1Malaysia, Mahathir dan Razaleigh

Mingguan Malaysia 2 Ogos 2009, melaporkan bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad "masih tidak faham dengan konsep 1Malaysia..." Dalam wawancaranya dengan akhbar yang sama, Tengku Razaleigh Hamzah juga mengatakan bahawa "laungan baru yang dinamakan 1Malaysia …pun masih samar-samar."Dr. Mahathir menambah, "ada yang melihatnya sama dengan slogan Malaysian Malaysia." Bagi Tengku Razaleigh, "Kalau tujuan (1Malaysia) untuk menarik sokongan orang bukan Melayu, ia akan merugikan orang Melayu pula. Saya tidak fikir slogan-slogan ini dibuat untuk satu kaum sahaja kerana kita perlu menarik sokongan semua rakyat…"

Tiga perkara yang dibangkitkan oleh dua pemimpin negara yang disegani itu, perlu diberi pertimbangan yang serius.Pertama, 1Malaysia bukan cogan kata yang samar-samar yang tidak dapat difahami oleh rakyat jelata. Makna, maksud dan matlamat 1Malaysia terkandung dalam namanya. Itulah kekuatan slogan ini berbanding dengan beberapa slogan yang lain.1Malaysia bermakna negara yang bersatu padu; bermakna perpaduan erat rakyat berbilang kaum dan agama. Seperti mana dijelaskan beberapa kali oleh pencipta idea 1Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, perpaduan ini akan dicapai berdasarkan Perlembagaan Malaysia, berpandukan prinsip dan matlamat Rukun Negara.Kedua, oleh kerana dasar dan garis panduan yang akan mengiringi kita dalam perjalanan ke arah 1Malaysia jelas dan jitu, sebarang usaha untuk menyamakan 1Malaysia dengan Malaysian Malaysia tidak berasas sama sekali.

Gagasan Malaysian Malaysia yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, dalam tiga ucapan beliau pada bulan Februari dan Mac 1965, mempersoalkan sejarah dan asal-usul negara Malaysia yang diiktiraf oleh Perlembagaan Malaysia.Walau pun secara formal Kuan Yew menerima Perlembagaan, ucapan serta tindakan beliau membuktikan bahawa beliau mempertikaikan beberapa fasal utama dalam Perlembagaan, termasuk fasal tentang kedudukan istimewa kaum Melayu dan bumiputera yang lain.Malaysian Malaysia juga mahu bahasa-bahasa lain seperti bahasa Cina, Tamil dan Inggeris diiktirafkan sebagai bahasa rasmi, yang sama tarafnya dengan bahasa Melayu. Ini adalah suatu cabaran kepada kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal yang termaktub dalam Perlembagaan.

Ia juga merupakan penafian terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan di rantau Nusantara sejak turun-temurun. DAP yang mewarisi Malaysian Malaysia daripada Kuan Yew terus memperjuangkan dasar bahasa ini yang bertentangan sama sekali dengan hakikat sejarah.Dalam soal bahasa, seperti mana dengan persoalan-persoalan lain yang berhubung kait dengan kaum, 1Malaysia berpegang teguh pada peruntukan Perlembagaan.Ketiga, oleh kerana Perlembagaan melindungi semua kaum, 1Malaysia tidak harus dikaitkan dengan kaum tertentu. 1Malaysia adalah untuk semua, termasuk warga Sabah dan Sarawak. Malah, warga Sabah dan Sarawak yang masyhur dengan sikap keterbukaan dan penerimaan mereka terhadap kepelbagaian budaya dan agama akan memain peranan penting dalam pembentukan 1Malaysia.

Anggapan bahawa 1Malaysia lebih cenderung kepada kaum tertentu -- khususnya bukan Melayu -- mungkin wujud kerana kerajaan cuba berlaku adil kepada semua kaum dalam perkara seperti akses terhadap biasiswa dan saham. Bertindak secara adil kepada manusia tanpa mengira latar belakang kaum, budaya, mahu pun agama adalah prinsip Islam yang disanjung tinggi.Lagi pun, ia selaras dengan Perlembagaan negara yang melindungi kepentingan kaum bukan Melayu dan bukan bumiputera yang sah, selain daripada menjamin hak Melayu dan bumiputera. Rukun Negara juga memberi penekanan kepada konsep masyarakat adil.Persepsi bahawa 1Malaysia tidak memanfaatkan kaum Melayu dan bumiputera mungkin juga muncul kerana perubahan-perubahan yang dibuat kepada peraturan-peraturan tentang kuota dalam sektor-sektor ekonomi tertentu dan keperluan-keperluan tentang saham dalam pasaran saham.

Ini adalah perubahan-perubahan pendekatan; bukan pemansuhan dasar. Dasar mempertingkatkan ekonomi masyarakat Melayu dan bumiputera yang lain secara adil, tetap dilaksanakan seperti mana terbukti dalam pembentukan syarikat Ekuinas untuk mengenal pasti usahawan bumiputera yang berpotensi dan memperkukuhkan kedudukan mereka. Pendekatan baru ini dicuba kerana kaedah lama tidak mencapai matlamatnya.Membetulkan persepsi yang salah tentang 1Malaysia merupakan salah satu daripada misi Yayasan 1Malaysia yang baru dilancarkan. Yayasan 1Malaysia juga akan berusaha mempertingkatkan kesedaran rakyat tentang faktor-faktor yang mempengaruhi perpaduan, termasuk sejarah, identiti dan asal-usul negara; akomodasi bukan bumiputera; hak dan tanggungjawab kewarganegaraan; dan destini negara berbilang kaum yang tercinta ini.Dari semasa ke semasa, yayasan juga akan menyampaikan idea dan pandangannya kepada kerajaan, pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan (NGO), agar melalui usaha kita bersama, impian 1Malaysia akan menjadi kenyataan. Insya-Allah!

Profesor Chandra Muzaffar

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: