Skim cepat kaya memiskinkan rakyat

PEMBONGKARAN polis mengenai kegiatan skim cepat kaya di Bandar Sunway, Petaling Jaya kelmarin menggambarkan betapa masih ada rakyat yang mudah terpengaruh dengan janji-janji kosong segelintir pihak untuk memperoleh keuntungan segera.Tidak dinafikan faktor ekonomi yang kian mendesak ketika ini mendorong rakyat menceburi bidang perniagaan.Kebanyakan daripada mereka benar-benar berjiwa usahawan, namun tidak kurang juga kakitangan awam yang mencari pendapatan sampingan.Perniagaan jualan langsung (MLM) bukan semuanya palsu. Ada yang mampu menjadi jutawan setelah menceburi perniagaan itu hanya dalam tempoh yang begitu singkat.Namun rahsia untuk mengecap status jutawan seperti itu, ia juga perlu dimulakan dengan usaha gigih, tidak mengenal jemu, banyak berkorban masa untuk keluarga dan ia bukan datang bergolek.

Sindiket skim cepat kaya yang dibongkar di Bandar Sunway semalam, difahamkan meminta setiap ahli untuk melabur serendah RM10,000 sebagai permulaan dan mereka ini dijanjikan pulangan wang keuntungan sebanyak RM40,000.Hati siapa yang tidak terdetik apabila dijanjikan jumlah wang tiga kali ganda itu. Malah, ejen-ejen atasan atau upline akan membuktikan mereka mampu mencapai kemewahan itu dengan memiliki kenderaan mewah kepada setiap ahli-ahli baru yang sedang dipancing.

Itulah yang berlaku kepada lebih 100 bakal-bakal ahli yang hadir untuk mendengar taklimat atau demo mengenai syarikat skim cepat kaya itu di empat buah restoran, sebelum polis menyerbu dan menahan 59 ejen-ejen upline tersebut bersama 18 kenderaan mewah.Meskipun ini bukan kali pertama polis atau agensi penguat kuasa melakukan serbuan ke atas sindiket skim cepat kaya yang menipu pengguna, masih ada yang menjadi mangsa.

Sesuatu perlu dilakukan agar masyarakat kita tidak mengalami kerugian setelah terjebak dalam skim penipuan seperti ini.Sesi dialog dan taklimat mengenai baik buruknya skim cepat kaya haram itu juga sudah banyak kali diberikan, namun sebenarnya masyarakat kita sahaja yang masih belum sedar.Perlu disedari, keuntungan berlipat kali ganda itu bukannya datang bergolek, tanpa sebarang usaha. Tanyalah kepada mana-mana usahawan MLM yang telah berjaya, adakah mereka hanya tunggu di rumah sahaja sementara keuntungan masuk dalam akaun mereka?Sudah tentu tidak. Mereka perlu menjual barangan tertentu, perlu berjumpa ahli, mengadakan 'demo', perlu bersabar sekiranya hasil jualan itu tidak seberapa dan tidak seperti yang diharapkan.

Penantian mereka ini juga memakan masa berbulan-bulan. Malah ada yang menyifatkan mereka perlu 'jatuh' dahulu sebelum mencapai kejayaan.Oleh itu, kita hendaklah sentiasa beringat bahawa kewujudan segelintir pihak atau sindiket skim cepat kaya yang cuba mengaut keuntungan wang hasil titik peluh dan penat lelah orang lain semakin banyak di negara ketika ini.Ia sama banyak dengan masyarakat yang kian rasa terhimpit dengan kedudukan ekonomi dan perlu mencari sumber pendapatan, seterusnya mudah terpedaya dengan janji-janji palsu penganjur skim palsu ini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: