Melayu makin belakangkan kepentingan Melayu

MEMBACA tulisan saudara Zaini Hassan pada 17 Mac 2010 yang lalu bertajuk "Kempen Bakar Utusan Malaysia, siapa dalangnya?" menyebabkan saya tertanya-tanya apakah puncanya yang menyebabkan orang Melayu sanggup membakar akhbar Utusan Malaysia yang jelas mempertahankan hak mereka, sedangkan kaum Cina pula sanggup bermati-matian untuk mempertahankan akhbar berbahasa Cina yang menjadi wadah perjuangan mereka.

Adakah ia berlaku kerana orang Melayu tidak memahami konsep 'untung rugi' dari segi kepentingan politik, ekonomi dan sosial? Atau adakah memang benar dakwaan yang menyatakan bahawa orang Melayu sangat baik hati hinggakan segala-galanya diberikan tanpa bantahan walaupun merugikan diri sendiri?

Atau adakah orang Melayu sememangnya makhluk yang sangat beremosi sehingga menyebabkan ia bertindak tanpa menggunakan akal? Atau adakah tindakan tersebut disebabkan oleh kombinasi kesemua faktor tersebut?

Sebenarnya, faktor-faktor yang disebutkan itu hanyalah kesan daripada punca yang lebih besar hingga menyebabkan orang Melayu sanggup membelakangkan kepentingan Melayu dan membakar akhbar yang memperjuangkan haknya sendiri.

Punca yang penulis maksudkan ialah pemikiran orang Melayu yang kini sudah berubah sehingga secara langsung menyebabkan orang Melayu yang kita kenal dengan sifat lemah-lembutnya kini telah berubah watak.

Keadaan ini berlaku kerana sistem kepercayaan yang secara langsung dan tidak langsung wujud dalam diri orang Melayu telah berubah sehingga menyebabkan perubahan pemikiran mereka. Sistem kepercayaan ini sememangnya wujud dalam diri setiap manusia dan ia terbina kesan daripada didikan, pembacaan, pergaulan dan persekitaran.

Sistem kepercayaan ini akan menentukan tindak-tanduk manusia dan tindakan tersebut haruslah selari dengan sistem kepercayaan yang wujud di dalam jiwa seseorang.

Dalam konteks yang lebih kecil pula, seorang Muslim pastinya akan mempercayai bahawa Allah SWT merupakan Tuhan yang sebenar. Oleh itu apabila seorang Kristian misalnya berkata ' Jesus ialah Tuhan,' sebagai Muslim kita akan menolak pernyataan tersebut kerana bagi kita Allah ialah Tuhan yang sebenar.

Keadaan ini berlaku kerana di dalam diri kita telah wujud sistem kepercayaan yang secara tidak kita sedar mempengaruhi kita.

Sistem kepercayaan ini juga boleh berubah menerusi pergaulan, persekitaran, pembacaan dan lain-lain. Namun, salah satu daripada faktor yang mempengaruhi berubahnya sistem kepercayaan ialah peranan yang dimainkan oleh media massa. Tambahan pula pada zaman ini di mana maklumat dapat diperolehi dengan satu klik, peranan media massa baru dan tradisional ini amat besar sehingga telah mengubah landskap politik negara kita.

Pengaruh media massa inilah yang berlaku kepada orang Melayu sehingga menyebabkan sistem kepercayaan berubah sekali gus merubah pemikiran mereka.

Jika satu ketika dahulu media tradisional seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times, RTM dan TV3 dianggap sebagai sumber berita yang paling dipercayai, kini tidak lagi. Mereka telah mengubah kepercayaan mereka kepada media-media baru di laman-laman web sehinggakan apa sahaja yang dibaca di media tradisi dianggap palsu dan yang terbit di media baru pula dianggap benar.

Oleh kerana kepercayaan yang melulu inilah maka pembohongan yang ditulis di blog dan laman web tersebut dipercayai tanpa banyak soal, sekali gus menyebabkan propaganda anti ketuanan Melayu juga diterima tanpa melihat apakah kesannya kepada diri mereka sendiri.

Kesannya, kini ada di kalangan orang Melayu sendiri yang lantang mempersoalkan ketuanan Melayu, ikon Melayu, hatta nama Semenanjung Tanah Melayu juga dipersoalkan oleh orang Melayu sendiri.

Jadi, adakah ini tanda awal kematian akhbar-akhbar yang dimiliki oleh orang Melayu hanya kerana kepercayaan orang Melayu sendiri tidak lagi kepada media miliknya sendiri tetapi terhadap media baru dan terhadap media yang dimiliki oleh kaum Cina.

Orang Melayu harus sedar bahawa selama ini akhbar yang dimiliki oleh orang Melayu seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times merupakan satu entiti perniagaan. Sebagai sebuah entiti perniagaan, mereka pastinya terikat dengan untung rugi dalam memastikan syarikat mereka terus hidup.

Pastinya jalan yang paling mudah ialah dengan mengubah secara total kandungan yang terdapat di dalam akhbar-akhbar utama tersebut dengan menyajikan cerita-cerita ringan kerana nampaknya itulah yang dapat dijual dan mendapat sambutan sekarang.

Namun, akhbar-akhbar tersebut tidak mengambil jalan singkat itu. Ini kerana mereka merasa bertanggungjawab untuk menyediakan juga cerita-cerita yang bertujuan untuk membuka minda kita dan memberikan pengajaran.

Mungkin pada pandangan mereka, tugas media bukan sahaja menghiburkan dan memaklumkan tetapi ia juga bersifat mendidik dan membawa kesedaran dalam masyarakat. Inilah yang cuba dilakukan oleh akhbar-akhbar Melayu di negara ini yang masih sedang bertahan.

Tetapi lama manakah mereka mampu untuk melakukannya. Kita harus sedar bahawa sebagai entiti media yang mempunyai sejarah yang panjang, akhbar Melayu ini tidak sepatutnya diletakkan dalam liga yang sama dengan portal media baru atau blog kerana ia mengamalkan kewartawanan yang bertanggungjawab.

Misalnya, kiranya anda merasa tidak berpuas hati dengan akhbar-akhbar perdana ini, anda boleh terus membawanya ke mahkamah. Malah, kredibiliti penulisnya boleh dipersoalkan.

Nah! Bandingkan saja dengan laman web Malaysia Today yang mana penulisnya Raja Petra Kamaruddin, entah ke mana perginya dan sehingga kini tidak berani pulang ke Malaysia setelah menabur fitnah. Apakah ini bentuk kewartawanan yang menjadi kiblat kita untuk dipercayai? Kita semua harus bertanya, adakah media sebegini yang mahu kita wariskan kepada generasi masa depan?

Oleh itu amat penting untuk kita sebagai orang Melayu menilai semula sistem kepercayaan kita supaya pemikiran kita tidak dipesongkan dengan hujah-hujah yang hebat di laman-laman web dan blog sedangkan realitinya etika yang diamalkan mereka lebih kepada 'tidak beretika'.

Jika satu masa dahulu sistem kepercayaan yang ada dalam diri kita dapat membuat kita percaya kepada media perdana, kenapa kini ia tidak dapat berlaku lagi. Apa bezanya dahulu dan sekarang?

Sehubungan itu, penting untuk melakukan penilaian semula sistem kepercayaan kita terhadap akhbar-akhbar tempatan. Ini kerana jika penilaian semula terhadap sistem kepercayaan kita tidak dibuat, ia akan menyebabkan orang Melayu kehilangan wadah untuk memperjuangkan haknya di negara sendiri.

Jika kita memberi peluang untuk menilai hujah-hujah yang diutarakan oleh akhbar tempatan.

Sekiranya ini terjadi, maka tidak akan berlaku lagi peristiwa orang Melayu yang membakar akhbar Utusan Malaysia, malah mereka akan bermati-matian mempertahankannya sepertimana kaum Cina bermati-matian mempertahankan akhbar milik bangsanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: