Bak sebuah muzium hidup
Kampung Morten yang terletak di tengah-tengah Bandar Melaka memiliki pemandangan yang indah dan menyimpan sejarah serta tarikan tersendiri.
PINTU gerbang yang tertera tulisan Kampung Morten, Kampung Ku Indah sudah cukup membuatkan orang yang melaluinya terpesona.
Tarikan itu bukan sekadar kerana tulisan tersebut, sebaliknya pemandangan kampung yang bersih dan kedudukannya seolah-olah ia terletak di atas sebuah pulau dengan keistimewaan tersendiri. Pemandangan dari kaki lima kampung pula dihiasi dengan deruan bot-bot siar sungai yang tidak pernah bosan membelah Sungai Melaka yang mengalir lesu.
Itulah aura Kampung Morten yang terletak di pinggir Sungai Melaka. Ia berdiri gah walaupun dikelilingi bangunan tinggi di setiap penjurunya.
Kampung itu boleh dikatakan sebagai sebuah muzium besar yang hidup. Ini kerana setiap penghuni deretan rumah berwarna terang yang tinggal di sana menjalani kehidupan harian seperti biasa.
Penghuninya 100 peratus masyarakat Melayu. Mereka masih mengamalkan cara hidup Melayu, selain mengekalkan bentuk rumah kampung negeri Melaka.
Pinjam wang
Menurut sejarah, Kampung Morten seluas 5.02 hektar itu dibuka pada tahun 1922. Ia menempatkan 100 buah rumah dengan anggaran 600 orang penduduk.
Mengikut cerita, kampung unik itu mendapat nama Kampung Morten selepas salah seorang penduduk ketika itu berjumpa dengan seorang pegawai daerah bernama J.F Morten untuk meminjam wang.
Ketika itu kampung tersebut dimiliki oleh dua orang lelaki iaitu Abdullah Maarof dan Pak Khalil. Sementara pengasasnya ialah Datuk Othman Md. Nor.
Disebabkan terlalu kepinginkan kampung tersebut, salah seorang penduduk kemudian bertindak berani dengan meminjam wang sebanyak RM10,000 daripada pegawai Inggeris itu.
Hasrat penduduk kampung itu tertunai apabila pegawai daerah terbabit menghulurkan wang yang diminta untuk membeli kampung itu. Dua orang lelaki yang merupakan tuan tanah itu bersetuju untuk menjualkan tanahnya kepada penduduk kampung.
Terharu dengan pinjaman tersebut selain gembira kerana berjaya memiliki kampung itu, sebagai mengenang jasa JF Morten penduduk kampung sepakat menamakan kampung itu sebagai Kampung Morten sehingga hari ini.
Mengelilingi kampung tersebut, sudah pasti sebuah rumah yang diberi nama Villa Sentosa menjadi lokasi wajib disinggahi.
Lebih menarik, struktur kediaman tersebut masih kekal seperti asal walaupun ia telah dibina pada suku pertama abad ke-20.
Sangat fasih berbahasa Inggeris dan boleh bertutur dalam bahasa Jepun, pemiliknya, Abdul Rahim Hashim, 74, memberitahu, segala perkakasan di dalam rumah keluarganya itu merupakan barang-barang asli dan langsung tidak diubah.
"Dari ruang tamu hinggalah meja makan semuanya asli mengikut adat budaya zaman dahulu," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Antaranya ialah gong, kamera, keris dan sundang yang menjangkau usia lebih 100 tahun. Itu belum termasuk ayat-ayat suci al-Quran yang digantung di dinding yang berusia 200 tahun.
Nilai sejarah
Rumah yang mengenengahkan konsep binaan rumah Melayu asli itu turut menempatkan pelamin bagi pasangan Melayu bersanding dan dihias dengan begitu unik tanpa menghilangkan nilai-nilai sejarahnya.
Tarikan Villa Sentosa bukan sahaja pada barang antiknya, bahkan reka bentuk rumah itu bercirikan bumbung atap yang panjang dan tangga batu bertatahkan jubin pelbagai warna.
Sebelum beredar, Abduk Rahim sempat membacakan serangkap pantun kepada kami.
Villa Sentosa nama rumahnya,
Telah dibina berdekatan Sungai Melaka,
Jika anda sudi melawatinya,
Anda tidak akan lupa selama-lamanya.
Lupakan sebentar reka bentuk rumahnya, kami menyelami pula budaya mereka. Umum mengetahui walaupun dihimpit pembangunan, masyarakat setempat masih mengamalkan cara hidup kampung.
Bagi Nizam Misni, 41, dia tidak pernah merasa sukar untuk tinggal di kampung itu walaupun berada di tengah-tengah bandar.
"Kami penduduk kampung yang masih mengamalkan 100 peratus adat budaya orang Melayu. Misalnya bertukar-tukar juadah, bertarawih secara jemaah di surau pada bulan Ramadan seperti yang dilakukan oleh orang-orang Melayu di kawasan pedalaman," katanya.
Bukan itu sahaja, suasana menjadi lebih meriah ketika Hari Raya Aidilfitri. Para penduduk kampung sibuk beraya dari rumah ke rumah dengan masing-masing melaram baju Melayu dan baju kurung baru.
Menurut Nizam, pada sambutan Hari Raya Aidiladha aktiviti
"Tidak pernah terfikir pun untuk berpindah ke mana-mana. Biarlah sampai bila-bila pun saya tetap berada di kampung ini, anak jati Kampung Morten," katanya menutup bicara.
0 comments:
Post a Comment