Memperbaiki sekolah dengan keusahawanan sosial

Hari Isnin lepas saya terlibat dalam menganjurkan sidang kemuncak keusahawanan sosial di London. Lebih seratus orang pemimpin politik dan pegawai tinggi kerajaan hadir sama.Sidang kemuncak ini merupakan satu langkah penting dalam rangka menyusun strategi keusahawanan sosial di sini. Strategi tersebut dijangka akan dilancarkan pada bulan September nanti, dan saya merupakan salah seorang yang bertanggungjawab menyediakan drafnya.Agenda utama strategi ini ialah untuk menjadikan kota London sebagai kota yang menerajui pergerakan keusahawanan sosial di peringkat global.

Agenda keusahawanan sosial memang mendapat sokongan daripada banyak pihak di sini. Dalam artikel saya sebelum ini, saya ada menulis mengenai salah satu projek yang saya uruskan, ialah projek untuk membantu usahawan sosial memenangi kontrak berkaitan temasya Olimpik 2012.Baru-baru ini saya mendapat dua lagi kontrak baru. Kontrak yang pertama ialah untuk mengkaji bagaimana model keusahawanan sosial boleh digunakan dalam sistem persekolahan di seluruh England. Kontrak yang kedua ialah untuk membantu Kementerian Kesihatan United Kingdom menjadikan usahawan sosial sebagai pembekal perkhidmatan dan peralatan kesihatan. Kedua-duanya amat menarik sekali, dan menunjukkan betapa model keusahawanan sosial semakin mendapat tempat dalam kehidupan rakyat Britain.Sama seperti perniagaan lain, keusahawanan sosial merupakan satu bentuk perniagaan yang bermatlamatkan keuntungan. Tetapi untung tersebut digunakan untuk kebaikan masyarakat. Maksudnya, setiap sen yang digunakan untuk membeli daripada usahawan sosial akhirnya akan memberi faedah langsung kepada rakyat.

Keusahawanan sosial menggabungkan efisiensi dan produktiviti sektor swasta dengan etika perkhidmatan awam. Hasilnya kita mendapat faedah daripada kedua-dua budaya kerja ini.

Saya amat berharap negara kita Malaysia satu hari nanti akan menjadi pemimpin utama gerakan keusawanan sosial di rantau kita. Jika diberi peluang, saya sedia berkongsi kepakaran dalam hal ini, terutama untuk memindahkan pengetahuan daripada England ke Malaysia.Saya melihat bidang pendidikan merupakan satu peluang besar untuk kita mengerakkan keusahawanan sosial.Sejak kebelakangan ini ramai yang memberi pandangan bagaimana sistem pendidikan negara kita boleh diperbaiki. Tetapi saya bimbang jika semua dasar pendidikan negara hanya diputuskan oleh beberapa orang individu di Putrajaya.

Seharusnya, semua ibu bapa dilibatkan dalam proses ini. Bukan setakat dalam proses awal penggubalan dasar sahaja, tetapi ibu bapa perlu terlibat setiap hari dalam usaha mempertingatkan kualiti sekolah di negara kita.Cara terbaik untuk melibatkan ibu bapa secara berterusan ialah dengan memberi mereka pilihan dan kemampuan untuk memilih sekolah yang mereka suka. Majoriti ibu bapa sekarang tidak mempunyai pilihan selain daripada sekolah yang berdekatan dengan rumah mereka sahaja. Ini perlu dirobah.

Bayangkan jika ibu bapa ada pilihan ke sekolah mana mereka akan menghantar anak-anak mereka. Sudah pasti sekolah-sekolah akan bersaing untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk memastikan pelajar di sekolah itu tidak berpindah ke sekolah lain.

Persaingan boleh diwujudkan dengan cara memberhentikan peruntukan yang diberikan terus kepada sekolah, lantas memastikan sekolah beroperasi sebagai sebuah perusahaan tersendiri. Mereka perlu menarik pelanggan dengan menawarkan perkhidmatan yang lebih baik daripada yang lain.Dalam kata lain, sekolah perlu berfungsi sebagai sebuah usaha niaga yang berteraskan matlamat sosial, iaitu memberikan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak.

Peruntukan yang sebelumnya disalurkan kepada sekolah boleh diberikan kepada ibu bapa melalui baucar untuk membayar yuran pengajian di sekolah pilihan mereka. Dalam kata lain, ibu bapa bertukar status menjadi pelanggan yang bebas memilih sekolah yang terbaik untuk anak-anak mereka. Mereka membayar dengan baucar.Jika sesebuah sekolah itu tidak cukup baik, maka bilangan pelanggan mereka akan berkurang dan mereka akan akan kehilangan sumber pendapatan. Sekolah yang gagal akan terpaksa gulung tikar.Ini mungkin satu idea yang radikal tetapi prinsipnya telahpun wujud di Malaysia. Contohnya apabila ibu bapa memilih tadika atau tuisyen. Mereka membuat keputusan berdasarkan harga dan kualiti. Cuma dalam kes tadika dan tuisyen, ibu bapa membayar dengan wang sendiri, bukan menggunakan baucar yang diberikan oleh kerajaan. Hakikatnya, asas sistem pasaran telah sedia ada dalam sistem pendidikan kita.

Sistem baucar akan memastikan bahawa pendidikan masih lagi percuma dan dibiayai oleh kerajaan. Hanya mekanisme penyaluran dana sahaja yang berbeza kerana sekolah-sekolah kini menjadi badan “swasta” yang bersaing untuk memberikan kualiti terbaik demi menarik pelanggan dan pembiayaan.Dana akan mengikut pergerakan pelajar, bukan mengikut sekolah. Malahan syarikat-syarikat korporat juga boleh dijemput untuk turut membantu membiayai kos yang perlu.Melalui cara ini, ibu bapa akan berterusan terlibat dalam proses pendidikan anak-anak mereka. Pada masa yang sama, etika keusahawanan sosial yang mendasari operasi setiap sekolah akan memastikan sekolah-sekolah “swasta” ini terus menghayati semangat perkhidmatan awam.

Mungkin ada yang bimbang dengan nasib golongan miskin jika sekolah-sekolah tidak lagi dibiayai oleh kerajaan. Untuk menjawab kebimbangan itu, kami di Malaysia Think Tank sedang bekerjasama dengan Yayasan Nursalam untuk menubuhkan sebuah sekolah untuk anak-anak miskin dan pelarian, dengan berteraskan semangat keusawanan sosial.

Anak-anak yang tersisih ini memang tidak mampu untuk membayar yuran pengajian tinggi untuk belajar di sekolah swasta. Tetapi model keusahawanan sosial akan membolehkan ia dibiayai dengan cara yang lebih kreatif.Kami akan menganjurkan majlis mengumpul dana di Kuala Lumpur pada 11 Julai nanti. Matlamat awal kami ialah untuk mengumpul sekurang-kurangnya RM50,000 untuk membayar gaji guru, membeli buku teks dan sebagainya. Kami amat mengalu-alukan sokongan anda.

------
Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Pengarah Malaysia Think Tank yang kini bertugas di London.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: