Melayu perlu bijak rebut peluang perniagaan

SEREMBAN 2 Nov. – Usahawan bumiputera perlu bijak mengambil peluang perniagaan dan mengubah mentaliti mereka dalam usaha menaikkan taraf ekonomi orang Melayu yang kini masih belum mencapai matlamat yang disasarkan oleh kerajaan.Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Norzam Mohd. Nor berkata, peluang perniagaan bumiputera masih belum diterokai sepenuhnya walaupun agensi kerajaan sedia memberikan pelbagai bantuan termasuk kewangan serta bimbingan.

‘‘Kadang-kadang daripada segi bantuan dan kemudahan memang ada namun mereka gagal merebut peluang yang sedia ada atau lebih tepat hangat-hangat tahi ayam,’’ katanya pada Majlis Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di sini hari ini.Menurutnya, walaupun usahawan tempatan mempunyai kepandaian atau ilmu, kegagalan memanfaatkannya sebaik mungkin akan menyebabkan perniagaan mereka menjadi sia-sia.

Bagaimanapun, katanya, ada juga usahawan bumiputera yang berjaya walaupun bermula dengan perniagaan secara sambilan.‘‘Ini menunjukkan sektor perniagaan mempunyai masa depan yang cukup cerah selain dapat menjana pendapatan kaum bumiputera,” ujarnya.Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengarah MARA negeri, Zainal Abidin Othman.Pada masa yang sama, Norzam berpendapat, adalah wajar sekiranya pihak MARA dapat mengatur langkah dengan memberikan pendedahan kepada usahawan yang berpotensi dengan mengadakan lawatan ke negara luar yang turut mengadakan program seperti itu.

Jelasnya, dengan adanya program sedemikian, ia sekaligus dapat memberikan idea serta semangat kepada mereka untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan agar menerokai pasaran yang lebih luas termasuk industri hiliran.‘‘Kita ambil contoh seperti di negara luar, mereka telah mengamalkan program seperti ini dan kita lihat ia berjaya sehingga menembusi pasaran tempatan.‘‘Ini dapat memberikan rangsangan kepada mereka agar mewujudkan pasaran baru dalam negeri selain mengenengahkan produk mereka di peringkat negeri. Saya yakin ia mampu dilakukan oleh usahawan Melayu,” katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: