Transformasi tudung


Tudung bercorak bunga-bungaan sesuai dikenakan dengan baju polos.

TAHUN 2008 dan 2009 merupakan tahun hebat bagi transformasi di antara tudung bawal ke tudung mudah pakai atau tudung pasang siap.

Rekaan tudung mudah pakai ini sentiasa bersilih ganti bagai cendawan tumbuh. Setiap bulan pasti ada rekaan terbaru atau perubahan dari jenis kain dan corak.

Jika rekaan tudung mudah pakai ini begitu agresif, samalah juga dengan orang yang memakainya. Setiap ada rekaan terbaru maka berebutlah juga orang yang hendak membeli. Maka tidak secara langsung, ramailah pula yang berniaga tudung mudah pakai ini.Pelbagai nama diberi pada rekaan tudung mudah pakai ini sama ada menumpang nama selebriti, orang kenamaan dan sebagainya.

Namun bagi pemilik Gedung Al-Habshee, Syed Hashim Al-Habshee, tudung terbaru keluarannya diberikan nama Al-Hawtha sempena nama kampung asal datuknya di Yaman.

Katanya, nama ini menjadi pilihan supaya ia tidak terus dilupakan dan agar diingati oleh generasi keluarganya.Menjelaskan mengenai tudung Al-Hawtha, kata Syed Hashim, koleksi tudung ini terdiri daripada yang bercorak dan polos. Tudung daripada kain polos atau tidak bercorak dibuat daripada jenis kain jersi yang dipanggil sebagai kain hujan panas kerana terdapat dua tona warna (warna di luar dan di dalam berbeza).Oleh itu, si pemakai boleh menggayakan baju yang mempunyai dua tona yang sama seperti dengan tudung.Sementara tudung yang bercorak dihasilkan daripada kain jersi Jepun yang berkualiti. Terdapat corak-corak abstrak, berbunga atau jalur dengan gabungan warna-warna terang.

''Kain jersi amat sesuai bagi membuat tudung mudah pakai kerana ia lembut, memeri, 'jatuh' apabila dipakai, tidak kejang atau keras, tidak kecut selepas dibasuh, tidak turun warna dan nampak cantik pada muka si pemakai dan lebih penting ia tidak panas. Selain itu, kualiti jahitan amat dijaga.''Orang yang berleher rendah memang sesuai dan cantik memakai tudung ini kerana jenis kainnya melekap di leher dan membuatkan leher pemakai nampak jenjang. Begitu juga dengan mereka yang bekerja memakai pakaian seragam. Tudung ini boleh dimasukkan ke dalam baju dan nampak kemas ,'' katanya semasa ditemui di kedainya baru-baru ini.Tudung Al-Hawtha cantik jika digayakan ke pejabat, majlis atau kasual manakala pilihan warna dan corak mudah disesuaikan dengan tempat yang hendak dituju.Menurut Syed Hashim lagi, bagi mereka yang hendak ke majlis, tudung Al-Hawtha polos boleh diserikan dengan jahitan manik, jemeki, batu kristal dan sebagainya mengikut kehendak pelanggan.

''Pelanggan boleh datang ke sini bagi memilih tudung dan pihak kami bersedia memberikan khidmat nasihat mengikut majlis yang hendak dihadiri oleh pelanggan.''Kami hanya menggunakan manik dan jemeki Jepun kerana ia berkualiti, tahan lama, kilauan tidak pudar, tidak mudah bercalar dan tidak kusam,'' ujarnya.Beliau berkata, pelanggan boleh memilih jenis manik mengikut bajet mereka dan upah bergantung pada jumlah manik yang digunakan serta corak pilihan.Tambahnya, mungkin ada yang tidak suka memakai tudung pasang siap ini kerana mempunyai bentuk wajah yang besar, persegi atau bulat dan bimbang wajah bertambah bulat apabila memakainya.

Bagaimanapun, kata Syed Hashim, tudung Al-Hawtha dibuat dalam beberapa saiz mengikut bentuk wajah pelanggan. Terdapat tiga saiz, iaitu S, M, L dan XL yang boleh ditempah oleh pelanggan.''Ada yang suka tudung yang pendek, terdapat pula yang mahukan tudung labuh menutup atas dada dan ada pula yang mahukan tudung labuh hingga menutupi bahagian dada ke bawah.''Justeru pelanggan yang berminat, boleh mencuba dahulu sehingga mereka berpuas hati. Kami memang menggalakkan pelanggan mencuba dahulu dan sesuaikan dengan majlis yang hendak dikunjungi. Kalau nak padankan dengan baju, bawa baju sekali supaya pihak kami boleh beri nasihat tentang tudung yang sesuai.''Bakal pengantin pun boleh menempah tudung yang hendak dipakai di majlis pernikahan atau persandingan. Selain dijahit dengan manik dan jemeki, bawa lebihan kain renda yang dibuat baju pengantin untuk ditampal pada tudung atau selendang,'' jelas Syed Hashim lagi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: