Pengukir perahu tambang
|
KUCHING 8 Jan. – Berbekalkan tekad menceburi bidang baru dan kesungguhan untuk menjayakannya, sepasang suami isteri dari Kampung Bintawa Tengah di sini, kini mula dikenali ramai menerusi ukiran yang mereka usahakan.Pasangan berkenaan menjadikan ukiran perahu tambang Sarawak sebagai kraf tangan untuk ditawarkan kepada para pelanggan dan ternyata pilihan mereka itu tidak sia-sia.
Meskipun baru berjinak-jinak dengan bidang ukiran perahu tambang Sarawak itu sejak setahun lalu, usaha mereka membuahkan hasil apabila hiasan tersebut mendapat perhatian pelancong domestik dan antarabangsa.Pada mulanya bidang tersebut hanya dijadikan sebagai kerjaya sambilan bagi mengisi masa lapang tetapi melihatkan ukiran tersebut berpotensi, mereka mula mengusahakannya secara sepenuh masa.Apatah lagi kedua-dua pasangan tersebut kini mempunyai ruang untuk memasarkan produk itu dengan menyewa premis yang disediakan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di Tebingan Kampung Gersik yang bertentangan Tebingan Kuching, tengah bandar raya ini.
“Kemahiran membuat ukiran perahu tambang ini saya pelajari daripada seorang kawan dengan sokongan suami yang turut mahir menghasilkan seni ukir.“Pada mulanya agak sukar mempelajari ukiran ini kerana ia memerlukan ketelitian, kehalusan dan memakan masa untuk menghasilkannya tetapi berkat keazaman dan kesabaran akhirnya saya mampu membuatnya malah mula menyukai bidang ini,” kata Hamsiah Kadir, 35, kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.Hamsiah dibantu oleh suaminya, Mohammad Julaihi, 39, yang masih bekerja dengan sebuah syarikat sebelum berhenti pada Februari ini.Menurut Hamsiah, sebuah ukiran perahu tambang memerlukan tiga hingga empat hari untuk disiapkan.“Pada mulanya saya akan membuat badan perahu termasuk mengukir bentuk dalaman seperti perahu tambang sebenar dan kemudiannya dipasang bumbung.
“Kerja-kerja di peringkat ini perlu dilakukan dengan teliti kerana jika tidak, ia akan menyebabkan keseluruhan perahu tambang akan rosak kerana ia membabitkan kerja-kerja melekat dengan gam,” ujarnya.Bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasilkan perahu tambang Sarawak ini adalah buluh, kayu, papan lapis, gam, pisau pemotong serta cat semburan.
Hamsiah berkata, apabila sudah siap badan perahu dan bumbungnya, maka kerja-kerja mengecat akan dilakukan mengikut warna seperti perahu tambang sebenar yang beroperasi di Sungai Sarawak.Sementara itu menurut Mohammad, mereka telah menghasilkan kira-kira 50 hingga 60 perahu tambang dalam pelbagai saiz sejak setahun lalu.Menurutnya, ekoran ukiran yang unik dan menarik, hasil tangan mereka berdua itu telah diberi peluang untuk mengikuti promosi kraf tangan di Tebingan Kuching pada Julai lalu.“Perahu tambang ini dijual mengikut saiz dengan yang paling kecil pada harga RM25, sederhana (RM120 - RM150) manakala yang besar dan berkotak kaca dijual pada harga RM180 hingga RM200,” katanya.Mohammad memberitahu, mereka sangat berharap ukiran perahu tambang akan menjadi antara ikon untuk Sarawak dan terkenal ke peringkat antarabangsa.
Katanya, dia dan isterinya berusaha meningkatkan hasil dan kualiti ukiran perahu tambang itu dan akan mengikuti promosi kraf tangan di Kuala Lumpur dan lokasi lain di dalam dan luar negara.
“Saya bercadang untuk meningkatkan lagi kualiti pembuatan ukiran perahu tambang ini dengan menggunakan kayu belian sebagai badan utama dan memasukkan lagi elemen menarik terhadap hiasan ini.“Saya mahu ukiran perahu tambang ini tahan dan lasak supaya dapat memasuki pasaran antarabangsa,” ujarnya.Jelasnya, sebelum ini beliau mempelajari kemahiran seni ukir di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara di Jitra, Kedah.Mohammad memberitahu, ukiran perahu tambang seumpama itu belum lagi dihasilkan oleh mana-mana pihak kecuali ukiran jenis tebuk daripada sebatang kayu namun ia tidak begitu menampakkan ciri-ciri sebenar perahu tambang.
2 comments:
salam...saya saidatul...boleh x kalau saya hendak tahu lebih lanjut mengenai kraftangan perahu tambang ini...kalau boleh ini no tel saya untuk dihubungi...0145373698
salam...saya saidatul...boleh x kalau saya hendak tahu lebih lanjut mengenai kraftangan perahu tambang ini...kalau boleh ini no tel saya untuk dihubungi...0145373698
Post a Comment