Kecacatan bukan halangan jadi usahawan


Mohd. Khairi Othman memberi makan ikan peliharaannya.

Hati ibu bapa mana yang tidak remuk apabila melihat anak yang lahir ke dunia tidak mempunyai sepasang tangan dan kaki sempurna seperti anak lain.Sudah pasti lebih gundah-gulana apabila memikirkan masa depan dan kepayahan yang akan ditempuhi permata hati mereka pada hari-hari mendatang.

Bagi pasangan Othman Ali, 75, dan Juliah Ismail, 71, dari Kampung Tanjong Pulai, Pekan, itulah hakikat yang perlu ditempuhi mereka sepanjang 31 tahun lepas setelah dikurniakan seorang anak kurang upaya (OKU), Mohd. Khairi yang hanya mempunyai tangan sehingga paras siku dan kaki di paras lutut.

Walaupun tidak sempurna seperti insan lain, Mohd. Khairi tidak pernah dididik menangisi akan kekurangannya itu.Hari ini, ibu bapa Mohd. Khairi mampu tersenyum bangga melihat anaknya itu bukan hanya mampu berdikari malah menjadi usahawan akuakultur, satu bidang yang melibatkan banyak aktiviti fizikal.Semuanya bermula pada lapan tahun lepas, apabila Mohd. Khairi dipujuk sepupunya, Abdul Rashid Nordin agar menternak ikan dalam sangkar di tepi Sungai Pahang.

Meminjam

Beliau, yang memang gemarkan aktiviti memancing, kemudian bersetuju dan meminjam sebuah sangkar daripada sepupunya itu untuk menternak ikan tilapia.Berkat usaha gigihnya tanpa mengenal jemu, pada hari ini Mohd. Khairi berjaya memiliki 17 sangkar dengan ternakan ikan talapia dan patin hasil usaha gigihnya selama ini.Beliau berkata, antara 600 dan 700 kilogram ikan bernilai kira-kira RM4,000 dapat dijual di pasar sekitar Pekan pada setiap pusingan hasil iaitu lima bulan sekali.

Mungkin pendapatan yang puratanya kira-kira RM800 sebulan itu tidak berskala besar, namun bagi insan istimewa seperti Mohd. Khairi, ia cukup bermakna dalam membantu kehidupannya sekeluarga.Rutinnya, Mohd. Khairi akan berkerusi roda dari rumahnya sebelum menuruni anak tangga ke sangkar ikan menggunakan kedua-dua lengan dan pehanya.Beliau kemudian memberi makan ikan dengan mengepit bekas berisi makanan ikan (palet), malah kadangkala mengangkat sendiri guni berisi makanan itu ke setiap sangkar ikan.Beliau juga terpaksa membersih kawasan sangkar daripada sampah sarap yang hanyut ke kawasan sangkar bagi mengelak ikan ternakannya mati.

Aktiviti itu dilakukannya setiap pagi dan petang.

“Dengan keadaan fizikal macam ini, memang banyak cabaran perlu ditempuhi tetapi saya sudah biasa sejak kecil,” kata Mohd. Khairi ketika ditemui di sini.Bagaimanapun, menurut Mohd Khairi, pada setiap pusingan hasil, beliau akan dibantu beberapa saudara dan rakannya untuk mengeluarkan ternakan ikan berkenaan untuk jualan.

Seorang lagi pemuda OKU, Mohamed Mahidin, 38, dari Kampung Kiambang, Ganchong di sini juga tidak menjadikan kecacatan sebagai halangan untuk menjadi penternak ikan sangkar yang berjaya.Bekas pemenang pingat perak acara lompat tinggi pada kejohanan Sukan Paralimpik Asia 1998 di Bangkok, Thailand, itu kini berjaya mengusahakan 18 sangkar ikan talapia dan patin.Beliau yang mengalami kecacatan di kaki kanan, berkata, penglibatannya dalam bidang akuakultur sejak enam tahun lepas membawa pulangan antara RM1,000 dan RM1,500 sebulan.

Katanya, hasil ternakan tersebut mendapat permintaan tinggi daripada pengguna terutama di pasar besar Kuantan.Ditanya kesukaran yang dihadapinya bagi menjayakan projek itu, Mohamed berkata, beliau akan sedaya upaya berusaha mengatasi segala masalah.“Lagipun saya memang dibesarkan di kawasan kampung, sudah biasa bermain sungai," katanya.

Namun, katanya, cabaran yang paling besar ialah setiap kali musim banjir yang memaksanya memberhentikan sementara aktiviti penternakan ikan.Kedua-dua pemuda berkenaan seperti usahawan lain, juga menyimpan hasrat memajukan perniagaan masing-masing.Dengan kerahan keringat bagi menjayakan perusahaan sangkar ikan tersebut, usaha Mohd. Khairi dan Mohamed telah mendapat perhatian Jabatan Perikanan .

Pada 23 Oktober lepas, kedua-dua pemuda berkenaan telah menerima bantuan menerusi Skim Perkhidmatan Sokongan Akuakultur (SPeKs) yang disampaikan sendiri oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Akuakultur Jabatan Perikanan, Ismail Abu Hassan.Skim berkenaan bertujuan meringankan beban kewangan serta meningkatkan pendapatan pengusaha akuakultur melalui penyediaan infrastruktur dan kemudahan sokongan.

Bagi Mohd. Khairi bantuan tersebut akan dapat mempertingkatkan pengeluaran hasil ternakannya pada masa akan datang.“Penambahan sangkar ikan memerlukan modal yang besar dan bantuan ini pasti membantu," katanya.Bagi Mohamed, beliau bercadang mengembangkan aktiviti ternakan ikan sangkarnya kepada industri hiliran dengan menghasilkan produk sejuk beku, pekasam dan keropok.Katanya, melalui pemerhatian yang dilakukannya, kesemua produk berkenaan kini semakin diminati dan mendapat permintaan yang baik di pasaran seluruh negara.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Siswazah tekad ternak landak



Menternak landak? Biar betul? Mungkin itu adalah respons yang akan diberikan oleh orang ramai sambil mengerut dahi jika kita memberitahu mereka yang kita telah melibatkan diri dalam ternakan landak.

Ketika ramai yang memilih menternak haiwan yang menjadi makanan pilihan orang atau sajian harian seperti ayam, lembu atau kambing, menjadikan landak sebagai komoditi ternakan, sememangnya mengundang persoalan.

Apatah lagi, landak merupakan haiwan eksotik dan dilindungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan adakah menternaknya juga merupakan satu kesalahan?Sebenarnya, walaupun landak bukan merupakan makanan popular tetapi harga makanan berasaskan haiwan itu seperti sup dan daging segarnya agak mahal.Dilaporkan bahawa semangkuk sup daging landak mampu mencecah RM10 dan pasaran daging segarnya mencecah RM60 sekilogram.Pernah seseorang memberitahu yang daging landak manis dan lembut, kadangkala rasanya seperti daging arnab.Namun, itu pendapat mereka yang pernah menikmati daging landak tetapi bagi yang cerewet kepada makanan, barangkali tanggapan daging landak sedap sukar dipercayai.Masalah lain ialah berkaitan satu mitos yang mengatakan bahawa duri landak akan dilepaskan ke arah mana-mana objek yang mengancamnya sedangkan tidak ada bukti ia benar-benar pernah berlaku.

Ia hanya mengembangkan durinya yang dikatakan berjumlah 30,000 pada setiap ekor apabila terancam dengan menadah bahagian belakang apabila diancam.Selain itu, dengan mengetahui bahawa landak atau nama saintifiknya Hystrix bracyura adalah haiwan yang tergolong dalam keluarga tikus, mungkin ramai yang tidak sanggup mendekati haiwan ini apatah lagi menternaknya.Bagi sesetengah orang, itu semua tidak menjadi masalah kerana ternakan landak adalah dibolehkan dan daging landak juga tidak diharamkan oleh agama.Namun landak, yang mempunyai banyak jenis namun spesies yang popular ialah landak raya dikatakan sukar untuk melahirkan anak kerana mempunyai masalah pembiakan.Biasanya seekor landak betina jenis landak raya beranak lima kali dalam tempoh dua tahun dengan jumlah antara seekor atau dua ekor sekali beranak.Dengan sifat pembiakan yang demikian dan minat orang ramai yang masih rendah, maka ia dijadikan sebagai satu cabaran kepada sebuah syarikat penternakan bumiputera untuk mencuba projek ternakan tersebut.

Tujuh siswazah

Syarikat terbabit, Bahtera Ternak yang sudah memulakan ternakan landak awal tahun ini dianggotai tujuh siswazah Universiti Putra Malaysia (UPM), bertekad mempopularkan ternakan landak sebagai industri baru dan hidangan berkhasiat pada masa akan datang.

Mereka memperoleh permit daripada Perhilitan pada November tahun lalu selepas membentangkan kertas kerja cadangan menternak landak.Mereka berpendapat mampu mengharungi cabaran memajukan projek penternakan landak tersebut dengan bantuan Perhilitan kerana mempunyai pengalaman dalam bidang ternakan.Dengan modal awal sebanyak RM120,000, mereka yang berkelulusan dalam pelbagai bidang termasuk arkitek, pertanian menaruh azam yang kuat untuk menjayakan projek tersebut.

Dengan segenggam tekad, mereka membuka kawasan ternakan seluas 0.8 hektar (dua ekar) di Kampung Kapal, Lenggeng, Negeri Sembilan.Kawasan tersebut dibangunkan dengan pelbagai kemudahan yang bersesuaian untuk menjalankan projek ternakan termasuk membina tujuh unit rumah pekerja, dua unit paddock, dan kandang untuk menempatkan 66 ekor landak.

Menurut Pengerusi Bahtera Ternak, Rathuan Md. Som, meskipun kesemua rakan kongsi mempunyai pekerjaan tetap, mereka komited dan sepakat untuk menjadikan projek ternakan landak tersebut berdaya maju.“Ia berdasarkan ternakan ini belum diterokai sepenuhnya dan setakat ini hanya ada tiga atau penternak yang melibatkan diri.

“Berdasarkan kajian kami dan bantuan Perhilitan, daging landak mempunyai khasiat pemakanan yang tinggi,’’ ujarnya.Harga daging landak menjadi tinggi kerana ia dikatakan mendapat tempat di pasaran Hong Kong, China, Singapura dan Thailand.Berdasarkan faktor-faktor tersebut, pihaknya yakin ia mempunyai prospek cerah untuk dimajukan.Tambahan pula pengurusan ternakan landak tidak terlalu rumit.“Landak makan pisang, ubi kayu, buah kelapa sawit, sayur, rumput serta hampas kacang soya.“Kami juga beri makan pelet sekali sekala,’’ katanya sambil menambah ternakan diberi makan dua kali sehari.Landak, kata beliau, diberi makan makanan semula jadi tanpa campuran kimia bagi mengekalkan kualiti dagingnya.Beliau berkata, projek ternakan yang sedang dijalankan sekarang menunjukkan perkembangan positif dengan bantuan pegawai Perhilitan.

Perlu lesen

Menceritakan lanjut bagaimana hasrat menternak itu bermula, Rathuan berkata, pihaknya perlu terlebih dahulu memohon lesen daripada Perhilitan untuk menangkap landak pada kadar yang ditetapkan untuk dijadikan baka.Landak mempunyai tabiat aktif pada waktu malam, makan yang kerap dan aktif mengawan. Seekor landak mampu melahirkan anak antara dua dan tiga ekor sekali beranak.

Landak diternak dengan menggunakan sangkar dinding konkrit dan bahagian depannya besi jeriji dengan setiap sangkar boleh diletakkan seekor atau dua ekor (sepasang).Sementara itu menurut Pengarah Bahtera Ternak, Nurul Azam Haron, mereka yakin jika industri ternakan landak berjaya dilaksanakan, maka daging landak akan lebih popular.

“Kami akan memasarkan daging landak ini sekiranya ternakan mencapai lebih 100 ekor dan menyasarkan jumlah sehingga 1,000 ekor dalam jangka panjang,’’ ujarnya.Menurut Rathuan pula, kawasan tersebut juga akan dimanfaatkan untuk ternakan kambing pada masa akan datang bermula dengan jumlah yang kecil.Menurutnya, penglibatan mereka dalam bidang ternakan bertujuan mahu menyumbang kepada perkembangan industri yang sihat dan sebagai sumber makanan.

Syarikat tersebut boleh dihubungi di talian 012-2132401.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Harga Minyak Bukan Penentu Tetapi Pengusaha Menjadikan ia faktor.


KENAIKAN harga barang tidak bergantung sepenuhnya kepada turun naik harga petrol.

SESUATU yang pasti tentang harga barangan keperluan di negara ini, sekali ia dinaikkan, adalah sangat sukar untuk harga barang itu kembali kepada paras asal, jauh sekali untuk menjadi lebih murah. Sebab itu biarpun selepas lima kali kerajaan menurunkan harga minyak, orang ramai terpaksa merayu kepada peniaga untuk mengotakan janji dan mengikut langkah kerajaan dengan turut menurunkan harga barangan keperluan.Ramai yang menyimpulkan kedegilan peniaga menurunkan harga barangan itu kerana penguatkuasaan oleh kementerian berwajib tidak tegas atau hanya bermusim sehingga peniaga tidak takut untuk menentukan dan mengawal harga di pasaran.

Namun benarkah harga barangan itu sepenuhnya bergantung kepada harga minyak sehingga peniaga dapat mengurangkannya setiap kali kerajaan mengumumkan harga petrol yang lebih rendah?Dalam dunia perniagaan yang banyak ditentukan oleh penawaran dan permintaan, minyak atau kos pengangkutan sebenarnya hanyalah sebahagian daripada faktor yang menentukan harga barang. Selain minyak, peniaga terpaksa mengambil kira pelbagai faktor atau kos lain yang mempengaruhi harga barangan seperti bekalan, kuantiti, kualiti, kadar sewa serta banyak lagi.

Memang secara logik akalnya dalam situasi seperti ketika ini, peniaga perlu menurunkan harga barang yang melambung tinggi selepas kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen pada 5 Jun lalu. Namun, kenaikan petrol itu hanyalah alasan kepada peniaga yang sudah lama menantikan peluang untuk menaikkan harga, kerana tidak mahu dilihat terlalu menindas pengguna dan menentang kerajaan.

Maka dengan penurunan terbaru harga petrol sebanyak 15 sen bermula semalam, pengguna sebenarnya tidak diberi jaminan untuk menyaksikan penurunan harga barang yang boleh dianggap sebagai munasabah selepas ini.Tindakan peniaga yang menaikkan harga barang dan selesa dengan keadaan itu adalah disebabkan mereka menyedari adanya permintaan yang tinggi dan berterusan daripada pengguna.Ini secara tidak langsung memberi gambaran bahawa harga barangan keperluan berkait rapat dengan tingkah laku pengguna yang berinteraksi dengan peniaga terutamanya dalam konteks tawar menawar barangan keperluan tersebut.Maka di sinilah pengguna seharusnya memainkan peranan dan menunjukkan kuasa serta kebijakan mereka dalam berbelanja. Seboleh yang mampu, pengguna perlu mengawal perbelanjaan dengan tidak membeli barangan tersebut ketika ia dijual pada harga yang tinggi.Keadaan itu akan mewujudkan lambakan barangan di pasaran sekali gus memaksa peniaga menurunkan harga untuk memastikan barangan tersebut terjual. Bagaimanapun peranan pengguna ini secara teori sememangnya kedengaran sangat mudah, tetapi untuk menggerakkannya agak sukar apatah lagi jika ia membabitkan keperluan harian seperti beras, susu, sayur-sayuran dan sebagainya.

Peranan

Namun, ia boleh dijayakan sekiranya usaha itu digembleng dengan meluas, termasuk dengan peranan persatuan-persatuan pengguna, media cetak dan elektronik seterusnya di kalangan pengguna sendiri secara massa.Betapa pengguna memainkan peranan yang penting seperti yang dijelaskan oleh pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk, kerana mereka merupakan kumpulan yang berinteraksi dengan peniaga.

Tingkah laku pengguna, katanya, mempengaruhi harga barangan keperluan dan pengguna seharusnya dengan kuasa yang dimiliki menggunakannya untuk menentukan harga barangan di pasaran.''Apabila berlaku satu proses tawar-menawar dalam konteks harga pasaran, maka akan timbul keseimbangan yang mana harga barangan keperluan akan ditentukan oleh harga pasaran," katanya.

Dalam aspek bekalan barang keperluan ketika ini juga, dapat diperhatikan barangan-barangan tertentu hanya ditawarkan oleh beberapa pihak sahaja, yang secara tidak langsung turut mempunyai kuasa dalam menetapkan harga.Malah, beberapa barangan keperluan yang diimport juga dikenakan sekatan-sekatan tertentu yang menyukarkan kemasukannya secara besar-besaran menyebabkan harga barangan mahal kerana bekalan yang terhad.Dari satu sudut, sekatan ke atas import barangan keperluan secara lebih meluas itu menguntungkan industri tempatan kerana ia boleh diibaratkan satu perlindungan kepada survival mereka oleh kerajaan.Namun dari sisi yang lain, ia tidak memberi kelebihan kepada pengguna yang perlu membeli barangan tersebut pada harga yang ditetapkan oleh pengimport selain tidak mempunyai banyak pilihan.

Persaingan secara terbuka itu secara tidak langsung mengelak daripada berlakunya monopoli pasaran oleh sesetengah pihak, di samping mewujudkan persaingan di kalangan pemborong terutamanya dari sudut tawaran harga dan kepelbagaian barangan.Malah bagi industri tempatan sendiri, import barangan keperluan yang lebih terbuka itu secara tidak langsung akan menggerakkan industri berkenaan secara lebih agresif dalam memastikan produk mereka kekal bersaing dengan produk luar negara.Begitu juga dalam memastikan bekalan barangan keperluan sentiasa mencukupi, kerajaan perlu memperluaskan sumber dan tidak hanya bergantung kepada negara tertentu semata-mata.

Ini bagi memastikan bekalan tersebut mampu menampung permintaan seterusnya mengelak daripada berlakunya manipulasi harga oleh pihak-pihak tertentu.Proses liberalisasi pasaran itu juga secara sendiri akan menjelaskan bahawa penetapan harga siling seperti dalam mekanisme yang dilaksanakan kerajaan ketika ini sebenarnya adalah tidak perlu.Ini kerana tambah Azeem Fazwan, penetapan harga siling oleh kerajaan itu secara tidak langsung turut mempengaruhi kenaikan harga barang kerana ia tidak ubah seperti satu bentuk sekatan kepada turun naik harga barang itu sendiri.Malah, di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Jepun misalnya, barangan keperluan ditentukan harganya oleh pasaran dan bukannya ditetapkan oleh kerajaan mengikut harga siling tertentu.

''Kerajaan dalam memastikan peniaga mematuhi harga siling itu juga memerlukan tenaga penguatkuasaan yang besar sedangkan anggota penguatkuasa itu tidak boleh berada di semua tempat. Justeru, kemungkinan kepada peniaga untuk tidak mematuhi harga siling itu sentiasa terbuka," katanya.Dalam menjejak punca kenaikan harga barang itu juga, pastinya ramai yang bersetuju bahawa rantaian bekalan yang terlalu panjang bermula daripada pengeluar sehingga ke pengguna turut memacu kepada kenaikan harga barang.Ibarat lagu Bangau oh Bangau, peniaga akan menyalahkan pemborong, pemborong akan menyalahkan pengeluar dan begitulah seterusnya dalam mewajarkan kenaikan harga barangan.

Keadaan itu boleh dielakkan sekiranya kehadiran 'orang tengah' dalam rantaian bekalan tersebut dikurangkan dengan kerajaan tidak mengeluarkan lesen atau permit perniagaan kepada golongan yang jelas mendapat keuntungan atas angin.Sebaliknya, kerajaan dalam mengurangkan rantaian bekalan itu perlu menubuhkan satu rangkaian khusus yang memudahkan pengeluar untuk memasarkan barangan mereka secara terus kepada pengguna. Konsep sebegitu dalam mengawal permainan harga misalnya, sudah dibuktikan berkesan dalam memasarkan produk pertanian seperti pembukaan pasar-pasar basah atau pasar tani.Namun, bagaimana mekanisme itu dapat diperluaskan dalam memasarkan barangan keperluan lain seperti beras, minyak masak, susu dan sebagainya yang rantaiannya lebih kompleks, memerlukan kajian menyeluruh daripada kerajaan.

Antara yang difikirkan wajar adalah kehadiran agensi kerajaan sendiri dalam rantaian bekalan barangan itu dengan matlamat untuk mengurangkan harganya seperti peranan yang dimainkan oleh FAMA misalnya.Hakikatnya, kemelut harga barangan ini bukanlah sesuatu yang terlalu rumit untuk diselesaikan. Sebaliknya apa yang perlu dilakukan ialah mengenalpasti punca yang menyebabkan harga barangan keperluan itu begitu mudah berubah-ubah dan ditentukan oleh kelompok peniaga.Pastinya, kerajaan dalam mengenalpasti perkara itu juga sudah mempunyai mekanisme yang kukuh sementelah kawalan harga barangan keperluan kini terletak di bawah pengawasan Majlis Harga Negara dan Majlis Ekonomi.Dua badan ini antara lain bertanggungjawab dalam soal pasaran, harga, bekalan dan langkah-langkah dalam memastikan rakyat tidak dibebani dengan masalah kenaikan harga serta kekurangan bekalan keperluan asas.

Harapan pengguna, kerajaan dalam menawarkan mekanisme berkesan dalam mengawal dan menentukan harga barang itu tidak memerlukan masa yang panjang sementelah dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan rakyat berbelanja ketika ini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Ubi Kayu satu lagi hasil asas tani yang wajar dimajukan.


Fong Yew Loong menunjukkan ubi kayu hasil keluaran ladangnya di Sungai Tiram, Johor Bahru, semalam.
- Gambar RAJA JAAFAR ALI


JOHOR BAHRU 18 Nov. - Untuk mendapat hasil yang baik, ubi kayu yang diusahakan sebagai tanaman kontan biasanya boleh dituai antara sembilan hingga 12 bulan selepas ditanam.

Bagaimanapun, Fong Yew Loong, 23, terpaksa menuai atau mencabut ubi tersebut ketika usia enam bulan.

Menurut pengusaha yang lebih dikenali sebagai Ah Loong ini, tanaman itu terpaksa dituai sebelum tempoh matang kerana kebun ubi kayu miliknya sering diserang babi hutan.

"Sejak saya tanam ubi kayu enam bulan lalu, tanaman tersebut belum pernah diserang penyakit tapi sering diganggu babi hutan.

"Binatang ini seakan-akan boleh hidu pokok yang elok untuk diserang. Kalau setakat racun, sudah beberapa kali saya bubuh. Mula-mula bubuh racun, adalah seekor dua yang terkena. Lepas itu, binatang itu tidak akan makan lagi umpan tersebut," katanya.

Ah Loong yang ditemui Utusan Malaysia di ladangnya di Kampung Nam Heng, Ulu Tiram dekat sini berkata, selain memasang perangkap, dia juga menggunakan radio untuk menghalau binatang berkenaan.

Menghalau

Radio tersebut akan berbunyi setiap setengah jam sekali untuk menghalau babi hutan daripada memasuki kawasan ladangnya."Saya sudah tetapkan waktu untuk radio berbunyi. Kalau ada bunyi-bunyian, binatang-binatang itu takut sikit. Tapi ada masanya, radio saya pun kena sondol," katanya.Disebabkan serangan binatang liar tersebut, tanamannya tidak boleh dibiarkan hingga tempoh matang bagi mendapat hasil ubi yang lebih besar.Katanya, walaupun ubi kayu mudah hidup namun ia perlu dibaja dengan baja organik (tahi ayam) untuk memastikan tanaman tersebut subur dan mampu mengeluarkan hasil yang baik.

Untuk tanaman seluas empat hektar, Ah Loong memerlukan tiga hingga lima tan metrik baja organik bagi setiap kali pembajaan dilakukan.Baja-baja tersebut dibeli dengan harga RM200 sekampit dan digunakan untuk empat kali setahun.Dia yang menanam ubi kayu jenis putih dan benihnya dibeli dari Simpang Renggam berkata, projek tanaman tersebut dilaksanakan dua tahun sahaja.

Jelasnya, projek tanaman kontan tersebut diusaha sementara menunggu ladang kelapa sawit milik keluarganya seluas 32.3 hektar mengeluarkan hasil."Bagi saya, apa sahaja yang boleh mendatangkan hasil pasti saya usahakan kerana kalau kita berbakti pada tanah, hasilnya amat memberangsangkan jika kita bekerja keras," kata anak keempat daripada lima beradik itu.Biarpun tanaman ubi kayu di ladangnya baru dituai beberapa kali, namun dia sudah ada pelanggan tetap.Katanya, ubi kayu tersebut dicabut dua kali sehari berdasarkan permintaan pelanggan."Selalunya saya hantar ubi-ubi itu ke Pasar Larkin dan pasar raya Smart Pandan. Sebelum hantar, saya tanya dulu berapa banyak mereka mahu.

"Kerap juga saya hantar enam guni. Satu guni beratnya lebih kurang 50 kilogram dan ubi kayu putih ini sesuai dibuat kerepek," katanya sambil memberitahu harga pasaran ubi kayu di pasaran kira-kira RM1 sekilogram.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Kerajaan Melaka Mahukan Kraft Songket & Batik Maju di Melaka.

MELAKA 18 Nov. - Kerajaan negeri menyambut baik usaha sebuah syarikat kraf yang mengusahakan perniagaan tenunan songket untuk mencipta songket bermotif bunga kesidang yang menjadi bunga rasmi negeri ini.Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Seet Har Cheow berkata, hasrat syarikat Fauzai Mekar Enterprise itu seharusnya dipuji terutamanya dalam usaha mencipta satu identiti kraf yang menjadi simbol jenama bagi negeri Melaka."Ia amat bertepatan seperti disarankan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam semalam supaya pelancong di Melaka tidak hanya mengenali Melaka dengan cencaluk, belacan dan dodol tetapi satu bentuk kraf lain yang boleh diingati mereka.

"Tidak salah Melaka ada songketnya sendiri sama seperti Kelantan dan Terengganu, asalkan ada kelainan dan mencerminkan identiti Melaka," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.Melalui cara itu, menurut Har Cheow, produk pelancongan Melaka juga akan bertambah baik dan berkembang pesat seterusnya menambah bilangan pelancong ke Melaka."Sebagai sebuah Bandaraya Warisan Dunia, lazimnya pelancong juga akan memikirkan untuk mencari produk berasaskan kraftangan dan songket serta batik tentunya menjadi pilihan yang tepat.

"Saya juga akan memikirkan usaha yang boleh disumbangkan kerajaan negeri untuk membantu kraf batik dan songket ini," katanya.Sementara itu, penenun songket, Nurul Hafiza Mat Radzi, 20, berkata, pekerjaan sebagai penenun songket adalah satu bidang yang jarang diceburi golongan muda jika tidak mempunyai minat yang mendalam."Untuk mengendalikan 'kek tenun', ia memerlukan tahap kesabaran dan kemahiran yang tinggi."Saat paling menggembirakan ialah apabila melihat orang lain memakai songket yang saya tenun sendiri," katanya.

Bagi Siti Sabrina Mohd. Jamil, 20, pekerjaan sebagai penenun perlu mempunyai minat yang mendalam."Saya pernah bercakap dengan kek tenun kerana ia meragam membuatkan hasil tenunan saya tidak memuaskan."Bagi saya, pekerjaan ini adalah sesuatu yang unik dan menarik untuk diceburi," katanya yang juga bercita-cita mempunyai perniagaan songket suatu hari nanti," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Usahawan Melaka hasilkan Songket & Batik Melaka.


ANTARA produk songket yang telah siap dihasilkan oleh Fauzai Mekar yang kini berada di pasaran.


MELAKA 18 Nov. - Sebut sahaja perkataan songket, pasti ramai di antara kita akan mengaitkannya atau teringat dengan golongan pembesar dan bangsawan istana zaman dahulu.

Fabrik tradisional yang membawa maksud membawa keluar atau menarik benang daripada kain atau menenun menggunakan benang emas atau perak ini mengikut sejarahnya adalah lambang kemegahan golongan tersebut.

Ia memperlihatkan kehalusan kerja tangan orang Melayu terserlah melalui motif-motif pada kain songket.Bagaimanapun, usaha untuk memartabatkan songket tidaklah semudah batik yang telah melalui proses pembaharuan yang telah diterimapakai secara meluas.Mungkin kerana harganya yang jauh lebih mahal berbanding batik, iaitu antara RM180 hingga belasan ribuan ringgit sehelai bergantung kepada saiz dan motif, membuatkan songket hanya menjadi pilihan golongan tertentu.

Namun, berkat minat yang mendalam terhadap kesenian hasil songket membuatkan, Mohd. Fauzi Muhammad, 27, yang menjalankan perniagaan songket dan batik melalui syarikatnya, Fauzai Mekar Enterprise, serius dalam bidang yang jarang diceburi golongan muda ini.

Apa yang jelas, usia yang baru dua tahun menceburi bidang ini tidak menjejaskan cita-citanya untuk memperluaskan pandangan umum songket yang kebanyakannya dihasilkan di Kelantan dan Terengganu.Fauzi bercita-cita mencipta Songket dan batik Melaka menggunakan bunga kesidang yang menjadi bunga rasmi Melaka sebagai motif fabrik bermutu tinggi."Selalunya, bila sebut batik atau songket, orang akan terfikir ia produk Kelantan dan Terengganu sahaja."Saya mahu menjadikan Melaka juga sebagai pengeluar batik dan songket terkenal dengan identiti Melaka," katanya kepada Utusan Malaysia di bengkel songketnya di Kraftangan Malaysia Melaka, Kawasan Perindustrian Klemak, Alor Gajah di sini hari ini.

Menurutnya, berbeza dengan songket berasal dari Pantai Timur, songket Melaka akan menggunakan motif bunga kesidang.Begitu juga dengan batik yang lebih terarah kepada motif abstrak berbanding batik bermotif bunga-bungaan dari Kelantan dan Terengganu."Sepanjang dalam bidang ini, banyak maklum balas positif yang saya terima supaya dapat melahirkan songket Melaka dan menjadikannya terkenal seperti songket-songket lain."Kalau segalanya berjalan lancar, insya-Allah saya bercadang untuk melancarkan batik dan songket Melaka dan menjadikannya terkenal seperti batik-batik lain," katanya yang turut mempunyai bengkel mencanting batik di Kampung Morten, Jalan Tun Ali di sini.

Pemuda lulusan Diploma Muzik dari Akademi Seni Warisan Negara (Aswara), Kuala Lumpur ini, turut mengakui, usaha meneruskan perniagaan itu yang dicetuskan tunangnya, Zaihasra Zainal Abidin, 23, bukanlah sesuatu yang mudah.Jelas Fauzi, dia juga telah mengeluarkan modal permulaan sebanyak RM75,000 untuk memulakan perniagaan batik dan songket."Saya juga telah membeli empat buah 'kek tenun' yang digunakan untuk menenun songket berharga RM3,500 setiap satu.

"Dengan jumlah sebanyak itu, saya cuma boleh menghasilkan empat helai songket berukuran 2.5 meter sebulan dengan bantuan empat pekerja," katanya sambil menambah tempoh menghasilkan songket bergantung kepada benang digunakan, saiz dan motif.Jelas Fauzi, harga songket juga ditentukan mengikut benang digunakan sama ada benang emas, sutera ataupun polyster, motif, sama ada bunga penuh ataupun bunga tabur.Mengenai fesyen pula, Fauzi memberitahu, ia tidak terbatas kepada samping sahaja tetapi juga baju kurung, kebaya, baju Melayu, skaf dan juga selendang.Mereka yang berminat mencuba sentuhan batik dan songket Fauzai Mekar bolehlah menghubungi talian 012-6189394.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Marzuki pelopor tapai segar dalam bungkusan plastik


MARZUKI Abdul Rahman menunjukkan tapai segar yang dibungkus kemas dalam plastik di bengkelnya di Kampung Terat Batu, Padang Serai, Kulim, barut-baru ini.

KULIM 4 Nov. - Ketika rakan-rakan lain memilih untuk menghabiskan masa bersama keluarga selepas bersara, Marzuki Abdul Rahman pula lebih senang menggunakan ilmu dan pengalaman yang ada untuk menceburi bidang keusahawanan.

Bekas pesara kerajaan yang berusia 59 tahun itu memilih untuk mengusahakan bengkel menghasilkan makanan pencuci mulut iaitu tapai segar di rumahnya di Kampung Terat Batu, Padang Serai dekat sini.Menurut Marzuki, ilham untuk menghasilkan tapai segar timbul setelah didorong oleh ibu bapanya yang sebelum ini menjual kuih itu secara kecil-kecilan.

"Keluarga saya ada pengalaman lebih 50 tahun dalam menghasilkan kuih-muih tradisional termasuk tapai," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.Marzuki memberitahu, dengan bermodalkan wang hasil persaraannya, dia membeli beberapa peralatan asas untuk membuat kuih-muih."Saya cuba bermacam-macam kuih tetapi akhirnya mendapati tapai lebih mudah kerana ia merupakan kuih yang paling sesuai memandangkan belum dipasarkan secara meluas," katanya.

Katanya, tanpa rasa jemu, dia mencuba pelbagai kaedah termasuk mengubahsuai cara pembungkusan produk."Saya ambil masa hampir tiga tahun untuk mencipta bungkusan tapai. Macam-macam cara digunakan termasuk dari daun pisang dan plastik," katanya.Bagaimanapun, Marzuki berkata, pembungkusan produk dengan plastik lebih sesuai kerana tahan lama, bersih dan kelihatan lebih kemas."Sejak menggunakan bungkusan plastik, produk saya mula mendapat perhatian umum.

"Daripada 1,000 bungkusan sebulan, kini ia telah meningkat kepada 8,000 hingga 10,000 bungkus sebulan," katanya.Tambahnya setiap bungkusan tapai seberat 60 gram dijual pada harga 60 sen."Salah satu keistimewaan tapai yang dihasilkan ialah boleh disimpan dalam peti sejuk dalam tempoh panjang iaitu antara dua minggu hingga sebulan tanpa rosak," jelasnya.

Ketika ditanya tentang pantang larang yang perlu dipatuhi ketika menghasil tapai, dia menjelaskan, tiada sebarang larangan seperti yang didakwa oleh kebanyakan pembuat tapai tradisional."Semua dibuat secara sistematik dan peralatan moden. Oleh itu, ia tiada kaitan dengan pantang larang," katanya.Ujar Marzuki, dia kini mampu berbangga kerana tapai segar yang dihasilkan itu pernah ditempah pelbagai agensi kerajaan termasuk dibawa oleh atlet kontinjen Malaysia ke acara Sukan Komanwel di Kanada beberapa tahun lalu."Pelanggan utama saya ialah kalangan pegawai dan anggota polis terutama di Bukit Aman. Sebut saja tapai segar Warisan Jitu, pastinya mereka akan tahu bahawa ia datang dari Kulim," jelasnya.Tambahnya, berkat dan usaha gigihnya itu, Jabatan Pertanian Daerah Kulim pada tahun lalu meluluskan bantuan sebanyak RM35,000 bagi membolehkan beliau meluaskan lagi bengkel membuat tapai.Katanya, dia juga bercadang untuk menceburi bidang menghasilkan ragi pada masa akan datang."Pada masa ini bekalan ragi untuk dibuat tapai amat terhad dan hanya diperoleh daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)," katanya.Dia berkata, penghasilan ragi secara besar-besaran boleh membantu melahirkan ramai lagi usahawan tapai pada masa akan datang.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Ternak kambing susu janji pulangan lumayan


Roslan Atan memerah susu kambing yang dipelihara di kandang berhampiran rumahnya. – Gambar AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU 4 Nov. - Dalam industri pengeluaran makanan, sektor ternakan merupakan satu daripada sumber penghasilan terpenting sama ada melibatkan ayam, lembu atau kambing untuk daging.Namun, satu lagi aktiviti ternakan yang semakin popular ialah kambing tenusu kerana menjanjikan pulangan lumayan.Susu kambing yang kaya dengan pelbagai khasiat seperti protein, asid amino, lemak, karbohidrat, vitamin B12, fosforus dan kalsium dikatakan mampu menyembuhkan penyakit tertentu menjadikan permintaan terhadapnya sentiasa tinggi.Menyedari peluang yang amat cerah dalam industri ternakan kambing tenusu, seorang pemuda, Roslan Atan, 34, memilih bidang itu sebagai mata pencarian sejak 14 tahun lalu."Saya melihat prospek ternakan ini sangat luas dan ia mampu memberi pendapatan lumayan. Hanya usaha dan kerajinan sahaja yang perlu ada," ujar bapa kepada tiga anak lelaki ini.

Menurutnya, pada permulaannya dia membeli baka kambing tenusu di Pasir Tumbuh, Kota Bharu, Kelantan dengan harga RM4,500 untuk lima ekor.Bermula dari itu, jelasnya, ternakannya berkembang sehingga menjadi 10 ekor dan terus membiak sehingga menjadi 160 ekor sekarang.Menurutnya, dia memilih untuk menternak kambing tenusu jenis sadnin kerana ia sesuai dengan persekitaran serta menghasilkan banyak susu.

Dia yang dibantu oleh adik lelakinya memberitahu, setiap seekor kambing mampu menghasilkan dua liter susu sehari.Ceritanya, rutin hariannya bermula pukul 6 pagi untuk memerah susu di reban kambingnya yang terletak 500 meter dari kawasan rumahnya.Katanya, kambing-kambing peliharaannya diberi makan tiga kali sehari dengan makanan yang berbeza.

''Biasanya pada waktu pagi saya beri makanan khas untuk kambing manakala sebelah tengah hari pula diberi pati soya dan petang pula saya beri makan rumput,'' katanya.Menurut Roslan, kambing sebenarnya binatang yang manja dan perlukan belaian seperti manusia.''Setiap minggu, saya akan mandikan kambing menggunakan sabun khas dan syampu supaya haiwan ini bersih," ujarnya.Beliau bersyukur kerana ternakan kambing tenusunya mendapat tunjuk ajar dan khidmat nasihat Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri."Setiap bulan, seorang pegawai dari jabatan ini akan melawat ke ladang saya untuk melihat tahap perkembangan dan kesihatan haiwan ternakan ini," katanya yang turut membuat lawatan ke luar negara untuk mendapat nasihat dan panduan.Selain itu, Roslan turut mendapat nasihat Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) kawasan.Dengan menternak kambing, Roslan mampu hidup senang apabila memperoleh pendapatan sehingga lima angka sebulan.Malah akuinya, susu kambing ternakannya turut ditempah untuk pasaran di negeri ini.

''Saya tidak perlu memikirkan hal pemasaran kerana pemborong menempah sejak awal lagi," ujarnya tersenyum.Menurutnya, walaupun tidak mempunyai kelulusan tinggi, dia puas dan bangga kerana berjaya mengusahakan ternakan kambing tenusu.''Perkara yang paling penting ialah setiap apa yang kita kerjakan mestilah dilakukan dengan bersungguh-sungguh," ujarnya.Selain menternak kambing, Roslan melakukan proses permanian beradas terhadap ternakan lembu.Dia yang pernah memenangi tempat ketiga dalam kategori jurusuntik persendirian untuk proses itu memberitahu telah diberi kepercayaan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri untuk melakukan permanian beradas terhadap lembu.

''Biasanya, mereka yang berhajat untuk membuat kacukan lembu peliharaan akan menghubungi saya untuk proses permanian beradas," ujarnya yang pernah mendapat latihan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Kompleks usahawan tahun depan

KUALA TERENGGANU Kerajaan negeri akan membina Kompleks Usahawan di Kubang Jela, Manir di sini dalam usaha membantu usahawan muda membangun dan mengembangkan perniagaan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Muhamad Awang Tera berkata, kompleks berkenaan akan mula dibina di kawasan seluas empat hektar bermula awal tahun depan.

Menurut beliau, sebanyak RM25 juta telah diperuntukan untuk membina kompleks berkenaan yang dijangka siap pada pertengahan 2010.

''Kompleks yang diletakkan di bawah penyelenggaraan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) itu akan menempatkan pusat penyelidikan dan pembangunan yang akan melakukan kajian terhadap produk-produk usahawan untuk tujuan pengembangan perniagaan.

''Kita juga berharap pembinaan kompleks ini akan memberi semangat untuk lebih ramai rakyat Terengganu terutama golongan muda menjadi usahawan,'' katanya.Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Usahawan Terengganu anjuran YPU di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini malam tadi yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.Mohamad berkata, kompleks itu juga akan menempatkan pelbagai ruang pameran dan blok-blok kedai selain pusat penyelidikan dan pembangunan tersebut.''Antara produk tempatan yang akan dikaji ialah produk batik, makanan dan produk-produk francais,'' katanya.Di majlis berkenaan, pengusaha batik, Noor Arfa Batik dianugerahkan Tokoh Usahawan Terengganu di atas kejayaan dalam membangunkan dan memperluaskan perniagaannya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Songket indah ditenun


Nurul Hafiza Mat Radzi membuat demonstrasi cara menenun songket kepada orang ramai yang datang ke Promosi Batik dan Tenun Negeri Sembilan di Seremban, semalam.

SEREMBAN 2 Nov. - Ramai yang memakai songket tetapi tidak banyak yang mengetahui cara ia dibuat, benang disusun dan coraknya dibentuk.Semua kerja itu memerlukan ilmu, pelajaran dan pemerhatian yang teliti kerana kerja rumit tersebut bukan sahaja memerlukan ketekunan tetapi kesabaran yang tinggi.Perkara itu diperjelaskan salah seorang peserta Promosi Batik dan Tenun Negeri Sembilan, Nurul Hafiza Mat Radzi, 20, berasal dari Melaka.Kata Nurul, dia memahirkan diri menenun songket selama dua tahun ketika belajar di Institut Kraf Negara, Kuala Lumpur dan dalam tempoh pembelajaran itu, dia mampu menghasilkan kain samping dan selendang pelbagai corak dan rupa.

''Orang gemar memakai songket dan ada ketikanya mereka berkata harganya terlalu mahal," katanya di sini hari ini.Tambahnya, jika orang memandang pada harga maka mereka sebenarnya gagal menilai seni tenunan songket kerana ia mencorakkan jiwa pemakai terhadap penilaian tinggi hasil kraf negara.''Ini adalah promosi pertama yang saya hadiri dan sepanjang tempoh pembelajaran, saya telah menghasilkan 12 songket terdiri daripada songket samping dan selendang," katanya sambil menghayun alatan 'kek' tenunan Terengganu.

Kata Nurul, untuk membuat songket samping, dia memerlukan kerja tenunan sepanjang dua setengah meter manakala selendang pula melibatkan tenunan songket sepanjang dua meter.

''Untuk menyiapkan satu songket kadang kala ia mengambil masa sehingga sebulan bergantung pada jenis corak, penggunaan benang dan ketelitian dalam kerja," katanya.Jelasnya, harga bagi samping kadang kala dijual serendah RM600 hingga RM30,000, manakala selendang pula dijual pada harga RM500 hingga RM2,000.''Songket buatan Malaysia bermutu dan sebab itulah permintaan terhadap hasil kraf ini begitu tinggi dan mendapat permintaan yang baik daripada pembeli di luar negara," katanya yang bekerja di syarikat tekstil batik Fauzai Mekar Enterprise di Melaka.Mengenai pemilihan corak ke atas tenunan songket, Nurul menjelaskan ia juga bergantung pada keperluan ketika ini dan permintaan pembeli.''Setiap corak yang dibuat mempunyai kaitan dengan pembeli, walaupun kita telah menyediakan corak untuk disiapkan," ujarnya.

Nurul berkata, dia gembira kerana dapat melaksanakan kerja tenunan kerana dapat meningkatkan minat generasi muda terhadap hasil kerja kraf tangan negara.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Melayu perlu bijak rebut peluang perniagaan

SEREMBAN 2 Nov. – Usahawan bumiputera perlu bijak mengambil peluang perniagaan dan mengubah mentaliti mereka dalam usaha menaikkan taraf ekonomi orang Melayu yang kini masih belum mencapai matlamat yang disasarkan oleh kerajaan.Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Norzam Mohd. Nor berkata, peluang perniagaan bumiputera masih belum diterokai sepenuhnya walaupun agensi kerajaan sedia memberikan pelbagai bantuan termasuk kewangan serta bimbingan.

‘‘Kadang-kadang daripada segi bantuan dan kemudahan memang ada namun mereka gagal merebut peluang yang sedia ada atau lebih tepat hangat-hangat tahi ayam,’’ katanya pada Majlis Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di sini hari ini.Menurutnya, walaupun usahawan tempatan mempunyai kepandaian atau ilmu, kegagalan memanfaatkannya sebaik mungkin akan menyebabkan perniagaan mereka menjadi sia-sia.

Bagaimanapun, katanya, ada juga usahawan bumiputera yang berjaya walaupun bermula dengan perniagaan secara sambilan.‘‘Ini menunjukkan sektor perniagaan mempunyai masa depan yang cukup cerah selain dapat menjana pendapatan kaum bumiputera,” ujarnya.Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengarah MARA negeri, Zainal Abidin Othman.Pada masa yang sama, Norzam berpendapat, adalah wajar sekiranya pihak MARA dapat mengatur langkah dengan memberikan pendedahan kepada usahawan yang berpotensi dengan mengadakan lawatan ke negara luar yang turut mengadakan program seperti itu.

Jelasnya, dengan adanya program sedemikian, ia sekaligus dapat memberikan idea serta semangat kepada mereka untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan agar menerokai pasaran yang lebih luas termasuk industri hiliran.‘‘Kita ambil contoh seperti di negara luar, mereka telah mengamalkan program seperti ini dan kita lihat ia berjaya sehingga menembusi pasaran tempatan.‘‘Ini dapat memberikan rangsangan kepada mereka agar mewujudkan pasaran baru dalam negeri selain mengenengahkan produk mereka di peringkat negeri. Saya yakin ia mampu dilakukan oleh usahawan Melayu,” katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Dulu buruh kasar kini usahawan berjaya


Sabdin Osman (tengah) bersama empat orang anaknya menunjukkan mesin cetakan tangan pertama yang digunakan pada awal penglibatan dalam peniagaan percetakan di kilang percetakannya di Kawasan Perindustrian Bukit Katil, Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 2 Nov. – Siapa yang tidak mengenali syarikat Percetakan Surya Sdn. Bhd., yang sememangnya sinonim di kalangan rakyat di negeri Hang Tuah ini.

Sebut sahaja Percetakan Surya, pasti terbayangkan raut wajah Sabdin Osman, 73, sambil dikelilingi anak-anaknya yang juga teman sekerja paling rapat beliau, sekali gus penggerak kepada syarikat yang beliau tubuhkan sejak 30 tahun dulu.

Namun, perniagaan keluarga Sabdin yang ada pada hari ini tidak berdiri dalam sekelip mata.

Ini kerana pemilik dan juga Pengerusi syarikat itu, Sabdin bermula sebagai peniaga kecil-kecilan dengan modal wang simpanan sendiri yang berjumlah RM100.‘‘Saya mula membuat perniagaan percetakan ini dengan modal sendiri dengan mengusahakannya di rumah secara tradisional menggunakan sebuah mesin cetak tangan.

‘‘Ketika itu, saya hanya berusia belasan tahun tetapi sudah mula jatuh cinta pada kerja-kerja percetakan ini. Habis sekolah, saya membuat pelbagai kerja termasuk menjual surat khabar dan mencuci lantai di kilang percetakan waktu saya bekerja sambilan di situ,” katanya di sini baru-baru ini.Ketika diminta bercerita lanjut mengenai sejarah awal penglibatan Sabdin dalam industri itu, katanya, dia sanggup menjadi budak suruhan oleh pemilik tempat kilang percetakan ketika bekerja sambilan semata-mata mahu menimba ilmu.Beliau percaya hanya melalui kerja keras, penderitaan, kesungguhan dan kegigihan dapat merealisasikan impiannya itu.‘‘Pada waktu itu, satu sahaja niat saya iaitu membuka sebuah syarikat percetakan sendiri. Alhamdulillah, pada hari ini, akhirnya saya boleh berbangga dengan kejayaan ini,” katanya.

Selepas puas menimba ilmu dan pengalaman, beliau tidak mahu lagi menoleh ke belakang dan segera memulakan perniagaan itu secara kecil-kecilan, bermula di rumah dan kemudiannya menyewa sebuah kedai di Bukit Beruang.‘‘Selepas itu, saya dipelawa oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (pada waktu itu Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian negeri) untuk membesarkan lagi perniagaan kerana yakin dengan potensi syarikat.‘‘Ketua Menteri kemudiannya menawarkan tanah di kawasan Industri Bukit Katil yang mana pada hari ini terus bertapak di sini,” katanya.Anak kelahiran Bukit Baru itu berkata, walaupun kejayaannya itu tidak seberapa namun dia berbangga kerana dapat membina syarikatnya itu tanpa meminta pertolongan dan terpaksa meminjam wang yang besar dari pihak bank.Katanya, kesusahan hidup yang dialami sebelum ini mengajar beliau untuk sentiasa mengamalkan budaya berjimat cermat walaupun sudah bergelar seorang usahawan berjaya.‘‘Jangan boros berbelanja, itulah pesan saya kepada anak-anak yang banyak mewarisi dan membantu saya dalam perniagaan ini. Jika pegang duit RM10,000 jangan habiskan semua, simpan 20 peratus daripadanya kerana simpanan itu akan membantu kita masa susah nanti.

‘‘Pegangan tersebut terbukti berkesan kerana banyak syarikat percetakan seperti saya yang terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu menghadapi krisis kewangan yang melanda negara sekitar 1998 dan 1999,” katanya.Kata Sabdin, pada waktu itu, beliau berjaya menghadapi cabaran tersebut dengan bantuan wang simpanan yang dipraktikkannya itu untuk membayar hutang dan perbelanjaan operasi syarikat.

Pada hari ini, Percetakan Surya berjaya menguasai lebih 50 peratus kontrak tawaran percetakan dan tempahan dari hampir sebahagian besar agensi, jabatan kerajaan negeri, swasta dan sekolah antaranya Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran negeri, Dawama Sdn. Bhd dan Lembaga Penggalakan Pelancongan.Mengenai strategi syarikat itu pada masa depan, katanya, selaku pengasas syarikat tersebut beliau perlu memastikan prestasinya sentiasa berada pada tahap sebenar, sejajar dengan matlamat untuk menjadi pemain dalam industri itu di peringkat global.‘‘Kita tidak harus gentar pada persaingan kerana itulah yang menjadi pendorong dan untuk itu, Percetakan Surya sentiasa mementingkan mutu kemas dan berkualiti. Itulah yang sentiasa saya tekankan kepada 87 kakitangan syarikat ini,'' katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments