Kehebatan Resort World Sentosa
PENGARAH filem tersohor Hollywood, Steven Spielberg pernah berkata: "Masyarakat umum mempunyai selera terhadap segalanya yang berkenaan dengan imaginasi - apa sahaja yang jauh daripada realiti dan sekreatif yang mungkin."
Ungkapannya itu sebenarnya bukan sahaja boleh digunapakai dalam industri pembikinan filem tetapi juga dalam industri taman tema yang berjaya membawa pengunjung menikmati satu pengembaraan persis imaginasi.
Bahkan, ia bagai membawa para pengunjung menerokai alam 'lain' yang jauh daripada hiruk-pikuk kehidupan harian menerusi pemandangan dan efek bunyi yang mengujakan.
Resort World Sentosa (RSW) yang terletak di Singapura dijangka mengubah pengalaman percutian sekeluarga selama-lamanya. Dengan pesona taman tema penuh warna-warni, penginapan bertaraf dunia, persembahan yang memukau dan tarikan-tarikan lain, ia dipercayai dapat memenuhi selera segenap lapisan usia pengunjung.
Terletak di tanah berkeluasan keseluruhan 49 hektar dengan pelaburan AS$4.32 bilion (RM14.85 bilion), projek mega itu bakal dibuka secara rasmi pada suku pertama 2010.
Lebih mengagumkan, RSW akan menempatkan taman tema terkemuka Universal Studios yang pertama dan tunggal di Asia Tenggara.
Universal Studios Singapura (USS) bakal menjanjikan perfileman dalam dunia realiti kepada para pengunjung. Dengan keluasan 20 hektar, ia menempatkan tujuh zon bertema dengan 24 tarikan.
Dimajukan oleh syarikat subsidiari Genting Berhad, Genting Singapore PLC (Genting Singapore), tarikan yang akan mengangkat nama Singapura di peta dunia sebagai destinasi percutian terkemuka itu juga akan mempamerkan oseanarium terbesar dunia, Marine Life Park, sebuah kasino, spa, persembahan hiburan bertaraf dunia dan kepelbagaian pusat beli-belah serta restoran.
Tarikan unik
Menurut Produser Eksekutif USS, Steve Ryan, 18 daripada tarikan yang ada merupakan yang unik di Singapura dan tidak ada di mana-mana taman tema Universal Studios lain di seluruh dunia.
"Daripada zaman prasejarah ke era glamor Hollywood dan set produksi filem sehinggalah dunia animasi serta fiksyen sains, tujuh zon menarik untuk diterokai ialah Hollywood, New York, Sci-Fi City, Ancient Egypt, The Lost World, Far Far Away dan Madagascar," kata beliau kepada wartawan antarabangsa termasuk dari Malaysia, India dan Singapura dalam satu pertemuan memperkenalkan taman tema itu baru-baru ini.
Di zon Hollywood, misalnya, para pengunjung boleh merasai pengalaman berada di Hollywood Boulevard dengan seni bina dinamik, pepohon palma dan laluan Walk of Fame yang sinonim dengan peneraju industri hiburan dunia itu.
Pengunjung boleh merasai semangat dan tenaga penuh bercahaya bandar raya terbesar Amerika Syarikat di zon New York. Saksikan sendiri set-set filem yang menarik melalui tarikan LIGHTS! CAMERA! ACTION! yang dihos oleh Spielberg. Di samping itu, Stage 28 membuka peluang kepada orang ramai melibatkan diri dalam produksi filem waktu sebenar.
Interaksi
Keunggulan Hollywood amat sinonim dengan primadona dan pelakon terkemuka, Marilyn Monroe serta Charlie Chaplin. Lengkapkan pengalaman Hollywood anda menerusi interaksi dengan watak 'jelmaan' mereka!
Dunia Transformers yang penuh aksi bakal menjadi antara tarikan utama di zon Sci-Fi City pada tahun 2011.
Sungguhpun demikian, sebelum itu, antara tarikan utama di zon itu ialah roller-coaster berkembar yang diadaptasi daripada filem Battlestar Galactica.
Memperlihatkan pertarungan antara manusia dengan cyclon melalui roller-coaster yang tergantung, penumpang pasti tidak akan lupa dengan 'pengembaraan' selama 87 saat di trek sepanjang 992 meter berketinggian puncak kira-kira 42.5 meter.
Sementara itu, Era Emas Eksplorasi Mesir pada tahun 1930-an dihidupkan melalui zon Ancient Egypt dengan piramid dan batu obelisk membawa pengunjung merasai zaman penemuan makam Firaun dan sumpahan yang dibawa bersama dalam kawasan gurun itu.
Zaman prasejarah 'dimeriahkan' dengan kehadiran dinasour yang pada satu ketika dulu pernah menjajah dunia melalui zon The Lost World.
Sementara itu Zon Far Far Away membolehkan pengunjung mendekati gergasi hijau berjiwa murni, Shrek dengan permaisuri hidupnya, Puteri Fiona.
Manakala Zon Madagascar memberi peluang kepada pengunjung untuk menyertai pengembaraan empat hero daripada filem animasi terkenal DreamWorks, Madagascar, iaitu Alex, Marty, Melman dan Gloria melalui hutan tebal dan merentasi sungai yang unik.
Penginapan
Sebagai satu destinasi percutian bersepadu menyasarkan kunjungan 13 juta orang pada tahun pertama operasi, sebanyak 1,800 bilik penginapan di enam buah hotel dengan variasi tema menjadi pelengkap RSW. Kepelbagaian itu bagi memenuhi keperluan dan cita rasa berbeza pengunjung.
Ia turut membabitkan Maxims Tower yang menyediakan pengalaman penuh kemewahan di samping terletaknya kasino RSW.
Hotel Michael merupakan satu-satunya hotel di dunia yang memaparkan sentuhan penuh gaya oleh arkitek ikon Amerika, Michael Graves. Spa Villas pula menawarkan ketenangan tropika melalui banglo-banglo atas air dan kotej tepi pantai.
Selain itu, Hotel Hard Rock menghidupkan semula sejarah, gaya dan falsafah rock and roll, Hotel Festive menampilkan gaya penuh kontemporari dan chic untuk sekeluarga dan Hotel Equarius menyediakan penginapan dalam suasana kehijauan hutan.
Marine Life Park juga bakal menjadi tarikan utama di RSW dengan tarikan lebih 700,000 hidupan laut termasuk ikan jerung, pari bersama aneka terumbu karang dan ikan di laut terbuka.
Berkeluasan lapan hektar dengan 20 juta gelen air, oseanarium terbesar dunia itu bakal mencabar keberanian pengunjung untuk memberi makan jerung-jerung harimau melalui sangkar khas.
Bagi yang berjiwa lembut dan muda pula, peluang mendekati ikan lumba-lumba yang jinak pasti memberikan pengalaman yang cukup bermakna.
Muzium Maritime Xperiential pula menghidupkan semula kisah pengembaraan Laluan Sutera melalui penataan cahaya dan bunyi. Pengunjung dapat merasai kepahitan dan cabaran kapal yang menuju ke Arab dalam satu teater multimedia.
Dengan sasaran untuk menjadi ikon pelancongan global, Pengerusi Kumpulan Genting, Lim Kok Thay dalam satu kenyataan berkata, RWS bersama tarikan universalnya akan mengubah paradigma sektor pelancongan di rantau Asia Tenggara.
Katanya lagi, semua yang disediakan di sini, sama ada sebagai hiburan, pendidikan mahupun santai yang terbaik, adalah dengan imaginasi tanpa batasan.
"RSW ialah tempat di mana imaginasi terus hidup," ujarnya.
0 comments:
Post a Comment