Sedap Tapai Felda Bukit Waha


Suboh Bechek bersama tapai ubi di kedainya di Felda Bukit Waha, Kota Tinggi baru-baru ini.

KOTA TINGGI 3 Nov. – Jika Felda Semenchu terkenal dengan program inap desa di kalangan pelancong dalam dan luar negara, Felda Bukit Waha di sini pula popular dengan keenakan tapainya.

Individu yang bertanggungjawab menaikkan nama Felda Bukit Waha sebagai lokasi pembuatan tapai adalah Suboh Bechek, 54, dan isteri, Minah Janggi, 52.Tapai adalah sejenis makanan tradisional yang dibuat daripada beras pulut atau ubi kayu yang dimasak dan dicampur ragi.Pasangan yang dikurniakan tujuh orang anak itu memilih untuk berniaga tapai kerana sering didedahkan dengan pembuatan tapai oleh ibu bapa masing-masing.

“Kiranya sebelum berniaga tapai pun kami sudah sering makan dan melihat macam mana emak kami membuat tapai,” kata Suboh semasa ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tapai ubi dan pulut yang dihasilkan di bawah jenama ‘Sedap Tapai’ yang diedar menerusi syarikat Sedap Tapai Enterprise amat istimewa kerana diperbuat daripada ubi kayu kulit merah.Ubi kayu tersebut ditanam sendiri oleh Suboh di kawasan seluas 32 hektar ekar di beberapa tapak tanah di felda berkenaan.“Tapai saya sejak dulu lagi diperbuat daripada ubi merah kerana rasanya lebih sedap berbanding ubi kayu biasa. Saya beruntung kerana tidak pernah putus bekalan ubi sebab saya tanam sendiri.“Saya tanam ubi secara berperingkat-peringkat dan sebab itulah saya tidak pernah putus bekalan seperti peniaga lain,” katanya.Ubi-ubi yang ditanam bukan sahaja diguna untuk membuat tapai, malah dijual kepada peraih atau di kedai runcitnya yang terletak berhampiran pintu masuk utama felda berkenaan.Suboh yang telah menanam ubi kayu sejak 15 tahun lalu berkata, adakalanya ubi yang ditanam dapat mengeluarkan hasil sehingga 300 kilogram (kg).“Bagi yang sudah biasa makan Sedap Tapai, kita tidak boleh tipu mereka kerana tapai buatan kami tidak pernah berubah rasa. Pernah sekali ada penjual kata tapai Felda Bukit Waha kepada pembeli.

“Sebenarnya, tapai keluaran kami semuanya ada pelekat di penutup bekas. Itu yang membezakan Sedap Tapai dengan tapai-tapai lain,” katanya.Menurutnya, tidak ada beza antara tapai yang dibungkus dengan daun pisang, daun getah atau bekas plastik kerana keenakan dan kemanisan bergantung kepada cara pembuatannya.


Minah Janggi menunjukkan tapai pulut pelbagai perisa.

Katanya, tapai adalah antara makanan pencuci mulut yang remeh untuk dibuat kerana semua bahan perlu sekata dan mengikut waktu yang ditetapkan.“Faktor utama bagi memastikan tapai sedap adalah kebersihan. Saya tidak ada pantang larang dalam pembuatan tapai,” katanya berterus terang.Setakat ini, Suboh menghasilkan tapai ubi dan pulut yang dihasilkan dalam tiga perasa iaitu biasa, strawberi dan pandan.

Dia merancang untuk mencuba pelbagai perasa tapai dengan bimbingan Jabatan Pertanian pada masa akan datang.

“Alhamdulillah, setakat ini, tapai saya sudah menjadi hidangan kerabat diraja Johor dan ubi yang saya tanam pernah sampai ke Brunei.

“Kalau ada yang ingin membeli benih ubi kayu merah, saya tidak jual tapi bagi secara percuma. Begitu juga kalau ada yang tanya cara untuk membuat tapai, saya akan beritahu tanpa sebarang bayaran.

“Bagi saya, biarlah ilmu yang ada dikongsi bersama kerana biarpun resipi sama tetapi cara pembuatan selalunya berbeza,” katanya.Justeru, dia turut mengadakan bengkel pembuatan tapai dan sambutan daripada orang ramai amat menggalakkan.Selain membuat tapai, Suboh sekeluarga turut menghasilkan opak iaitu makanan macam keropok diperbuat daripada ubi untuk jualan, memelihara ikan tilapia, ikan merah, keli dan arnab.“Saya ini jenis yang tidak suka duduk diam. Selagi kudrat ada, saya akan cuba menanam atau memelihara apa sahaja.“Kalau kita rajin, pelbagai produk boleh dihasilkan kerana kalau projek itu bagus pasti pihak Felda akan bantu,” katanya.Pada yang ingin menempah tapai Sedap Tapai Enterprise boleh menghubungi talian 012-7039953 dan 012-7001807.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: