|
ANIS AYUNI |
|
NORZAILINA NORDIN |
|
SALINA Ibrahim (kiri) sentiasa pandai membahagikan masa dengan tugas hakiki editor sebuah majalah, menulis novel dan menjadi penceramah undangan dalam bidang penulisan. |
Anis yuni, suatu nama yang cukup dikenali oleh peminat novel romantik. Nama sebenarnya Latifah Mohd. Yusof, anak kelahiran Bentong, Pahang dan kini bertugas sebagai Penolong Kanan Tadbir dan Kurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Saujana, Bandar Baru Sri Petaling, Kuala Lumpur.
Penulis yang menghasilkan lapan buah novel sejak 2002 dengan karya pertama, Suara Hati berkata, menjadi kaya semata-mata hasil menulis hanya wujud di Barat tetapi tidak di Malaysia.
''Ini kerana di Barat, jumlah cetakan sesebuah novel boleh mencapai hingga berjuta-juta naskhah kerana pasarannya meluas hingga ke seluruh dunia tetapi di Malaysia jumlah cetakannya hanya untuk pasaran di dalam negara, Brunei dan Singapura.
''Ini bermakna jumlah cetakan sesebuah novel tidak banyak. Jadi sukar untuk saya mengatakan seseorang penulis di Malaysia boleh menjadi kaya hasil daripada penulisan kecuali bagi penulis yang memiliki syarikat penerbitan sendiri dan mampu bersaing serta bertahan dalam dunia penerbitan yang penuh cabaran.''Di negara ini, bagi penulis yang ingin menjadi 'senang sedikit' hanya dengan duit royalti harus tahu memanfaatkan ganjaran itu dengan membuat pelaburan yang menguntungkan dan bukan membelanjakan sesuka hati. Ini kerana royalti yang diterima tidak banyak dan ada pula dibayar berdikit-dikit.''Pada saya, selalunya saya menggunakan royalti yang diterima dengan membuat pelaburan dalam hartanah, saham dan sebagainya.
" Hanya dengan cara inilah jumlah yang sedikit akan beransur-ansur menjadi banyak dan penulis akan menikmati kehidupan yang lebih selesa hasil daripada penulisan,'' katanya ketika ditemui di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor, baru-baru ini.Penulis yang mempunyai beberapa buah rumah kerana pelaburannya melalui hasil royalti itu memberitahu, penulis akan menerima bayaran royalti daripada penerbit setelah hasil karyanya diterbitkan.
Bayaran royalti
Bayaran royalti bergantung kepada jumlah cetakan buku dan kadar bayaran seperti yang telah dipersetujui dalam perjanjian.''Mengimbau penglibatan awal saya dalam bidang penulisan, walaupun karya pertama saya iaitu Suara Hati sudah diterbitkan, saya tidak tahu bagaimana kiraan bayaran royalti dibuat dan jumlah bayaran yang akan saya terima.
''Hal ini kerana saya tidak mengenali penulis-penulis senior untuk mendapatkan maklumat daripada mereka. Saya juga tidak bertanya kepada editor kerana pada ketika itu bagi saya yang lebih penting ialah manuskrip saya diterbitkan. Saya ingin membuktikan kepada anak-anak murid saya bahawa saya juga boleh menulis novel.''Alhamdulillah bayaran royalti pertama yang saya terima amat memuaskan. Ini sekali gus menyuntik semangat saya untuk terus menulis. Bagaimanapun dari awal pembabitan telah saya tetapkan hanya sebuah novel sahaja yang akan saya tulis dalam setahun tetapi kini saya menimbangkan cadangan pihak penerbit supaya menghasilkan dua buah novel setahun.
''Bagi saya menulis bukan semata-mata kerana bayaran royalti tetapi untuk memberi kepuasan diri sendiri dengan setiap novel yang dihasilkan.''Penulis yang berkarya dan mengharap untuk mendapatkan royalti yang banyak tentu akan berasa kecewa jika pendapatan yang diterima tidak seperti yang diharapkan,'' jelasnya yang sememangnya kelihatan hidup mewah dengan hasil penulisan novel. Beliau juga mengakui kemampuannya untuk melancong ke luar negara setiap tahun bersama keluarga melalui ganjaran royalti.
Sementelah pula mempunyai suami yang sememangnya pakar dalam menguruskan pelaburan hartanah telah memungkinkan Anis menceburi bidang tersebut.''Pembelian beberapa hartanah inilah yang boleh mengingatkan saya penat lelah dan idea yang dicurahkan dalam menghasilkan sesebuah novel."Sehubungan itu, adalah tidak rugi malah bakal memberi keuntungan di kemudian hari kerana hartanah ini akan meningkat dari tahun ke tahun,'' jelasnya yang sering mengadakan penyelidikan mendalam melalui Internet sesuatu isu yang bakal mewarnai novel cintanya.
Sementara itu, bagi penulis novel dan buku masakan yang juga selebriti chef, Norzailina Nordin mengakui memang ada di kalangan penulis di negara ini menerima pendapatan lumayan daripada bayaran royalti, tetapi hanya segelintir sahaja terutama yang telah terkenal.
Bagaimanapun, lumayannya hanya boleh ditakrifkan dalam lingkungan taraf kehidupan negara ini sahaja dan bukannya lumayan seperti penulis di Barat yang mencecah jutaan ringgit.''Lumayannya pendapatan penulis bergantung kepada jumlah jualan karyanya. Sekiranya novelnya memang laris seperti pisang goreng panas, maka banyaklah habuan diterima.
''Di Barat, dengan hanya sebuah novel sahaja telah boleh memberi mereka gelaran jutawan manakala di Malaysia, setakat ribuan sahaja."Penulis-penulis masih bertongkat-tongkat dalam menuju ke arah lumayan dan mungkin suatu hari nanti, kita akan mendengar jutawan penulis akan muncul di kalangan rakyat Malaysia sekiranya novelnya diterima oleh peminat dunia dan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa,'' katanya yang telah menghasilkan hampir 24 buah novel dan chef undangan di televisyen tempatan dan Singapura.Menurut Norzailina yang berjinak dalam penulisan sejak berada dalam tingkatan lima, penulis Malaysia hanya boleh digelar setakat 'senang sedikit' bukanlah lumayan dalam erti kata sejagat.''Ini kerana jumlah cetakan tidak banyak dan bergantung kepada jualan buku. Ganjaran royalti yang diterima oleh penulis bergantung kepada syarikat penerbitan yang dihantar karyanya. Setiap syarikat mempunyai kiraan yang berbeza, begitu juga dengan jumlah cetakan bagi sesebuah buku yang dihasilkan.
''Ada yang menerima 15 peratus daripada keuntungan dan ada yang 10 peratus daripada harga buku, itupun setelah ditolak harga kertas, kos percetakan dan kos-kos sampingan.
''Keuntungan itulah yang akan diperoleh oleh penulis. Selalunya penulis-penulis terkenal yang mempunyai peminat tersendiri akan menagih lebih keuntungan kerana peminat ini akan sentiasa menunggu-nunggu novel terbaru mereka,'' kata penerima 20 Most Prolific Women Writers of Malaysia oleh Great Estern-MPH Bookstore tiga tahun lalu.Melihatkan jumlah novel dan buku yang ditulisnya saban bulan dan tahun, Norzailina bolehlah dikira salah seorang penulis yang menerima pendapatan lumayan.Walaupun sentiasa merendahkan diri dan berselindung dengan kenyataan lumayan, namun beliau mengakui wang royalti yang tidak putus-putus diterimanya daripada pelbagai penerbitan sedikit sebanyak menambah simpanannya terutama digunakan untuk pendidikan anak-anaknya yang berada di menara gading.
''Saya suka hidup bersederhana dan tidak menggunakan wang royalti itu untuk bermewah-mewah tetapi dimanfaatkan untuk pelajaran anak-anak dan simpanan di hari tua,'' ujarnya yang berjiwa romantik sekali gus mempengaruhi gaya penulisannya yang banyak diambil daripada pengalaman diri sendiri, rakan-rakan dan adik-beradik.
Bagi penulis novel kemasyarakatan secara sambilan, Salina Ibrahim, lumayan atau tidak pulangan yang diperoleh setelah hasil diterbitkan sebenarnya bergantung kepada karya dan juga penerbit novel itu sendiri.Jika karya yang dihasilkan mampu menarik minat pembaca dan penerbit juga menjalankan pelbagai promosi untuk memperkenalkan novel tersebut di pasaran, maka tidak mustahil pendapatan yang diperoleh boleh mencecah ribuan ringgit hanya dalam tempoh masa tidak sampai satu tahun.''Jika tanya pendapat saya, jawapannya mudah, mungkin betul kerana novel pertama yang saya hasilkan pada tahun 2001, bertemakan kemasyarakatan mampu memberikan pulangan belasan ribu ringgit dalam tempoh setahun setelah diterbitkan.
''Sebenarnya sama ada anda mampu meraih hasil lumayan ataupun tidak ia bergantung kepada beberapa faktor dan boleh dikatakan dua faktor yang penting ialah karya dan juga penerbit itu sendiri.''Selain karya yang bagus dan boleh diterima pembaca, penerbit juga harus memainkan peranan penting dalam mempromosi dan memasarkan bahan terbitan mereka,'' ujarnya.Bagi anak kelahiran Perak ini, bermula tahun 2001 hingga 2008, beliau berjaya menghasilkan tujuh buah novel dan yang terbaru dua lagi novel masih dalam proses.Beliau yang juga merupakan Editor Pengurus Kumpulan Majalah Islam di salah sebuah syarikat penerbitan kini mampu mengukir senyuman kerana walaupun tidak memperoleh pulangan yang lumayan tetapi hasil wang royalti yang diterimanya, Salina sudah mampu membeli sebuah rumah, menukar kereta, membeli komputer riba, menunaikan umrah dan banyak lagi.
Bagi mereka yang ternanti-nantikan karya terbaru Salina Ibrahim, dapatkan naskah terkini hujung tahun ini.''Untuk novel kelapan saya ini, sudah 80 peratus hampir siap tetapi judulnya biarlah saya simpan dahulu.''Manakala untuk karya saya yang kesembilan, ia masih dalam proses penulisan tetapi saya sudah memulakannya,'' katanya mengakhiri perbualan.