Memartabat fabrik warisan
Pertunjukan fesyen ini diharap dapat meningkatkan pemakaian kain tenun yang menjadi warisan turun temurun, sekali gus mengangkat warisan dan budaya bangsa.
|
|
Kombinasi fabrik
Sesunguhnya persembahan koleksi yang dipamerkan cukup menarik tumpuan penonton. Ini kerana kumpulan pereka terlibat bijak menggabungkan fabrik warisan bersama seleksi fabrik moden seperti sutera sifon, sutera satin, organza dan renda.Kombinasi fabrik warisan dan moden yang diaplikasikan pada setiap helaian busana ternyata memberi impak yang mengujakan.Pada masa yang sama, pereka turut menggunakan deutches yang sangat popular iaitu tajaan gedung tekstil terkemuka, Gulatis dan Euro Moda.
|
|
Melihat matlamat penganjur untuk mengangkat fabrik warisan negara ke peringkat lebih tinggi dan berhasrat membawa fabrik warisan ke arena fesyen antarabangsa menerusi pemakaian masyarakat awam, sosialit dan selebriti, mungkin hasrat itu terlalu jauh untuk dikejar.Namun sekiranya dilihat dari sudut penerimaan pereka dan penghasilan karya yang dipertontonkan di pentas peragaan, mungkin usaha tersebut satu titik tolak yang positif.
Kelainan
Sebagai contoh, hasil karya Aidawati Saidin yang mengaplikasikan fabrik tenun bercorak kotak di bawah renda telah menciptakan nafas baru yang cukup segar.Begitu juga dengan Hatta Dolmat, Rizman Ruzaini, Chandra Shegar, Nik Erwan dan Calvin Thoo yang masing-masing mencari sudut kelainan tersendiri dalam mencetuskan hasil individualiti yang menawan.Dari sudut industri fesyen, apa yang diharapkan pertunjukan fesyen ini dapat meningkatkan pemakaian kain tenun yang menjadi warisan turun temurun sekali gus mengangkat warisan dan budaya bangsa.
Cabaran
Bagi fabrik warisan kita pula, keindahan setiap helai fabrik bukan sekadar apa yang tersurat dan yang menarik kita perhatikan tetapi segala yang tersirat di sebalik penghasilannya.Sebagai contoh, motif yang diketengahkan penenun lama banyak menyuntik ilham alam sekeliling seperti tumbuh-tumbuhan dan bunga-bungaan serta peradaban juga tertib masyarakat Melayu lama yang kemudiannya dihasilkan dengan penuh kecintaan.Adalah menjadi cabaran kepada para pereka apabila dinasihatkan agar terus memelihara keindahan dan ketertiban tersebut dalam usaha menghasilkan satu himpunan yang segar dan in trend.
|
|
Menurut urutan sejarah, songket dahulukala dipakai oleh golongan bangsawan. Bersesuaian dengan kedudukannya itu, hari ini hanya raja sehari yang memakainya.
Renda Perancis
Namun, kebelakangan ini, pengantin lebih gemar memilih fabrik sutera dan renda Perancis untuk dijadikan busana. Ini merupakan cabaran kepada penenun, di samping sikap masyarakat yang kurang menghormati bakat seni sedikit sebanyak menyumbang kehilangan 'orang seni' warisan tersebut.
FFKL juga bertindak mengetengahkan individu penting ini, iaitu penenun yang lazimnya bekerja di belakang tabir. Kumpulan penenun harus diberi penghormatan sewajarnya setanding seorang pereka fesyen.Dalam pada itu, konsep menampilkan hasil karya gabungan pereka fesyen dan penenun ini memang bagus dan akan menjadi satu identiti unik dalam bidang fesyen negara dan sekali gus membantu meningkatkan permintaan terhadap tekstil warisan tempatan yang harus terus dilaksanakan.
Bakat baru
Justeru, menerusi FFKL harapan mencungkil bakat-bakat baru untuk menghasilkan karya berteraskan fabrik warisan. Ia boleh berjaya dengan memberi kelonggaran kepada pengkaryaan, yang memberi tumpuan kepada sentuhan kontemporari.Jika India boleh berbangga dengan fabrik kapas India, sutera Thai (Thailand) dan renda Perancis, Malaysia seharusnya memartabatkan fabrik tenun yang boleh diangkat sebagai hasil karya warisan budaya negara.Ini kerana keunikan, ketelitian dan kehalusan pembuatannya bernilai dan bermutu berbanding fabrik biasa.Selain potongan moden dan kontemporari, masih terdapat potongan lama seperti baju kurung Johor, kebaya dan potongan cekak musang yang diaplikasikan oleh pereka pada karya mereka.
Bagi pemerhati fesyen, acara sebegini dianggap sebagai landasan kepada pereka muda memperkembangkan daya kreativiti bermain dengan fabrik mewah.Secara tidak langsung ia membantu mempromosikan pemakaian tenun dan songket dalam kalangan selebriti, penggiat seni dan generasi muda.Dalam pada itu, pihak penganjur berharap pertunjukan fesyen ini dapat meningkatkan pemakaian kain tenun yang menjadi warisan tradisi kita bukan saja di negara ini, bahkan di persada antarabangsa.
0 comments:
Post a Comment