Rohayati tabah dalam duka
|
LANGIT tidak selalu cerah. Demikianlah kehidupan Rohayati Yusuf, 43, yang kini mengerah tulang empat kerat bagi membesarkan tujuh anaknya selepas kematian suami pada Oktober 2008.Menceritakan kisah hidupnya, anak kelahiran Muar, Johor ini memberitahu, suaminya, Zakir Hussin Nor Mohamed meninggal dunia kerana penyakit bengkak hati.Sejak itu, beban yang digalas oleh Rohayati semakin berat. Ibarat kata pepatah, 'berat mata memandang berat lagi bahu memikul.'
Namun, beliau menggagahi melalui semua kepayahan itu apabila memikirkan masa depan anak-anak yang berusia dari tujuh hingga 21 tahun.Bayangkan, lima daripadanya masih bersekolah. Seorang di institut latihan dan anak sulungnya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor.
Untuk itu, Rohayati bingkas bekerja sebagai pembersih di Lembaga Zakat Selangor (LZS) Kuala Kubu Bharu, seawal pukul 7.30 pagi. Selepas tiga jam, dia balik ke rumah untuk membungkus jajan dan nasi lemak.Semua makanan itu adalah untuk diniagakan di hadapan Sekolah Rendah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu 1."Saya berniaga di sekolah dari pukul 1.30 hingga 2.30 petang ketika murid-murid keluar dari sekolah."Saya lakukan semua ini bagi membuktikan yang saya juga mampu berusaha dan berdikari untuk memberi makan anak-anak saya," katanya dalam pertemuan dengan Mega di rumahnya di Rumah Murah Padang Tembak, Kuala Kubu Baru, baru-baru ini.Turut menyertai ziarah itu ialah Pegawai Pena LZS, Majlis Agama Islam Selangor, Hamizul Abdul Hamid.Hasil keringatnya itu, membolehkan Rohayati memperoleh pendapatan sekitar RM600 sebulan.
Minat berniaga Rohayati bukanlah baru. Sebelum ini, dia pernah menjual cendol dan rojak menggunakan kereta sorong. Walaupun perniagaannya mendapat sambutan, ia terpaksa dihentikan apabila gagal mendapat lesen daripada pihak berkuasa."Memang berniaga itu cita-cita saya. Malah anak sulung saya pun melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan di UiTM."Sebabnya dia mahu membantu saya mencapai cita-cita tersebut yang sekian lama tertangguh akibat ketiadaan modal," katanya sambil membungkus jajan untuk jualan.
Sedang kami berbual tengah hari dalam bulan Syaaban itu, Rohayati menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada anak sulungnya, Norjahan, 21.Kandungan SMS itu antara lain berbunyi: "Mak, duit Along tinggal RM7. Kredit panggilan pun tinggal 20 sen ja. Nak top up pun tak berani. Kalau ada duit mak tolonglah masukkan. Ni, pun Along puasa hari-hari".Membaca SMS itu menyebabkan Rohayati menitiskan air mata. Manakan tidak, hendak dihulur bantuan dia sendiri kesempitan ketika itu. Wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) anaknya masih belum diterima.
"Macam mana ustaz, (Hamizul). Nak minta tolong dari jiran-jiran saya malu. Itu yang saya sedih sangat."Saya balas kepadanya, bila dapat duit bantuan LZS nanti saya akan masukkan segera," katanya sambil mengesat air mata.Menurut Rohayati, hal itu berlaku disebabkan anaknya mengambil semester tambahan bagi mempercepatkan pengajiannya.
"Masa itu, makan minum kena tanggung sendiri. Sebab itulah duit PTPTNnya tak cukup," jelasnya yang berusaha keras memastikan ada wang saku Norjahan sebanyak RM300 sebulan.Dengan azam membebaskan hidup daripada kemiskinan, Norjahan tekad belajar bersungguh-sungguh dan sudah dua semester mendapat Anugerah Dekan.Bagaimanapun, Rohayati bersyukur kerana di sebalik kesusahan dan kesempitan hidupnya, dia masih mendapat bantuan khususnya daripada LZS.
Katanya, sebelum mendapat bantuan LZS, kehidupannya jauh lebih susah. Malah dia pernah tinggal di garaj kereta untuk berteduh anak beranak."Masa itu, anak lelaki yang sekolah menengah akan ambil upah mencuci pinggan untuk bantu saya pada Sabtu dan Ahad. Anak perempuan pula ambil upah sebagai pencuci rambut."Nak menyambut hari raya bagi kami hanya bergantung kepada sedekah orang. Baju, kasut dan lain-lain semuanya orang bagi.
"Kalau ada barang yang masih elok dan pemiliknya nak buang, saya minta untuk anak-anak saya," katanya.Kata Rohayati, anak-anaknya juga seperti kanak-kanak lain selalu meminta dibelikan macam-macam."Ada yang minta makan KFC, McDonalds, ada yang minta kasut bola tetapi saya tak dapat belikan."Saya cuma kata, sabarlah bila ada duit nanti, kita beli."Baju-baju pun yang mampu saya beli hanyalah baju bundle," katanya.Di situlah, bermulanya dia mendapat bantuan LZS. Sejak tahun 2008, Rohayati menerima bantuan bulanan RM350 selain beras, gula dan tepung.Dia mengakui, bantuan LZS itu bagaikan memberi semangat baru untuknya berusaha lebih gigih menambah pendapatan.Selain itu, dia juga mendapat 'kaki' baru apabila mendapat bantuan motosikal terpakai untuk kegunaannya berniaga.
Lain-lain bantuan adalah bantuan Hari Raya iaitu RM1,000 dan bantuan pada awal sesi persekolahan sebanyak RM600."Kini, saya sedang mengumpul modal untuk membuka semula peniagaan cendol. Saya rasa RM500 cukup untuk memulakannya tetapi saya dah malu hendak minta bantuan lagi," katanya.Mengenai sumbangan yang diterima dari LZS, Rohayati amat berterima kasih pada LZS dan para pembayar zakat kerana bantuan itu meringankan beban hidupnya."Saya doakan mereka murah rezeki dan boleh bantu lebih ramai lagi orang yang senasib dengan saya."Ada yang salah anggap orang kaya pun dapat zakat tetapi saya nak beritahu, LZS utamakan orang yang lebih susah. Sebab saya sudah melaluinya," katanya.
0 comments:
Post a Comment