LZS bantu Salina berdikari


SALINA mohd. Yatim berharap dapat menjadi pembayar zakat hasil daripada perniagaan kecil-kecilan yang diusahakannya.

BUKAN mudah mengendalikan kehidupan. Apatah lagi dengan status ibu tunggal pada usia yang masih muda. Ujian pasti lebih menduga. Pada anak-anak, mereka adalah sandaran harapan dan pembakar semangat masa hadapan.

Inilah secebis kisah Salina Mohd. Yatim, 35, yang mengisi ruangan Jejak Asnaf kali ini.

Ketika rombongan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tiba di sebuah apartmen bersaiz sederhana terasa nyaman sekali. Ruang tamunya bersih, ceria dan rapi.Salam berjawab dan perkenalan pun bermula. Ditemani ibu, Salina menyambut ahli rombongan dengan ceria."Sejak remaja saya suka hidup berdikari. Pada usia sangat muda, 17 tahun saya sudah bergelar isteri.

"Sebab itu, apabila ditimpa kesusahan, amat berat bagi saya untuk menceritakannya kepada keluarga. Jika boleh saya mahu hadapinya sendiri," demikianlah antara permulaan perbualan dengan ibu muda beranak tiga itu."Sayangnya jodoh saya tak panjang. Rumahtangga saya diuji dengan sedikit kemelut dan tanpa duga, suami menjatuhkan talak ke atas saya kira-kira tiga tahun lalu.

"Gelap rasanya dunia kala itu. Bayangkan, selama 13 tahun hidup mengikut suami ke rantau orang, saya langsung tidak pernah berkerja dan hanya menjadi suri rumah sepenuh masa," kata Salina.Meneruskan hidupnya bersama tiga anak pasca perceraian bukanlah suatu tempoh yang mudah. Selama setahun, hidupnya tidak menentu.Kala itu, air mata sering menjadi teman. Setahun itu jugalah, jenuh dia mencari pekerjaan dan setahun jugalah, beliau hanya berdikit-dikit memanfaatkan wang simpanan.

"Jujurnya, saya langsung tidak pernah terfikirkan perceraian. Memang benar kami ada masalah. Namun saya tidak menyangka sampai diceraikan. Saya tidak memikirkan hanya diri in, tetapi juga anak-anak," jelasnya.Hasil pernikahan, Salina dikurniakan tiga puteri, iaitu Puteri Syahira, 17, Puteri Nursyakila, 15, dan Puteri Nur Alisa, 10."Selepas bercerai, saya pulang ke kampung di Klang. Di kampung, keluarga saya bukanlah orang senang untuk tampil membantu. Saya faham, untuk hidup saya wajib berusaha.

"Malangnya, semasa itu saya langsung tidak sedar bahawa ada tempat untuk mengadu. Rupa-rupanya, di Selangor, ada LZS yang boleh saya sandarkan harapan," katanya.

Pada tahun 2008 anak sulungnya Puteri Syahira mendapat keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), iaitu 8A.Bukan main gembira anaknya itu untuk meneruskan pelajaran di sekolah berasrama penuh."Anak saya merengek-rengek untuk masuk ke sekolah berasrama penuh. Apatah lagi surat tawaran kemasukan sudah di tangan.

"Dia bercita-cita mahu belajar hingga ke luar negara. Baginya, dengan memasuki asrama penuh, pintu ke luar negara kian terbuka," kata beliau.Sayangnya, kata Salina, saat itu beliau tidak mampu untuk memenuhi impiannya. Bagaimana hendak menghantarnya ke asrama penuh, sedangkan untuk belanja harian di rumah pun tidak cukup."Lagi pun, saya memang memerlukan beliau sebagai penguat semangat saya. Saya tahu, tindakan saya itu mungkin tidak tepat. Tetapi, saya tiada pilihan lain.

"Sejak bercerai, sayalah ayah sayalah ibu. Segala-galanya di atas bahu saya. Andai kata saya sedar ada LZS kala itu…," katanya.Katanya, pernah anak-anaknya meminta nuget yang harganya RM1, tetapi itu pun dia tidak mampu membelinya.Lalu sejak tahun 2009, Salina sekeluarga mulai menerima bantuan LZS di bawah asnaf miskin."Memang agak terlambat sebenarnya, namun ia benar-benar amat bermakna kepada saya sekeluarga. Terasa benar bahawa banyak manfaat yang ada di sebalik zakat ini."Saya diberi bantuan sewa rumah dan juga bantuan saraan bulanan. Bagi saya yang masih baharu bertatih meneruskan hidup sebagai ibu tunggal, bantuan seperti ini amat besar ertinya," tambah Salina.Kini, LZS turut memberi bantuan peralatan bagi memudahkan dia membuat perusahaan kecil-kecilan di rumahnya.

LZS turut membekalkan sebuah mesin pengadun dan ketuhar kepadanya."Saya masih muda, maka saya harus berusaha. Alhamdulillah, kini saya banyak menerima tempahan baulu kemboja, roti, jem, kek cawan dan kuah rojak."Semuanya saya buat secara sederhana di rumah. Namun sambutannya menggalakkan. Letih juga sebenarnya bekerja seorang diri," katanya.Kata Salina, dengan perusahaan kecil-kecilan itu dia mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM750 sebulan."Namun, untuk menampung keluarga seramai empat beranak, memang masih belum cukup sebenarnya. Tetapi saya bersyukur kerana LZS banyak membantu. Saya berazam mahu keluar daripada kepompong asnaf ini satu hari kelak dan bergelar pembayar zakat," katanya penuh azam.Kepada semua pembayar zakat, kata Salina, budi baik anda amat bermakna kepada golongan sepertinya."Dengan sumbangan andalah, kami para asnaf dapat meneruskan kehidupan. Saya amat berterima kasih dan semoga Allah SWT sahajalah yang membalasnya," kata Salina.

lNota: Mereka yang berminat menempah kek, kuih, roti jala, baulu kemboja, kuah rojak dan sebagainya boleh menghubungi Salina di talian 012-907 1727.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: