GST ? Bukan rakyat tak mahu tetapi rakyat tidak tahu apa itu GST.
CUKAI perkhidmatan dan barangan (GST) tidak dibentangkan bagi bacaan kedua pada sidang Parlimen kali ini. Kerajaan ada alasan kukuh apabila mengambil keputusan itu bagi membolehkan penelitian terperinci dilakukan, termasuk mendapat pandangan dan maklum balas segenap lapisan rakyat sebelum dikuatkuasakan. Walaupun pembangkang mendakwa penangguhan itu disebabkan desakan mereka banyak pihak sebelum ini pun sudah meminta masa untuk menelitinya.
Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) misalnya, meminta lebih banyak masa supaya kerajaan dapat memperjelaskan beberapa perkara yang masih keliru. FMM juga mengemukakan beberapa cadangan dan menyuarakan kebimbangan terhadap sistem cukai GST ini dan meminta kerajaan mengkaji pandangan itu terlebih dulu sebelum GST dilaksanakan. Pandangan FMM ini penting kerana mereka adalah golongan yang mengeluarkan barang yang akan dibeli pengguna, tentunya mereka ingin tahu pada peringkat pengeluaran yang mana satu harga barang itu perlu ditambah cukai. Memandangkan struktur percukaian itu sangat kompleks dan meluas, wajar bagi kerajaan mengambil masa secukupnya untuk menggubal rang undang-undang itu supaya menjadi akta yang sempurna dan tidak membebankan rakyat. Jika akta GST dikuatkuasakan dengan pelbagai kelonggaran, itu bukan saja menunjukkan kelemahan, malah sekali lagi dijadikan modal politik. Apa yang penting, kerajaan perlu memberi penjelasan seluas-luas mengenai GST sebelum melaksanakannya. Paparkan angka, contoh dan pengalaman negara lain, kesan dan sumbangannya serta keseluruhan struktur pelaksanaan sistem percukaian itu supaya rakyat memahaminya. Justeru, proses mengumpul maklum balas daripada semua lapisan dan sumber perlu dilakukan secara menyeluruh. Maklum balas peringkat paling bawah pada akar umbi pun perlu diambil kira dalam merumuskan rang undang-undang itu. Mungkin kerajaan boleh menggunakan kaedah atau sistem pengumpulan maklumat ketika menggariskan kandungan dasar Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian. Yang lebih rencam membabitkan tugas menyediakan kandungan pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) atau meminjam idea ketika menggubal strategi Program Transformasi Kerajaan (GTP). Walaupun GST tidak sama dengan tiga aspek transformasi dalam pentadbiran dan pengurusan jentera kerajaan itu yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana sekretariat memperoleh makluman balas rakyat. Tidak keterlaluan jika satu ‘makmal GST’ digerakkan segera supaya hasil kajian lebih tepat, menyeluruh dan wajar. Sebagai jentera yang melalui proses transformasi besar-besaran, kerajaan tidak wajar dituduh gagal dalam pelaksanaan GST. Akta ini jangan dianggap remeh atau sulit sehingga tiada keseimbangan. Ia mampu disedia dan dikuatkuasakan dengan jaya jika tidak mengetepikan semangat, kepentingan dan tuntutan rakyat segenap peringkat. Ambil iktibar GST dari negara yang sudah melaksanakannya dan menjadi kelebihan kepada Malaysia untuk menguatkuasakan akta itu tanpa perlu mengulangi kesilapan atau kegagalan di negara lain.
0 comments:
Post a Comment