Harga Minyak Bukan Penentu Tetapi Pengusaha Menjadikan ia faktor.
|
Namun benarkah harga barangan itu sepenuhnya bergantung kepada harga minyak sehingga peniaga dapat mengurangkannya setiap kali kerajaan mengumumkan harga petrol yang lebih rendah?Dalam dunia perniagaan yang banyak ditentukan oleh penawaran dan permintaan, minyak atau kos pengangkutan sebenarnya hanyalah sebahagian daripada faktor yang menentukan harga barang. Selain minyak, peniaga terpaksa mengambil kira pelbagai faktor atau kos lain yang mempengaruhi harga barangan seperti bekalan, kuantiti, kualiti, kadar sewa serta banyak lagi.
Memang secara logik akalnya dalam situasi seperti ketika ini, peniaga perlu menurunkan harga barang yang melambung tinggi selepas kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen pada 5 Jun lalu. Namun, kenaikan petrol itu hanyalah alasan kepada peniaga yang sudah lama menantikan peluang untuk menaikkan harga, kerana tidak mahu dilihat terlalu menindas pengguna dan menentang kerajaan.
Maka dengan penurunan terbaru harga petrol sebanyak 15 sen bermula semalam, pengguna sebenarnya tidak diberi jaminan untuk menyaksikan penurunan harga barang yang boleh dianggap sebagai munasabah selepas ini.Tindakan peniaga yang menaikkan harga barang dan selesa dengan keadaan itu adalah disebabkan mereka menyedari adanya permintaan yang tinggi dan berterusan daripada pengguna.Ini secara tidak langsung memberi gambaran bahawa harga barangan keperluan berkait rapat dengan tingkah laku pengguna yang berinteraksi dengan peniaga terutamanya dalam konteks tawar menawar barangan keperluan tersebut.Maka di sinilah pengguna seharusnya memainkan peranan dan menunjukkan kuasa serta kebijakan mereka dalam berbelanja. Seboleh yang mampu, pengguna perlu mengawal perbelanjaan dengan tidak membeli barangan tersebut ketika ia dijual pada harga yang tinggi.Keadaan itu akan mewujudkan lambakan barangan di pasaran sekali gus memaksa peniaga menurunkan harga untuk memastikan barangan tersebut terjual. Bagaimanapun peranan pengguna ini secara teori sememangnya kedengaran sangat mudah, tetapi untuk menggerakkannya agak sukar apatah lagi jika ia membabitkan keperluan harian seperti beras, susu, sayur-sayuran dan sebagainya.
Peranan
Namun, ia boleh dijayakan sekiranya usaha itu digembleng dengan meluas, termasuk dengan peranan persatuan-persatuan pengguna, media cetak dan elektronik seterusnya di kalangan pengguna sendiri secara massa.Betapa pengguna memainkan peranan yang penting seperti yang dijelaskan oleh pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk, kerana mereka merupakan kumpulan yang berinteraksi dengan peniaga.
Tingkah laku pengguna, katanya, mempengaruhi harga barangan keperluan dan pengguna seharusnya dengan kuasa yang dimiliki menggunakannya untuk menentukan harga barangan di pasaran.''Apabila berlaku satu proses tawar-menawar dalam konteks harga pasaran, maka akan timbul keseimbangan yang mana harga barangan keperluan akan ditentukan oleh harga pasaran," katanya.
Dalam aspek bekalan barang keperluan ketika ini juga, dapat diperhatikan barangan-barangan tertentu hanya ditawarkan oleh beberapa pihak sahaja, yang secara tidak langsung turut mempunyai kuasa dalam menetapkan harga.Malah, beberapa barangan keperluan yang diimport juga dikenakan sekatan-sekatan tertentu yang menyukarkan kemasukannya secara besar-besaran menyebabkan harga barangan mahal kerana bekalan yang terhad.Dari satu sudut, sekatan ke atas import barangan keperluan secara lebih meluas itu menguntungkan industri tempatan kerana ia boleh diibaratkan satu perlindungan kepada survival mereka oleh kerajaan.Namun dari sisi yang lain, ia tidak memberi kelebihan kepada pengguna yang perlu membeli barangan tersebut pada harga yang ditetapkan oleh pengimport selain tidak mempunyai banyak pilihan.
Persaingan secara terbuka itu secara tidak langsung mengelak daripada berlakunya monopoli pasaran oleh sesetengah pihak, di samping mewujudkan persaingan di kalangan pemborong terutamanya dari sudut tawaran harga dan kepelbagaian barangan.Malah bagi industri tempatan sendiri, import barangan keperluan yang lebih terbuka itu secara tidak langsung akan menggerakkan industri berkenaan secara lebih agresif dalam memastikan produk mereka kekal bersaing dengan produk luar negara.Begitu juga dalam memastikan bekalan barangan keperluan sentiasa mencukupi, kerajaan perlu memperluaskan sumber dan tidak hanya bergantung kepada negara tertentu semata-mata.
Ini bagi memastikan bekalan tersebut mampu menampung permintaan seterusnya mengelak daripada berlakunya manipulasi harga oleh pihak-pihak tertentu.Proses liberalisasi pasaran itu juga secara sendiri akan menjelaskan bahawa penetapan harga siling seperti dalam mekanisme yang dilaksanakan kerajaan ketika ini sebenarnya adalah tidak perlu.Ini kerana tambah Azeem Fazwan, penetapan harga siling oleh kerajaan itu secara tidak langsung turut mempengaruhi kenaikan harga barang kerana ia tidak ubah seperti satu bentuk sekatan kepada turun naik harga barang itu sendiri.Malah, di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Jepun misalnya, barangan keperluan ditentukan harganya oleh pasaran dan bukannya ditetapkan oleh kerajaan mengikut harga siling tertentu.
''Kerajaan dalam memastikan peniaga mematuhi harga siling itu juga memerlukan tenaga penguatkuasaan yang besar sedangkan anggota penguatkuasa itu tidak boleh berada di semua tempat. Justeru, kemungkinan kepada peniaga untuk tidak mematuhi harga siling itu sentiasa terbuka," katanya.Dalam menjejak punca kenaikan harga barang itu juga, pastinya ramai yang bersetuju bahawa rantaian bekalan yang terlalu panjang bermula daripada pengeluar sehingga ke pengguna turut memacu kepada kenaikan harga barang.Ibarat lagu Bangau oh Bangau, peniaga akan menyalahkan pemborong, pemborong akan menyalahkan pengeluar dan begitulah seterusnya dalam mewajarkan kenaikan harga barangan.
Keadaan itu boleh dielakkan sekiranya kehadiran 'orang tengah' dalam rantaian bekalan tersebut dikurangkan dengan kerajaan tidak mengeluarkan lesen atau permit perniagaan kepada golongan yang jelas mendapat keuntungan atas angin.Sebaliknya, kerajaan dalam mengurangkan rantaian bekalan itu perlu menubuhkan satu rangkaian khusus yang memudahkan pengeluar untuk memasarkan barangan mereka secara terus kepada pengguna. Konsep sebegitu dalam mengawal permainan harga misalnya, sudah dibuktikan berkesan dalam memasarkan produk pertanian seperti pembukaan pasar-pasar basah atau pasar tani.Namun, bagaimana mekanisme itu dapat diperluaskan dalam memasarkan barangan keperluan lain seperti beras, minyak masak, susu dan sebagainya yang rantaiannya lebih kompleks, memerlukan kajian menyeluruh daripada kerajaan.
Antara yang difikirkan wajar adalah kehadiran agensi kerajaan sendiri dalam rantaian bekalan barangan itu dengan matlamat untuk mengurangkan harganya seperti peranan yang dimainkan oleh FAMA misalnya.Hakikatnya, kemelut harga barangan ini bukanlah sesuatu yang terlalu rumit untuk diselesaikan. Sebaliknya apa yang perlu dilakukan ialah mengenalpasti punca yang menyebabkan harga barangan keperluan itu begitu mudah berubah-ubah dan ditentukan oleh kelompok peniaga.Pastinya, kerajaan dalam mengenalpasti perkara itu juga sudah mempunyai mekanisme yang kukuh sementelah kawalan harga barangan keperluan kini terletak di bawah pengawasan Majlis Harga Negara dan Majlis Ekonomi.Dua badan ini antara lain bertanggungjawab dalam soal pasaran, harga, bekalan dan langkah-langkah dalam memastikan rakyat tidak dibebani dengan masalah kenaikan harga serta kekurangan bekalan keperluan asas.
Harapan pengguna, kerajaan dalam menawarkan mekanisme berkesan dalam mengawal dan menentukan harga barang itu tidak memerlukan masa yang panjang sementelah dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan rakyat berbelanja ketika ini.
0 comments:
Post a Comment