Hazel sediakan masakan Melayu di Vietnam


Hazel dan kakitangannya melayan pelanggan yang mengunjungi restoran D'Anjung Malaysia di sebuah pasar raya terkemuka di Bandar Ho Chi Minh, Vietnam.


BERKUNJUNG ke bumi Vietnam bagi orang Islam, bermakna bermulalah kesukaran untuk mendapatkan makanan halal. Ini diakui sendiri oleh seorang saudara yang bekerja di Kedutaan Malaysia di Hanoi, ibu negara itu sejak beberapa tahun lalu.

Malah ketika hendak pulang semula ke Vietnam selepas mengahwinkan anaknya baru-baru ini di Kuala Lumpur, beliau sanggup membawa berkotak-kotak makanan dari Malaysia.

Begitulah sukarnya hendak 'mengisi perut' di Vietnam meskipun diakui ada kedai-kedai tertentu yang menjual makanan halal.

Namun ketika berkunjung ke Ho Chi Minh, bandar di selatan Vietnam baru-baru ini, penulis terkejut dengan kehadiran seorang wanita yang menyewa salah satu lot kedai di sebuah pusat beli- belah terkenal bagi menjual masakan Melayu.

Premis tersebut satu-satunya yang menjual masakan Melayu di bandar itu. Jika ada pun makanan halal, hanya menjual makanan India seperti capati dan roti canai.

Atas faktor itulah telah mendorong Hazel Yusof, 39, membuka gerai yang dikenali sebagai D'Anjung Malaysia di negara tersebut.

Perniagaan berasaskan makanan bukan terlalu asing memandangkan keluarganya juga memiliki restoran di Ara Damansara, di Kuala Lumpur.

Begitupun katanya, cabaran berniaga makanan di negara orang cukup besar terutama bagi mendapatkan bahan mentah untuk masakan Melayu.

"Sebagai contoh untuk seekor ayam yang disembelih mengikut cara Islam berharga RM35 seekor. Ia diambil daripada pembekal dari perkampungan Islam di Phu Nuan.

"Itu belum lagi ditambah dengan rempah ratus, belacan dan cili kering yang terpaksa dibawa dari Malaysia. Saya terpaksa pulang ke tanah air setiap bulan," ujarnya tersenyum memulakan perbualan.

Maka sebab itulah harga setiap masakan dijual dengan harga yang sedikit tinggi berbanding di gerai-gerai di Malaysia. Sebagai contoh, setiap lauk dijual pada harga sekitar RM6.

Bagi setiap hidangan lengkap pula, pelanggan hanya perlu membayar RM10 sehingga RM15. Jumlah yang berbaloi sekiranya berada di luar negara.

Terdapat juga hidangan nasi lemak, mi goreng, roti bakar serta tidak ketinggalan minuman kegemaran rakyat Malaysia, teh tarik yang dijual secara kombo.

Lain-lain lauk seperti asam pedas, masak lemak, pelbagai jenis sambal, laksa dan kuih muih tradisi seperti cucur udang.

Hazel kini boleh berbangga apabila premisnya mendapat tumpuan pelancong dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Semakin ramai pelanggan di kalangan penduduk tempatan kini menjadi pelanggan tetapnya terutama bagi mereka yang ingin mencuba kelainan atau pernah bekerja di Malaysia.

"Boleh dikatakan tidak menang tangan untuk menguruskan perniagaan ini. Sentiasa sibuk dari mula dibuka 10 pagi sehingga 10 malam.

"Sekali-sekala, ada juga tempahan dari syarikat-syarikat untuk membekalkan makanan tengah hari atau pagi termasuk di tempat suami bekerja," ujarnya yang berkahwin dengan seorang jejaka berasal dari Denmark.

Ibu kepada lima anak ini terpaksa mengambil 11 pekerja untuk menguruskan premisnya dan membantu memasak lauk pauk yang dilakukan di rumahnya.

Beliau yang sebelum ini pernah menetap di Eropah, nyata gembira kerana dapat memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia di bumi asing.

Baginya, dirinya tidak ubah seperti 'duta' secara tidak rasmi apabila memperkenalkan makanan tradisi Malaysia kepada negara luar.

"Apatah lagi apabila orang asing memuji tentang rasa masakan saya yang sedap dan enak. Pasti bangga," katanya sambil memberitahu ia terbukti apabila premisnya pernah keluar di Youtube.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Rabasia - usahawan muda


Rabasia

WANITA yang lebih mesra disapa Sia ini memberitahu, tumpuan hidupnya kini adalah terhadap kerjaya dalam bidang kecantikan. Percaturan awal Rabasia Bedu bermula tiga tahun lepas apabila dia membuka salon kecantikan.

Dari situ dia tidak menoleh lagi. Rabaisua terus memanjangkan langkah meneroka pula butik pengantin.Selepas butik dan salon disatukan, lahirlah butik Pengantin Arissa awal tahun lalu.

Mengakui banyak cabaran dalam bidang perniagaan, Rabasia tidak mudah mengaku kalah.

“Tidak dinafikan, berniaga memang mencabar kerana sukar mencari pelanggan. Bahkan, saya terpaksa bersaing dengan usahawan lain,” ujarnya yang gemar ke gim untuk menjaga tubuh badan.

Bagi memastikan perniagaannya seiring dengan cabaran semasa, Rabasia sentiasa mencari idea baru termasuk konsep perkahwinan dan rekaan baju.

“Ramai pengantin kini memilih konsep moden. Warna-warna yang menjadi trend ialah merah, emas dan perak,” katanya yang berhasrat mengembangkan perniagaan dengan membuka cawangan lain.

Dalam pada itu, sebagai pengusaha butik, Rabasia sentiasa menjaga penampilan.“Sebagai pengusaha butik, kita perlu sentiasa kelihatan cantik dan kemas. Ini kerana saya banyak berinteraksi dengan pelanggan dan perlu membuatkan mereka selesa dengan kita,” katanya yang gemar haruman One Drop Perfumes yang segar dan tahan lama.Selain wangian, Rabasia gemar bersolek dan menggayakan fesyen terkini.Ditanya hubungannya dengan pekerja, Rabasia memilih untuk bersikap sederhana dengan mereka.Baginya, sebagai majikan, dia boleh menjadi kawan kepada pekerja tetapi pada masa yang sama memastikan mereka menjalankan kerja dengan sempurna.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Nasib peniaga Melayu di P. Pinang

DARI gerainya, Norhisyam Ahmad dapat melihat kerlipan lampu-lampu jalan di sepanjang Jambatan Pulau Pinang. Pemandangan indah di tepi laut itu merupakan antara keunikan yang terdapat di gerainya selain pelbagai hidangan makanan laut dengan harga berpatutan.

Namun, jauh di sudut hati Norhisyam sekarang, tidak pasti berapa lama lagi beliau dapat menikmati keindahan itu. Ini kerana, premis yang dimilikinya sejak 10 tahun lalu, iaitu Hammer Bay Ikan Bakar Special bakal dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) pada bila-bila masa.

Norhisyam merupakan salah seorang daripada tiga peniaga di Medan Ikan Bakar Gold Coast yang terletak di Sungai Nibong, Pulau Pinang.

Beliau bersama dua lagi peniaga, iaitu pemilik Sri Pantai Ikan Bakar dan Anggerik Biru Nasi Campur, mereka pernah memohon lesen menduduki sementara (TOL) daripada Pejabat Tanah dan Daerah pada 2005, 2006 dan awal 2009 tetapi semuanya ditolak.

Meskipun tidak mempunyai kebenaran untuk berniaga di kawasan tersebut, mereka tidak pernah diganggu PBT sebelum ini tetapi senario sebaliknya berlaku semasa di bawah pentadbiran baru kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri sepatutnya lebih prihatin dengan peniaga kecil seperti kami. Kami cuma minta kerajaan negeri membenarkan kami berniaga di sini dan kami sanggup bangunkan tempat ini dengan kos sendiri," kata Norhisyam ketika ditemui baru-baru ini.

Selain nasib 70 pekerja di gerai-gerai itu, pendapatan nelayan di sekitar kawasan tersebut yang membekalkan hasil laut segar kepada gerai itu turut bakal terjejas.

Menurut Pengarah Komunikasi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP), Siti Aishah Mohamad, ramai di kalangan peniaga Melayu kecil telah menerima notis mengosongkan premis masing-masing sejak 31 Disember lalu daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Menurut Siti Aishah, meskipun kerajaan negeri ada menyediakan tapak baru, tempat tersebut disifatkan 'mati' kerana tidak strategik disebabkan kedudukannya yang tersorok dan kurang dikunjungi orang ramai.Beliau turut hairan dengan sikap PBT yang membiarkan sahaja banyak gerai milik bukan Bumiputera yang terdapat di bahu-bahu jalan hingga menyesakkan lalu lintas tanpa sebarang tindakan."Contohnya di Jalan Burma, Georgetown terdapat banyak kereta tolak di bahu jalan sehingga berlaku kesesakan jalan raya namun tiada tindakan diambil ke atas mereka. Tapi gerai peniaga Melayu yang tidak mengganggu lalu lintas dan tidak mengotorkan kawasan sekitar dihalau," ujarnya.Beliau menambah, kerajaan negeri khususnya MPPP sepatutnya menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai oleh pelbagai pihak bagi mendapatkan maklum balas daripada para peniaga kecil."Tanya apa masalah mereka, bukannya terus ambil tindakan roboh. Mereka bukan tidak mahu pindah, tapi lokasi baru biarlah strategik untuk mereka berniaga," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Vitato varieti baru keledek


Vitato varieti keledek yang bermutu ciptaan MARDI.


Ubi keledek bukanlah asing kepada kita. Ia sering menjadi menu dalam hidangan seharian. Cuma mungkin ramai yang tidak sedar akan khasiat dan nilai pemakanannya. Bergantung kepada jenisnya, ada yang kaya dengan bahan antioksida seperti b-karoten (memberi warna oren pada ubi) yang ditukar menjadi vitamin A apabila di dalam badan. Ada pula yang mengandungi vitamin C, vitamin E dan antosianin (memberi warna ungu).

Dalam semua jenis ubi keledek terdapat kandungan serabut diet dan zat galian kalium agak tinggi. Serabut diet ini berkesan menentang diabetis, sembelit dan kanser usus besar. Kalium pula berguna untuk mengatasi tekanan darah tinggi dan baik untuk jantung. Bagi menunjukkan kepelbagaian baka keledek, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan varieti Vitato. Ubi keledek ini mempunyai banyak berkhasiat dan boleh dimakan segar atau diproses untuk jadikan tepung atau bahan masakan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Industri tani penjana kekayaan


Kejayaan Ahmat Termizi Dollah Kusni dan isterinya, Jamirah membuktikan industri asas tani melahirkan usahawan berjaya.

Dengan hanya bermodalkan RM50, Ahmat Termizi Dollah Kusni, 50, dari Kampung Bukit Bangkong, Sepang berjaya menjadi jutawan dalam industri kerepek ubi kayu.

Walaupun pernah tiga kali gagal, beliau akhirnya meraih kejayaan berkat kegigihan dan keyakinannya bahawa pertanian ialah suatu perniagaan.

Menurut Ahmat Termizi, beliau mula terbabit dalam penjualan kerepek ubi kayu pada tahun 1986 dengan modal hanya RM50 dan sebuah kuali yang dipinjam untuk menggoreng kerepek ubi.

"Saya pernah tiga kali gagal sehinggalah pada suatu ketika saya terpaksa menjadi pemandu lori," katanya ketika ditemui di kilang syarikat Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd di Jalan Mempelam, Kampung Bukit Bangkong, Sepang, Selangor.

Nasibnya mula berubah apabila beliau menubuhkan Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd pada tahun 1996.Ahmat Termizi, Pengarah Urusan syarikat itu, berkata, hari ini beliau mempunyai beberapa lagi anak syarikat iaitu Jamirah Enterprise, JFI Marketing Sdn Bhd dan Gemba Marketing Sdn. Bhd.Pada tahun 2004 syarikat itu mendapat Sijil Amalan Baik Ladang (GAP) dari Jabatan Pertanian sekali gus membuka lembaran baru untuk terus berkembang dalam perusahaan kerepek ubi kayu.

PENGALAMAN 20 TAHUN

"Selepas 20 tahun saya bekerja keras, akhirnya saya berjaya menembusi pasaran luar dan hari ini hampir 20 peratus daripada keluaran kilang saya seperti kerepek ubi dipasarkan di luar negara seperti United Kingdom, Australia, Dubai dan Vietnam," katanya.Ketika ini kilangnya, yang mempunyai kira-kira 20 pekerja tetap, mampu menghasilkan tiga tan kerepek ubi kayu sehari. Menurut Ahmat, buat masa ini jualan kerepek ubi kayunya dengan jenama Agro Chips mencecah RM5 juta setahun iaitu 80 peratus untuk pasaran tempatan manakala selebihnya untuk pasaran luar negara.

TERNAK KAMBING

Sementara itu seorang lagi pengusaha, Mahathir Talib, 35, yang terbabit dalam bidang ternakan kambing secara komersil di Kampung Ulu Melaka, Alor Gajah, Melaka berkata beliau yakin sektor pertanian boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan jika bijak menggunakan peluang yang disediakan kerajaan.

Katanya potensi sektor penternakan sememangnya amat luas dan masih banyak lagi ruang yang boleh digunakan untuk mengembangkan lagi sektor itu."Melihat kepada potensi ini saya nekad menubuhkan syarikat MP Livestock di Kampung Ulu Melaka Pindah yang mengusahakan penternakan kambing, bebiri, lembu dan kerbau," katanya ketika ditemui di ladangnya.Beliau berkata pada permulaan operasi beliau mempunyai 60 ekor baka betina dan lima ekor baka jantan daripada pelbagai jenis baka kambing seperti Jamnapari, Boer, Rubian, kampung (katjang), Sanean serta bebiri Barbados, Lonte dan Malin.Menurutnya ketika ini syarikatnya menjalankan usahasama dengan beberapa syarikat pembekal baka kambing di Malaysia selain membekalkan daging kambing segar.

Mahathir berkata hari ini kambing yang diternaknya berjumlah 400 ekor dan syarikatnya mampu membekalkan 800kg daging kambing segar setiap minggu."Harga kambing ketika ini memang baik dan saya mampu menjual pada harga sekitar RM450 hingga RM1,800 seekor bergantung dengan berat dan baka kambing," katanya.Beliau kini mempunyai kandang bersaiz kira-kira 93 meter panjang and 10 meter lebar di Kampung Ulu Melaka Pindah.

TIDAK PUTUS ASA

Bagi Othman Abu Hassan, 50, dari Kampung Panchor, Durian Tunggal Melaka walaupun bidang penternakan merupakan satu kerja yang mencabar, beliau tidak pernah berputus asa kerana yakin bidang ini boleh menjadi sumber rezeki utama jika diusahakan dengan cara yang betul.

Bermula awal tahun 2004 dengan modal RM1,000 Othman membeli empat ekor kambing kampung dan pada pertengahan tahun, beliau membeli lagi 15 ekor kambing kampung berharga RM3,000.Setahun kemudian beliau mula membeli lembu pula. Bermula dengan empat ekor dengan modal RM3,200, beliau menambahnya kepada 51 ekor dengan modal RM75,000.Kata Othman, cabaran utama dalam penternakan ialah masalah penyakit dan jika ia berlaku pastinya kerugian besar yang terpaksa ditanggung bila ternakan mati dalam jumlah yang besar."Setakat ini saya mempunyai 140 ekor lembu manakala kambing berjumlah 170 ekor," katanya.Kebanyakan binatang ternakannya diberi makanan dedak yang dicampur dengan daun kelapa sawit, rumput, gula merah dan sagu rumbia, katanya

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Yee.. haa! nanti kunjungan peminat daging


berkonsepkan makanan Barat, Yee..haa! menampilkan fesyen ala koboi.

SETELAH berjaya membangunkan perniagaan produk sejukbeku di bawah jenama Perfect Fresh & Frozen, KMJ Suplies Sdn. Bhd. maju setapak lagi.Kini syarikat berkenaan memperkenalkan perniagaan makanan panas yang berasaskan daging dengan membuka kiosk makanan ala koboi dengan jenama 'Yee...Haa!'

Pengarah Urusan Perfect Fresh & Frozen, Nordin Mat berkata, kiosk berkenaan mempromosikan pelbagai menu daging segar berdasarkan permintaan pelanggan.

"Kami menawarkan menu utama berasaskan daging kambing seperti Chevon Boer Steak dan Chevon sage," katanya semasa ditemui.Chevon Boer Steak merupakan kepingan kambing Boer yang diperap dan dihidangkan dengan sos pilihan cendawan atau lada hitam, coleslaw, kentang goreng dan pilihan nasi atau roti.Hidangan ini dihasil menggunakan kambing Boer muda terpilih.Kambing Boer yang berasal dari Afrika Selatan terkenal kerana keenakan dagingnya selain daripada khasiat.Rasa dagingnya pula manis, tidak berbau hamis berbanding dengan kambing-kambing lain.

Chevon sage pula merupakan resipi baru yang pertama kali dihidangkan di negara ini menggunakan daging kambing.Hidangan sosej segar yang diperbuat daripada daging kambing terpilih dengan campuran rempah ratus yang dihidangkan bersama-sama sos pilihan sama ada sos cendawan atau lada hitam, coleslaw, kentang goreng yang boleh dimakan dengan nasi atau roti.Resipi Chevon sage dihasilkan sendiri oleh Perfect Fresh & Frozen bagi mempromosikan daging kambing tempatan untuk dinikmati oleh pelanggan.

Promosi daging kambing bukan saja dapat membantu penternak memasarkan kambing mereka tetapi juga bagi memperkenalkan daging kambing sebagai diet terbaik yang kurang kolestrol hanya tiga peratus berbanding biri-biri 16 peratus.Selain itu kiosk Yee... Ha! juga menghidangkan pelbagai menu lain termasuk rib eye steak, la,b chop, beef sage, breaded chicken chop, fish and chip, chicken sage, country roll dan rodeo fries.Apa yang lebih menarik, semua produk berkenaan dihasilkan sendiri oleh Perfect Fresh & Frozen telah menerima pengiktirafan Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Nordin berkata dengan pembukaan cawangan kiosk Yee...Ha!, bukan saja dapat memberikan peluang perniagaan kepada anak muda tempatan tetapi juga memacu industri penternakan ruminan negara.Sementara itu Panasejuk Food Beverage Sdn Bhd diberikan mandat menguruskan kiosk-kiosk Yee... Ha!Pengarah Pemasarannya, Ashaari Mohd Nasir berkata, pihaknya amat tertarik dengan konsep yang diperkenalkan dan menu-menu yang menarik dan sedap.

"Saya yakin Yee...Ha! akan dapat menarik perhatian orang ramai seterusnya menjadi pilihan kepada penggemar makanan Barat," katanya.Kini kiosk Yee...Ha! pertama dibuka di Restoran Kampung Pandan, manakala yang lain akan dibuka di kawasan Lembah Kelang dalam masa terdekat."Dalam tempoh setahun, kami merancang membuka cawangan lain di lokasi strategik di seluruh negara," katanya.Sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut dan berminat untuk membuka cawangan kiosk Yee...Ha! boleh menghubungi Adli di 012-6773036.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Bengkel animasi untuk generasi muda.


SAIFOL Bahari (kanan) dan Laura Wendt (tengah) pada majlis pelancaran bengkel animasi di Kuala Lumpur baru-baru ini.

WATAK kartun yang comel dan lucu pastinya akan menarik perhatian sesiapa sahaja tidak kira golongan kanak-kanak mahu pun dewasa.

Selain menghiburkan, kegilaan terhadap produk animasi itu juga mungkin terdorong oleh faktor karakternya yang dekat dengan hati masyarakat.

Di banyak negara maju, bidang animasi kreatif telah mengalami pertumbuhan yang sangat baik dan mampu menjana pendapatan lumayan untuk memacu ekonomi negara.

Melihat senario di Malaysia pula, walaupun masih berasa di peringkat awal, namun penerimaan positif terhadap industri ini dilihat mampu membawa kejayaan gemilang pada masa hadapan.

Dalam usaha merealisasikan matlamat itu, pelbagai inisiatif pembangunan telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan dan juga swasta.Tumpuan perluasan pula diberi menerusi pendedahan dan pemahaman menyeluruh mengenainya dengan menjadikan golongan muda sebagai sasaran utama.Menyokong inisiatif berkenaan, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) telah menjalankan kerjasama dengan syarikat animasi global terkenal iaitu Disney Channel Asia Tenggara menganjurkan bengkel animasi di Malaysia.Program yang pertama kali dijalankan itu bermula Januari hingga Jun khusus untuk pelajar-pelajar sekolah rendah tahap dua dan sekolah menengah tahap satu berusia 10 hingga 14 tahun di seluruh negara.

Menurut Naib Pengerusi Bahagian Pembangunan Industri MDeC, Saifol Bahri Mohamad Shamlan, bengkel tersebut akan mendedahkan para pelajar dengan teknik asas pembikinan klip animasi di samping mencurahkan idea kreatif mereka.''Selaras dengan matlamat negara memberi fokus kepada pembangunan industri kreatif, penganjuran bengkel ini dilihat mampu meneroka potensi bidang ini dengan lebih meluas.''Matlamat program ini bukanlah untuk melahirkan ahli animasi, sebaliknya kita ingin mendedahkan golongan muda dengan kaedah pemprosesan dan pengurusan aktiviti animasi sebenar,'' katanya pada pelancaran bengkel itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ia akan diadakan di enam lokasi iaitu di Perak (11-16 Januari), Pahang (1-5 Februari), Sabah (1-5 Mac), Kuala lumpur (5-9 April), Johor (24-28 Mei dan Selangor (1-5 Jun) dengan penglibatan peserta daripada 10 buah sekolah.

Pemilihan para peserta akan dilakukan oleh pejabat pendidikan di setiap lokasi berdasarkan minat mereka terhadap seni animasi.Setiap lokasi akan menerima seramai 40 peserta untuk membentuk 10 pasukan di mana setiap pasukan terdiri daripada tiga orang pelajar dan seorang guru.Bengkel secara pengajaran dalam kelas itu akan mengetengahkan inspirasi tema karakter kartun animasi Disney iaitu Stich.Pengarah Urusan Disney Channel Asia Tenggara, Laura Wendt, memberitahu, karakter tersebut dipilih kerana ia menjadi watak kesayangan ramai dan sentiasa membawa sifat positif.

''Menerusi sifat seperti sentiasa ingin tahu, bertenaga, kreatif, ceria dan gembira, ia pastinya akan dapat memupuk serta membina semangat para peserta,'' jelasnya.Daripada keseluruhan bengkel, sebanyak 10 pasukan terbaik akan dipilih untuk menerima Pek Permulaan Animasi Stich.Ia merupakan kertas kerja kursus mengandungi informasi kisah Stich yang mengembara ke alam asing untuk bertemu dengan kawan baru.

Berdasarkan kisah itu, setiap kumpulan akan diminta untuk mencipta klip animasi menggunakan karakter dan jalan cerita masing-masing.Enam kumpulan dengan klip terbaik kemudiannya akan menerima peluang menghadiri kelas animasi bersama ahli animasi tempatan dan juga daripada Disney di Kuala Lumpur pada bulan Julai.Ia bertujuan membantu setiap kumpulan memperbaiki konsep dan jalan cerita animasi mereka sebelum keenam-keenamnya disiarkan di saluran Astro.Kumpulan dengan animasi paling kreatif pula bakal memenangi hadiah lawatan ke Disneyland Hong Kong untuk pengalaman berjumpa sendiri dengan Stich.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Mudah mengurus kehidupan harian


pengguna sentiasa di hadapan dengan Sony Ericsson Naite.

Adakah anda seorang yang sibuk dan sentiasa berada di luar kawasan? Jika jawapannya ya, mungkin anda memerlukan Sony Ericsson Naite yang boleh meningkatkan mutu gaya hidup.

Gajet berkenaan membolehkan anda sentiasa berada di hadapan dengan membantu memberikan pilihan hijau dengan akses segera tanpa mengorbankan inovasi dan reka bentuk.

Hanya dengan menekan satu butang untuk mengakses mesej, kalendar, laman sesawang, kontak atau apa saja yang anda selalu gunakan.

Membeli jambangan bunga, mengubah temu janji atau menghantar e-mel kepada rakan handai dan taulan malah sahabat sekali pun dengan hanya satu sentuhan butang.

Perayauan kelajuan tinggi dan akses dengan hanya satu klik kepada pencarian Google bermakna anda berada di atas talian di mana saja anda berada dan panggilan video membolehkan anda bersemuka dengan kawan dan keluarga pada bila-bila masa.

Salah satu pengasas telefon Green Heart yang dilancarkan oleh Sony Ericsson, Naite juga termasuk elektronik, manual in-phone yang menggantikan versi kertas, menjimatkan sehingga 90 peratus penggunaan kertas dan memberikan keselesaan di mana saja anda berada.

e-manual juga mengurangkan kesan pengangkutan produk akhir dengan pembungkusan kompak.

Diperbuat daripada 50 peratus plastik kitar semula, Naite menggunakan pengecas kuasa rendah yang paling efisien diperkenalkan di pasaran.

Terima kasih dengan inovasi berkenaan yang mengurangkan jejak karbon dioksida (CO2) Naite sebanyak 15 peratus.

Pengurus Besar Sony Ericsson Malaysia, Alex Wong berkata Naite merupakan telefon yang bukan saja membantu anda menguruskan kehidupan dan kerja malah membenarkan pengguna membuat pilihan lebih ekonomik dengan pengecas berkuasa rendah dan mengurangkan kesan alam sekitar.

"Menuju ke arah hijau tidak bermakna pengguna perlu berkorban gaya malah kami mereka telefon dengan ciri yang mengagumkan seperti kelajuan tinggi 3G dan desktop aktif bagi membantu pengguna menguruskan kehidupan mereka yang sentiasa sibuk," katanya.

Naite juga melibatkan aplikasi Ecomate bagi membantu pengguna membuat pilihan ke arah hijau dalam kehidupan seharian selain pengiraan jejak karbon bagi menunjukkan pengguna berapa banyak CO2 yang dijimatkan apabila mereka berjalan kaki berbanding memandu kereta.

Naite menyokong GSM/GPRS/EDGE 850/900/1800/1900 dan telah berada di pasaran dengan harga runcit RM599 serta boleh dipilih warna Vapour Silver atau Ginger Red.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Berfikir ikut kebijaksanaan, bukan emosi

SEBAGAI pekerja, kita sering berdepan dengan pelbagai permasalahan. Kadang-kala ia menyebabkan kita tertekan dan hilang semangat untuk bekerja. Minggu ini, Putri senaraikan panduan mengurangkan tekanan berkerja. Selamat mencuba.

  • Jangan sesekali biarkan salah faham menjejaskan perasaan dan tindakan serta gantikan pemikiran yang tidak rasional dan negatif tadi dengan keterangan lebih munasabah.
  • Komunikasi juga memainkan peranan penting dalam menangani tekanan kerana komunikasi yang baik membolehkan kita meluahkan pendapat dengan jelas, tepat dan tegas selain menggunakan fakta, bukan mengikut perasaan.
  • Cuba tangani setiap kritikan dengan baik kerana melalui cara itu kita sebenarnya berusaha mengubah diri daripada cepat melenting kepada seorang lebih terbuka dan tenang.
  • Cara tangani kemarahan pula dengan mengikuti tiga langkah penting iaitu berhenti seketika sambil mengakui anda sebenarnya sedang marah dan cuba bertenang.
  • Kemudian rancang fikiran anda mengikut kebijaksanaan dan bukan emosi seterusnya bertindak menggunakan daya tindak yang berkesan. Dengan cara itu, akan lebih menjadikan seseorang tenang dalam menghadapi apa jua keadaan mendesak serta mampu mengamalkan cara hidup sihat termasuk bersenam, beriadah dan meditasi menggunakan muzik.
  • Meningkatkan sokongan sosial di tempat kerja iaitu menjalinkan persahabatan sesama rakan sekerja dan berkongsi masalah dengan mereka yang boleh dipercayai.
  • Cuba praktikkan pemikiran yang rasional dan positif kerana pemikiran negatif hanya menyebabkan timbul salah faham antara kita dan pihak lain seperti rakan dan mungkin juga majikan.
  • Gejala tekanan atau ‘tekanan’ pekerjaan boleh dilihat melalui tanda:

  • Kurang motivasi diri
  • Gelisah dan risau berlebihan
  • Mempunyai masalah tidur
  • Merokok dengan berlebihan
  • Kurang berminat dalam aktiviti dilakukan
  • Sakit kepala atau sakit badan
  • Tidak dapat membuat keputusan
  • Cepat marah
  • Penyalahgunaan dadah dan alkohol
  • Lesu
  • Tingkah laku yang agresif
  • Tidak gembira
  • Berasa marah dan geram
  • Kecewa
  • Kurang memberi tumpuan pada pekerjaan
  • Berasa diri tiada harapan
    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    'Layan' sampai licin


    Kuah chicken chop yang cukup membuka selera pengunjung ke Marisa Burger and Western di medan selera Atap Berlian di Hutan Bandar, Johor Bahru, Johor.

    Malam semakin larut dan jarum jam di tangan sudah menghampiri pukul 12 tengah malam.

    Secara logik mengikut putaran alam, sepatutnya waktu begitu kebanyakan kita sedang berkira-kira untuk masuk tidur dan mungkin juga sudah ada yang dibuai mimpi enak.Namun senario sebaliknya cukup berbeza apabila anda berada di medan selera Atap Berlian di Hutan Bandar, Johor Bahru, Johor.

    Ini kerana orang ramai masih lagi memenuhi kawasan itu tanpa terdapat tanda-tanda untuk mereka mahu pulang ke rumah.Tanpa menghiraukan kedinginan malam dan embun pagi yang mula menitis, penangan makanan Barat di gerai Marisa Burger and Western adalah jawapan kepada segala-galanya.Gara-gara chicken chop yang berharga hanya RM5, hidangan Barat itu telah mendapat sambutan luar biasa dan menimbulkan satu fenomena di kalangan pengunjung.

    Pemiliknya, Rahmat Atan, 41, tidak perlu meletakkan set karaoke di atas pentas atau pun skrin layar besar seperti di restoran mamak sebagai tarikan utama ke gerainya.Hanya berteman suasana malam yang romantik, ia sudah cukup membuatkan pengunjung ralit menikmati hidangan.Di kelilingi konsep ala-ala pondok yang mampu membuat pelanggan berasa selesa dan santai, pastinya kunjungan anda meninggalkan satu kenangan terindah.Hari ini, masyarakat perlu mengakui bahawa chicken chop semakin mendapat tempat di kalangan pelbagai lapisan masyarakat dan hidangan Barat itu bukan lagi sekadar menjadi pilihan orang kebanyakan.

    Siapa mampu menepis keenakan hidangan chicken chop yang panas-panas baru di angkat dari kuali dan dilimpahi sos lada hitam untuk dimakan bersama air jus oren.Namun bagaimana pula kalau chicken chop itu hanya berharga RM5 berbanding harga standard sekitar RM10 malah ada yang mencecah harga hingga RM20?Dengar macam tidak percaya membuatkan penulis bersama jurugambar, Raja Jaafar Ali agak teruja untuk mencubanya.Sempat terlintas di fikiran mungkin saiznya telah dikecilkan, kuantiti kentang goreng dan coleslaw yang sedikit serta hiasan salad ala-ala kadar sahaja.Sebaik rezeki sudah di depan mata, melihat hiasan hidangan itu saja sudah membuka selera perut yang sedang berkeroncong.Sebaik sahaja menikmati hidangan berkenaan, tiada rasa yang kurang malah kombinasi daging ayam, kentang goreng, coleslaw dan salad begitu menjadi hingga membuat kami 'melayan' sehingga licin.Hilang semua telahan negatif yang bermain di fikiran dan ingin pula mengetahui rahsia di sebalik hidangan daging ayam yang digoreng dengan serbuk roti itu.

    Bekas chef hotel

    Gerai Marisa Burger dan Western dikendali chef profesional, Rahmat yang berpengalaman luas dalam bidang sajian makanan Barat di beberapa hotel terkemuka negara ini sejak 23 tahun lalu.

    Rahmat bersama isteri, Suhaili Md. Nor, 34, kini tidak lagi menang tangan melayan pengunjung yang tidak putus-putus bermula pukul 6.30 petang hingga 2.30 pagi setiap malam.Ditanya mengapa chicken chop itu hanya berharga RM5, dia menjelaskan, tanggapan negatif masyarakat yang sinonim mengatakan makanan Barat adalah mahal perlu dikikiskan.

    Dia mahu memberi peluang kepada semua golongan masyarakat termasuk yang berpendapatan rendah atau pun golongan pelajar untuk menikmati hidangan makanan itu pada harga berpatutan."Setiap malam, sebanyak 40 hingga 50 kilogram (kg) daging ayam digunakan untuk chicken chop, tujuh hingga lapan kg daging lembu untuk stik dan 20 kg daging kambing.

    "Untuk menjimatkan kos, saya hanya menempah daging mentah itu dan akan memotongnya sendiri selain menghasilkan sos lada hitam ciptaan sendiri," katanya..Rahmat berkata, dia dan isteri menjanjikan kepuasan tinggi agar pelanggan yang datang menjamu selera di gerainya gembira dengan apa yang disajikan.Katanya, ini kerana menjadi matlamat Marisa Burger and Western untuk menyajikan hidangan berkualiti dan kuantiti yang berbaloi dengan harganya.Kepada mereka yang ingin membuat tempahan atau membuat pesanan, anda boleh menelefon Rahmat di talian 013-7472013 dan 013-7550192.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    Teh Tarik ...


    TEH tarik dan roti bakar.


    MACAM tak siap! Mungkin ini kata yang terpacul dari mulut anda tatkala melintasi Teh Tarik Place yang terletak di Wangsa Walk Mall, Wangsa Maju ini.

    Namun terimalah hakikat bahawa ini adalah trend semasa yang sangat diminati terutama golongan muda urban.

    Dekorasi ringkas seakan-akan bangunan tidak siap mempunyai nilai artistik tersendiri. Keunikannya terletak pada susun atur perabot dan kebijaksanaan menggunakan props yang ada di sekitar ruang restoran.

    Dinding yang dibiar warna simen tanpa cat dihiasi lakaran burung-burung berlagu riang mencetus suasana ceria. Juga susunan botol-botol kaca dan tin susu kosong mengingatkan kita kepada gerai mamak tepi jalan.

    Memberi nafas baru kepada konsep mamak konvensional, Teh Tarik Place menjanjikan satu suasana selesa, nyaman dan kontemporari sesuai untuk semua golongan juga keluarga. Hidangan popular kesukaan rakyat Malaysia boleh didapati di sini pada harga yang berpatutan, namun keenakannya tiada kompromi.

    Sepinggan mi goreng mamak dengan beberapa ekor udang hanya berharga RM6.90! Dan percayalah setiap hidangan didatangkan dalam saiz yang memuaskan hati pengunjung dan paling utama, kebanyakannya berharga di bawah RM10.

    Penolong Pengurus Pemasaran Chaswood Resources, Jocelyn Lee yang mengendalikan restoran ini berkata, restoran ini diilham sebegini rupa bagi meminimumkan kos sajian agar pengunjung masih boleh menikmati hidangan kegemaran mereka tanpa rasa terbeban.“Selain harga berpatutan, kami juga mementingkan kebersihan dan kesihatan dengan tidak menggunakan bahan perasa MSG, mengurangkan gula, garam dan juga minyak,” katanya.

    Antara hidangan kesukaan adalah mi rebus, roti canai, nasi goreng ayam TTP, murtabak ayam, roti bakar, nasi kerabu, nasi ayam dan banyak lagi.Restoran yang dibuka Julai lalu itu sedang mengadakan Pertandingan Mereka Lakaran Dinding. pemenang berpeluang memenangi RM1,000 serta hasil kreativiti mereka akan dipaparkan secara kekal di dinding Teh Tarik Place, Wangsa Maju. Maklumat lanjut pertandingan sila layari www.tehtarikplace.my

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    Kehebatan Resort World Sentosa


    RESORT World Sentosa yang menempatkan Universal Studios Singapura berpotensi menjadi ikon pelancongan global.


    PENGARAH filem tersohor Hollywood, Steven Spielberg pernah berkata: "Masyarakat umum mempunyai selera terhadap segalanya yang berkenaan dengan imaginasi - apa sahaja yang jauh daripada realiti dan sekreatif yang mungkin."

    Ungkapannya itu sebenarnya bukan sahaja boleh digunapakai dalam industri pembikinan filem tetapi juga dalam industri taman tema yang berjaya membawa pengunjung menikmati satu pengembaraan persis imaginasi.

    Bahkan, ia bagai membawa para pengunjung menerokai alam 'lain' yang jauh daripada hiruk-pikuk kehidupan harian menerusi pemandangan dan efek bunyi yang mengujakan.

    Resort World Sentosa (RSW) yang terletak di Singapura dijangka mengubah pengalaman percutian sekeluarga selama-lamanya. Dengan pesona taman tema penuh warna-warni, penginapan bertaraf dunia, persembahan yang memukau dan tarikan-tarikan lain, ia dipercayai dapat memenuhi selera segenap lapisan usia pengunjung.

    Terletak di tanah berkeluasan keseluruhan 49 hektar dengan pelaburan AS$4.32 bilion (RM14.85 bilion), projek mega itu bakal dibuka secara rasmi pada suku pertama 2010.

    Lebih mengagumkan, RSW akan menempatkan taman tema terkemuka Universal Studios yang pertama dan tunggal di Asia Tenggara.

    Universal Studios Singapura (USS) bakal menjanjikan perfileman dalam dunia realiti kepada para pengunjung. Dengan keluasan 20 hektar, ia menempatkan tujuh zon bertema dengan 24 tarikan.

    Dimajukan oleh syarikat subsidiari Genting Berhad, Genting Singapore PLC (Genting Singapore), tarikan yang akan mengangkat nama Singapura di peta dunia sebagai destinasi percutian terkemuka itu juga akan mempamerkan oseanarium terbesar dunia, Marine Life Park, sebuah kasino, spa, persembahan hiburan bertaraf dunia dan kepelbagaian pusat beli-belah serta restoran.

    Tarikan unik


    MENDEKATI gergasi hijau, Shrek di zon Far Far Away.


    Menurut Produser Eksekutif USS, Steve Ryan, 18 daripada tarikan yang ada merupakan yang unik di Singapura dan tidak ada di mana-mana taman tema Universal Studios lain di seluruh dunia.

    "Daripada zaman prasejarah ke era glamor Hollywood dan set produksi filem sehinggalah dunia animasi serta fiksyen sains, tujuh zon menarik untuk diterokai ialah Hollywood, New York, Sci-Fi City, Ancient Egypt, The Lost World, Far Far Away dan Madagascar," kata beliau kepada wartawan antarabangsa termasuk dari Malaysia, India dan Singapura dalam satu pertemuan memperkenalkan taman tema itu baru-baru ini.

    Di zon Hollywood, misalnya, para pengunjung boleh merasai pengalaman berada di Hollywood Boulevard dengan seni bina dinamik, pepohon palma dan laluan Walk of Fame yang sinonim dengan peneraju industri hiburan dunia itu.

    Pengunjung boleh merasai semangat dan tenaga penuh bercahaya bandar raya terbesar Amerika Syarikat di zon New York. Saksikan sendiri set-set filem yang menarik melalui tarikan LIGHTS! CAMERA! ACTION! yang dihos oleh Spielberg. Di samping itu, Stage 28 membuka peluang kepada orang ramai melibatkan diri dalam produksi filem waktu sebenar.

    Interaksi


    NIKMATI percutian keluarga yang menghiburkan di Resort World Sentosa, Singapura.


    Keunggulan Hollywood amat sinonim dengan primadona dan pelakon terkemuka, Marilyn Monroe serta Charlie Chaplin. Lengkapkan pengalaman Hollywood anda menerusi interaksi dengan watak 'jelmaan' mereka!

    Dunia Transformers yang penuh aksi bakal menjadi antara tarikan utama di zon Sci-Fi City pada tahun 2011.

    Sungguhpun demikian, sebelum itu, antara tarikan utama di zon itu ialah roller-coaster berkembar yang diadaptasi daripada filem Battlestar Galactica.

    Memperlihatkan pertarungan antara manusia dengan cyclon melalui roller-coaster yang tergantung, penumpang pasti tidak akan lupa dengan 'pengembaraan' selama 87 saat di trek sepanjang 992 meter berketinggian puncak kira-kira 42.5 meter.

    Sementara itu, Era Emas Eksplorasi Mesir pada tahun 1930-an dihidupkan melalui zon Ancient Egypt dengan piramid dan batu obelisk membawa pengunjung merasai zaman penemuan makam Firaun dan sumpahan yang dibawa bersama dalam kawasan gurun itu.

    Zaman prasejarah 'dimeriahkan' dengan kehadiran dinasour yang pada satu ketika dulu pernah menjajah dunia melalui zon The Lost World.

    Sementara itu Zon Far Far Away membolehkan pengunjung mendekati gergasi hijau berjiwa murni, Shrek dengan permaisuri hidupnya, Puteri Fiona.

    Manakala Zon Madagascar memberi peluang kepada pengunjung untuk menyertai pengembaraan empat hero daripada filem animasi terkenal DreamWorks, Madagascar, iaitu Alex, Marty, Melman dan Gloria melalui hutan tebal dan merentasi sungai yang unik.

    Penginapan


    PELUANG berinteraksi dengan 'jelmaan' Marilyn Monroe melengkapkan pengalaman Hollywood anda.


    Sebagai satu destinasi percutian bersepadu menyasarkan kunjungan 13 juta orang pada tahun pertama operasi, sebanyak 1,800 bilik penginapan di enam buah hotel dengan variasi tema menjadi pelengkap RSW. Kepelbagaian itu bagi memenuhi keperluan dan cita rasa berbeza pengunjung.

    Ia turut membabitkan Maxims Tower yang menyediakan pengalaman penuh kemewahan di samping terletaknya kasino RSW.

    Hotel Michael merupakan satu-satunya hotel di dunia yang memaparkan sentuhan penuh gaya oleh arkitek ikon Amerika, Michael Graves. Spa Villas pula menawarkan ketenangan tropika melalui banglo-banglo atas air dan kotej tepi pantai.

    Selain itu, Hotel Hard Rock menghidupkan semula sejarah, gaya dan falsafah rock and roll, Hotel Festive menampilkan gaya penuh kontemporari dan chic untuk sekeluarga dan Hotel Equarius menyediakan penginapan dalam suasana kehijauan hutan.

    Marine Life Park juga bakal menjadi tarikan utama di RSW dengan tarikan lebih 700,000 hidupan laut termasuk ikan jerung, pari bersama aneka terumbu karang dan ikan di laut terbuka.

    Berkeluasan lapan hektar dengan 20 juta gelen air, oseanarium terbesar dunia itu bakal mencabar keberanian pengunjung untuk memberi makan jerung-jerung harimau melalui sangkar khas.

    Bagi yang berjiwa lembut dan muda pula, peluang mendekati ikan lumba-lumba yang jinak pasti memberikan pengalaman yang cukup bermakna.

    Muzium Maritime Xperiential pula menghidupkan semula kisah pengembaraan Laluan Sutera melalui penataan cahaya dan bunyi. Pengunjung dapat merasai kepahitan dan cabaran kapal yang menuju ke Arab dalam satu teater multimedia.

    Dengan sasaran untuk menjadi ikon pelancongan global, Pengerusi Kumpulan Genting, Lim Kok Thay dalam satu kenyataan berkata, RWS bersama tarikan universalnya akan mengubah paradigma sektor pelancongan di rantau Asia Tenggara.

    Katanya lagi, semua yang disediakan di sini, sama ada sebagai hiburan, pendidikan mahupun santai yang terbaik, adalah dengan imaginasi tanpa batasan.

    "RSW ialah tempat di mana imaginasi terus hidup," ujarnya.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    Bak sebuah muzium hidup

    Kampung Morten yang terletak di tengah-tengah Bandar Melaka memiliki pemandangan yang indah dan menyimpan sejarah serta tarikan tersendiri.




    PINTU gerbang yang tertera tulisan Kampung Morten, Kampung Ku Indah sudah cukup membuatkan orang yang melaluinya terpesona.

    Tarikan itu bukan sekadar kerana tulisan tersebut, sebaliknya pemandangan kampung yang bersih dan kedudukannya seolah-olah ia terletak di atas sebuah pulau dengan keistimewaan tersendiri. Pemandangan dari kaki lima kampung pula dihiasi dengan deruan bot-bot siar sungai yang tidak pernah bosan membelah Sungai Melaka yang mengalir lesu.

    Itulah aura Kampung Morten yang terletak di pinggir Sungai Melaka. Ia berdiri gah walaupun dikelilingi bangunan tinggi di setiap penjurunya.

    Kampung itu boleh dikatakan sebagai sebuah muzium besar yang hidup. Ini kerana setiap penghuni deretan rumah berwarna terang yang tinggal di sana menjalani kehidupan harian seperti biasa.

    Penghuninya 100 peratus masyarakat Melayu. Mereka masih mengamalkan cara hidup Melayu, selain mengekalkan bentuk rumah kampung negeri Melaka.

    Pinjam wang

    Menurut sejarah, Kampung Morten seluas 5.02 hektar itu dibuka pada tahun 1922. Ia menempatkan 100 buah rumah dengan anggaran 600 orang penduduk.

    Mengikut cerita, kampung unik itu mendapat nama Kampung Morten selepas salah seorang penduduk ketika itu berjumpa dengan seorang pegawai daerah bernama J.F Morten untuk meminjam wang.


    NIZAN Misni meluangkan masa melihat gambar aktiviti belia-belia Kampung Morten.


    Ketika itu kampung tersebut dimiliki oleh dua orang lelaki iaitu Abdullah Maarof dan Pak Khalil. Sementara pengasasnya ialah Datuk Othman Md. Nor.

    Disebabkan terlalu kepinginkan kampung tersebut, salah seorang penduduk kemudian bertindak berani dengan meminjam wang sebanyak RM10,000 daripada pegawai Inggeris itu.

    Hasrat penduduk kampung itu tertunai apabila pegawai daerah terbabit menghulurkan wang yang diminta untuk membeli kampung itu. Dua orang lelaki yang merupakan tuan tanah itu bersetuju untuk menjualkan tanahnya kepada penduduk kampung.

    Terharu dengan pinjaman tersebut selain gembira kerana berjaya memiliki kampung itu, sebagai mengenang jasa JF Morten penduduk kampung sepakat menamakan kampung itu sebagai Kampung Morten sehingga hari ini.


    SIAR kaki di tepi Sungai Melaka dan Kampung Morten yang menjadi tempat riadah orang ramai pada waktu petang.


    Mengelilingi kampung tersebut, sudah pasti sebuah rumah yang diberi nama Villa Sentosa menjadi lokasi wajib disinggahi.

    Lebih menarik, struktur kediaman tersebut masih kekal seperti asal walaupun ia telah dibina pada suku pertama abad ke-20.

    Sangat fasih berbahasa Inggeris dan boleh bertutur dalam bahasa Jepun, pemiliknya, Abdul Rahim Hashim, 74, memberitahu, segala perkakasan di dalam rumah keluarganya itu merupakan barang-barang asli dan langsung tidak diubah.


    VILLA Sentosa lokasi yang wajib dikunjungi jika anda singgah ke Kampung Morten.


    "Dari ruang tamu hinggalah meja makan semuanya asli mengikut adat budaya zaman dahulu," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

    Antaranya ialah gong, kamera, keris dan sundang yang menjangkau usia lebih 100 tahun. Itu belum termasuk ayat-ayat suci al-Quran yang digantung di dinding yang berusia 200 tahun.

    Nilai sejarah

    Rumah yang mengenengahkan konsep binaan rumah Melayu asli itu turut menempatkan pelamin bagi pasangan Melayu bersanding dan dihias dengan begitu unik tanpa menghilangkan nilai-nilai sejarahnya.

    Tarikan Villa Sentosa bukan sahaja pada barang antiknya, bahkan reka bentuk rumah itu bercirikan bumbung atap yang panjang dan tangga batu bertatahkan jubin pelbagai warna.


    SALAH sebuah rumah tradisional Melaka yang terdapat di Kampung Morten.


    Sebelum beredar, Abduk Rahim sempat membacakan serangkap pantun kepada kami.

    Villa Sentosa nama rumahnya,

    Telah dibina berdekatan Sungai Melaka,

    Jika anda sudi melawatinya,

    Anda tidak akan lupa selama-lamanya.


    SEORANG pengunjung memukul gong yang berusia 200 tahun yang terdapat di Villa Sentosa.


    Lupakan sebentar reka bentuk rumahnya, kami menyelami pula budaya mereka. Umum mengetahui walaupun dihimpit pembangunan, masyarakat setempat masih mengamalkan cara hidup kampung.

    Bagi Nizam Misni, 41, dia tidak pernah merasa sukar untuk tinggal di kampung itu walaupun berada di tengah-tengah bandar.

    "Kami penduduk kampung yang masih mengamalkan 100 peratus adat budaya orang Melayu. Misalnya bertukar-tukar juadah, bertarawih secara jemaah di surau pada bulan Ramadan seperti yang dilakukan oleh orang-orang Melayu di kawasan pedalaman," katanya.


    VILLA Sentosa sentiasa menjadi tumpuan pelancong kerana mempunyai pelbagai barangan antik dan bersejarah.


    Bukan itu sahaja, suasana menjadi lebih meriah ketika Hari Raya Aidilfitri. Para penduduk kampung sibuk beraya dari rumah ke rumah dengan masing-masing melaram baju Melayu dan baju kurung baru.

    Menurut Nizam, pada sambutan Hari Raya Aidiladha aktiviti lembu korban juga dijalankan. Sukar untuk membayangkan betapa meriahnya suasana ketika itu.




    "Tidak pernah terfikir pun untuk berpindah ke mana-mana. Biarlah sampai bila-bila pun saya tetap berada di kampung ini, anak jati Kampung Morten," katanya menutup bicara.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    AgroBazar Kedai Rakyat tingkatkan ekonomi


    Muhamad Idris Mansor BANGGA BERDIRI DI DEPAN KEDAINYA SEBAGAI BUKTI KEJAYAAN SEJAK TERLIBAT DALAM PROGRAM aGRObAZAAR.

    LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) antara agensi Kementerian dan Industri Asas tani yang memperkenalkan banyak program untuk membantu masyarakat luar bandar meningkatkan ekonomi mereka.

    Antara yang diperkenalkan ialah AgroBazar Kedai Rakyat iaitu satu program membantu meringankan bebanan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana terutama di kawasan luar bandar.

    AgroBazaar Kedai Rakyat berkonsepkan perniagaan milik usahawan dengan identiti tersendiri serta menjual barangan keperluan asas pada harga yang dikawal.

    FAMA akan membekalkan papan tanda berlampu serta rak yang bersesuaian bagi mewujudkan suasana menarik dan seragam dengan konsep perniagaan yang akan dijalankan.

    Bagi tahun ini, sebagai permulaan, FAMA mensasarkan penubuhan sejumlah 40 buah AgroBazaar Kedai Rakyat.Bagi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) pula dijangkakan jumlahnya akan mencecah sehingga 1,000 unit di seluruh negara.Ini adalah selaras dengan misi FAMA untuk membangun rantaian pemasaran makanan dan hasil pertanian yang cekap dan berkesan bagi meningkatkan nilai kepada pelanggan.Salah seorang usahawan yang telah menyertai program FAMA ini ialah Muhamad Idris Mansor dari Kg. Sungai Baru, Kuala Sanglang, Kedah.Berusia 36 tahun, beliau yang dahulunya menjadi nelayan kini telah berjaya membangunkan perniagaan borong dan runcit di Kg. Simpang Sanglang, Perlis, terletak bersempadan Negeri Kedah dan Perlis).

    Minatnya untuk berniaga timbul sejak zaman persekolahan di Ipoh dengan mengusahakan perniagaan air soya, tauhu dan taufu fah.Selepas menamatkan pengajiannya di Sekolah Agama (2 Senawi), beliau kembali ke kampung halamannya di Kuala Sanglang dan menjalani penghidupan sebagai nelayan selama lima tahun.Kesukaran serta kesulitan hidup yang dihadapi sepanjang tempoh tersebut telah membuka hati beliau untuk berkecimpung sepenuh masa dalam bidang perniagaan.Beliau memulakan perniagaan gerai tepi jalan dengan menjual hasilan laut dan sayur-sayuran yang diperolehi daripada nelayan dan petani dari kawasan berhampiran.

    Berkat usaha gigih serta sokongan isterinya, Aziroh Abu Bakar serta enam anak, perniagaannya terus berkembang sehingga membolehkan beliau menyewa rumah kedai tempat perniagaannya sekarang.Kini beliau mengusahakan perniagaan kedai runcit, barangan basah (ikan, daging, ayam, sayur dan buah), barangan sejuk-beku dan stesen minyak mini.Di samping itu, perniagaan beliau juga bertindak sebagai pembekal (pemborong) kepada peniaga-peniaga kecil di persekitaran.Bermula Julai lalu, beliau menerima tawaran daripada pihak FAMA Negeri Perlis untuk menyertai program AgroBazaar Kedai Rakyat.

    Penyertaannya membolehkan beliau menerima bantuan daripada FAMA meliputi penyediaan papan tanda, mengecat bangunan perniagaan, pinjaman rak perniagaan, payung serta kanopi di samping bekalan secara produk Agromas keluaran FAMA.Menurut Muhamad Idris, kewujudan AgroBazaar Kedai Rakyat telah memberi nafas baru kepada perniagaannya di mana nilai jualan harian meningkat antara 20 dan 30 peratus.Ini disebabkan keunikannya di samping konsep perniagaan yang mampu menarik lebih ramai pelanggan.Sehubungan itu, beliau berhasrat untuk memperbesarkan perniagaannya lagi dengan meluaskan premis perniagaan serta menambah cawangan di pekan berhampiran.Setelah 12 tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan, pulangan yang diperoleh amat membanggakan sehingga beliau mampu memiliki rumah sendiri bernilai RM 100,000 di samping membeli sebuah rumah kedai, sebuah kedai makan, sebuah perahu, kereta dan van.

    Adalah diharapkan pencapaian beliau ini mampu memberi inspirasi kepada usahawan-usahawan lain untuk terus bergiat serta memajukan diri di bidang perniagaan.FAMA akan sentiasa membantu dengan program dan aktiviti yang telah ditetapkan ke arah mewujudkan usahawan yang cemerlang, gemilang dan terbilang tanpa batasan agama, bangsa atau budaya selaras dengan konsep Gagasan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    Dilema usahawan Bumiputera selepas MECD

    ALKISAH tidak berapa lama dahulu timbul hasrat hendak menubuhkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB). Objektifnya adalah untuk membantu usahawan Bumiputera berdaya saing, berdikari, mapan dan produktif serta membangunkan industri kecil dan sederhana yang berdaya tahan.

    Maka timbullah Strategi MPPB 2 yang mengandungi pelaksanaan mekanisme pemantauan dan penilaian yang lebih berkesan, penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bumiputera dan dewan perniagaan, pengukuhan peranan agensi amanah, syarikat milik kerajaan (GLC) dan koperasi, pelaksanaan inisiatif sektor awam, pelaksanaan inisiatif sektor swasta serta pewujudan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta.

    Inisiatif kerajaan dan swasta ini dilaksanakan melalui 13 Kluster iaitu Kluster: Bangunan dan Pembinaan, ICT dan Telekomunikasi, Niagatani, Perbankan dan Kewangan, Pendidikan dan Sumber Manusia, Pertahanan dan Aeroangkasa, Pengangkutan dan Logistik, Bioteknologi dan Biofarmasi, Industri Automotif, Perjalanan dan Pelancongan, Minyak, Gas dan Petrokimia, Dagangan Pengedaran, Elektrik dan Elektronik. Kesemua kluster itu diketuai oleh orang-orang kuat kerajaan dan 'kapten industri'.

    Arakian antara kluster itu, hanya satu sahaja yang nampak menonjol iaitu Skim Kluster Latihan Kemahiran Sumber Manusia (SKLKSM) untuk ILKS Bumiputera (ILKSB) yang didokong panglima hebat. Difahamkan Kementerian Kewangan sempat menyediakan geran kepada semua ILKSB itu dan tercapailah objektif sebenar SKLKSM BCIC-2. Ia bukan hanya melahirkan champion tetapi juga ramai anak didik yang jadi usahawan.

    Maka dipendekkan cerita, ketika skim yang bagus itu berjalan hingga ke Sabah dan Sarawak, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dibubarkan, jabatan-jabatan di bawah MECD dipecahkan kepada lapan kementerian dengan jaminan diberikan tentang kelangsungan dasar-dasar membantu pembangunan usahawan Bumiputera.

    Tidak hairanlah kalau pertukaran pegawai yang sudah biasa dengan sesuatu tugas itu berlaku dan timbullah keadaan yang mana mereka yang tidak biasa dengan sesuatu tugas itu mencorakkan tugas dengan cara berlainan.

    Kini, unit yang mengawasi MPPB ini telah dikecilkan kepada sub-unit dan Badan Petugas Pelaksanaan Nasional (NITF) yang fungsinya memberi fokus kepada pembangunan usahawan Bumiputera yang telah dimansuhkan hingga membuatkan tiada badan memberikan tumpuan kepada pembangunan usahawan Bumiputera. Sedihnya, kelam kabut semua kluster dan panglima yang hebat juga pening kepala.

    Persoalannya, apa sudah jadi dengan dasar yang cantik diuar-uarkan dahulu? Cerita lama masih belum selesai, timbul pula isu baru. Lebih malang, pegawai baru yang mungkin generasi XY yang tidak faham asal usul cerita berani mempersoalkan keputusan kerajaan. Agenda Bumiputera yang tersurat dan tersirat langsung tidak difahami. Namun kesannya sudah pasti usahawan Melayu yang benar-benar berdaya saing dan tulen itu bakal berkubur jika semangat panglima sebagai usahawan tidak berkobar!

    Itu belum lagi dikaji apakah yang sudah terjadi kepada kluster-kluster lain yang kononnya hendak dijuarakan? Kononnya ramai juga yang sudah kecewa tetapi sudah dilamar oleh syarikat luar negara. Sayang sekali, apabila orang luar menghidu potensi besar usahawan Melayu, dasar di Malaysia serba tidak kena! Sampai bila?

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    Pengukir perahu tambang


    UKIRAN SENI... Mohammad Julaihi dibantu isterinya, Hamsiah Kadir menyiapkan ukiran perahu tambang di Tebingan Kuching, Sarawak. – utusan/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN



    KUCHING 8 Jan. – Berbekalkan tekad menceburi bidang baru dan kesungguhan untuk menjayakannya, sepasang suami isteri dari Kampung Bintawa Tengah di sini, kini mula dikenali ramai menerusi ukiran yang mereka usahakan.Pasangan berkenaan menjadikan ukiran perahu tambang Sarawak sebagai kraf tangan untuk ditawarkan kepada para pelanggan dan ternyata pilihan mereka itu tidak sia-sia.

    Meskipun baru berjinak-jinak dengan bidang ukiran perahu tambang Sarawak itu sejak setahun lalu, usaha mereka membuahkan hasil apabila hiasan tersebut mendapat perhatian pelancong domestik dan antarabangsa.Pada mulanya bidang tersebut hanya dijadikan sebagai kerjaya sambilan bagi mengisi masa lapang tetapi melihatkan ukiran tersebut berpotensi, mereka mula mengusahakannya secara sepenuh masa.Apatah lagi kedua-dua pasangan tersebut kini mempunyai ruang untuk memasarkan produk itu dengan menyewa premis yang disediakan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di Tebingan Kampung Gersik yang bertentangan Tebingan Kuching, tengah bandar raya ini.

    “Kemahiran membuat ukiran perahu tambang ini saya pelajari daripada seorang kawan dengan sokongan suami yang turut mahir menghasilkan seni ukir.“Pada mulanya agak sukar mempelajari ukiran ini kerana ia memerlukan ketelitian, kehalusan dan memakan masa untuk menghasilkannya tetapi berkat keazaman dan kesabaran akhirnya saya mampu membuatnya malah mula menyukai bidang ini,” kata Hamsiah Kadir, 35, kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.Hamsiah dibantu oleh suaminya, Mohammad Julaihi, 39, yang masih bekerja dengan sebuah syarikat sebelum berhenti pada Februari ini.Menurut Hamsiah, sebuah ukiran perahu tambang memerlukan tiga hingga empat hari untuk disiapkan.“Pada mulanya saya akan membuat badan perahu termasuk mengukir bentuk dalaman seperti perahu tambang sebenar dan kemudiannya dipasang bumbung.

    “Kerja-kerja di peringkat ini perlu dilakukan dengan teliti kerana jika tidak, ia akan menyebabkan keseluruhan perahu tambang akan rosak kerana ia membabitkan kerja-kerja melekat dengan gam,” ujarnya.Bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasilkan perahu tambang Sarawak ini adalah buluh, kayu, papan lapis, gam, pisau pemotong serta cat semburan.

    Hamsiah berkata, apabila sudah siap badan perahu dan bumbungnya, maka kerja-kerja mengecat akan dilakukan mengikut warna seperti perahu tambang sebenar yang beroperasi di Sungai Sarawak.Sementara itu menurut Mohammad, mereka telah menghasilkan kira-kira 50 hingga 60 perahu tambang dalam pelbagai saiz sejak setahun lalu.Menurutnya, ekoran ukiran yang unik dan menarik, hasil tangan mereka berdua itu telah diberi peluang untuk mengikuti promosi kraf tangan di Tebingan Kuching pada Julai lalu.“Perahu tambang ini dijual mengikut saiz dengan yang paling kecil pada harga RM25, sederhana (RM120 - RM150) manakala yang besar dan berkotak kaca dijual pada harga RM180 hingga RM200,” katanya.Mohammad memberitahu, mereka sangat berharap ukiran perahu tambang akan menjadi antara ikon untuk Sarawak dan terkenal ke peringkat antarabangsa.

    Katanya, dia dan isterinya berusaha meningkatkan hasil dan kualiti ukiran perahu tambang itu dan akan mengikuti promosi kraf tangan di Kuala Lumpur dan lokasi lain di dalam dan luar negara.

    “Saya bercadang untuk meningkatkan lagi kualiti pembuatan ukiran perahu tambang ini dengan menggunakan kayu belian sebagai badan utama dan memasukkan lagi elemen menarik terhadap hiasan ini.“Saya mahu ukiran perahu tambang ini tahan dan lasak supaya dapat memasuki pasaran antarabangsa,” ujarnya.Jelasnya, sebelum ini beliau mempelajari kemahiran seni ukir di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara di Jitra, Kedah.Mohammad memberitahu, ukiran perahu tambang seumpama itu belum lagi dihasilkan oleh mana-mana pihak kecuali ukiran jenis tebuk daripada sebatang kayu namun ia tidak begitu menampakkan ciri-ciri sebenar perahu tambang.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    Industri tani jadi 'mesin wang'

    KUALA LUMPUR 4 Jan. - Dengan hanya bermodalkan RM50, Ahmat Termizi Dollah Kusni, 50, dari Kampung Bukit Bangkong, Sepang berjaya menjadi jutawan dalam industri kerepek ubi kayu.Walaupun pernah tiga kali gagal, beliau akhirnya meraih kejayaan berkat kegigihan dan keyakinannya bahawa pertanian ialah suatu perniagaan.

    Menurut Ahmat Termizi, beliau mula terbabit dalam penjualan kerepek ubi kayu pada tahun 1986 dengan modal hanya RM50 dan sebuah kuali yang dipinjam untuk menggoreng kerepek ubi."Saya pernah tiga kali gagal sehinggalah pada suatu ketika saya terpaksa menjadi pemandu lori," katanya ketika ditemui di kilang syarikat Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd di Jalan Mempelam, Kampung Bukit Bangkong, Sepang, Selangor.Nasibnya mula berubah apabila beliau menubuhkan Jamirah Food Industries (M) Sdn. Bhd. pada tahun 1996.Ahmat Termizi, Pengarah Urusan syarikat itu berkata, beliau mempunyai beberapa lagi anak syarikat iaitu Jamirah Enterprise, JFI Marketing Sdn. Bhd. dan Gemba Marketing Sdn. Bhd.

    Pada tahun 2004 syarikat itu mendapat Sijil Amalan Baik Ladang dari Jabatan Pertanian sekali gus membuka lembaran baru untuk terus berkembang dalam perusahaan kerepek ubi kayu.

    ''Selepas 20 tahun saya bekerja keras, akhirnya saya berjaya menembusi pasaran luar dan hari ini hampir 20 peratus daripada keluaran kilang saya seperti kerepek ubi dipasarkan di luar negara seperti United Kingdom, Australia, Dubai dan Vietnam," katanya.Ketika ini kilangnya, yang mempunyai kira-kira 20 pekerja tetap, mampu menghasilkan 3.0 tan kerepek ubi kayu sehari.Menurut Ahmat, buat masa ini jualan kerepek ubi kayunya dengan jenama Agro Chips mencecah RM5 juta setahun iaitu 80 peratus untuk pasaran tempatan manakala selebihnya untuk pasaran luar negara.

    Sementara itu seorang lagi pengusaha, Mahathir Talib, 35, yang terbabit dalam bidang ternakan kambing secara komersial di Kampung Ulu Melaka, Alor Gajah, Melaka yakin sektor pertanian boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan jika bijak menggunakan peluang yang disediakan kerajaan.

    Katanya, potensi sektor penternakan sememangnya amat luas dan masih banyak lagi ruang yang boleh digunakan untuk mengembangkan lagi sektor itu.

    "Melihat kepada potensi ini saya nekad menubuhkan syarikat MP Livestock di Kampung Ulu Melaka Pindah yang mengusahakan penternakan kambing, bebiri, lembu dan kerbau," katanya ketika ditemui di ladangnya.

    Beliau berkata, pada permulaan operasi beliau mempunyai 60 ekor baka betina dan lima ekor baka jantan daripada pelbagai jenis baka kambing seperti Jamnapari, Boer, Rubian, kampung (katjang), Sanean serta bebiri Barbados, Lonte dan Malin.Menurutnya, ketika ini syarikatnya menjalankan usahasama dengan beberapa syarikat pembekal baka kambing di Malaysia selain membekalkan daging kambing segar.Mahathir hari ini berkata, kambing yang diternaknya berjumlah 400 ekor dan syarikatnya mampu membekalkan 800kg daging kambing segar setiap minggu."Harga kambing ketika ini memang baik dan saya mampu menjual pada harga sekitar RM450 hingga RM1,800 seekor bergantung dengan berat dan baka kambing," katanya.

    Beliau kini mempunyai kandang bersaiz kira-kira 93 meter panjang and 10 meter lebar di Kampung Ulu Melaka Pindah.Bagi Othman Abu Hassan, 50, dari Kampung Panchor, Durian Tunggal, Melaka walaupun bidang penternakan merupakan satu kerja yang mencabar, beliau tidak pernah berputus asa kerana yakin bidang ini boleh menjadi sumber rezeki utama jika diusahakan dengan cara yang betul.

    Bermula awal tahun 2004 dengan modal RM1,000 Othman membeli empat ekor kambing kampung dan pada pertengahan tahun, beliau membeli lagi 15 ekor kambing kampung berharga RM3,000.

    Setahun kemudian beliau mula membeli lembu pula. Bermula dengan empat ekor dengan modal RM3,200, beliau menambahnya kepada 51 ekor dengan modal RM75,000.

    Kata Othman, cabaran utama dalam penternakan ialah masalah penyakit dan jika ia berlaku pastinya kerugian besar yang terpaksa ditanggung bila ternakan mati dalam jumlah yang besar.

    "Setakat ini saya mempunyai 140 ekor lembu manakala kambing berjumlah 170 ekor," katanya.

    Kebanyakan binatang ternakannya diberi makanan dedak yang dicampur dengan daun kelapa sawit, rumput, gula merah dan sagu rumbia, katanya.Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Karim berkata, pada 2008 Malaysia terpaksa mengimport daging lembu sebanyak 103 ribu tan berjumlah RM883.9 juta sementara daging kambing pula 18 ribu tan bernilai RM188 juta.Menurut beliau Sarawak dan Sabah berpotensi untuk dijadikan pusat ternakan lembu dan kambing secara komersial kerana Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia mengiktiraf Pulau Borneo sebagai pulau bebas penyakit kuku dan mulut haiwan.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    2010 - harapan rakyat Malaysia..




    PADA tahun 2010 genap dua tahun Hamidah Mohamad Tahir, 54, berniaga aksesori dan pakaian di tapak lot KL Bazar di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur. Biarpun diusahakan secara kecil-kecilan, ia cukup bermakna buat Hamidah kerana hasil jualan itulah yang menjadi sumber pendapatan buat dirinya sekeluarga.Setiap hari sekitar pukul 9 pagi, Hamidah dan pembantunya mula sibuk memulakan operasi. Koleksi pakaian yang diimport dari negara seberang disusun cantik. Gelang tangan kristal yang dibeli dari Sabah pula diatur kemas dalam kotak.

    "Bagi saya, 2009 merupakan tahun yang paling 'sakit' buat golongan peniaga kecil. Kami terpaksa berhadapan dengan kegawatan ekonomi."Sedih dibuatnya. Stok barangan melimpah dan memenuhi segenap ruang kedai. Tetapi pelanggan yang datang membeli belum cukup untuk balik modal apatah lagi hendak untung. Pendapatan cuma cukup untuk melangsaikan wang pekerja, bil dan sewa kedai," luah Hamidah ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

    Hamidah tidak menyangka dia dihimpit keperitan sebaik 2009 membuka tirai. Anak kelahiran Gombak, Selangor itu menyangka dia dapat membawa pulangan modal dan keuntungan memberangsangkan seperti tahun 2008.


    RAKYAT diseru menyokong program 1Malaysia seperti yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (dua dari kanan).


    Sebaliknya, dia terpaksa meningkatkan usaha jualan ke sana ke mari dan tidak boleh bergantung pada jualan di kedai semata-mata. Inisiatif itu perlu dilakukan supaya dia tidak terus mengalami kerugian."Peniaga kecil seperti kami memang terasa kesannya. Pelanggan mula berjimat-cermat sehingga sanggup membeli produk tiruan yang harganya lebih murah. Perlu diingat, peniaga besar ada aset, pelabur dan wang sokongan sekiranya mengalami kerugian.

    "Tetapi bagi peniaga kecil, kami kena usaha dan kerja kuat. Untuk mendapatkan pinjaman bank agak sukar kerana kami perlu sediakan banyak dokumen dan penjamin. Persoalannya, siapa yang sudi menjadi penjamin?" luah Hamidah dalam nada sedih apabila ramai peniaga kecil terpaksa meminjam daripada ceti haram.Hamidah menyatakan pada tahun 2008, dia mampu mengaut keuntungan bulanan antara RM5,000 hingga RM8,000 ke atas. Namun pada tahun 2009, untuk mendapatkan hasil jualan sebanyak RM3,000 pun cukup memeritkan.

    Justeru, dia cukup berharap kerajaan mengambil langkah sewajarnya untuk meringankan beban peniaga-peniaga kecil. Misalnya, kerajaan perlu telus dengan mengumumkan keadaan ekonomi dari semasa ke semasa. Jadi, golongan peniaga dapat bersiap sedia dari segi tempahan produk, pekerja dan fasiliti yang lain.Ibu kepada tiga orang cahaya mata itu turut menyarankan supaya kerajaan dan pihak berkuasa buka mata terhadap para peniaga warga asing.

    Periuk nasi

    Kehadiran kelompok tersebut bagaikan menutup periuk nasi peniaga kecil warga tempatan. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk melariskan produk. Walaupun terpaksa menyewa tapak jualan yang mencecah RM4,000 sebulan ia langsung tidak menjadi masalah.Ini kerana gerai jualan mereka tidak putus-putus dikunjungi pengunjung yang ingin mendapatkan barangan murah biarpun ia produk tiruan. Hasilnya, mereka mampu memperoleh hasil jualan yang berlipat ganda."Peniaga tempatan sukar buat begitu kerana ia akan menyebabkan kami mengalami kerugian besar. Peniaga asing boleh menjual murah kerana mereka membeli produk-produk tersebut di negara sendiri pada harga yang lebih murah.

    "Misalnya, mereka boleh mendapatkan gelang tangan daripada pengilang pada harga RM2 dan menjualnya pada harga RM5 di sini. Pengilang pula menjual kepada kami pada harga mencecah RM5. Sebab itu kami terpaksa jual sekitar RM7 hingga RM10," kata Hamidah yang benar-benar berharap kerajaan melakukan sesuatu bagi menangani masalah tersebut.

    Hamidah sempat menyatakan tinggal sedekad saja lagi negara untuk mencapai Wawasan 2020. Jadi, beliau berharap pihak kerajaan sudah bersedia dengan pendekatan dan strategi yang boleh memantapkan ekonomi negara.

    Cabaran ekonomi

    Sebagai contoh, menawarkan beberapa program yang boleh memantapkan perniagaan usahawan kecil agar dapat berdaya saing dengan usahawan besar dalam mempertingkatkan ekonomi negara menjelang tahun 2020.Hari ini kita sudah memasuki tirai tahun 2010. Ini bermakna tinggal sedekad saja lagi untuk Malaysia melangkah ke Wawasan 2020 yang telah dibentangkan oleh Tun Mahathir Mohammad pada Mesyuarat Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991.

    Barangkali segelintir pihak sudah lupa tentang Wawasan 2020 yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara industri dan maju menjelang tahun 2020.Kemajuan yang dimaksudkan meliputi aspek ekonomi, politik, sosial, kerohanian dan kebudayaan. Dalam menentukan kejayaan misi tersebut, terdapat sembilan cabaran yang perlu diharungi. Namun secara rumusannya kesemua cabaran itu lebih tertumpu pada bidang ekonomi dan hubungan perkauman.Dalam cabaran kelapan, tertera iltizam berkaitan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Maksudnya, masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama. Wujud perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.


    JIKA apa yang dirancang berjalan lancar bukanlah sesuatu yang mustahil pendapatan rakyat Malaysia menyamai pendapatan penduduk Singapura. - Gambar hiasan


    "Keadilan ekonomi yang dimaksudkan ialah keadaan ekonomi sesebuah negara yang tidak dimonopoli oleh satu-satu bangsa atau golongan sahaja."Contoh yang paling hampir apabila wujudnya tanggapan kaum Cina lebih tertumpu dalam bidang perniagaan. Manakala orang Melayu pula hanya menjadi kakitangan kerajaan. Persepsi itu harus diubah kerana pastinya terdapat dalam kalangan orang Cina yang ingin menjadi kakitangan kerajaan, begitu juga dengan orang Melayu yang mahu menjadi ahli perniagaan berjaya."Mengapa aspek ekonomi perlu dititikberatkan? Sebabnya, peranan ekonomi biasanya menjadi faktor utama yang digunakan dalam menentukan status sesebuah negara sama ada membangun atau maju," ujar Pensyarah Pengurusan Strategik Universiti Utara Malaysia (UUM) dan penganalisis ekonomi, Haim Hilman Abdullah.

    Misalnya faktor pendapatan per kapita, Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan tahap industrialisasi seringkali dijadikan asas penilaian. Faktor-faktor lain seperti Indeks Pembangunan Manusia yang menggabungkan aspek ekonomi, pendapatan negara, indeks jangka hayat dan pendidikan juga digunakan.

    Pada dasarnya negara maju mempunyai Indeks Pembangunan Manusia yang sangat tinggi. Sebagai contoh, kadar pendapatan per kapita rakyat Malaysia hari ini sekitar RM21,500 setahun. Kadar itu sangat jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan pendapatan per kapita rakyat Singapura iaitu sekitar RM106,000 setahun.Tambah Haim, membandingkan Malaysia dengan Singapura mungkin tidak begitu sesuai kerana republik itu mempunyai empat juta penduduk sahaja. Oleh itu, perbandingan terbaik untuk Malaysia barangkali ialah Korea Selatan dan Taiwan. Pada era 70-an, kedua-dua negara itu lebih mundur berbanding Malaysia.

    Namun kini, penduduk negara tersebut telah mencatat pendapatan tiga kali ganda lebih tinggi daripada pendapatan rakyat Malaysia. Inilah cabaran yang harus dilunaskan oleh kerajaan dan rakyat.

    Adakah Malaysia mempunyai masa untuk mencapai Wawasan 2020? Haim menyifatkan ia bergantung kepada kerjasama daripada semua pihak. Melihat situasi Malaysia pada hari ini sudah tergambar kesukaran untuk merealisasikan misi tersebut seandainya tiada sebarang perubahan terutama dalam model ekonomi negara.


    MEMBANGKITKAN isu perkauman yang mencetuskan kemarahan kaum lain hanya merugikan negara.


    Jelas Haim, satu model ekonomi baru yang terancang wajar digubal. Rakyat di segenap lapisan masyarakat perlu memahami inti pati model ekonomi baru itu dan tahu apakah peranan mereka. Usaha mencapai negara maju bukan terletak di bahu kerajaan sahaja, tetapi perlu turut disertai oleh pihak swasta dan rakyat.

    Tetapkan objektif.Justeru, dalam tempoh sepuluh tahun terakhir kerajaan perlu membahagikan beberapa fasa perancangan. Tetapkan objektif, strategi, program dan bajet secara terperinci.

    "Selain itu, kita perlu mengenal pasti PetunjukPrestasi Utama (KPI) bagi memastikan setiap yang dirancang mencapai sasarannya. Sasaran mencapai kadar pertumbuhan KDNK 5.5 peratus setahun atau lebih tinggi bermula dari 2011 sehingga 2020 mampu membantu negara menjadi negara maju pada tahun 2020," ulas Haim.

    Haim juga berharap Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) yang akan dibentangkan tidak lama lagi mampu menjadi memangkin persekitaran ekonomi yang mesra sektor perkhidmatan selain menitikberatkan aspek inovasi dan nilai tambah sektor pembuatan sedia ada.

    Usaha mewujudkan aspek servitization produk juga harus digembleng secara terancang. Ini kerana sektor pembuatan dan komoditi masih mampu menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

    Sekiranya semua dapat direalisasikan, maka adalah tidak mustahil rakyat Malaysia menjadi kaya empat kali ganda. Pendapatan kita juga setaraf dengan pendapatan rakyat Singapura, Korea dan Taiwan yang pada satu ketika dahulu sama taraf dengan rakyat Malaysia.

    Sementara itu, Pensyarah Sosiologi, Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Fatimah Daud menjelaskan, apabila ekonomi negara maju dan meningkat, rakyat akan gembira menjalani kehidupan yang stabil. Secara tidak langsung Wawasan 2020 dapat dicapai dengan sempurna.

    Dengan itu tercapailah hasrat mantan Perdana Menteri keempat, Tun Mahathir Mohamad agar Malaysia menjadi sebuah negara industri dan benar-benar maju menjelang tahun 2020 mengikut acuan kita sendiri.

    Daripada sembilan cabaran mencapai Wawasan 2020, cabaran terbesar yang perlu diatasi ialah cabaran sosial, psikologi, budaya dan politik. Maka, rakyat Malaysia harus berganding bahu dan elakkan daripada membangkitkan isu perkauman yang boleh mencetuskan kemarahan dan perbalahan antara kaum."Insiden ini perlu dielakkan sama sekali. Bayangkan apabila rakyat hidup dalam keadaan kucar-kacir dan bergaduh, bagaimana kita hendak bekerja dalam memantapkan aspek ekonomi negara?

    "Kesannya, kita mengalami masalah untuk menukar status negara kepada negara maju menjelang tahun 2020," ujar Fatimah yang menyarankan masyarakat tempatan menyokong program 1Malaysia yang dianjurkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    Bionic hasilkan cuka tempatan


    NIK NOR ZAINAL menunjukkan sebahagian produk syarikatnya di Bangi baru-baru ini.

    BANGI - Pasaran tempatan sebelum ini dibanjiri oleh produk cuka sintetik yang diragui kandungan dan proses pembuatannya.

    Menyedari kebimbangan tersebut, syarikat bioteknologi tempatan, Bionic Solutions Sdn. Bhd. menawarkan cuka buah-buahan yang mendapat pengesahan halal.

    Pengurus Besarnya, Nik Nor Zainal Abidin Mohd. Kamaludin berkata, pihaknya menghasilkan produk cuka buah-buahan dengan tiga perasa iaitu nipah, nenas dan mangga."Produk Cider Vinegar yang mula dipasarkan sejak akhir tahun lalu bukan sahaja menyediakan pilihan produk halal kepada pengguna tetapi ia adalah alternatif untuk produk-produk cuka berasaskan asid sintetik dalam pasaran tempatan."Alternatif ini penting kerana terdapat peningkatan kesedaran pengguna terhadap cuka gantian tiruan," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

    Jelas Nik Nor Zainal, Cider Vinegar juga bertindak sebagai produk penjagaan kesihatan kerana ia boleh diminum bagi tujuan menyahkan kandungan bahan toksik dalam badan.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    Syamille Agro Farm buka restoran daging


    MOHD. Zainuri di hadapan restorannya, The Butcher @ Syamille di USJ 21, Subang Jaya.

    HIDANGAN seperti stik dan daging panggang merupakan antara masakan barat yang popular dan sangat digemari oleh semua lapisan masyarakat. Sesekali mengubah selera, pilihan menu seumpama itu pastinya menawarkan kelainan daripada hidangan nasi berlauk yang menjadi santapan rutin bagi rakyat negara ini.

    Bayangkan betapa enaknya menikmati kepingan daging yang telah diperap dengan ramuan istimewa dan dipanggang secara rata sebelum dihidangkan bersama kelazatan sos.

    Ia pasti akan membuka selera sesiapa sahaja apatah lagi jika penyediaannya menggunakan daging segar yang dapat memberi lebih kepuasan dalam setiap kunyahan.Di sana sini terdapat banyak premis makanan ala barat yang menghidang menu ini dengan pelbagai pendekatan jualan seperti konsep koboi, kafe moden dan tidak kurang juga restoran mewah serta eksklusif.Selain keselesaan, pelaksanaan cara tersebut sebenarnya bertujuan untuk memberi pengalaman terbaik kepada para pelanggan ketika menjamu selera seiring dengan konsep makanan yang dihidangkan.Mencari kelainan, restoran The Butcher @ Syamille yang terletak di USJ 21, Subang Jaya telah tampil dengan konsep yang cukup unik dan menarik iaitu menerusi kedai jualan daging segar.

    Mungkin jarang didengar, namun bagi pemilik restoran, Mohd. Zainuri Mohd. Idrus, beliau mempunyai penjelasan tersendiri mengapa mengetengahkan konsep berkenaan.Ketika premis tersebut dibuka pada bulan Jun lalu, ia pada asalnya memang digunakan untuk tujuan aktiviti jualan produk daging segar.Ini kerana Mohd. Zainuri yang mempunyai ladang ternakan sendiri berhasrat menjadikan kedai itu sebagai pusat jualan untuk produk daging lembu dan kambingnya.''Semasa majlis pelancaran premis ini, ramai di antara pengunjung memuji keenakan makanan yang dihidangkan.

    ''Sejak itu, pelanggan-pelangan yang datang membeli daging di kedai ini pasti akan meminta kami memasakannya sekali,'' katanya ketika ditemui di kedainya baru-baru ini.

    Penerimaan baik itu telah memberi idea kepada beliau untuk menjadikan kedai tersebut sebagai restoran jualan makanan berasaskan daging.

    Konsep yang dipilih sememangnya unik kerana jarang kita temui perusahaan daging diusahakan secara kitaran lengkap.Ia bermula dengan proses pembiakbakaan, menternak, pengeluaran makanan ternakan dan baja kompos, memproses serta menjual daging segar dan akhir sekali disediakan sebagai hidangan.Kesemua bahan mentah daging kambing dan lembu diperolehi secara terus dari ladang ternakannya sendiri, Syamille Agro Farm & Resort yang terletak di Kampung Chuar Hulu, Kati, Kuala Kangsar.Beliau tidak menjual haiwan ternakan tersebut sama ada secara hidup atau pun telah diproses kepada pemborong kerana semuanya digunakan untuk keperluan kedainya.Bagi memenuhi keperluan sumber yang semakin meningkat, beliau kini telah memulakan projek ternakan di tanah seluas 50 ekar di Perlis selain bercadang membuka beberapa lagi ladang di Pahang dan Negeri Sembilan.Melihat kepada perkidmatan yang ditawarkan di restorannya, ia amat berbeza daripada premis makanan barat lain kerana menonjolkan pelbagai keunikan.

    ''Dekorasi restoran ini ditampilkan dalam bentuk santai dan ringkas untuk memastikan pelanggan dapat menikmati pengalaman seperti berada di rumah.''Selain itu, kesemua menu di sini disediakan secara sihat dan semulajadi tanpa penggunaan bahan penambah perisa, garam atau pun minyak''Pelanggan juga boleh menentukan sendiri berat daging yang ingin dipesan berdasarkan bajet dan banyak mana mereka mahu makan,'' jelas bapa kepada seorang anak itu.

    Bagi pelanggan yang datang secara berkumpulan, terdapat beberapa pakej disediakan untuk kuantiti hidangan yang bersesuaian.Restoran berkenaan mempunyai kaedah penyediaan makanan tersendiri dengan penelitian kualiti maksimum agar semua pelanggan dapat menikmati hidangan daging segar.Memandangkan pada asalnya restoran itu merupakan tempat memproses daging, ia telah dilengkapi dengan peralatan seperti bilik sejuk beku, bilik dingin, mesin memproses dan mesin vakum.Semua daging mentah yang baru tiba akan menjalani proses kematangan selama lebih kurang 21 hari untuk membuang tisu, darah dan lemak yang mengandungi kolestrol.Sepanjang aktiviti itu, daging akan disimpan di dalam pembalut nilon yang telah melalui proses vakum terlebih dahulu.Selepas itu, barulah daging-daging itu sedia untuk dijual secara mentah atau dimasak mengikut menu yang diinginkan pelanggan.

    ''Kita juga ada menjual daging yang telah siap diperap dengan ramuan khas di dalam pembalut nilon.''Untuk menyediakan hidangan itu di rumah, pengguna hanya perlu merendam daging bersama pembalut nilon di dalam air mendidih untuk jangka masa tertentu bergantung tahap masak yang diinginkan,'' katanya.Antara menu yang ditawarkan adalah daging lembu jenis Wa'gyu atau Angus dan kambing yang dimasak secara BBQ, panggang, goreng serta gril.

    Sebagai penambah perisa, masakan itu akan dihidangkan bersama tiga jenis pilihan sos iaitu sos lada hitam, sos coklat dan sos cendawan putih.Selain itu, terdapat juga beberapa menu tambahan seperti ikan yellow panggang, jejari kentang, kentang putar, piza, pasta, coleslaw dan juga kebab.Lebih menarik, pelanggan yang makan di restoran boleh memesan apa sahaja minuman panas atau sejuk secara percuma.Penerimaan positif terhadap restoran itu telah mendorong bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu untuk membuka cawangan The Butcher @ Syamille di Ampang selain sebuah lagi cawangan di Subang Jaya yang sedang dalam perancangan.

    Di samping itu, beliau turut menerima pelawaan daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk membuka cawangan restoran itu di sebuah lokasi di Serdang.

    Dari segi tenaga kerja, setakat ini beliau mempunyai empat orang chef yang akan membantu operasi di cawangan USJ dan juga Ampang.

    Restoran berkenaan dibuka setiap hari bermula jam 11 pagi hingga lewat malam.

    Bagi memperkembangkan produk makanannya, beliau turut mengambil inisiatif membuat jualan secara dapur bergerak atau katering untuk majlis organisasi dan parti keluarga.

    Bagi tujuan sama, beliau juga kini membuka tawaran mengkomersialkan restoran tersebut kepada pengusaha bumiputera yang berminat.Pada peringkat awal, tumpuan lebih diberikan kepada pengusaha yang ingin melaksanakannya di sekitar kawasan Lembah Klang.Ia melibatkan pelaburan antara RM100,000 hingga RM500,000 bergantung kepada saiz dan bentuk kedai serta produk yang ingin dijual.Mereka yang berminat boleh menghubungi Hiruddin di talian 012-3351010 atau Mustafa di 012-9111777.Maklumat lanjut mengenai restoran tersebut boleh diperolehi menerusi laman web www.thebutchersyamille.webs.com

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    Pengusaha tembikar pertahan warisan keluarga


    V.N. Ramadass (kanan) dan anaknya, R. Velavar menunjukkan pasu yang telah siap dibentuk sebelum melalui proses pembakaran.

    PERUBAHAN pesat teknologi serta cara hidup masyarakat terutamanya di negara ini dilihat telah menghakis sedikit demi sedikit budaya serta amalan tradisi yang diwarisi turun-temurun yang ada kalanya merujuk kepada identiti kepada sesuatu bangsa.

    Ini kerana, perubahan tersebut telah membawa satu peralihan yang besar kepada amalan seharian masyarakat yang moden lebih kepada mengikut acuan Barat bukannya budaya masyarakat sendiri.

    Bagaimanapun, perubahan cara hidup masyarakat sedikit pun tidak mempengaruhi serta mengubah pemikiran serta pegangan seorang pengusaha tembikar tradisional masyarakat India, V.N. Ramadass, 60.

    Beliau setia meneruskan tradisi pembuatan kraf tangan India berusia ribuan tahun yang diusahakan keluarganya lebih 60 tahun lalu.

    Sejarah tembikar India merupakan antara yang tertua di dunia dan dikesan bermula pada zaman Mehrgarh kira-kira 7,000 hingga 2,500 tahun Sebelum Masihi yang turut dikenali sebagai seramik neolitik dan kalkolitik.

    Penemuan tersebut ditemui di beberapa kawasan tapak arkeologi purba di Lembah Indus yang merupakan pusat tamadun dunia dan kawasan tersebut kini dikenali sebagai Balochistan, Pakistan.Bagi Ramadass, pembuatan barangan tembikar itu merupakan satu idea serta kreativiti tradisional yang perlu dipertahankan supaya tidak ditelan zaman terutamanya kepada generasi muda ketika ini.Menyingkap sejarah pembabitannya dalam industri itu, Ramadass memberitahu beliau telah mewarisi seni serta teknik pembuatan tembikar sejak berusia 12 tahun daripada bapanya yang merupakan seorang imigran dari India.

    Menurut beliau, bapanya, Vengadasalam, datang ke negara ini pada tahun 1946 iaitu selepas perang dunia kedua dan mengusahakan perusahaan tembikar secara kecil-kecilan di Batu 2, Jalan Keretapi Lama, Kuala Selangor untuk dijual dari rumah ke rumah pada waktu itu.

    Ketika itu katanya, pembuatan tembikar hanya menumpukan barangan dapur antaranya belanga, labu air, bekas makanan termasuklah beberapa barangan upacara keagamaan seperti pelita dan sebagainya dan dihasilkan menerusi teknik tradisional iaitu tangan serta alat yang dikenali sebagai 'pemutar' yang digerakkan menggunakan tenaga manusia.

    Pemutar atau spinner itu merupakan alat berbentuk bulat dengan permukaan rata yang dihasilkan sama ada daripada kayu atau batu serta dipusing bagi memudahkan membentuk tanah liat dalam bentuk-bentuk tertentu.Namun, pembuatan barangan tembikar berkenaan telah banyak berubah mengikut peredaran zaman bukan hanya dari segi cara pembuatan yang menggunakan bantuan teknologi moden tetapi juga produk tembikar yang dihasilkan.

    "Ketika ini saya hasil lebih daripada 20 produk dan ada di antaranya saya cipta sendiri termasuklah reka bentuk bagi memenuhi keperluan semasa pelanggan seperti bekas air dengan pili, tuku serbaguna dan sebagainya," katanya.Dalam pada itu, produk tembikar yang diusahakan oleh Ramadass juga menyerapkan beberapa elemen alam semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan menjalar, bunga, daun-daun serta motif binatang.Kesemua elemen berkenaan menurut Ramadass, telah digunapakai sejak ribuan tahun dahulu manakala ada corak direka semula dengan menerapkan unsur-unsur moden seperti garisan serta bentuk geometri.

    Untuk membuat tembikar yang berkualiti tinggi, Ramadass menggunakan hanya tanah liat yang bermutu yang dikenali sebagai 'ballclay' yang dicampur dengan pasir pada kadar yang tertentu sebelum dikeringkan kira-kira dua hari sebelum dibakar pada suhu yang bersesuaian.

    Melalui proses berkenaan, ia dapat menghasilkan barangan tembikar yang lebih kuat serta tahan lama kepada suhu, haba dan sesuai untuk tujuan masakan.Kesemua bahan mentah itu (tanah liat dan pasir) diperoleh dari kawasan Bestari Jaya, Kuala Selangor, yang dikatakan mempunyai sumber-sumber tersebut yang bermutu tinggi.Malah, menurutnya lagi industri itu turut memberikan pendapatan yang lumayan sehingga mencecah ribuan ringgit sekiranya dilaksanakan secara betul serta bersungguh-sungguh.Dari segi permintaan, Ramadass memberitahu, beliau banyak menerima tempahan dari dalam negara termasuklah pelancong-pelancong asing yang datang melawat Selangor.

    Ini kerana, pusat perusahaannya itu sebenarnya telah disenaraikan dalam peta pelancongan Selangor dan menerima ramai kedatangan para pelancong setiap tahun.

    Selain menumpukan kepada industri pembuatan tembikar, Ramadass turut menawarkan program latihan kepada individu serta organisasi yang berminat untuk mempelajari teknik tersebut menerusi sokongan serta kerjasama yang diterima daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Selangor.

    Katanya, program latihan itu akan mendedahkan para peserta mempelajari semua aspek dan teknik pembuatan tembikar daripada asas sehingga kepada proses-proses yang terlibat dalam penghasilan barangan itu.Malah, mereka yang berminat untuk menyertai program latihan itu boleh berbuat demikian sama datang sendiri ke pusat perusahaan tembikarnya atau menghubungi talian 03-32891054 untuk maklumat lanjut.Ditanya mengenai perancangan masa depan perusahaan itu, Ramadass memberitahu, beliau akan tetapkan meneruskan tradisi itu selagi beliau masih berdaya bagi memastikan budaya tradisi masyarakat tidak terhapus begitu sahaja.

    Malah hasratnya itu dilaksanakannya apabila beliau memperturunkan segala kemahiran dan bakatnya kepada anak lelakinya, R. Velavar, 30, yang kini banyak membantu beliau dalam menguruskan perusahaan kraf tangan itu.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments