Siswazah tekad ternak landak



Menternak landak? Biar betul? Mungkin itu adalah respons yang akan diberikan oleh orang ramai sambil mengerut dahi jika kita memberitahu mereka yang kita telah melibatkan diri dalam ternakan landak.

Ketika ramai yang memilih menternak haiwan yang menjadi makanan pilihan orang atau sajian harian seperti ayam, lembu atau kambing, menjadikan landak sebagai komoditi ternakan, sememangnya mengundang persoalan.

Apatah lagi, landak merupakan haiwan eksotik dan dilindungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan adakah menternaknya juga merupakan satu kesalahan?Sebenarnya, walaupun landak bukan merupakan makanan popular tetapi harga makanan berasaskan haiwan itu seperti sup dan daging segarnya agak mahal.Dilaporkan bahawa semangkuk sup daging landak mampu mencecah RM10 dan pasaran daging segarnya mencecah RM60 sekilogram.Pernah seseorang memberitahu yang daging landak manis dan lembut, kadangkala rasanya seperti daging arnab.Namun, itu pendapat mereka yang pernah menikmati daging landak tetapi bagi yang cerewet kepada makanan, barangkali tanggapan daging landak sedap sukar dipercayai.Masalah lain ialah berkaitan satu mitos yang mengatakan bahawa duri landak akan dilepaskan ke arah mana-mana objek yang mengancamnya sedangkan tidak ada bukti ia benar-benar pernah berlaku.

Ia hanya mengembangkan durinya yang dikatakan berjumlah 30,000 pada setiap ekor apabila terancam dengan menadah bahagian belakang apabila diancam.Selain itu, dengan mengetahui bahawa landak atau nama saintifiknya Hystrix bracyura adalah haiwan yang tergolong dalam keluarga tikus, mungkin ramai yang tidak sanggup mendekati haiwan ini apatah lagi menternaknya.Bagi sesetengah orang, itu semua tidak menjadi masalah kerana ternakan landak adalah dibolehkan dan daging landak juga tidak diharamkan oleh agama.Namun landak, yang mempunyai banyak jenis namun spesies yang popular ialah landak raya dikatakan sukar untuk melahirkan anak kerana mempunyai masalah pembiakan.Biasanya seekor landak betina jenis landak raya beranak lima kali dalam tempoh dua tahun dengan jumlah antara seekor atau dua ekor sekali beranak.Dengan sifat pembiakan yang demikian dan minat orang ramai yang masih rendah, maka ia dijadikan sebagai satu cabaran kepada sebuah syarikat penternakan bumiputera untuk mencuba projek ternakan tersebut.

Tujuh siswazah

Syarikat terbabit, Bahtera Ternak yang sudah memulakan ternakan landak awal tahun ini dianggotai tujuh siswazah Universiti Putra Malaysia (UPM), bertekad mempopularkan ternakan landak sebagai industri baru dan hidangan berkhasiat pada masa akan datang.

Mereka memperoleh permit daripada Perhilitan pada November tahun lalu selepas membentangkan kertas kerja cadangan menternak landak.Mereka berpendapat mampu mengharungi cabaran memajukan projek penternakan landak tersebut dengan bantuan Perhilitan kerana mempunyai pengalaman dalam bidang ternakan.Dengan modal awal sebanyak RM120,000, mereka yang berkelulusan dalam pelbagai bidang termasuk arkitek, pertanian menaruh azam yang kuat untuk menjayakan projek tersebut.

Dengan segenggam tekad, mereka membuka kawasan ternakan seluas 0.8 hektar (dua ekar) di Kampung Kapal, Lenggeng, Negeri Sembilan.Kawasan tersebut dibangunkan dengan pelbagai kemudahan yang bersesuaian untuk menjalankan projek ternakan termasuk membina tujuh unit rumah pekerja, dua unit paddock, dan kandang untuk menempatkan 66 ekor landak.

Menurut Pengerusi Bahtera Ternak, Rathuan Md. Som, meskipun kesemua rakan kongsi mempunyai pekerjaan tetap, mereka komited dan sepakat untuk menjadikan projek ternakan landak tersebut berdaya maju.“Ia berdasarkan ternakan ini belum diterokai sepenuhnya dan setakat ini hanya ada tiga atau penternak yang melibatkan diri.

“Berdasarkan kajian kami dan bantuan Perhilitan, daging landak mempunyai khasiat pemakanan yang tinggi,’’ ujarnya.Harga daging landak menjadi tinggi kerana ia dikatakan mendapat tempat di pasaran Hong Kong, China, Singapura dan Thailand.Berdasarkan faktor-faktor tersebut, pihaknya yakin ia mempunyai prospek cerah untuk dimajukan.Tambahan pula pengurusan ternakan landak tidak terlalu rumit.“Landak makan pisang, ubi kayu, buah kelapa sawit, sayur, rumput serta hampas kacang soya.“Kami juga beri makan pelet sekali sekala,’’ katanya sambil menambah ternakan diberi makan dua kali sehari.Landak, kata beliau, diberi makan makanan semula jadi tanpa campuran kimia bagi mengekalkan kualiti dagingnya.Beliau berkata, projek ternakan yang sedang dijalankan sekarang menunjukkan perkembangan positif dengan bantuan pegawai Perhilitan.

Perlu lesen

Menceritakan lanjut bagaimana hasrat menternak itu bermula, Rathuan berkata, pihaknya perlu terlebih dahulu memohon lesen daripada Perhilitan untuk menangkap landak pada kadar yang ditetapkan untuk dijadikan baka.Landak mempunyai tabiat aktif pada waktu malam, makan yang kerap dan aktif mengawan. Seekor landak mampu melahirkan anak antara dua dan tiga ekor sekali beranak.

Landak diternak dengan menggunakan sangkar dinding konkrit dan bahagian depannya besi jeriji dengan setiap sangkar boleh diletakkan seekor atau dua ekor (sepasang).Sementara itu menurut Pengarah Bahtera Ternak, Nurul Azam Haron, mereka yakin jika industri ternakan landak berjaya dilaksanakan, maka daging landak akan lebih popular.

“Kami akan memasarkan daging landak ini sekiranya ternakan mencapai lebih 100 ekor dan menyasarkan jumlah sehingga 1,000 ekor dalam jangka panjang,’’ ujarnya.Menurut Rathuan pula, kawasan tersebut juga akan dimanfaatkan untuk ternakan kambing pada masa akan datang bermula dengan jumlah yang kecil.Menurutnya, penglibatan mereka dalam bidang ternakan bertujuan mahu menyumbang kepada perkembangan industri yang sihat dan sebagai sumber makanan.

Syarikat tersebut boleh dihubungi di talian 012-2132401.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: