Pakai tudung ikut bentuk muka



TUDUNG boleh diibaratkan seperti rambut. Cara pemakaian atau penataan yang betul dapat membantu wajah nampak lebih kemas dan menarik.Tudung tidak boleh dipisahkan daripada busana. Tudung bukan hanya sebagai penutup kepala tetapi ia mempunyai fungsi lain.

Apabila memperkatakan mengenai tudung, pakaian yang dipakai akan tetap disentuh juga. Busana muslim tidak boleh terpisah daripada tudung.

Demikian menurut pereka gaya dan penulis beberapa buah buku fesyen Muslimah dan kecantikan dari Jakarta, Indonesia, Aju Isni Karim semasa ditemui pada bengkel pemakaian tudung di Butik Zahra, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Wanita biasanya membeli baju dahulu kemudian baru membeli tudung. Ramai yang tidak menyedari betapa pentingnya tudung. Baju yang mahal namun tanpa tudung yang kemas, tetap tidak akan nampak cantik. Ini kerana apabila berbual dengan seseorang, yang diperhatikan ialah baju."Tudung mempunyai peranan yang penting. Tudung lebih cantik jika dipakai bersama anak tudung. Ramai yang tidak ambil berat mengenai anak tudung kerana ia terletak di dalam dan orang tidak nampak. Ada yang membeli anak tudung setahun sekali.

"Anak tudung seperti pakaian dalam kerana ia berperanan menjadikan tudung nampak cantik,'' kata lulusan Sastera Perancis dari Universiti Indonesia ini.

Beliau berkata, setiap orang mempunyai bentuk muka yang berbeza. Tudung boleh membuatkan seseorang itu nampak tua, tembam atau tidak menarik. Justeru cara pemakaian tudung bagi setiap orang juga berbeza dan tidak mungkin cara pemakaian tudung sama dengan orang lain.Ujar Aju, anggap tudung sama seperti rambut yang boleh dibentuk mengikut kesesuaian bentuk muka.''Saya lihat di Malaysia ramai yang memakai tudung 'pasang siap.' Kelemahan tudung 'pasang siap' ialah ia sama saja di antara satu dengan lain dan pemakainya terpaksa menerima wajah yang terbentuk dengan pemakaian tudung itu. Yang penting bagi pemakainya ialah tudung itu cepat dan mudah dipakai.

''Tudung menceritakan keperibadian seseorang. Setiap orang memakai tudung kerana ingin nampak cantik, wajah nampak comel dan cerah.

''Untuk dahi yang besar, pilih anak tudung yang besar sementara wajah kecil pilih anak tudung kecil. Wanita yang mempunyai bahu besar, pakai tudung yang nipis kerana tudung yang tebal akan membuatkan wajah makin besar,'' sambung ibu kepada tiga orang anak ini.Tambahnya, pipi yang besar dan tembam boleh dikecilkan dengan memakai tudung yang menutup sebahagian besar pipi.Rambut yang diikat tinggi di belakang atau sanggul berperanan menjadikan tudung jatuh dengan cantik. Sanggul penting kerana apabila seseorang itu berjalan, tudung bergoyang-goyang dengan cantik.

''Yang berambut pendek, ikat rambut di belakang dengan kuat. Jika sanggul tidak besar, ikat dengan dua getah ropol yang dapat menjadikan sanggul nampak besar.''Pilih jarum yang panjang dan tajam untuk pin tudung supaya tudung tidak rosak. Buckle dapat membantu sebagai penghias tudung dan nampak bergaya.Aju berkata, pemilihan jenis kain juga memainkan peranan tudung nampak cantik dan mudah dipakai. Ada banyak jenis kain untuk membuat tudung seperti sifon, hycon nipis, hycon tebal, sutera krep dan bawal.

Bawal merupakan jenis kain yang selesa sebagai tudung kerana seratnya lebar, ada pengudaraan di kepala dan dapat mengelakkan daripada sakit kepala terutama apabila cuaca panas.

Mengenai solekan, kata Aju, ada hubungan di antara warna tudung dan mekap. Tudung berwarna kelabu, biru atau pastel bahaya jika wajah tidak disolek kerana akan nampak pucat seperti bangun tidur. Bagaimanapun jangan pakai mekap tebal, mungkin anda boleh mengenakan gincu nipis agar nampak lebih manis.Pelbagaikan memakai warna tudung, Jika suka hitam, jangan pakai yang itu saja. Tudung lama jangan dibuang kerana dua helai tudung boleh dikombinasi agar nampak dua ton warna.Fesyen adalah untuk semua usia. Justeru nikmati fesyen dan trend-trend terbaru bagi disesuaikan dengan tempat yang dituju.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: