagi kawasan utara di pejabat dan stokis di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

''Buat masa sekarang kami hanya mempunyai dua stokis dan diharapkan akan bertambah pada masa hadapan dan diceburi oleh rakan-rakan niaga kami,'' katanya.Apabila ditanya tentang cabaran yang dihadapi, Azahari berkata, biasanya masalah timbul daripada kerenah majlis perbandaran tempatan.Menurutnya, sebagai peniaga kecil, masalah kawasan yang tidak sesuai, kebersihan dan gangguan dikawasan setempat menyebabkan perniagaan kami sering di terganggu.Jambu Lapan Lapan Sdn. Bhd. boleh dihubungi melalui talian 03-77858588 atau layari laman web www.jambu88.com.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: