Kupas kelapa lebih pantas guna mesin


MESIN kupas kelapa yang bakal memberi banyak kemudahan kepada penanam.

MUSIM perayaan menjadikan suri rumah sibuk memasak juadah, termasuk yang menggunakan kelapa sebagai ramuan. Justeru, penggunaan mesin adalah penting, apatah lagi dalam industri pemprosesan kelapa dalam jumlah yang besar.

Kaedah tradisional mengupas kelapa secara ringkas yang diamalkan oleh petani dengan mengunakan parang, cangkul dan besi pengupas kelapa telah menyekat produktiviti.

Petani dibayar RM50 untuk setiap 1,000 kelapa yang telah dikupas dan RM35 untuk penuaian buah kelapa di ladang.

Jika petani memperoleh buah kelapa dari ladangnya, ia dibayar sebanyak RM240 untuk setiap 1,000 buah kelapa yang belum dikupas.

Oleh sebab masalah yang dihadapi oleh petani dan juga kekurangan buruh untuk mengupas kelapa, maka sebuah mesin baru telah direka bentuk oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk mengupas kelapa.

Penerangan teknologi / reka cipta

Mesin ini menggunakan enjin berkuasa lima kuasa kuda yang menjana pam hidraulik. Pam tersebut seterusnya akan memindahkan tenaga kepada dua aci bergigi yang mempunyai 33 gigi pada setiap aci.

Kedua-dua aci diletakkan dalam keadaan selari pada kedudukan 45 darjah dari tapak mesin. Kedua-duanya akan berputar dalam keadaan arah yang berlawanan untuk menanggalkan sabut serta mengasingkannya daripada tempurung kelapa.

Kedudukan kerangka telah dibentuk untuk memudahkan kelapa dan sabut diasingkan secara graviti iaitu sabut akan jatuh pada sebelah dalam dan kelapa yang telah ditanggalkan sabutnya akan jatuh pada sebelah luar secara automatik.

Mesin ini boleh dikendalikan oleh seorang operator yang tugasnya adalah untuk memasukkan kelapa ke dalam mesin. Mesin ini dapat mengupas kelapa pada kadar tujuh hingga lapan saat sebiji iaitu bersamaan dengan anggaran 350 biji untuk sejam.

Tahap efektif pengendalian mesin ini ialah 92.5 peratus untuk kelapa tua dan 90 peratus untuk kelapa yang sudah matang (kulit kelapa hijau).

Ciri-ciri unik reka cipta

Mesin ini mempunyai ciri-ciri keselamatan dan kelebihannya tersendiri, berlainan dengan mesin yang yang telah digunakan di ladang-ladang masa kini.

lSenang dibawa dan dipindahkan ke mana-mana kerana mesin ini tidak menggunakan kuasa elektrik

lKos penyelenggaraan yang rendah dan boleh didapati dari bengkel tempatan

lBoleh dikendalikan secara berterusan

lDilengkapi dengan lengan pemegang keselamatan untuk menghentikan mesin pada masa kecemasan

lDilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan untuk melindungi operator daripada kemalangan.

Kebaikan penggunaan mesin

Mesin ini amat berguna kepada petani, peladang dan kilang memproses kelapa. Ia dapat beroperasi dengan kadar yang lebih cepat dan dapat mengurangkan penggunaan tenaga buruh.

Kesan pada ekonomi

Penggunaan mesin ini dijangka dapat menambahkan pendapatan petani melalui penjualan kelapa kerana petani tidak perlu lagi menanggung kos bagi mengupas kelapa yang sebelum ini dilakukan oleh pihak lain.Proses pengupasan kelapa boleh dipusatkan di suatu tempat pengumpulan yang dapat menguruskan pengupasan kelapa. Di samping itu, sabut kelapa juga dapat diuruskan dengan lebih cekap dengan cara memprosesnya kepada produk yang berguna.

Potensi komersial

Mesin ini mempunyai potensi bagi kilang memproses kelapa dan pusat pengumpulan bahan kelapa. Mesin ini juga dapat meningkatkan pendapatan petani menerusi penjualan kelapa yang telah dikupas kepada pusat pembelian kelapa. Petani juga tidak perlu lagi bergantung kepada pekerja untuk mengupas kelapa.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: