Aneka selera di Bangi Kopitiam
|
Menjanjikan keselesaan yang berlatar moden namun dekorasi menggamit nostalgia, Bangi Kopitiam antara pilihan warga kota yang menghidangkan menu standard namun terkenal dengan keenakannya.
Pemiliknya, Laila Ahmad percaya perniagaan francais lebih terjamin kerana mempunyai konsep dan sistem tersendiri, stabil di samping jenama yang dikenali ramai.
"Bangi Kopitiam menghidangkan sajian enak sarapan, makan tengah hari, minum petang dan malam, beroperasi setiap hari dari pukul lapan pagi hingga 12 tengah malam.
''Kepelbagaian menu memenuhi cita rasa dan mendapat sambutan pelanggan pelbagai kaum dan peringkat umur," katanya yang berkongsi perniagaan bersama suami Abdul Halim Abd. Rahman dan saudaranya Zulkifli Abdul Latiff sejak tahun lalu.
Bihun tomyam goreng antara menu yang memerangkap pelanggan datang semula ke restoran itu, di samping keenakan mee kari, nasi lemak rendang ayam, nasi dagang, keropok lekor yang turut mencuri tumpuan.
Juga popular dengan pemanis mulut yang terdiri daripada pelbagai aiskrim, puding dan aneka bubur dihidangkan panas-panas.
Kalau ke Bangi Kopitiam jangan lepaskan peluang nikmati kepelbagaian jenis roti terpilih dan antaranya dibawa khas daripada daerah asal untuk mengekalkan rasanya.
"Bermula pertengahan bulan lepas, menu baru ditawarkan sebagai tambahan antaranya set makanan barat seperti Chicken Chop dan Western Platter.
"Juga ada mee udang, nasi goreng chicken chop, pelbagai roti hailam dan roti bakar Portugis, makanan ringan karipap, samosa, popia goreng dan lain-lain juga ada," ujarnya.
Jika sebelum ini Ipoh White Cofee yang terkenal dengan aroma harumnya, aneka teh dan jus buah-buahan termasuk jus kedondong yang paling mencuri tumpuan, kini ditawarkan bandung cincau.
Menariknya berada di sini, selain ruang halaman luas kerana terletak di bucu bangunan, turut disediakan ruang tertutup berhawa dingin untuk tempahan bagi pelbagai acara dan keraian seperti jamuan hari lahir, perpisahan, mesyuarat, perjumpaan, pelancaran produk dan acara serta acara sosial yang lain.
"Beberapa syarikat produksi filem, drama serta pengiklanan pernah mengadakan penggambaran di sini dengan bayaran minimum dan berpatutan dikenakan bergantung kepada acara yang diadakan," ujarnya.
Berdasarkan sokongan lokasi yang strategik, kemudahan laluan dan kawasan letak kereta mencukupi, perkhidmatan diutamakan di samping hidangan berkualiti Bangi Kopitiam sentiasa terbuka kepada pelanggan untuk singgah.
0 comments:
Post a Comment