Nasib peniaga Melayu di P. Pinang

DARI gerainya, Norhisyam Ahmad dapat melihat kerlipan lampu-lampu jalan di sepanjang Jambatan Pulau Pinang. Pemandangan indah di tepi laut itu merupakan antara keunikan yang terdapat di gerainya selain pelbagai hidangan makanan laut dengan harga berpatutan.

Namun, jauh di sudut hati Norhisyam sekarang, tidak pasti berapa lama lagi beliau dapat menikmati keindahan itu. Ini kerana, premis yang dimilikinya sejak 10 tahun lalu, iaitu Hammer Bay Ikan Bakar Special bakal dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) pada bila-bila masa.

Norhisyam merupakan salah seorang daripada tiga peniaga di Medan Ikan Bakar Gold Coast yang terletak di Sungai Nibong, Pulau Pinang.

Beliau bersama dua lagi peniaga, iaitu pemilik Sri Pantai Ikan Bakar dan Anggerik Biru Nasi Campur, mereka pernah memohon lesen menduduki sementara (TOL) daripada Pejabat Tanah dan Daerah pada 2005, 2006 dan awal 2009 tetapi semuanya ditolak.

Meskipun tidak mempunyai kebenaran untuk berniaga di kawasan tersebut, mereka tidak pernah diganggu PBT sebelum ini tetapi senario sebaliknya berlaku semasa di bawah pentadbiran baru kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri sepatutnya lebih prihatin dengan peniaga kecil seperti kami. Kami cuma minta kerajaan negeri membenarkan kami berniaga di sini dan kami sanggup bangunkan tempat ini dengan kos sendiri," kata Norhisyam ketika ditemui baru-baru ini.

Selain nasib 70 pekerja di gerai-gerai itu, pendapatan nelayan di sekitar kawasan tersebut yang membekalkan hasil laut segar kepada gerai itu turut bakal terjejas.

Menurut Pengarah Komunikasi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP), Siti Aishah Mohamad, ramai di kalangan peniaga Melayu kecil telah menerima notis mengosongkan premis masing-masing sejak 31 Disember lalu daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Menurut Siti Aishah, meskipun kerajaan negeri ada menyediakan tapak baru, tempat tersebut disifatkan 'mati' kerana tidak strategik disebabkan kedudukannya yang tersorok dan kurang dikunjungi orang ramai.Beliau turut hairan dengan sikap PBT yang membiarkan sahaja banyak gerai milik bukan Bumiputera yang terdapat di bahu-bahu jalan hingga menyesakkan lalu lintas tanpa sebarang tindakan."Contohnya di Jalan Burma, Georgetown terdapat banyak kereta tolak di bahu jalan sehingga berlaku kesesakan jalan raya namun tiada tindakan diambil ke atas mereka. Tapi gerai peniaga Melayu yang tidak mengganggu lalu lintas dan tidak mengotorkan kawasan sekitar dihalau," ujarnya.Beliau menambah, kerajaan negeri khususnya MPPP sepatutnya menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai oleh pelbagai pihak bagi mendapatkan maklum balas daripada para peniaga kecil."Tanya apa masalah mereka, bukannya terus ambil tindakan roboh. Mereka bukan tidak mahu pindah, tapi lokasi baru biarlah strategik untuk mereka berniaga," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: