Nilai ukiran kayu Melayu


nasir Ismail tekun dan teliti ketika membuat ukiran kayu bagi mendapatkan hasil berkualiti.

MARANG 7 Okt. - Negeri Terengganu sememangnya terkenal dengan pelbagai produk kraf tangan seperti batik, songket, ukiran tembaga dan ukiran kayu. Hampir kesemua produk dari negeri itu telah melangkau ke seluruh dunia di mana ia membuktikan produk dari Malaysia turut diminati masyarakat negara luar.

Beberapa tahun dahulu kita turut berasa bangga apabila seni ukiran kayu Melayu dipilih menjadi penghias dalaman untuk sebuah auditorium di Universiti Oxford, antara universiti berprestij di dunia.Ukiran daripada kayu bermotifkan awan larat itu akan menghiasi tingkap anjung, pintu utama, birai tangga dan dinding auditorium utama dan galeri di Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) yang pembinaannya dibiayai oleh kerajaan Malaysia.

Bak kata pepatah tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.Begitulah hebatnya seni ukiran kayu Melayu yang dahulunya hanya menjadi penghias istana lama namun kini telah mencapai tahap bertaraf dunia meneroka jauh ke negara luar.

Masyarakat kini juga dilihat lebih gemar memilih kelengkapan rumah yang diperbuat daripada seni ukiran kayu malah ada juga lebih selesa membina rumah yang diperbuat daripada kayu di tengah-tengah bandar.Perubahan kehendak masyarakat kini yang lebih obses terhadap seni ukiran kayu menjadikan seni ini semakin mendapat tempat di pasaran.Baru-baru ini wartawan Utusan Malaysia berkesempatan mengunjungi sebuah perusahaan adik-beradik seni ukiran kayu ini di Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payung, Marang.

Menjengah sahaja ke pekarangan rumah pengukir ini, kelihatan pelbagai produk ukiran kayu hasil seni tangannya dapat dilihat seperti katil, gerbang, almari, kerusi, meja dan hiasan lampu yang sungguh halus ukirannya.Maka tidak hairanlah jika ukiran perusahaan ini turut menjadi penghias di beberapa tempat bersejarah seperti di Muzium Negara dan istana.Syarikat yang diberi nama Warisan Seni Ukiran Kayu ini beroperasi sejak tahun 1991, bermula dengan hanya sebuah bengkel kecil yang dibina bersebelahan rumah mereka.Namun bermula tahun 2000, tiga daripada lapan adik-beradik ini telah mula mengembangkan perusahaannya sehingga dikenali serata negara.

Menurut Nasir Ismail, 32, perusahaan ini dimulakan oleh abangnya, Amran, 39, yang pada awalnya belajar mengukir hanya sekadar minat kerana melihat rakan-rakannya juga mahir mengukir.Katanya, abangnya mula belajar di peringkat awal di Kampung Raja, Besut ketika umurnya 19 tahun dan ukiran pertamanya ialah 'cembung pintu' (hiasan ukiran yang diletakkan di pintu)."Dia amat meminati seni ukiran kayu dan berusaha untuk mempelajari seni itu dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya kini."Kemudian dia pula mengajar kami adik-beradik agar dapat membantu dia untuk mengukir jika menerima banyak tempahan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Binjai Bongkok baru-baru ini.Apa yang menarik perhatian, walaupun seni pembuatan ukiran ini amat rumit dan memerlukan kesabaran yang tinggi namun tidak sedikit pun riak wajah Nasir bosan dengan kerjayanya itu.

Menceritakan pengalamannya dalam bidang tersebut, ujar Nasir, dia mengambil masa selama setahun untuk mahir dalam seni ukiran berkenaan.Jelasnya, cabaran yang paling besar untuk menghasilkan sesebuah ukiran kayu ialah mengawal kekuatan mental dan fizikal.Ujarnya, apabila seseorang mula mengukir, cuaca panas, habuk, badan letih menjadi faktor utama sesebuah ukiran tidak dapat dibuat dengan baik."Biasanya untuk menyiapkan cembung pintu akan mengambil masa selama seharian dan sekiranya dilakukan tanpa henti tangan akan menjadi kebas dan menyukarkan ukiran dibuat.

"Selain itu, ukiran berbentuk bunga empat dimensi yang memerlukan ketelitian juga memerlukan kesabaran yang tinggi."Kadang-kadang jika terlalu banyak permintaan, kami juga terpaksa menolak tempahan kerana tidak cukup kakitangan memandangkan kami hanya mempunyai sembilan orang tukang dan hanya dua pengukir," ujarnya.Tambah Nasir, dia mengakui produk ukiran kayu sememangnya mempunyai harga yang mahal berbanding produk lain kerana kesukaran untuk membuatnya.

Namun, jelasnya, ia tidak menjadi penghalang untuk masyarakat semakin menggemari produk tersebut.Katanya, ketahanan produk yang diperbuat daripada kayu menjadi sebab utama ia kian diminati."Bagi menghasilkan produk ukiran kayu, hanya beberapa jenis kayu sahaja yang boleh digunakan seperti cengal, seraya dan berawang."Kayu-kayu ini jenis yang tahan lasak dan sukar di makan anai-anai."Bagi mereka yang berminat, di sini mereka boleh menempah produk ukiran kayu dari serendah RM5 sekeping dan lazimnya harga sesebuah ukiran ialah RM120 untuk sekaki serta mengikut jenis ukiran ," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: