Selatan: Terengganu Showcase kali ke-3 dapat sambutan

JOHOR BAHRU: Program jualan produk Terengganu, Terengganu Showcase 2009 berlangsung sekali lagi buat kali ketiga di sini, tahun ini membolehkan rakyat negeri Johor mengenali keistimewaan barangan buatan negeri pantai Timur itu yang dijual pada harga berpatutan.

Pada pameran selama empat hari bermula Khamis lalu, usahawan perusahaan kecil sederhana (PKS) Terengganu yang mengambil bahagian menjual barangan antaranya songket, pakaian batik, kuih muih, keropok, sos, hiasan tembaga dan ukiran kayu menerima sambutan menggalakkan dari rakyat Johor serta negara jiran, Singapura. Menariknya, ada antara pengusaha yang membawa peralatan membuat produk mereka dari Terengganu semata-mata untuk menunjukkan demonstrasi kepada orang ramai, termasuk kemahiran menenun songket, membakar biskut serta 'tart' di lokasi gerai supaya orang ramai dapat membeli produk segar dari ketuhar, selain ukiran halus pelbagai barangan kayu.

Seorang pengunjung, Atika Satiman, 24, berkata beliau tertarik dengan pelbagai kemahiran dan produk asal Terengganu yang ditawarkan dan dijual pada harga berpatutan. Katanya, beliau tidak perlu pergi jauh ke pantai timur untuk membeli barangan berkenaan dan berbelanja tinggi menaiki kenderaan atau pengangkutan, sebaliknya mengunjungi lokasi terbabit yang berhampiran rumahnya di Bandar Baru Uda, di sini. "Jualan ini sangat menarik kerana berpeluang membeli beberapa barangan Terengganu yang sukar didapati di Johor."Sekiranya program ini diteruskan pada masa depan, saya tentu akan mengunjunginya kerana terdapat pelbagai produk yang menarik minat saya," katanya yang bekerja sebagai jurujual di pusat beli belah itu. Difahamkan, Terengganu Showcase diadakan kali keenam tahun ini, selepas mendapat sambutan positif daripada orang ramai dan usahawan yang menyertai program itu.

Pada majlis perasmian program itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri Terengganu, Datuk Mohamed Awang Tera, berkata pemilihan Johor sebagai lokasi kali ketiga, adalah berdasarkan nilai jualan dan pasaran tinggi yang dicatatkan dua program terdahulu. "Kejayaan penganjuran memperlihatkan kewujudan satu perancangan kerjasama yang baik seperti ditekankan kerajaan iaitu membantu pembangunan usahawan PKS tempatan," katanya pada perasmian program itu di Plaza Angsana di sini, kelmarin.Hadir sama, Pengurus Besar YPUT, Azmi Razik dan wakil kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Negeri Johor, Datuk Maulizan Bujang; serta Pengurus Kanan Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd, Ashari Kasnan.

Terengganu Showcase 2009 dianjurkan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) bersama Kerajaan Negeri Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Pengurusan Plaza Angsana, bagi mempromosikan produk usahawan Terengganu dan negeri menerusi jualan produk asal Terengganu. Malah, penganjurannya turut memperluaskan pasaran usahawan Terengganu di samping mewujudkan jalinan kerjasama dengan usahawan negeri terpilih.

Mohamed berkata, program itu sudah diadakan di Miri, Sarawak pada November lalu, dan akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada Julai depan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: