Usahawan Melaka hasilkan Songket & Batik Melaka.
|
MELAKA 18 Nov. - Sebut sahaja perkataan songket, pasti ramai di antara kita akan mengaitkannya atau teringat dengan golongan pembesar dan bangsawan istana zaman dahulu.
Fabrik tradisional yang membawa maksud membawa keluar atau menarik benang daripada kain atau menenun menggunakan benang emas atau perak ini mengikut sejarahnya adalah lambang kemegahan golongan tersebut.
Ia memperlihatkan kehalusan kerja tangan orang Melayu terserlah melalui motif-motif pada kain songket.Bagaimanapun, usaha untuk memartabatkan songket tidaklah semudah batik yang telah melalui proses pembaharuan yang telah diterimapakai secara meluas.Mungkin kerana harganya yang jauh lebih mahal berbanding batik, iaitu antara RM180 hingga belasan ribuan ringgit sehelai bergantung kepada saiz dan motif, membuatkan songket hanya menjadi pilihan golongan tertentu.
Namun, berkat minat yang mendalam terhadap kesenian hasil songket membuatkan, Mohd. Fauzi Muhammad, 27, yang menjalankan perniagaan songket dan batik melalui syarikatnya, Fauzai Mekar Enterprise, serius dalam bidang yang jarang diceburi golongan muda ini.
Apa yang jelas, usia yang baru dua tahun menceburi bidang ini tidak menjejaskan cita-citanya untuk memperluaskan pandangan umum songket yang kebanyakannya dihasilkan di Kelantan dan Terengganu.Fauzi bercita-cita mencipta Songket dan batik Melaka menggunakan bunga kesidang yang menjadi bunga rasmi Melaka sebagai motif fabrik bermutu tinggi."Selalunya, bila sebut batik atau songket, orang akan terfikir ia produk Kelantan dan Terengganu sahaja."Saya mahu menjadikan Melaka juga sebagai pengeluar batik dan songket terkenal dengan identiti Melaka," katanya kepada Utusan Malaysia di bengkel songketnya di Kraftangan Malaysia Melaka, Kawasan Perindustrian Klemak, Alor Gajah di sini hari ini.
Menurutnya, berbeza dengan songket berasal dari Pantai Timur, songket Melaka akan menggunakan motif bunga kesidang.Begitu juga dengan batik yang lebih terarah kepada motif abstrak berbanding batik bermotif bunga-bungaan dari Kelantan dan Terengganu."Sepanjang dalam bidang ini, banyak maklum balas positif yang saya terima supaya dapat melahirkan songket Melaka dan menjadikannya terkenal seperti songket-songket lain."Kalau segalanya berjalan lancar, insya-Allah saya bercadang untuk melancarkan batik dan songket Melaka dan menjadikannya terkenal seperti batik-batik lain," katanya yang turut mempunyai bengkel mencanting batik di Kampung Morten, Jalan Tun Ali di sini.
Pemuda lulusan Diploma Muzik dari Akademi Seni Warisan Negara (Aswara), Kuala Lumpur ini, turut mengakui, usaha meneruskan perniagaan itu yang dicetuskan tunangnya, Zaihasra Zainal Abidin, 23, bukanlah sesuatu yang mudah.Jelas Fauzi, dia juga telah mengeluarkan modal permulaan sebanyak RM75,000 untuk memulakan perniagaan batik dan songket."Saya juga telah membeli empat buah 'kek tenun' yang digunakan untuk menenun songket berharga RM3,500 setiap satu.
"Dengan jumlah sebanyak itu, saya cuma boleh menghasilkan empat helai songket berukuran 2.5 meter sebulan dengan bantuan empat pekerja," katanya sambil menambah tempoh menghasilkan songket bergantung kepada benang digunakan, saiz dan motif.Jelas Fauzi, harga songket juga ditentukan mengikut benang digunakan sama ada benang emas, sutera ataupun polyster, motif, sama ada bunga penuh ataupun bunga tabur.Mengenai fesyen pula, Fauzi memberitahu, ia tidak terbatas kepada samping sahaja tetapi juga baju kurung, kebaya, baju Melayu, skaf dan juga selendang.Mereka yang berminat mencuba sentuhan batik dan songket Fauzai Mekar bolehlah menghubungi talian 012-6189394.
0 comments:
Post a Comment