Batik, tenun berkembang
|
Perkataan batik sendiri merujuk kepada proses menghasilkan kain dengan menggunakan teknik terapan lilin bagi menghasilkan corak yang kemudiannya dicelup dengan pelbagai warna yang menarik.
Ia tidak termasuk ciri-ciri kepelbagaian coraknya dan penggunaan bahan-bahan lain yang sekali gus menyemarakkan lagi penghasilan batik.Apa yang membanggakan, batik negara juga berjaya menembusi dunia fesyen antarabangsa dengan motif-motif flora dan fauna yang kemudiannya digabung dengan corak-corak geometri atau abstrak.Batik blok yang merupakan antara teknik pembuatan batik yang terawal di negara ini diperbuat daripada kayu atau logam yang diukir dengan motif-motif bersesuaian untuk mengecap kain yang turut dikenali sebagai cop.
Selain kain kapas, penggunaan sutera dan organza dalam pengeluaran batik blok telah menghasilkan tekstil yang sesuai untuk rekaan fesyen, perhiasan serta kelengkapan rumah yang eksklusif.Selain batik blok, cara penghasilan batik yang lain ialah menggunakan teknik canting dan skrin.
Bagi tradisi menenun pula, ia masih dapat dikekalkan di negara ini dan tidak berubah sebagaimana beratus-ratus tahun dahulu.Alat-alat tenunan atau kek, motif dan ragam hiasnya serta cara menenun itu sendiri memperlihatkan keindahan dan kesempurnaan hasil ciptaan zaman silam yang masih segar hingga ke hari ini.Selain batik dan tenun yang menjadi warisan kebanggaan negara ini, songket dikatakan lambang kehalusan seni tenunan Melayu yang diwarisi zaman berzaman.
Kemahiran dan kreativiti tukang tenun terserlah melalui pengolahan corak dan hasil tenunan yang indah lagi menarik.Mengimbas sejarah penggunaan songket, motif dan warnanya melambangkan kedudukan seseorang.Sudah menjadi tradisi songket ditenun dengan menggunakan benang sutera halus dan benang emas serta dipakai oleh kerabat diraja Melayu dan golongan bangsawan.
Menyedari industri ini harus dikekalkan, agensi di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) iaitu Kraftangan Malaysia sekali lagi menganjurkan Promosi Batik dan Tenun Peringkat Negeri Melaka 2009 yang berlangsung di Dataran Pahlawan, di sini baru-baru ini.Penganjuran program itu dibuat berikutan sambutan yang amat menggalakkan daripada program yang sama pada tahun 2007 yang mencatat jualan sebanyak RM170,000.
Promosi yang diadakan mulai 30 Oktober hingga hari ini membuka peluang kepada masyarakat untuk melihat keunikan batik serta bagi mereka yang berminat untuk membeli hasil-hasil batik dan tenun sebagi koleksi peribadi.Promosi itu melibatkan 22 usahawan dari seluruh negara termasuk dari negeri ini, Perak, Selangor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.Selain tekstil, peserta turut mempromosikan produk dari seramik seperti labu sayong, pasu tembikar, perak, pewter dan aneka kraf tangan lain.
Promosi yang diadakan untuk kali ketiga ini merupakan satu usaha yang harus dipuji kerana ia memberi peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan serta memartabatkan industri kraf tangan negara.Ia juga membolehkan orang ramai melihat sendiri penghasilan batik serta tenun.Sekretariat penganjur program itu dalam kenyataannya memberitahu, Promosi Batik dan Tenun diadakan bertujuan menggalakkan penggunaannya sebagai hiasan dalaman dan fesyen pakaian masyarakat berbilang kaum.
Turut diadakan pada program itu adalah pameran produk dan fesyen terbaru daripada batik dan tenun untuk pasaran luar.Aktiviti lain ialah pameran hiasan dalaman batik dan tenun, jualan dan demonstrasi kraf tangan, belajar membuat batik dan pertandingan kraftangan.Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang lima hari program tersebut antaranya demonstrasi mencanting batik, menerap batik, menenun songket, persembahan kesenian, pertandingan kraf tangan serta permainan rakyat seperti dam dan congkak.Selain itu, pengunjung berpeluang menyaksikan dengan lebih dekat proses pembuatan kraf tangan yang membabitkan ketekunan, kesabaran dan daya kreativiti pengusaha.Apa yang menarik, pihak penganjur juga mengadakan pertandingan mewarna batik lukis di mana pengunjung boleh melukis dengan harga yang menarik iaitu serendah RM5.
0 comments:
Post a Comment