Pendapatan lumayan berniaga kerepek, biskut raya
|
Bermula berniaga katering makanan dalam usia 19 tahun, Iskandar tekad meninggalkan kerja tetapnya dalam bidang kejuruteraan selepas beberapa tahun menimba pengalaman bekerja dengan majikan berbangsa Cina yang dianggapnya sebagai guru.Dia yang kini berusia 37 tahun mencuba pelbagai jenis perniagaan termasuk francais makanan nasi lemak dan perkhidmatan dobi namun perniagaan kecil-kecilan itu terjejas ekoran kegawatan ekonomi pada 1998.
Namun, ia tidak menjadi halangan kepada Iskandar untuk terus berusaha dan dengan bermodalkan simpanan RM2,000, dia menyewa sebuah kereta bagi menjalankan perniagaan kereta sewa pula.
''Bagaimanapun, saya terpaksa melupakan perniagaan itu kerana masalah peribadi dan membawa diri ke Pontian, Johor, saya kemudiannya bertemu jodoh dengan isteri, Norazizah Chening dan membina keluarga di Johor," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.Menurutnya, setelah hampir setahun tanpa membuat apa-apa pekerjaan, keinginan Iskandar untuk berniaga semula berputik kembali.Katanya, hatinya tersentuh melihat keazaman dan ketekunan ibu mertuanya mengusahakan kedai runcit dan pada masa sama menjaja kuih kacang bersendirian.''Saya kagum dengannya yang amat tekun sekali berniaga tanpa bantuan sesiapa, seolah-olah berniaga itu satu seni yang amat tinggi nilainya dan tidak sama dibandingkan dengan wang ringgit jika berniaga semata-mata mahu untung sahaja.
''Kesedaran itu yang mendorong saya kembali berniaga dan menyambung perusahaan kuih kacang sampai hari ini dengan modal RM2,000 yang saya pinjam daripada jiran di Pontian," katanya.Jelasnya, sejak itu, dia dan isteri tidak lagi menoleh ke belakang dan mengusahakan jualan kuih kacang dengan menjaja dari sebuah kedai kecil hingga ke kompleks perniagaan yang besar di Johor Bahru.Katanya, berkat kesungguhan itu, perusahaannya mendapat sambutan menggalakkan dan perniagaan itu kini diteruskan di Kelemak dengan menumpang operasi perniagaan di bangunan Balai Raya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kelemak sejak tiga tahun lalu.''Alhamdulillah, usaha ini mendapat bantuan dan sokongan wakil rakyat dan sidang kampung di sini, mereka sudi menumpangkan bangunan JKKK ini untuk membolehkan saya meneruskan perniagaan," katanya yang kini mempunyai empat pekerja bagi membantu operasi niaga harian.
Akhirnya, kegigihan dan pengorbanan anak muda ini membuahkan hasil kerana mampu menikmati pendapatan kasar kira-kira RM120,000 untuk tempoh masa tiga bulan.Dia menjual serta memborong kuih raya dan pelbagai jenis kerepek yang dihasilkan melalui syarikatnya sendiri, Perusahaan Makanan Norazizah.Menariknya, kuih biskut raya dihasilkan sepenuhnya melalui tenaga kerja manusia dan hanya sedikit sahaja biskut dibuat melalui mesin, oleh itu rasa biskut dihasilkan masih asli dan enak.
Kata Iskandar, perniagaannya itu akan dikembangkan apabila dia membuka bangunan baru untuk perusahaan itu yang terletak kira-kira 100 meter dari bangunan JKKK sedia ada serta bakal dijadikan pusat sehenti jualan produk Satu Kampung Satu Industri.Orang ramai yang berminat untuk mencuba biskut raya dan kerepek pelbagai rasa yang dihasilkan melalui Perusahaan Makanan Norazizah ini, dipelawa berkunjung di alamat Balai Raya JKKK Kelemak Alor Gajah atau hubungi talian 013-7878575 atau 013-6818577.
0 comments:
Post a Comment