Songket indah ditenun
SEREMBAN 2 Nov. - Ramai yang memakai songket tetapi tidak banyak yang mengetahui cara ia dibuat, benang disusun dan coraknya dibentuk.Semua kerja itu memerlukan ilmu, pelajaran dan pemerhatian yang teliti kerana kerja rumit tersebut bukan sahaja memerlukan ketekunan tetapi kesabaran yang tinggi.Perkara itu diperjelaskan salah seorang peserta Promosi Batik dan Tenun Negeri Sembilan, Nurul Hafiza Mat Radzi, 20, berasal dari Melaka.Kata Nurul, dia memahirkan diri menenun songket selama dua tahun ketika belajar di Institut Kraf Negara, Kuala Lumpur dan dalam tempoh pembelajaran itu, dia mampu menghasilkan kain samping dan selendang pelbagai corak dan rupa.
''Orang gemar memakai songket dan ada ketikanya mereka berkata harganya terlalu mahal," katanya di sini hari ini.Tambahnya, jika orang memandang pada harga maka mereka sebenarnya gagal menilai seni tenunan songket kerana ia mencorakkan jiwa pemakai terhadap penilaian tinggi hasil kraf negara.''Ini adalah promosi pertama yang saya hadiri dan sepanjang tempoh pembelajaran, saya telah menghasilkan 12 songket terdiri daripada songket samping dan selendang," katanya sambil menghayun alatan 'kek' tenunan Terengganu.
Kata Nurul, untuk membuat songket samping, dia memerlukan kerja tenunan sepanjang dua setengah meter manakala selendang pula melibatkan tenunan songket sepanjang dua meter.
''Untuk menyiapkan satu songket kadang kala ia mengambil masa sehingga sebulan bergantung pada jenis corak, penggunaan benang dan ketelitian dalam kerja," katanya.Jelasnya, harga bagi samping kadang kala dijual serendah RM600 hingga RM30,000, manakala selendang pula dijual pada harga RM500 hingga RM2,000.''Songket buatan Malaysia bermutu dan sebab itulah permintaan terhadap hasil kraf ini begitu tinggi dan mendapat permintaan yang baik daripada pembeli di luar negara," katanya yang bekerja di syarikat tekstil batik Fauzai Mekar Enterprise di Melaka.Mengenai pemilihan corak ke atas tenunan songket, Nurul menjelaskan ia juga bergantung pada keperluan ketika ini dan permintaan pembeli.''Setiap corak yang dibuat mempunyai kaitan dengan pembeli, walaupun kita telah menyediakan corak untuk disiapkan," ujarnya.
Nurul berkata, dia gembira kerana dapat melaksanakan kerja tenunan kerana dapat meningkatkan minat generasi muda terhadap hasil kerja kraf tangan negara.
0 comments:
Post a Comment