60 peratus isi ikan

Keistimewaan keropok lekor 008 dikatakan terletak pada pilihan isi ikan tamban dan selayang segar. Hanya peminatnya yang boleh mengesahkan rasa lazat itu.



SOALAN lazim ditanya teman-teman yang bercuti di Terengganu kepada penulis ialah di mana mereka boleh beli keropok lekor yang sedap untuk dibawa pulang.Sebenarnya, agak sukar memberikan jawapan yang tepat. Sebabnya, Terengganu menawarkan begitu banyak pilihan keropok dan ia sememangnya tersohor dengan perusahaan tersebut.Bagaimanapun, selepas berbual dengan beberapa orang penduduk tempatan, ramai memberi saranan agar mencuba keenakan keropok lekor 008 yang terletak di pantai peranginan Kelulut, Marang.


Namun, apabila melihat kedai yang terletak di jalan utama Kuala Terengganu-Kuantan itu sentiasa dipenuhi orang, penulis terpaksa membatalkan hasrat untuk singgah walaupun sudah beberapa kali lalu di situ.Sehinggalah peluang itu datang baru-baru ini. Kebetulan pula tidak ramai pengunjung di kedai tersebut, sewaktu penulis pulang dari satu tugasan di Dungun.Kerana ingin menguji kebenaran tentang keenakan keropok yang menjadi sebutan ramai, satu bungkusan mengandungi 10 batang keropok lekor sepanjang kira-kira 13 sentimeter yang dijual pada harga RM2 pun dibeli.Hajat di hati ingin saja membuka bungkusan yang masih panas di meja yang tersedia di bersebelahan kedai. Namun, oleh kerana terpaksa mengejar waktu untuk menyiapkan tugasan, hasrat itu ditangguhkan.


PARA pekerja ini adakalanya menerima insentif khas sekiranya terpaksa bekerja lebih masa demi memenuhi kehendak pelanggan.

Sampai di Kuala Terengganu yang jaraknya kira-kira 20 kilometer dari pantai peranginan tersebut, penulis membuka bungkusan. Kebetulan beberapa rakan setugas turut ada bersama.

TEMPAT duduk disediakan bagi memudahkan pengunjung menikmati keropok lekor yang masih panas.

Menyesal. Itulah yang dapat dikatakan selepas menjamu keropok lekor, bukan kerana tidak sedap tetapi kerana tidak sempat untuk menikmati keenakan keropok kerana jumlah yang dibeli terlalu sedikit.


Gabungan ikan segar dan sedikit tepung sagu membuatkan keropok yang digoreng itu lembut seolah-olah menikmati keropok rebus. Sos pencicah yang disertakan bersama, menyempurnakan lagi keenakan makanan tradisi negeri Terengganu itu.

Adunan yang tepat amat penting bagi memastikan keropok sentiasa meneparti selera pembeli.


Rasa ingin tahu tentang rahsia keenakan keropok lekor tersebut membawa kepada pertemuan dengan pemilik perusahaan, Sulaimi Husin, 45 dan isterinya Norzizan Harun, 41 beberapa hari kemudian.Tanpa berselindung, pasangan itu memberitahu, rahsia keenakan keropok lekor banyak disumbang oleh buah fikiran para pelanggannya sewaktu mereka memulakan perniagaan kira-kira 15 tahun lalu.


KEROPOK lekor sepanjang kira-kira 13 sentimeter ini dijual pada harga yang sangat berpatutan.

Menurut Norzizan, pada awal perniagaan, ramai pelanggannya memberi pendapat masing-masing tentang keropok lekor yang di jual. Dengan menggunakan tip yang diberi, maka terhasillah keropok lekor 008 seperti yang ada pada hari ini.

"Tidak ada resipi rahsia, kami hanya menggunakan 60 peratus ikan segar dan selebihnya tepung sagu yang diadun menjadi keropok lekor," kata Norzizan.


RAMAI pelanggan sanggup beratur lama semata-mata untuk merasai keenakan keropok lekor 008.


Bagaimanapun, perjalanan hidup mereka tidaklah mudah. Kira-kira 27 tahun lalu, Sulaimi hanya mampu berangan-angan untuk hidup senang ketika bertungkus-lumus menebar pukat di laut lepas.Selepas hampir 10 tahun mengerah keringat dengan hasil yang tidak menentu, Sulaimi akhirnya faham bahawa laut bukan tempat paling sesuai buat dirinya untuk mencari rezeki.Anak kelahiran Marang, Terengganu ini juga tidak menemui keserasian apabila bekerja di sebuah kilang papan. Dia hanya dapat bertahan kira-kira setahun.

Buntu memikirkan tentang masa depan, tiba-tiba isterinya, memberikan idea untuk memulakan perniagaan keropok lekor, berdasarkan sedikit pengalaman yang dimiliki oleh suri hidupnya itu.

Jelas Norzizan, pada awalnya mereka menggunakan ikan tamban atau ikan selayang segar yang diambil daripada beberapa jeti berdekatan. Ikan sebanyak 20 kilogram (kg) yang dibeli itu hanya habis selepas dua atau tiga hari."Makin lama, makin ramai pula yang singgah ke kedai kami. Apabila pelanggan sudah kenal dan suka dengan keropok lekor kedai ini, mereka singgah lagi. Keadaan ini membuatkan kami terpaksa bekerja lebih keras dan mengambil beberapa orang pekerja," katanya.Kini, mereka mampu mengupah 48 penduduk tempatan untuk bekerja. Jumlah keropok lekor yang dihasilkan juga bertambah apabila lebih satu tan ikan digunakan. Malah adakalanya, angka itu mencecah sehingga dua tan ikan sehari kerana permintaan terhadap keropok lekornya semakin meningkat.Kadang-kadang dia terpaksa meminta orang ramai supaya membeli keropok lekor yang dijualnya dalam amaun sedikit kerana tidak mahu menghampakan pelanggan lain yang sudah beratur panjang. Jika tidak berbuat demikian, keropok lekor yang disediakan pasti tidak cukup andainya pelanggan terlalu ramai.

"Biasanya pada cuti sekolah atau cuti umum, ramai yang akan singgah di sini menyebabkan kakitangan kedai tak cukup tangan melayan pelanggan," katanya.

Bagaimanapun jelasnya, dia sedih jika terpaksa menghampakan pelanggan jika tidak mampu menyediakan keropok lekor secukupnya. Situasi ini membuatkan ada masanya dia memberikan insentif kepada para pekerja jika mereka bersedia untuk bekerja lebih keras."Pernah kami memberikan gaji harian lebih sekali ganda kepada pekerja. Ini sebagai penghargaan untuk kerja keras mereka yang sama-sama membangunkan kedai ini," katanya.Setiap hari Isnin hingga Rabu, kedai yang terkenal dengan angka 008 ini dibuka bermula pukul 9.30 pagi hingga 7.30 petang. Sementara setiap Khamis hingga Ahad pula kedai dibuka bermula pukul 8.30 pagi hingga 7.30 petang.Menurut Norzizan, antara pelanggan yang pernah singgah di kedainya ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang rupa-rupanya menggemari produk kedai 008.

"Ketika Datuk Ahmad Said datang beberapa bulan lalu, dia tegur saya. Saya tak sangka yang dia mengenali saya."Masa tu memang terkejut juga sebab MB kenal saya dan beritahu dia sering singgah beli keropok lekor di sini," katanya penuh teruja.Sementara itu, menurut Sulaimi, biarpun jenama keropok lekor 008 sudah menjadi sebutan sehingga ke luar Terengganu, mereka belum merancang untuk membuka cawangan kerana ingin memberikan tumpuan kepada kedai sedia ada.Kini, mereka sedang sibuk menaiktaraf ruang solat dan ruang rehat untuk pekerja, selain membina kemudahan-kemudahan lain.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: