Keistimewaan Jeli Kelapa To' Wan


WAN Yahya (kanan) bersama produk jeli kelapa yang semakin mendapat permintaan tinggi.

BERMACAM-MACAM jenis pekerjaan pernah dilakukan oleh Wan Yahya Wan Abdullah, 46, sebelum beliau terlibat secara serius dalam perniagaan jeli kelapa. Beliau yang berasal dari Kelantan pernah bekerja di kedai runcit selama sepuluh tahun, menjadi jurujual dan juga berkhidmat bersama syarikat Pernas Edar.

Walau apa pun kerja yang dilakukan, baginya keikhlasan merupakan elemen paling penting agar rezeki yang halal dapat diperolehi bagi menyara diri dan keluarga.

Mengakui gaji yang diperoleh ketika melakukan kerja-kerja tersebut tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga, Wan Yahya mula memikirkan cara bagaimana untuk menambah pendapatan agar taraf hidupnya meningkat ke tahap yang lebih baik.Idea menghasilkan jeli kelapa sebenarnya tercetus pada tahun 2004 setelah beliau mendapati terdapat banyak pokok kelapa terbiar di sekitar taman perumahannya di Gua Musang, Kelantan.Beliau mengambil peluang menggunakan kelapa-kelapa itu untuk menghasilkan jeli kelapa dan dijual di pasar yang berhampiran.Pada peringkat awal, hasil jualannya telah menyumbang pendapatan sebanyak RM60 sebulan.Selepas beberapa bulan berniaga, beliau mendapati produk tersebut menerima sambutan yang sangat menggalakkan.Akhirnya, pada awal tahun lepas, beliau mengambil keputusan untuk berpindah ke Rawang, Selangor bagi mengkomersialkan perniagaannya dengan lebih serius.

Bermodalkan RM250, Wan Yahya telah membeli segala peralatan seperti membeli bekas penyejuk, membuat banner, pelekat dan juga mendaftarkan syarikat di bawah penjenamaan Jeli Kelapa To' Wan.''Selama enam bulan saya perlu berjimat cermat kerana keuntungan yang diperoleh perlu digunakan untuk pusingan modal perniagaan ini.''Selain itu, saya juga perlu membayar sewa dua buah rumah sebanyak RM150 sebulan yang digunakan sebagai tempat operasi penyediaan jeli kelapa,'' katanya ketika di temui di rumah tersebut di Bukit Beruntung, Selangor baru-baru ini.Pada peringkat awal, beliau memasarkan jeli kelapa di sekitar Pasar Taman Sentosa dan juga Damansara.

Beliau turut mendapat tempahan daripada sekolah-sekolah dan juga restoran-restoran di sekitar kawasan perumahannya selain membekalkannya kepada Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).Untuk memenuhi permintaan tersebut, Wan Yahya dibantu oleh dua orang rakannya bagi kerja-kerja mengupas, memasak, memasukkan ke dalam bekas, menghantar kepada pelanggan serta menjual di pasar.Secara purata, beliau menghasilkan sebanyak 600 hingga 700 gelas jeli kelapa sehari yang dijual dengan harga RM1 untuk gelas besar dan 60 sen untuk gelas kecil.

Untuk pasaran di koperasi sekolah-sekolah pula, beliau menjualnya dengan harga 80 sen segelas dengan penghasilan sebanyak 200 gelas sehari.''Selain itu, kita juga ada menerima tempahan membekalkan jeli kelapa untuk majlis perkahwinan serta kenduri dengan harga 30 sen satu gelas.''Biasanya, pesanan akan meningkat ketika bulan puasa dan juga hari raya di mana lebih kurang 1,500 gelas sehari akan dihasilkan sehari,'' kata ayah kepada empat orang anak ini.Dari segi bekalan kelapa, Wan Yahya memperolehinya daripada dua orang pengusaha ladang kelapa yang terletak berhampiran rumahnya dengan harga RM1.30 sebiji.Untuk memastikan kelapa yang berkualiti digunakan untuk membuat jeli berkenaan, stok kelapa akan di simpan untuk jangka masa dua hingga tiga hari sahaja.

Bagi mengekalkan keenakan dan keaslian rasa jeli kelapa, Wan Yahya mempunyai petua serta resipinya tersendiri.Ketika menyediakan jeli tersebut, beliau akan memasak dengan sukatan satu tong penuh air kelapa yang di campur dengan setengah tong air masak, agar-agar, gula mengikut rasa, sedikit garam serta di kacau bersama daun pandan.Jeli yang siap di masak akan dituang ke dalam bekas yang telah dimasukkan isi kelapa dan dibiarkan membeku sendiri sebelum dimasukan ke dalam bekas ais.Wan Yahya memberitahu, antara cabaran membuat jeli tersebut adalah untuk mengekalkan rasa buah selain mengekalkan harganya yang murah.''Bagi saya apa yang paling penting adalah perhubungan baik dengan pelanggan agar mereka berpuas hati dengan produk kita.''Biarlah kita tawarkan harga murah asalkan kualitinya baik. Dengan cara itu, saya yakin pelanggan akan terus menyokong dan membeli produk ini.'' katanya.Di samping itu, beliau juga berpegang kepada prinsip bersedekah kepada pelanggan agar perniagaannya terus diberkati.

Bagi memudahkan pelanggan, jeli kelapa yang telah siap akan dihantar terus ke rumah atau kedai mereka.Dari segi pemasaran, beliau mengambil pendekatan menampal pelekat nama syarikatnya serta cara untuk dihubungi agar orang ramai mudah untuk membuat tempahan.

Bagi menambah kemahiran dalam perniagaannya, beliau ada menghadiri kursus latihan dan bimbingan anjuran persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).''Kita perlu selalu belajar tentang sesuatu yang baru kerana jika kita rasa kita sudah pandai, sebenarnya ada orang lebih pandai daripada kita,'' katanya.Selain itu, pada masa akan datang, beliau juga bercadang untuk membuat pinjaman perniagaan daripada Agrobank untuk memperluaskan perniagaannya.Dana tersebut akan digunakan untuk menyediakan tapak kedai yang lebih luas dan selesa serta membeli peralatan yang lebih moden untuk mempercepatkan proses penghasilan jeli kelapa.Ketika ini, beliau sedang mencari wakil jualan di setiap kawasan sebagai usaha membantunya memperluaskan pasaran.Justeru, mereka yang berminat untuk menjadi wakil jualan atau membuat tempahan, Wan Yahya boleh dihubungi melalui talian 019-2031749 atau 017-4388674.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: