Restoran Amerika pertama


LEBIH 300 hidangan sehari dapat dijual oleh restoran yang diusahakan usahawan dari Singapura.


ENCIK Kim mahu lebih banyak kentang goreng? Bagaimana dengan hotdog Cik Park? Pernah dikritik sebagai empayar perniagaan Amerika Syarikat (AS) yang jahat sebelum ini, kini makanan segera itu sudah boleh didapati di Korea Utara.Terima kasih kepada usahawan Singapura yang telah melakar perancangan untuk meluaskan rangkaian selepas hanya beberapa bulan membuka premisnya yang pertama."Wujud potensi untuk membangunkan perniagaan di sana," ujar Patrick Soh, yang mengetahui prospek perniagaan makanan segera di negara komunis tersebut.

Soh, 56, merupakan pemegang francais Waffletown USA di beberapa buah negara di Asia. Walaupun rangkaiannya tidaklah terkenal seperti KFC, McDonald's, Pizza Hut dan Burger King, dia masih mempunyai cita-cita yang besar.Cawangan pertama Samtaesong (tiga bintang besar) atau Waffletown mula beroperasi pada bulan Mei selepas syarikat Soh mendapat lesen yang pertama kali diberikan kepada rangkaian restoran makanan segera.Burger yang dipanggil daging cincang dan roti untuk mengaburi hubungan makanan itu dengan AS menjadi tarikan utama restoran tersebut. Ia turut menjual kentang goreng, waffle rangup Belgium, ayam goreng dan menu terbaru, hotdog."Bukan orang tempatan sahaja menyukainya, pelancong asing pun sama," kata Soh ketika ditemui AFP di rangkaian Waffletown di Singapura.

Pada bulan ini, Soh akan membuat lawatan kali keempat ke Pyongyang untuk meneroka peluang membuka rangkaian kedua di sana. Jika semuanya berjalan lancar, pembukaan cawangan kedua akan bermula pada awal tahun 2010. Dia nampaknya tidak terganggu dengan masalah-masalah seperti kekurangan kuasa dan ketiadaan beberapa barangan di Pyongyang.Pengembaraan di Korea Utara bermula apabila dia dihampiri oleh seorang pelabur Singapura yang mengemukakan idea supaya membuka rangkaian Waffletown di ibu negara Korea Utara itu.

Burger

Enggan memberitahu nama pelabur atau menyatakan kos yang diperuntukkan untuk membuka restoran di Pyongyang, Soh menyatakan peranan utamanya ialah memulakan operasi dan melatih staf tempatan untuk mengendalikan restoran Samtaesong.Delegasi dari Korea Utara telah datang membuat kunjungan ke Waffeltwon di Singapura pada awal tahun ini."Mereka datang dan mencuba makanan di sini. Mereka sangat sukakan wafer, burger dan ayam goreng," tutur Soh sambil menikmati secawan kopi di sebuah kedai yang berhampiran Singapura Orchard Road."Mereka dapati kami menawarkan lebih banyak pilihan menu berbanding rangkaian restoran burger yang lain. Lagipun kami tidak menjual makanan ringan," katanya lagi.

Soh membuat kunjungan pertamanya ke Pyongyang pada November tahun lalu. Dia mengambil masa selama empat hari untuk meninjau tapak lokasi dan melihat sama ada konsep makanan segera boleh diterima di negara yang masih berpaksikan fahaman komunis.


PEKERJA-PEKERJA di Restoran Samtaesong di Pyongyang hanya memerlukan masa selama beberapa hari untuk dilatih menyediakan makanan segera ala Amerika.


Dia gembira apabila mengetahui bahawa lokasi itu merupakan kawasan pilihan di pinggir bandar Pyongyang. Ia terletak bersebelahan stesen kereta api bawah tanah dan hampir dengan beberapa buah universiti.Dia kembali semula ke Pyongyang pada bulan Disember untuk membuat persediaan bagi memulakan perniagaan. Daripada kerja-kerja susun atur bahagian dalam restoran sehinggalah menyenaraikan peralatan dapur serta bahan-bahan yang hendak dibeli.Bahan-bahan ramuan untuk ayam dan wafer merupakan antara barangan yang diimport dari Singapura. Cuma daging dan ayam dibeli di pasaran tempatan. Pengedar-pengedar menggunakan resipi Soh untuk menghasilkan roti dan pai kecil.

Latihan

Restoran itu membeli minuman ringan daripada kedai-kedai yang menyediakan produk yang sama kepada komuniti diplomatik dan menjualkannya kembali menggunakan cawan-cawan kertas.Pekerja tempatan cukup bijak dan bersemangat untuk belajar."Saya tidak memerlukan masa yang lama untuk melatih mereka. Selepas dua tiga hari saja mereka sudah mahir melakukan tugas," jelas Soh."Sejak Samtaesong memulakan operasi pada Mei lalu, pelanggan yang merupakan pelajar antarabangsa dari China dan Rusia terus datang untuk menikmati makanan di restoran yang seluas 23 meter persegi itu.Orang tempatan turut hadir dan sudah tahu makanan yang hendak dipesan.Harga ditetapkan dalam mata wang Euro, namun Dolar Amerika juga diterima ketika membuat pembayaran. Hidangan daging cincang bersama roti berharga di antara RM6 hingga RM8.64. Dianggarkan sebanyak 300 hidangan habis dijual setiap hari.Antara sajian yang paling mahal dalam menu tersebut ialah ayam goreng rangup yang dijual pada harga RM15.24 (3 Euro).Pendapatan per kapita di daerah komunis itu dianggarkan hanya melebihi 1,000 Dolar (RM5,081) pada tahun 2008. Tetapi ia sedikit pun tidak menyekat keinginan Soh untuk membuka lebih banyak rangkaian Samtaesong di sana.

Dia berpendapat masyarakat Korea Utara sudah gemar menikmati hidangan makanan dan persekitaran di dalam restorannya."Perkara ini masih baru buat mereka. Sama seperti ketika McDonald's baru pertama kali dibuka di Singapura.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: