Bantuan Sosial vs Keusahawanan Sosial
Sekian lama rakyat Malaysia terutamanya mengambil pendekatan bahawa orang miskin, anak yatim, ibu tunggal harus dibantu terutamanya dari segi kewangan atau material yang lain. Bila tersebar didalam media massa tentang kesusahan atau kemiskinan sesebuah keluarga atau individu maka berduyun-duyunlah masyarakat menghulurkan bantuan. Bantuan yang mencurah-curah itu datang dari orang ramai dan juga pertubuhan-pertubuhan yang simpati dengan keadaan kemiskinan yang dipaparkan. Atas kemurahan masyarakat maka kehidupan individu atau keluarga tersebut berubah sekelip mata. Soalnya sekarang adakah kemiskinan tersebut akan berhenti disitu sahaja.
Artikel ini bukanlah untuk mempertikaikan hak orang ramai atau pertubuhan untuk menghulurkan bantuan atau menyatakan simpati mereka tetapi skop yang lebih luas harus didalami dalam mengatasi kemiskinan sesebuah keluarga atau individu tersebut. Bentuk bantuan sosial yang kita hulurkan itu adakah akan mencapai matlamat untuk mengatasi kemiskinan yang dihadapi bertahun-tahun itu. Dapatkah kita menjamin bahawa dalam masa beberapa bulan akan datang kemiskinan yang dihadapi itu tidak akan melanda semula. Berdasarkan pengalaman kita individu atau keluarga yang sama akan kembali meminta-minta selepas dua atau tiga bulan dan masyarakat tidak kembali membantu kerana masih ramai lagi yang perlu dibantu dan sedang menunggu giliran.
Pepatah Cina ada menyatakan bahawa berikan ikan dan ianya dapatkan dimakan untuk sehari tetapi jika mengajar mereka memancing akan memberikan mereka makanan untuk seumur hidup. Bermaksud jika kita memberi bantuan secara terus maka ianya akan memberi kelegaan untuk sementara waktu berbanding dengan mengajar mereka membantu diri mereka sendiri yang akan memberi kesan jangkapanjang. Disinilah berlakunya peranan keusahawanan sosial yang dijalankan oleh sebuah NGO di Malaysia iaitu Yayasan Pembangunan Nur Hikmah. Pada peringkat awal penubuhannya dalam tahun 2005 yayasan ini menyalurkan bantuan secara terus kepada golongan yang memerlukan seperti anak-anak yatim, miskin, terbiar dan juga ibu-ibu tunggal. Bantuan diperingkat awal ini adalah bagi mengukuhkan institusi rumah-rumah jagaan dan juga keluarga yang terbabit. Bantuan yang diterima dari orang ramai dan juga badan-badan yang bersimpati disalurkan terus kedalam empat kategori iaitu tempat berlindung yang selamat, pakaian yang memadai, makanan yang berkhasiat dan pendidikan yang sesuai. Setelah hampir 5 tahun bantuan sedemikian rupa disalurkan maka pihak yayasan kemudiannya mengambil inisiatif bagi membantu mereka dalam satu bentuk yang akan membolehkan mereka keluar dan berjalan dengan sendiri bagi meneruskan kehidupan.
Inisiatif keusahawanan sosial mengambil tempat dengan terlaksananya beberapa program keusahawanan seperti MangkukTingkat.com , BondaMama , Kedai Rakyat , Myza Collections dan Simbaza. MangkukTingkat.com umpamanya telah memberi peluang kepada lebih 1,000 orang suri rumah terutamanya ibu tunggal bagi menjalankan usaha dari rumah mereka sendiri. Dengan menyediakan sajian makan tengahari dan makan malam kepada pelanggan-pelanggan yang didapatkan oleh pihak yayasan mereka memperolehi pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan. Mereka tidak perlu mendapatkan peralatan tambahan atau pinjaman kewangan bagi memulakan usaha ini kerana pihak yayasan akan menyalurkan wang modal hasil dari bayaran pelanggan yang membayar sebelum sajian dihantar. Inisiatif ini mendapat liputan meluas bukan sahaja didalam negeri malah keluar negara dan mendapat perhatian dari negara-negara OIC bagi menjadikan usaha ini sebagai satu perniagaan bagi membasmi kemiskinan terutamanya kemiskinan bandar.
Inisiatif lain dibawah program keusahawanan sosial Yayasan Pembangunan Nur Hikmah telah banyak memberi kesan kepada golongan yang memerlukan sokongan untuk hidup seperti ibu-ibu tunggal, individu yang tidak lagi mampu untuk keluar bekerja akibat kecacatan atau menghidap penyakit kronik. Model bantuan yang dilaksanakan oleh pihak yayasan ini boleh dicontohi dalam usaha-usaha NGO lain menghulurkan bantuan. Ianya bukan sahaja boleh dilaksanakan kepada golongan miskin tetapi juga dalam bentuk bantuan kepada mangsa-mangsa bencana. Bantuan boleh dihulurkan dalam dua fasa iaitu fasa pertama dengan menyediakan bantuan bagi mereka bangun semula manakala di fasa kedua ialah bantuan bagi mereka meneruskan usaha untuk menyambung kehidupan.
Dalam kita menyusun bentuk bantuan yang perlu dihulurkan untuk inisiatif keusahawanan sosial perlu diingatkan bahawa bentuk bantuan hendaklah dalam bentuk yang tidak boleh ditukarkan kepada mata wang kerana ianya boleh menjerumuskan mereka kepada hutang berganda apabila ianya tidak dikawal. Banyak kes berlaku dimana modal yang disalurkan dalam bentuk kewangan akan dilupuskan bagi melangsaikan hutang-hutang lapuk atau mengadakan keperluan yang kurang perlu seperti membeli TV baru, melanggan saluran TV berbayar dan lain-lain.
Berdasarkan pengalaman Yayasan Pembangunan Nur Hikmah dalam menggerakkan inisiatif keusahawan sosial banyak perkara yang boleh dilakukan tanpa melibatkan pinjaman samada pinjaman modal berkelompok ataupun pinjaman yang melibatkan cagaran. Perkhidmatan atau barangan yang akan ditawarkan kepada pengguna itu sebenarnya boleh diraih modalnya dari pembayaran melalui proses pra bayar oleh pelanggan. Perolehan tersebut kemudiannya boleh dijadikan modal untuk memulakan perniagaan tanpa perlu mendapatkan bantuan atau pinjaman dari institusi kewangan atau agensi-agensi kerajaan.
Kita patut mengkaji semula akan ta'arif bantuan sosial yang diamalkan selama ini agar ianya betul-betul dapat membantu dalam jangkamasa yang panjang dan berterusan. Kaedah-kaedah perlaksanaannya kena dihalusi semula supaya lebih ramai yang mendapat manafat. Bantuan dalam kaedah 30% kelegaan hidup dan 70% modal keusahawan harus dipertimbangkan agar kesusahan serta kemiskinan dapat dibenteraskan sebaik mungkin. Namun demikian kita juga tidak boleh mengabaikan bentuk bantuan kepada golongan yang ditimpa bencana dan juga mereka yang tidak mampu membiayai kos perubatan penyakit kronik
0 comments:
Post a Comment