Contohi semangat Korea Selatan

SELEPAS menggariskan langkah-langkah untuk menuju ke arah negara berpendapatan tinggi menerusi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Model Baru Ekonomi (MEB), Malaysia tidak menoleh ke belakang lagi. Negara ini giat berusaha menarik sebanyak mungkin pelaburan asing yang mampu menjana ekonomi negara ke arah yang disasarkan.

Ini kerana dalam menuju dan mencapai status negara maju, Malaysia memerlukan pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya enam peratus setahun dalam tempoh 10 tahun akan datang. Justeru, peranan sektor swasta amat penting bagi mencapai kedudukan tersebut.

Korea Selatan merupakan antara negara yang menjadi tumpuan Malaysia untuk mendapatkan pelaburan asing kerana kekuatan ekonominya, selain mempunyai hubungan dagang dan diplomatik yang sudah lama iaitu mencecah separuh abad.

Kekuatan ekonomi negara republik itu yang didorong oleh semangat bersaing yang luar biasa dalam kalangan rakyatnya boleh dijadikan contoh oleh Malaysia untuk menuju ke arah negara maju menjelang 2020.

Semangat itulah yang telah membawa negara republik itu di kedudukannya sekarang iaitu sebagai pengeluar utama kereta serta televisyen LED sekali gus mengalahkan Jepun yang merupakan ‘musuh tradisinya’.

Ia juga membantu Korea Selatan semasa krisis ekonomi dunia baru-baru ini apabila negara republik itu menjadi antara negara terawal yang berjaya keluar dari kemelut berkenaan.

Berdasarkan kejayaan yang dicapai itu, tidak hairan jika pada awal tahun ini sahaja, sebanyak empat menteri Kabinet Malaysia telah melawat Korea Selatan dalam melaksanakan misi perdagangan dan kerjasama antara kerajaan kedua-dua negara.

Ia diikuti dengan lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 26 Julai hingga semalam (29 Julai) bagi meyakinkan lagi pelabur mengenai kemampuan Malaysia dalam menyediakan infrastruktur pelaburan berimpak tinggi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: