Mari Terokai Keusahawanan Sosial

Saya berkecimpung dalam bidang keusahawanan sosial di kota London sejak kira-kita tiga tahun lalu. Kini saya menguruskan tiga projek bernilai kira-kira RM2.5 juta untuk membantu keusahawanan sosial di seluruh England mendapatkan kontrak mengendalikan perkhidmatan kesihatan, pendidikan, dan juga untuk memenangi kontrak daripada pihak berkuasa sukan Olimpik yang akan diadakan di London pada tahun 2012.

Walaupun keusahawanan sosial masih baru, kerajaan Britain bersungguh-sungguh mahu membangunkannya. Malahan sebuah kementerian khusus telah diberi tanggungjawab menyelia strategi kerajaan terhadap keusahawanan sosial dan lain-lain organisasi dalam 'sektor ketiga'. Walaupun ekonomi United Kingdom kini merudum, komitmen kerajaan terus kekal.

Keusahawanan sosial bukan badan kebajikan. Keusahawanan sosial merupakan perniagaan yang bermatlamatkan memaksimakan keuntungan. Tetapi operasi perniagaan tersebut membolehkannya membantu menyelesaikan sesuatu isu sosial atau alam sekitar. Keuntungan tetap penting kerana hanya perniagaan yang untung sahaja boleh menyumbang kepada negara.

Model yang diguna pakai oleh keusahawanan sosial ialah model perniagaan kapitalis yang diserikan dengan etos untuk menyumbang ke arah pembangunan masyarakat. Bagi saya model enterprais sosial ini merupakan pelengkap, bukan pengganti kepada model perniagaan biasa.

Contohnya Restoran Fifteen di yang diusahakan oleh chef terkemuka Britain, Jamie Oliver. Jika kita menjejak kaki ke restoran tersebut, kita akan segera sedar bahawa ia merupakan sebuah restoran yang berkualiti tinggi. Harga makanan di situ pun boleh tahan mahal. Tidak ramai yang tahu bahawa ia merupakan sebuah keusahawanan sosial yang berjaya.

Fifteen ditubuhkan untuk melatih anak-anak muda yang tersisih daripada masyarakat agar mempunyai keyakinan diri. Restoran tersebut memberi peluang pekerjaan dan latihan intensif kepada anak-anak muda yang menganggur, ketagih dadah atau alkohol, serta yang terbuang dari rumah. Mereka dilatih untuk menjadi chef, pengurus restoran, dan pelayan restoran berkualiti tinggi. 'Graduan' daripada Fifteen dibantu mendapat pekerjaan lain setelah tamat latihan. Fifteen mula dibuka pada tahun 2002 dengan lima belas orang pelatih. Menjelang tahun 2007 ia mempunyai 90 orang pelatih dengan pusing ganti mencecah £4juta (RM21.2juta). Kualiti perkhidmatan anak-anak muda ini begitu diiktiraf sehinggakan mereka mendapat kontrak untuk menyediakan makanan kepada para pemimpin dunia yang hadir ke persidangan G20 di London baru-baru ini.

Contoh kedua ialah Bulky Bob's yang beroperasi di Liverpool. Syarikat ini ditubuhkan untuk mengurangkan jumlah perabut dan alat-alat elektrik seperti mesin basuh, televisyen, dan peti sejuk yang dibuang kerana ia boleh merosakkan alam sekitar. Biasanya khidmat memungut barang terbuang daripada rumah-rumah disediakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). Tetapi, PBT di Liverpool memberikan kontrak memungut barang terbuang kepada Bulky Bob's. Dengan cara ini, PBT tersebut menjimatkan wang kerana mereka tidak perlu menggaji pekerja jangka panjang. Semuanya diserahkan kepada pihak swasta, iaitu Bulky Bob's, yang jauh lebih efisien.

Dengan kontrak PBT tersebut Bulky Bob's menyediakan khidmat pungutan barang terbuang rumah ke rumah. Sekitar 65 peratus daripada barang yang dipungut di kitar semula. Bulky Bob's memperbaiki barang-barang tersebut untuk dijual semula dengan harga yang rendah. Ada juga yang diberikan secara percuma kepada mereka yang benar-benar tidak berkemampuan. Bukan itu sahaja. Syarikat ini juga melatih penganggur membaiki peralatan elektrikal, lantas memberikan kepakaran baru kepada warga tempatan.

Fifteen dan Bulky Bob’s merupakan contoh keusahawanan sosial yang agak besar. Kebanyakan keusahawanan sosial di Britain sebenarnya adalah perusahaan kecil. Contohnya ialah syarikat Catering to Order yang beroperasi di selatan London. Saya mengenali syarikat ini melalui salah satu projek yang saya uruskan. Pusing gantinya tidaklah terlalu besar tetapi sejarah syarikat ini amat menarik.

Pemilik Catering to Order ialah rakan saya yang buta dan berkulit hitam. Oleh kerana beliau sukar mendapat pekerjaan tetap, beliau memilih untuk menubuhkan syarikat katering sendiri. Disamping untuk menyara diri, matlamat beliau ialah untuk membantu mereka yang juga cacat penglihatan seperti beliau. Kini Catering to Order mempunyai empat belas orang pekerja. Semasa melawat pusat operasi syarikat ini, saya terpegun melihat para pekerja yang cacat penglihatan boleh menyediakan makanan yang berkualiti dengan begitu baik sekali. Mutu perkhidmatan syarikat ini terbukti apabila mereka memenangi bida terbuka untuk membekalkan makanan kepada pihak berkuasa Olimpik 2012.

Semua keusahawanan sosial ini mempunyai dua persamaan iaitu mereka mempunyai matlamat sosial yang jelas dan mereka menggunakan model perniagaan yang kompetitif. Ada yang mahu membantu orang kurang upaya untuk mendapat pekerjaan. Ada yang mahu memastikan anak-anak muda tidak dilanda keruntuhan moral. Ada yang mahu menyelamatkan alam sekitar. Tetapi semuanya bersaing untuk menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi di pasaran terbuka tanpa mengharapkan layanan istimewa daripada kerajaan.

Setelah tiga tahun bergiat membangunkan keusahawanan sosial di England, dan menjelajah ke pelbagai tempat di sini untuk mengembangkannya, saya kini yakin bahawa sudah tiba masanya negara kita juga meneroka dan membangunkan model perniagaan baru ini. Sewaktu ekonomi dunia sedang gawat, keusahawanan sosial boleh membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan tanpa menurunkan kualiti perkhidmatan awam. Kita tidak perlu bermula daripada kosong. Berdasarkan pengalaman saya, saya percaya banyak perkara yang telah dicuba di United Kingdom ini yang boleh di bawa ke negara kita.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

1 comments:

Unknown said...

boleh saya tahu, PBT tu apa ya?