Belacan jadi penjana hidup.


Mesin membuat belacan yang banyak berjasa kepada Siti Zawiyah Abdul Aziz.

Konvoi menjejaki asnaf zakat diteruskan lagi. Perjalanan kami melalui lebuh raya yang cantik dari Shah Alam ke Klang, diisi dengan celoteh mesra dan gurau-senda para wakil media.

Kali ini, beberapa wartawan media tempatan akan dibawa ke Pangkalan Sungai. Udang Tampang, Simpang 4, Kampung Hamid Tuah, Teluk Gong, Pelabuhan Klang.

Lebih tepat lagi ke sebuah penempatan kecil nelayan. Nun di penghujung kampung, jauh dari kebisingan manusia dan di sanalah tinggal beberapa kerat manusia. Diulit kemiskinan dan amat sederhana kehidupan mereka.Ketibaan kami disambut dengan pemandangan sebuah mini kampung nelayan yang agak ketinggalan. Hanya ada kira-kira empat atau lima rumah.

Setiap rumah pula dihubungi dengan jambatan kayu uzur. Persis jambatan kayu yang dijadikan jalinan pengangkutan di Pulau Ketam. Bezanya, di Pulau Ketam lebih kemas dan kukuh, sedang di sini ringkas dan terasa seperti mahu roboh. Aduhai, gayat kaki tatkala memijaknya.

Destinasi kami menjejaki Siti Zawiyah Abdul Aziz, 46, akhirnya terkabul. Seorang ibu separuh baya, mendiami teratak kecil dan serba kekurangan bersama seorang suami dan enam anak.

Kehadiran kami disambut mesra. Juga bau hanyir penambang ikan buat memunggah hasil tangkapan menangkap deria bau.

Air berkocak kecil disapa tubir perahu yang berenjin sangkut. Minda saya bahagia menyaksikan alam bakau yang tenang. Namun saya sedar, kami ke sana atas maslahah ummah. Sebuah cerita perlu dikarang, demi tatapan semua.

"Saya memang berasal dari Tanjung Karang, manakala suami saya orang Negeri Sembilan. Sejak muda belia, suami saya memang sudah menjadi nelayan. Sebelum tercampak ke pedalaman ini, kamu sudah jenuh merantau". Demikian Zawiyah memulakan kisah.Wajahnya penuh kematangan, mungkin dek kerana puas digayuti pelbagai pengalaman hidup bersama suami, Abd. Wahab Mohd., 53.Hasil perkongsian bersama suami, mereka dianugerahkan enam anak. Anak sulung kini sedang bergelut dengan persiapan menghadapi Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia, Siti Nurazrin, 19. Anak kedua, Siti Nurizati, 18, pula baru sahaja menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Anak ketiga, Muhammad Zulfazli, 15, keempat Siti Nurhaida, 11, kelima Siti Nurlilah, 9 dan yang bongsu, Muhammad Amin, 8.

"Entah apa sebabnya, anak saya yang ketiga, Amin enggan meneruskan persekolahan. Puas dimarahi ayahnya. Tamat sekolah rendah, dia langsung tidak mahu menyambung ke sekolah menengah. Sebaliknya, dia lebih suka menghambakan dirinya kepada laut menjadi nelayan".

Keluh ibu separuh usia ini. Nampak, beliau seakan menyesali tindakan anak lelakinya itu.

Bagaimana pula meladeni kehidupan di perkampungan kecil nelayan ini? Itulah antara soalan cepu emas yang berputik di minda.

Serba terbatas

Sukar rasanya jika kami sendiri ditakdirkan harus tinggal dalam suasana yang serba terbatas. Di bawah lantai lumpur dan air, sedang kemudahan asas amat terbatas."Di sini saya tiada kawan. Kawan-kawan saya hanya di sekolah. Mereka amat jarang kemari. Ada tidak pun, hanya hari raya," luah anak kedua Zawiyah, Nurizati yang beroleh 2A, 2B dan 3C dalam SPM baru-baru ini."Jika diizinkan Allah SWT, teringin rasanya melanjutkan pelajaran. Saya mahu mengubah nasib keluarga. Saya bercita-cita menjadi guru ataupun pensyarah," kata Nurizati.

Tidak pernahkah diuji dengan kesusahan? Soalan itu sebenarnya tidak wajar ditanyakan lagi. Melihat kepada kehidupan mereka sekeluarga, sudah menawarkan jawapan yang pasti.

Lalu, saya mencungkil rahsia, ketika manakah mereka pernah menghadapi saat paling menyayat hati dalam meniti hari?

"Pernah suatu masa, kira-kira dua tahun lalu, masa itu baru 14 hari berpuasa Ramadan. Enjin sangkut perahu suami saya terjatuh ke dalam laut."Jenuh juga dia menanti di tengah laut, menunggu nelayan lain yang kebetulan lalu. Bagi kami orang laut, nelayan yang miskin dan tidak mampu ini, hilang enjin ibarat hilanglah sebelah kaki kami. Putuslah rezeki kami. Maklumlah, enjin baru bukan murah hendak dibeli."Semasa itu, kami benar-benar memerlukan wang bagi biaya hari raya. Namun, harapan kami musnah berkecai. Pada tahun itulah, kami menyambut hari raya tanpa sebarang persediaan.

"Tiada ketupat rendang dan kuih raya di dalam balang. Tiada samping baru atau baju baru. Memang macam hari-hari biasa. Sedih betul jika saya kenangkan semasa itu. Namun, anak-anaklah yang paling terasa," kata Zawiyah.

Sempat saya melihat ke wajah ibu enam anak ini, hampir-hampir sahaja 'awan mendung' menguasai emosi. Mujurlah beliau mampu melawan."Demi menampung pendapatan keluarga, saya mengusahakan belacan secara kecil-kecilan di rumah. Jadilah, dapat juga membeli apa-apa yang patut."Setidak-tidaknya, dapur berasap, dapat juga menanak nasi dan menggoreng ikan kering buat mengisi perut.

"Tapi, entah di mana silapnya. Selepas kejadian tsunami pada tahun 2004, secara mendadak permintaan belacan pun menurun. Mereka yang dahulunya selalu memesan belacan sudah menghentikan belian. Hingga hari ini, masih adalah sedikit-sedikit jualan," katanya lagi.

Lalu ibu separuh baya itu pun bangun mengambil sebungkus besar belacan yang baharu disiapkan dari bawah dapur. Dia menunjukkan, cakapnya bukanlah omongan; melainkan memang dibuktikan.

Bagaimana dengan pendapatan bulanan? Cukupkah lapan perut dengan rezeki laut ini, juga belacan yang kian kurang sambutan?

"Memanglah tidak cukup. Terfikir juga mahu berpindah ke tempat lain. Namun suami takut makin susah jadinya. Maklumlah, dia pelaut yang hanya tahu tentang pukat dan bot. Sungguh pun serba kekurangan; namun setakat ini kami masih mampu bertahan.

"Oleh itu, saya dan suami lebih mendahulukan anak-anak. Kami tahu, pelajaran itu penting bagi mereka. Jika nak diikutkan, memanglah memeritkan. Sebulan, jika suami dapat selalu turun ke laut, maka dapatlah dalam anggaran RM600. Sebab itulah, kami tidak mahu kekangan belanja membantutkan persekolahan anak-anak".Saya menabur umpan, sekadar ingin tahu perasaan ibu separuh baya ini selepas diberikan bantuan zakat."Syukur alhamdulillah, sungguhpun agak terlewat memohon bantuan zakat; namun kami dilayan dengan baik. Masa mula-mula dahulu, kami hanya dapat bantuan kecemasan sebanyak RM270.

"Namun, selepas didaftarkan sebagai asnaf miskin di LZS, bantuan datang bertali arus," jelas Zawiyah.

Ramadan dan Raya

Pada tahun 2007, kata Zawiyah, mereka sekeluarga mendapat bantuan Ramadan dan Hari Raya sebanyak lebih RM900. Kemudian, zakat untuk persekolahan anak-anak, iaitu kira-kira RM1,300.

"Kemudian, pegawai zakat memasukkan nama keluarga kami untuk bantuan bulanan pada tahun 2008. Bahkan pada awal Februari 2008, suami saya mendapat bantuan pula bagi membeli enjin sangkut dan juga pukat baru. Jika tak silap saya, harganya dalam RM6,471," tambahnya.Alhamdulillah, kata Zawiyah, hingga kini pegawai-pegawai daerah LZS selalu datang. "Bahkan mereka menawarkan rumah kepada kami. Cuma, suami yang khuatir jika kami berpindah, maka mata pencariannya hilanglah sudah."Sebab itulah kami masih cuba bertahan di sini," katanya.Kami melangkah pulang setelah agak lama berkongsi cerita di teratak kecil mereka. Tiada yang menarik di sana, kerana semuanya serba sederhana.

Namun, hati saya terusik dengan deruan air yang tercebur dek belacak yang terkejut, juga ketam-ketam merah yang ralit bertenggek di tepi lubang. Dalam hati, saya bersyukur kerana tidak diuji seperti ini.Maklumlah, sedikit kesusahan terkadang sudah menyesakkan, apatah lagi jika sudah menjadi penganan harian. Biar pun pepatah ada menyatakan, alah bisa tegal biasa; namun berat mata memandang; berat lagi bahu yang memikul bebanan.

Maka teringat saya akan firman Tuhan: Maka nikmat Tuhan-Mu, yang manakah kamu dustakan? (ar-Rahman: 13)

Catatan: LZS turut menawarkan tempat bagi anak-anak Puan Zawiyah bagi mengisi Asrama Anak-anak Asnaf Baitul Hasanah di Kg. Perepat, Klang yang bakal beroperasi tidak lama lagi. Ini demi memberikan keselesaan meneruskan pendidikan. Mereka yang berniat membantu, keluarga ini boleh dijejaki berdasarkan alamat di atas.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: