Cabaran Usahawan

ANDA bercita-cita menjadi usahawan dan mahu menguji kualiti yang ada dalam diri? Ruang untuk anda mencuba terbuka - Cabaran Keusahawanan Malaysia atau Malaysian Entrepreneur Challenge (MEC) kini kembali! MEC adalah acara pemasaran berprestij di mana kali ini, pasukan dari kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan orang ramai yang memiliki ciri peniaga dan usahawan bersaing merebut gelaran juara MEC 2009.

Antara cabaran yang menanti peserta MEC 2009 ialah bengkel keusahawanan MEC; pertandingan dan persembahan jenama; jelajah maskot; penyerahan projek dan pembaikan; percubaan produk baru dan persembahan video. Nilai hadiah yang ditawarkan sepanjang acara ini lebih RM100,000 termasuk peluang mendapatkan kerja kerja, seminar transformasi minda, kursus dan cabutan bertuah.

Ada dua kategori yang dipertandingkan pada MEC 2009. Cabaran pertama ialah menghasilkan video komersial di mana peserta perlu merakamkan video komersial bagi sesuatu produk atau perkhidmatan dalam tempoh maksimum 90 saat.

Peserta akan diadili dan dinilai dari aspek kejelasan, kreativiti, kualiti dan tarikan. Pemenang akan menerima hadiah baucer penginapan percutian antarabangsa selama lima hari empat malam bernilai RM2,800 serta wang tunai RM500.

Paling menarik, pemenang akan dipilih sendiri penonton yang mengunjungi laman www.TheChallenge.com.my. Mereka akan mengundi secara online untuk kategori terbaik, paling kelakar dan paling kreatif.

Cabaran kedua menanti peserta dalam bengkel keusahawanan selama dua hari. Bengkel ini berkonsepkan ‘tenaga tinggi, impak tinggi’ yang mempraktikkan teknologi ‘On-The-Spot & Accelerated Learning untuk golongan usahawan baru serta individu yang mahukan pencapaian tinggi.

Peserta didedahkan rahsia menjadi usahawan sebenar, strategi memulakan perniagaan tanpa kos dan taktik membina keyakinan. Untuk makluman, mereka yang mahu mengikuti bengkel keusahawanan berimpak tinggi seperti ini perlu membayar sehingga lebih RM2,470 seorang.

Namun, sempena MEC 2009, cabaran dalam bentuk latihan keusahawanan hanya mengenakan bayaran RM180 seorang atau RM280 untuk tiga peserta. Bagaimanapun, bengkel keusahawanan ini hanya membuka tempat kepada 200 orang bakal usahawan.

Apa yang menarik, peserta yang gagal memenangi sebarang tempat tetapi menunjukkan prestasi baik akan disenarai pendek bagi mendapat peluang kerjaya dan perniagaan. Ini kerana pelbagai syarikat korporat akan menilai prestasi anda sepanjang bengkel dua hari ini.

Pada hari pertama bengkel keusahawanan ini, peserta akan didedahkan dengan gambaran keseluruhan sektor keusahawanan; cara pemikiran; perubahan cara berfikir dan persepsi kewangan. Pada hari kedua, program ini akan menyentuh soal permulaan perniagaan dan pemasaran.

Peserta akan diuji soal kepemimpinan dan kerjasama berpasukan; kreativiti dalam mencipta slogan dan logo; strategi penjenamaan; keunikan dan tarikan; strategi pemasaran; persembahan dan pengucapan awam; kemahiran jualan dan promosi secara langsung.

MEC yang dicetuskan Jurulatih dan Perunding Pemasaran dan Penjenamaan tempatan, Kenneth Tai diperkenalkan tahun lalu sempena sambutan kemerdekaan negara ke-51.

Tahun ini, MEC 2009 diadakan sempena Minggu Keusahawanan Global (Global Entrepreneurship Week atau GEW) yang akan disambut pada 16 November depan. Dianggarkan, lebih lima juta orang dari seluruh dunia akan mengambil bahagian dalam 14,482 aktiviti keusahawanan di 75 negara. Di Malaysia, GEW disokong Kementerian Pengajian Tinggi.

Maklumat mengenai MEC 2009 boleh didapati dengan melayari www.TheChallenge.com.my.

INFO: Antara pengisian bengkel dua hari MEC 2009

  • Bagaimana dan apa yang perlu anda lakukan sebelum memulakannya
  • Bagaimana untuk mencapai matlamat perniagaan dalam tempoh tiga tahun atau kurang
  • Bagaimana memulakan perniagaan dengan kos rendah
  • Idea perniagaan terbaik
  • Aktiviti yang menjamin kecemerlangan
  • Bagaimana mencapai apa saja dalam hidup
  • Bagaimana mendapatkan dana dengan kadar faedah terendah
  • Pendekatan sebenar dan praktikal yang akan menyingkirkan batasan dan membina keyakinan
  • Menulis perancangan perniagaan dalam tempoh 10 minit
  • Pendedahan kepada trend dan peluang perniagaan
  • Menangkap pemikiran keusahawanan anda
  • Belajar taktik sebenar sambil menghasilkan wang

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: