Rahsia Kejayaan Jho Low...

Low Taek Jho memperjelaskan beberapa kekeliruan berhubung dirinya kepada Ketua Pengarang Kumpulan The Star, Datuk Wong Chun Wai.

DALAM temuramah eksklusif bersama The Star, Jho Low - jutawan muda dari Pulau Pinang yang menjadi terkenal kerana berpacaran dengan artis-artis Hollywood dan anak-anak Pak Arab yang kaya raya, telah menceritakan serba sedikit rahsia tentang dirinya. Ikuti temubual bersamanya;

STAR (S): Anda mengambil A-Level di Harrow (sebuah sekolah swasta berprestij di UK). Bagaimanakah pentingnya perkara itu kepada anda kini?

JHO LOW (JL): Terdapat beberapa perkara penting terutamanya dalam soal membina hubungan ketika saya berada di sana. Harrow menempatkan ramai anak-anak daripada keluarga berpengaruh dari Eropah, Asia dan Asia Barat. Di situlah saya bertemu dengan anak bekas Raja Jordan, antara lainnya.

Waktu itu juga penting bagi saya. Ketika itulah saya berjaya membina asas perhubungan penting demi masa depan. Itu amat penting, kerana saat itulah kita kenali mereka sebagai sahabat dan memupuk kepercayaan untuk masa hadapan, berbanding berjumpa seseorang sewaktu perjalanan kerjaya perniagaan anda.

Selepas Harrow saya melanjutkan pengajian di Wharton untuk memperluaskan jaringan. Sepanjang pengajian dari 1998 hingga 2005, ia menjadi tempoh perkembangan paling utama bagi saya. Saya percaya pada kerja keras dan ketekunan.

Tapi saya akui, kejayaan juga bergantung kepada berada di tempat yang betul pada waktu yang tepat dan berjumpa dengan orang yang betul digandingkan dengan perhubungan yang bersandarkan kepada kepercayaan.

S: Boleh ceritakan serba sedikit mengenai Kumpulan Wynton yang anda bina.

JL: Saya mengambil cuti selama satu semester sewaktu di Wharton untuk menubuhkan syarikat pelaburan dikenali sebagai The Wynton Group. Kami mempunyai modal awal sebanyak AS$25 juta (RM79.8 juta) kebanyakannya hasil pelaburan ahli-ahli keluarga saya dan rakan-rakan baik saya dari Asia Barat dan Asia Tenggara.

Kami bermula dengan banyak portfolio pelaburan dari seluruh dunia. Kemudian, kami mengambil keputusan untuk mengembangkan perniagaan dari membeli dan menjual saham awam kepada ekuiti persendirian.

Hari ini, pelaburan Wynton bernilai lebih AS$1 bilion. Apabila saya memulakan syarikat itu ketika masih menuntut di universiti, saya bermula dengan konsep SOHO iaitu kediaman berkonsepkan rumah dan pejabat. Tidak lama selepas itu, ia dijadikan satu entiti rasmi dan kami mempunyai pejabat di Malaysia, Singapura dengan berpangkalan di British Virgin Island.

S: Apakah saham terbaik yang pernah anda laburkan?

JL: Yang kelakarnya, ketika di universiti, saya menulis beberapa artikel untuk jurnal Wharton. Beberapa cadangan saya menjadi, tetapi sesetengahnya memang cukup teruk. Wharton mendidik kita melihat kepada pelbagai portfolio. Pada akhirnya, yang penting adalah pulangan dari hasil pelaburan kita dan juga kepelbagaian.

S: Di Asia Barat, di negara mana paling banyak anda luangkan masa?

JL: Saya bermula dengan hubungan yang dibina ketika saya menghabiskan banyak masa saya di London, khususnya dengan rakan baik di Kuwait, Abu Dhabi dan Arab Saudi.

Saya lihat begitu banyak peluang untuk rakyat Malaysia, terutama di Asia Barat kerana mereka memiliki aliran modal yang besar dan begitu juga sebaliknya dari Asia Barat ke Malaysia, di situlah terletaknya minat saya.

Walau apa pun, saya rakyat Malaysia. Saya seorang individu yang tidak melupakan negara asal saya dan percaya banyak yang boleh dilakukan untuk Malaysia. Tetapi bila anda sudah membina kepercayaan pelabur, anda perlu tunaikan apa yang telah dijanjikan.

S: Jadi siapakah yang anda kenali di Abu Dhabi?

JL: Saya mempunyai ramai kawan rapat dan kenalan baik di Abu Dhabi. Khususnya, saya bersahabat baik dengan Yousef Al Otaiba, bekas pengarah perhubungan antarabangsa di Pejabat Putera Mahkota dan kini duta Emiriyah Arab Bersatu (UAE) ke Amerika Syarikat (AS) dan Mexico. Yousef adalah anak kepada Dr Mana Al Otaiba, menteri minyak pertama UAE.

S: Anda kenali beliau ketika di Harrow?

JL: Tidak, beliau dikenalkan kepada saya oleh rakan-rakan. Sudah tentu, saya juga rapat dengan beberapa ahli keluarga diraja Abu Dhabi. Saya fikir perkara hebat tentang hubungan Abu Dhabi dan Malaysia adalah kedua-duanya benar-benar komited terhadap Malaysia dan saya rasa bukan sahaja boleh dilihat menerusi media hubungan baik di tahap kerajaan malah di kalangan sektor perniagaan.

Ada banyak kepercayaan daripada mereka dengan banyak syarikat Malaysia beroperasi di sana terutama dalam sektor pembinaan.

S: Apa hubungan anda dengan Hamad Al-Wazzan pula? (Hamad merupakan pelabur perbankan dan usahawan berjaya).

JL: Beliau rakan dari Wharton School dan muda beberapa tahun dari saya. Beliau merupakan sebahagian daripada ahli keluarga Al-Wazzan, kerabat berpengaruh di Kuwait. Bapa saudaranya juga merupakan orang penting di sana dan beliau adalah sahabat saya yang banyak meluangkan masa bersama sekumpulan rakan kami di New York, yang mungkin menjurus kepada artikel di New York Post, dan saya perlu menjelaskan perkara ini.

Saya banyak menghabiskan masa di New York dan mempunyai ramai kawan yang sama-sama menuntut di Wharton, akhirnya bekerja di Wall Street. Dalam pada mengumpulkan dana untuk pelaburan baru kami, kami percaya bahawa ia harus diperluaskan ke Asia Barat dan melihat kepada institusi pelabur di AS. Jadi kami banyak menghabiskan masa di New York.

Memang benar kami semua tinggal dalam satu apartmen, dipanggil Park Imperial. Tetapi tidak, saya tidak menyewa Park Imperial, tapi saya boleh katakan ia apartmen yang cantik. Kami 12 orang semuanya, jadi ia sebuah kediaman besar kira-kira 5,000 kaki persegi.

S: Jelas sekali ia disewa. Siapa yang membayarnya?

JL: Bukan saya atau Hamad. Ada seorang lagi rakan kami yang menyewa apartmen itu.

S: Adakah benar kadar sewanya AS$100,000 sebulan?

JL: Saya tak pasti tetapi saya boleh katakan bahawa saya menyumbang kepada bajet makanan.

S: Nampaknya macam seperti berkongsi rumah dengan rakan-rakan sekolah?

JL: Ya, semua 12 sahabat berkumpul di satu tempat dan meluangkan masa bersama kerana sudah lama tidak bertemu.

S: Semua pelajar Wharton?

JL: Sebahagian dari Wharton, separuh lagi Harrow. Laporan mengenai perbelanjaan mewah itu ditokok tambah. Sewaktu kami di sana, kami menikmati makan malam di restoran yang baik dan mereka semua datang dari keluarga berada, jadi mereka mempunyai kuasa berbelanja lebih. Dan kadang-kala rakan Wall Street menjemput kami menghadiri acara tertentu. Satu majlis yang dilaporkan New York Post merujuk kepada parti pertunangan seorang rakan.

S: Bagaimana perasaan anda apabila anda yang menjadi tumpuan sedangkan rakan-rakan yang lain berjaya mengelak daripadanya?

JL: Itulah paling menarik. Saya rasa mungkin ada kaitan dengan aspek dan gaya perhubungan kerana sebagai rakyat Malaysia, saya datang dari keluarga boleh dikatakan ok tetapi tidaklah sekaya dan sepengaruh orang-orang yang saya habiskan masa bersama yang juga sahabat baik saya. Secara umum, saya merupakan orang perhubungan yang suka menguruskan segala-galanya, justeru nama saya berada di mana-mana.

S: Jadi anda seolah-olah macam 'mangsa' di sini?

JL: Saya takkan kata begitu. Saya orang yang membuat panggilan, tempahan dan sebagainya. Melainkan jika kami pula dijemput rakan-rakan lain, jadi ada orang lain yang menguruskan perkara itu.

S: Adakah kerana mereka kurang teratur dan anda lebih tersusun?

JL: Tidak, saya rasa kerana kebanyakan keluarga mereka terdiri daripada pelabur saya.

S: Jadi dalam hal ini anda sebenarnya menjaga pelabur anda?

JL: Ya. Saya melakukan segala yang perlu. Saya memikirkan hubungan dengan pelabur bukan sekadar menguruskan duit mereka dengan baik. Walaupun bukan bidang tugas saya, tetapi jika sahabat saya kata dia mahu penerbangan segera atau hendak makan di tempat terkenal, saya akan berusaha mendapatkannya.

S: Betulkah bil di (kelab malam) Avenue mencecah AS$160,000?

JL: Saya rasa faktanya ialah ia adalah sebuah parti yang diadakan untuk meraikan pertunangan seorang kawan yang saya diberitahu mencecah kos sehinggaAS$160,000. Jika diserahkan kepada saya, tidak mungkin saya akan membelanjakan wang itu.

S: Jadi bagaimana dengan parti ulang tahun anda di Las Vegas?

JL: Sebenarnya sekumpulan sahabat rapat saya; sesetengahnya juga pelabur yang mengadakan kejutan parti hari jadi yang akan saya ingati sampai bila-bila dan cukup luar biasa. Saya rasa itulah gunanya sahabat akrab. Ia sempena sambutan ulang tahun ke-28 saya November lalu.

S: Adakah mereka menempah seluruh Ceasar's Palace untuk tujuan itu?

JL: Tidak, parti itu diadakan di tepi kolam renang Ceasar's Palace.

S: Adakah anda menghantar champagne Cristal kepada Lindsay Lohan?

JL: Saya fikir ada paten pihak cuba menggambarkan saya sebagai seseorang yang suka memesan champagne secara berlebihan. Tapi saya rasa fakta di sini, mereka perlu sedar bahawa terdapat beberapa majlis khas diadakan dan kebanyakannya bukan dianjurkan oleh saya.

Satu perkara yang saya mahu jelaskan di sini ialah, bukan saya mahupun abang saya yang membelanjakan AS$2 juta di St Tropez untuk berparti. Itu sama sekali 100 peratus tidak benar dari segi fakta. Ramai di antara kami iaitu antara 40 hingga 50 orang yang memesan minuman dan berehat pada malam itu. Bagi saya, kami semua bekerja keras. Sudah tentu, kami mempunyai kelemahan kerana di usia ini, orang akan mengganggap perkara itu sebagai sesuatu yang berlebihan. Pada akhirnya, saya menguruskan wang pelabur dengan cermat. Saya menjana pulangan untuk mereka. Saya bukan seorang yang boros tetapi saya akui saya memang meluangkan masa berehat bersama rakan-rakan.

S: Jadi anda bukanlah lelaki misteri yang disebut-sebut itu?

JL: Saya rasa mungkin saya dikenali sebagai lelaki misteri kerana orang tidak tahu apa-apa tentang saya. Dan saya harap selepas hari ini, ia menjelaskan banyak perkara.

S: Semua publisiti ini, adakah membantu atau menjadi penghalang kepada anda?

JL: Ramai orang bercakap kepada saya tentang ini dan jika ia boleh menjejaskan perniagaan saya ia adalah kerana ramai pelabur saya datang dari negara Islam.

Pertama sekali, perkara paling utama adalah kepercayaan. Jika anda tidak percayakan saya, anda tidak akan percaya saya melabur wang anda. Keduanya, ia adalah fakta yang diperbesar-besarkan. Ketiga, dengan tumpuan media yang besar, walaupun amat mencabar, saya anggap sebagai cabaran untuk memperbaiki diri. Saya mengambil keputusan sudah tiba masanya untuk saya muncul dan jelaskan fakta-fakta ini.

S: Akhbar berbahasa Cina melaporkan, bapa anda menasihati agar anda tidak menonjolkan diri. Adakah benar dia memberi nasihat demikian?

JL: Saya ada bercakap dengan bapa saya berkaitan hal ini dan saya diberitahu bahawa dia tidak bercakap kepada pihak media. Saya rasa mungkin ia dipetik dari perbualan kasual atau silap petikan, saya tak pasti. Tapi saya telah bercakap dengan ibu bapa dan sudah tentu mereka bimbang dengan semua publisiti ini dan bagaimana ia boleh menjejaskan kami semua. Daripada apa yang saya pelajari di sekolah perniagaan, dalam kehidupan, jika kita tidak menyahut cabaran, kita tidak akan menjadi matang. Saya rasa ini pengalaman penting bagi saya untuk meningkatkan diri.

S: Kami ingin bertanya tentang Paris Hilton. Adakah anda berdua sedang bercinta?

JL: Rick dan Kathy Hilton, ibu bapa kepada Paris dan Nicky, merupakan keluarga paling berpengaruh dalam sektor hartanah di luar kawasan Los Angeles dan saya diperkenalkan kepada keluarga ini oleh seorang kawan baik. Saya sebenarnya sudah lama mengenali keluarga Hilton. Begitulah halnya saya mengenali anak-anak mereka. Gadis-gadis itu sedang melancong dengan sekumpulan 40 orang. Kami mempunyai kawan berpengaruh dan berjaya dari Russia, Kazakhstan dan Asia Barat juga. Kami semua dalam kumpulan yang sama dan berkenalan antara satu sama lain.

S: Sewaktu Piala Dunia di Afrika Selatan, adakah benar anda memiliki sebuah bilik korporat di Johannesburg Soccer Citystadium?

JL: Pertama sekali, ada cakap-cakap tentang saya menyewa pesawat dari London ke Afrika Selatan. Untuk menjelaskannya, saya tidak menyewa pesawat sebaliknya berada dalam penerbangan itu dengan lebih 20-30 orang. Sebahagian besar waktu itu saya luangkan masa bersama anak-anak pelabur atau bersama rakan-rakan yang bekerja keras untuk membina perniagaan masing-masing atau mewarisi perniagaan keluarga. Mereka ada gaya hidup yang tertentu dan saya bertuah kerana dapat bersama-sama menikmati gaya hidup mereka itu. Malang sekali, saya pula digambarkan sebagai menjalani gaya hidup berlebih-lebihan.

S: Ini ada satu lagi cerita mengatakan anda sebenarnya tidak minat pada Paris, tetapi Nicky Hilton.

JL: Itu tidak benar dari segi fakta. Saya mengenali teman lelaki Nicky. Dia adalah David Katzenberg, anak kepada salah seorang pengasas Studio Dreamworks.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Dulu saintis, kini usahawan kelisa


HARGA ikan kelisa semakin mahal jika ikan itu semakin membesar.

SEBAGAI seorang saintis yang mengkaji kehidupan flora dan fauna menjadi titik tolak kepada Mohd. Zalalnudin Latipi, 31, membuka sebuah kedai menjual spesies ikan terancam kelisa atau juga dikenali sebagai arowana.Demi minatnya yang berputik sejak kecil Mohd. Zalalnudin nekad meninggalkan jawatannya sebagai seorang saintis. Minatnya kian bercambah apabila beliau berjaya menghabiskan pengajiannya dalam bidang Sosiologi Pemuliharaan di Universiti Malaysia Sabah.

Ikan kelisa kepada Mohd. Zalalnudin bukan sekadar ikan hiasan malah kepada mereka yang tahu menilainya, ia boleh menjadi sumber pendapatan.Harganya mampu mencecah ribuan ribu ringgit selain ia digemari oleh kaum Cina di negara ini yang dipercayai membawa tuah kepada pemiliknya.Namun Mohd. Zalalnudin tidak menyangka hobinya yang suka memelihara ikan itu mampu memberikannya sumber pendapatan tetap kepadanya."Dulu saya hanya bela ikan ini di rumah dan saya ada tujuh akuarium di rumah untuk mengisi ikan-ikan ini."Namun pada tahun 2005 saya mengambil keputusan untuk berhenti sebagai seorang saintis kerana mahu melibatkan diri secara serius dalam perniagaan menjual ikan kelisa," katanya.

Mohd. Zalalnudin tidak menyangka, kedai yang baru dibukanya itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat malah ikan kelisa juga mendapat permintaan daripada orang Melayu."Selain orang Cina, orang Melayu juga menunjukkan minat terhadap ikan ini dan sanggup membelinya walaupun pada harga yang mahal."Mereka yang datang ke kedai ini sanggup menghabiskan masa berjam-jam semata-mata mahu melihat kecantikan dan kelicikan ikan kelisa," katanya.Menyentuh penjagaan ikan kelisa, beliau memberitahu, tidak susah untuk membelanya tetapi perlu memastikan air yang digunakan dicampurkan dengan ubat antiklorin."Antiklorin perlu dicampurkan mengikut sukatan yang ditetapkan selain memberi makanan kepada ikan mengikut waktu.


MOHD. ZALALNUDIN menunjukkan buku berkaitan ikan kelisa kepada pelanggan di kedainya, Star Arowana, di Jalan Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

"Ikan ini kebiasaannya makan sejenis ulat yang banyak dijual di pasaran. Lipas dan cengkerik juga boleh diberi tapi lebih baik beli sahaja di pasaran kerana ditakuti serangga ini membawa racun dan mati jika memakannya," katanya.Jelasnya, bagi memenuhi permintaan ikan kelisa di kedainya itu, beliau telah membeli dua buah kolam ikan kelisa di Bukit Merah, Perak."Kebanyakan ikan-ikan yang ada di kedai di bawa dari sana dan kita akan pilih ikan-ikan terbaik sebelum dipamerkan di kedai bagi menarik minat orang ramai," katanya.Di kedainya terdapat lebih 200 ekor ikan kelisa pelbagai variasi seperti Malaysia Gold Cross Back Golden Arowana, Malaysia Super Red Arowana, Indonesia Chili Red dan sebagainya.

Lebih istimewa, harga ikan kelisa semakin meningkat jika ikan itu kian membesar."Bagi saya ikan ini memang membawa tuah kepada pemiliknya."Ikan ini juga tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Kepada mereka yang berminat untuk mengetahui cara-cara penjagaan ikan kelisa mereka boleh datang terus ke kedai saya," katanya.

Bagi mereka yang ingin melihat ikan-ikan yang dijual di kedai Mohd. Zalalnudin, kedainya itu terletak di Star Arowana World di Jalan Seberang Perak, Alor Setar.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

JUM-P rawat masalah hati


ABDUL MALEK menunjukkan produk keluaran syarikatnya.

DALAM mengharungi era pemodenan hari ini, masih terdapat permasalahan yang sukar dirungkai dengan akal fikiran manusia. Ramai yang sukar membayangkan kaedah rawatan masalah yang tiada kaitan jasmani seperti sihir, saka, santau, histeria dan jin.

Menyedari keperluan itu, Pusat Rawatan Terapi Al-Quran Darul Hikmah (Darul Hikmah) memperkenalkan rangkaian produk kesihatan diri JUM-P yang mampu memulihkan pelbagai penyakit rohani dan jasmani.Pengarah Urusannya, Abdul Malek Ladzim Al-Azhari berkata, rangkaian JUM-P Terapi Al-Quran itu terdiri daripada enam produk penyembuhan pucuk pangkal masalah penyakit daripada hati."Kesemua produk JUM-P menggunakan formula organik semula jadi dan tidak mengandungi bahan terlarang atau kimia merbahaya yang boleh memberi kesan negatif kepada pengguna.

"Produk berkenaan yang boleh digunakan untuk penggunaan luaran dan dalaman turut diiktiraf Amalan Pengilangan Islam (IMP)," katanya.Abdul Malek berkata demikian ketika ditemui semasa Program Terapi Al-Quran beramai-ramai yang dihadiri kira-kira 50 peserta di Permata Hijrah, Bangi baru-baru ini.Beliau menambah, rangkaian JUM-P merupakan produk pertama dikomersialkan khusus membantu masyarakat yang berdepan dengan permasalahan berkaitan dengan jasmani dan rohani.Katanya, enam produk baru yang diperkenalkan dua bulan lalu ialah e-sihri, s-rab, e-tisal, w-jahi, m-zili dan z-phus."Kesemua produk ini mempunyai peranan tersendiri iaitu s-rab membantu permasalahan seperti gangguan tidur yang teruk, sering terkejut daripada tidur, mendapat mimpi ngeri, mimpi binatang, ditindih sesuatu dan lain-lain lagi."Bagi produk e-tisal pula ia boleh membantu dalam masalah gangguan sakit kepala berterusan tanpa sebab, sakit rusuk kiri atau kanan, sakit tulang belakang, sering dirasuk, berdebar-debar tanpa sebab dan beberapa lagi simptom lain," ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Malek menjelaskan mengenai produk m-zili pula ia boleh digunakan sekiranya terdapat gangguan di rumah dan pejabat manakala w-jahi pula digunakan apabila mendapat mimpi-mimpi tidak elok.Katanya, ia juga boleh digunakan apabila hilang seri wajah, wajah kusam tidak bermaya, buta tanpa sebab dan lain-lain lagi."Produk terbaik untuk membatalkan atau membuang racun sihir adalah e-sihri. Kita juga mempunyai produk makanan tambahan diperbuat daripada jujuba yang dikenali sebagai z-phus untuk dinikmati pengguna.


MASALAH histeria akibat gangguan entiti yang tidak terlihat dengan mata kasar memerlukan kaedah rawatan alternatif. - Gambar hiasan.

"Selain itu, kami juga ada mengeluarkan cakera padat (CD) ruqyah syariah iaitu himpunan ayat suci al-Quran, zikir dan doa tertentu khusus untuk rawatan pelbagai penyakit rohani serta jasmani," katanya.Abdul Malek menambah, produk yang melalui proses selama hampir satu tahun untuk dijadikan realiti boleh didapati pada harga RM1,570 satu set.Katanya, pengguna juga boleh membeli produk-produk berkenaan secara berasingan."Produk JUM-P ini dikeluarkan adalah untuk membantu orang ramai yang mengalami pelbagai penyakit rohani dan jasmani dengan kaedah rawatan Terapi Al-Quran.

"Kita akan mengadakan lagi program rawatan Terapi Al-Quran beramai-ramai ini di dewan Inspin, Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada 31 Julai ini," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Nak kaya cepat ..


Di kedai kopi pun boleh jadi sasaran tempat urus niaga. - Gambar hiasan

TIDAK pernah serik. Mungkin itu perkataan paling tepat apabila ada saja laporan mengenai individu yang kerugian puluhan malah ratusan ribu ringgit dek tertipu dengan pelaburan dalam skim cepat kaya.

Peliknya ia bukan sekadar membabitkan orang biasa malah golongan cerdik pandai, pegawai-pegawai kanan kerajaan malah para selebriti terkenal.

Berdasarkan carian di laman sesawang Wikipedia, skim cepat kaya ditafsirkan sebagai satu skim di mana seseorang akan melaburkan sejumlah wang kepada penganjur skim dengan ikatan janji bahawa ia akan dipulangkan kepada individu berkenaan bersama nilai dan keuntungan tambahan.

Pulangan yang diterima kononnya lebih tinggi daripada apa yang ditawarkan institusi berlesen.Di negara ini, skim cepat kaya dikhabarkan bermula pada 1970-an dan antara yang popular ketika itu adalah Skim Pak Man Telo yang mana disertai 50,000 orang pelabur membabitkan aset bernilai RM90.9 juta.Selain Skim Cepat Kaya Pak Man Telo, dua jenis skim cepat kaya yang mendapat sambutan di negara ini adalah Skim Piramid dan Skim Ponzi.Ringkasnya, Skim Piramid adalah satu skim perkiraan bagi sesuatu pengedaran atau penjualan barangan yang diperdagangkan.

Seseorang itu akan mendapat faedah wang yang tidak bergantung pada kuantiti barang dan perkhidmatan dijual atau diedarkan kerana ia diasaskan kepada penajaan seorang serta lebih peserta ke dalam skim berkenaan.Manakala, Skim Ponzi adalah operasi pelaburan penipuan membabitkan janji pulangan (keuntungan) berganda yang luar biasa kepada pelabur daripada wang pelaburan dibayar seseorang pelabur.Keuntungan berganda yang dijanjikan dalam jangka waktu pendek untuk menarik pelabur bukannya daripada pendapatan bersih yang dihasilkan melalui sebarang perniagaan sebenar.

Dinamakan sempena nama Charles Ponzi, penjenayah yang menjadi terkenal kerana menggunakan teknik ini selepas berhijrah dari Itali ke Amerika Syarikat pada 1903.

Sifat semulajadi Skim Ponzi adalah ia tidak kekal dan cuma menunggu masa untuk si penipu melarikan wang mangsa.Laporan akhbar dan kenyataan daripada pakar kewangan membuktikan terdapat beberapa punca utama menyebabkan seseorang terjerumus menjadi mangsa skim cepat kaya.Kurang memahami atau tidak mempunyai pengetahuan mengenai konsep sebenar perniagaan skim cepat kaya menjadikan seseorang mudah dipengaruhi untuk menyertai skim itu.Pada masa sama, bukti menunjukkan kebanyakan mangsa adalah bangsa Melayu kerana sememangnya dari dahulu, kita sering mendengar golongan itu gemarkan kemewahan cepat serta mudah.Bukan ingin memperkecilkan orang Melayu, tetapi bukti menunjukkan dan satu daripadanya apabila beratus ribu orang Melayu dilaporkan mengalami kerugian dalam bentuk wang selepas diperangkap menyertai Skim Cepat Kaya Pak Man Telo.

Pelbagai bentuk pulangan seperti 50 peratus, 80 peratus dan 100 peratus keuntungan yang dijanjikan pengusaha membuatkan seseorang ‘gelap mata’ serta merasa bodoh jika melepaskan peluang itu.Bagaimanapun, pelaburan yang dilakukan terutama lebih daripada sekali akan mewujudkan tiga perkara iaitu pengasas skim hilang bersama wang pelabur, skim akan gagal akibat terlalu ramai ahli untuk diberi pulangan berganda dan skim ini terdedah kepada pengetahuan pihak berkuasa, menyebabkan pelabur ‘gigit jari’ menanggung kerugian.

Pakar Ekonomi yang juga Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Amir Baharuddin berkata, sikap orang Melayu yang suka berkhayal untuk kaya cepat tanpa ingin berusaha kuat adalah punca utama mereka terjerumus menjadi mangsa skim cepat kaya.“Saya sedang menulis buku mengenai sikap orang Melayu dalam soal ekonomi dan satu daripada hasil kajian yang saya lakukan untuk menyiapkan buku ini menunjukkan sikap ingin kaya cepat tanpa mahu rajin berusaha adalah asas sikap sesetengah orang kita.

“Dalam ajaran Islam jelas mengatakan, Allah SWT meminta seseorang itu berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan rezeki.“Mana ada orang yang mendapat rezeki banyak tanpa usaha berganda,” katanya ketika dihubungi MEGA baru-baru ini.Amir memberitahu, beliau sendiri pernah didekati pengusaha Skim Cepat Kaya Pak Man Telo suatu ketika dahulu yang mempelawanya mendengar seminar mengenai skim atau pelaburan berkenaan.Katanya, beliau dan beberapa rakannya menyertai seminar itu kerana sebagai seorang yang terbabit dalam bahagian ekonomi, beliau ingin mengetahui selok-belok skim berkenaan.

Menurut Amir, beliau akhirnya mengajak rakan-rakannya pulang kerana tidak mempercayai skim itu mampu mendatangkan pulangan sama ada memberi semula asas wang pelaburan atau gandaan keuntungan.“Saya menasihatkan orang ramai jangan mempercayai dan menyertai skim cepat kaya kerana skim itu tidak akan memberi kekayaan.“Fikirlah jika institusi kewangan yang disokong kerajaan pun ada ketika tidak mampu memberi pulangan sebanyak lima peratus, bagaimana skim cepat kaya yang diasaskan seorang individu mampu memberi jaminan pulangan terlalu tinggi.

“Lebih baik anda simpan di institusi kewangan kerajaan seperti bank dan amanah saham kerana walau keuntungannya sekecil mana, wang pokok anda tetap ada dan terjamin. Jangan hanya kerana ingin kaya cepat akhir hidup melarat,” ujarnya.

Kesan kerugian yang ditanggung akibat skim cepat kaya juga akan membuatkan pelabur menanggung rasa malu yang menebal.Pelabur yang membuat pinjaman semata-mata untuk menyertai skim seperti ini terpaksa melarikan diri atau bersembunyi kerana sering dikunjungi pemiutang.Bukan setakat itu, pelaburan seperti ini boleh menimbulkan pertelingkahan dan mengeruhkan hubungan antara keluarga, jiran serta masyarakat apabila mereka mempercayai satu sama lain dan menyertai skim yang sama.Wujud juga kes yang mana pasangan suami isteri bercerai-berai akibat kerugian dalam skim cepat kaya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Myfranchise tingkatkan usahawan.


Fauzi Awang dan Intan Hyriatee Mohd. Zawai menunjukkan sebahagian produk Forest'Secret.

KEBIASAANNYA, perniagaan berasaskan francais memerlukan modal besar dan ruang bagi memulakannya.Lebih sukar apabila, pengasas perniagaan francais itu tidak membantu seseorang yang berminat menyertainya untuk mengumpul modal permulaan.

Namun, keadaan itu berbeza sama sekali melalui pendekatan dan bantuan yang disediakan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) kerana seseorang berpeluang membuka perniagaan hanya di rumah dengan modal serendah RM500.

Pada 2004, selepas lebih 30 tahun bergiat aktif dalam dunia perniagaan, PNS menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan saiz Komuniti Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (BCIC).Akhirnya ia menubuhkan Malaysia International Franchise Sdn. Bhd. (Myfranchise), sebuah syarikat bagi menjalan dan menguruskan perniagaan francais untuk produk tempatan.Misi Myfranchise untuk menggalakkan penglibatan bumiputera dalam perniagaan, meningkatkan taraf ekonomi kaum Melayu melalui perniagaan dan menambahkan produk berkualiti tempatan di pasaran antarabangsa.Sejak itu, Myfranchise berusaha merencana pelbagai strategi bagi memastikan peserta francais di bawahnya dibantu secara menyeluruh termasuk daripada segi penyediaan sumber, meningkatkan aspek profesionalisme, kepintaran, etika dan disiplin dalam menguruskan perniagaan.

Pada masa sama, Myfranchise membantu seseorang mewujudkan perniagaan francais yang diperkenalkan dan bertindak sebagai bantuan pelaburan kepada peserta yang layak untuk menguruskan kewangan serta pinjaman mereka.Hasilnya, Myfranchise yang sebelum ini memiliki dua rangkaian syarikat francais di bawah kelolaannya iaitu restoran makanan segera, Marry Brown dan Gloria Jeans, giat mempromosikan syarikat terbaru ditubuhkannya iaitu Forest'Secret.Diasaskan pada 2007, Forest'Secret adalah sebuah syarikat yang mengeluarkan produk penjagaan badan dan kulit, aromaterapi dan spa, kosmetik dan warna serta makanan dan minuman kesihatan yang berasaskan herba.Ketua Pegawai Eksekutif Myfranchise, Fauzi Awang berkata, sehingga kini, Forest'Secret mempunyai 38 pengedar utama di seluruh Semenanjung .

"Manakala kami mempunyai 22 orang usahawan yang menyertai perniagaan ini di bawah program Francais Mikro iaitu menjalankannya di rumah."Program Francais Mikro adalah program pertama yang memberi peluang kepada orang ramai menjalankan perniagaan melalui rumah."Dengan cara ini, ia membolehkan seseorang memulakan perniagaan dengan modal serendah RM500 dan mudah," katanya.Fauzi berkata, peserta hanya perlu menyediakan modal RM500 dan membeli produk jualan permulaan sebelum menjualnya bagi mendapatkan pulangan."Setiap barangan yang dijual membolehkan peserta mendapat keuntungan sehingga 25 peratus," jelasnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Otak-Otak Place imbau kenangan


Otak-Otak Place yang menampilkan konsep dekorasi ala kampung.

NOSTALGIA zaman kanak-kanak merupakan suatu pengalaman yang amat manis. Ia penuh dengan pengalaman yang sukar dilupakan.

Begitulah perasaan yang dirasai ketika memasuki restoran ini. Bagai mengimbau ke zaman silam.

Terletak di pusat beli-belah 1Utama, Petaling Jaya, merupakan sebuah restoran yang dicipta begitu istimewa untuk mengeratkan hubungan antara anak dan ibu bapa. Sesuai dengan tagline restoran, Makanan dan Kenangan Yang Anda Sayangi.

Mungkin jika diceritakan kepada anak-anak sekarang tentang permainan konda-kondi, teng-teng, congkak, batu seremban, jentik tutup botol, askar hijau, guli, ikan laga, main getah dan sebagainya, ramai antara mereka yang tidak tahu.Sementelah anak-anak sekarang terlalu dididik dengan permainan yang bertemakan elektronik.Hakikatnya, inilah yang cuba disampaikan di Otak-Otak Place, pengalaman dahulu begitu berharga untuk generasi sekarang.Jangan salah sangka, dinamakan Otak-Otak Place, bukan sekadar makanan otak-otak. Pilihan makanannya lebih daripada itu.Menurut Eksekutif Pembangunan Perniagaannya, Carol Tay, hidangan yang disediakan juga menyingkap kenangan suatu waktu dahulu.Diilhamkan oleh pengasasnya, Chew Boon Swee, makanan di sini antaranya ialah kopi-O kaw, otak-otak Muar, mi rebus, laksa asam, nasi lemak panas, roti jala dan pelbagai lagi.''Ia meliputi lebih daripada 14 jenis otak-otak, 21 hidangan pembuka selera, 32 pilihan hidangan Melayu, 57 jenis minuman termasuk pemanis mulut dan ais krim.

''Pendek kata, apa sahaja yang terlintas untuk hidangan, sebutkan sahaja, pasti ada di sini,'' jelasnya.Dalam pada itu, pelanggan bukan sekadar dihidangkan makanan yang menyelerakan, mereka akan dihiburkan dengan pelbagai lagu halwa telinga didendangkan dari artis-artis lama tahun 60-an dan 70-an termasuk daripada filem-filem tempatan era tahun-tahun berkenaan. Hendak lebih lagi, anda juga turut terpesona dengan hiasan yang diketengahkan iaitu lampu minyak tanah, lesung batu, botol air lama, kole lama, basikal tua dan sebagainya.

''Sebaik sahaja tiba ke restoran ini, pelanggan akan diminta untuk memilih tempat duduk yang sesuai. Kemudian kita akan menghantar menu menggunakan buku latihan seperti buku sekolah-sekolah rendah dahulu.''Kita akan memastikan sebaik pelanggan atau ibu bapa duduk menunggu hidangan tiba, mereka akan berbicara dengan anak-anak mengenai kenangan indah mereka ketika zaman kanak-kanak.''Sambil menikmati hidangan, mereka juga boleh bermain permainan yang sama dengan anak-anak,'' tuturnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Kongsi ilmu dalam suasana ceria


Turut diadakan peragaan fesyen muslimah dari Butik Women 2 Women.


PENGISIAN ilmu yang padat dan menceriakan. Itulah gambaran ringkas yang dapat disimpulkan daripada bengkel Sayangi Diri Sayangi Keluarga bersama WANITA yang berlangsung di Hotel Istana, baru-baru ini.

Bengkel yang disertai hampir 120 peserta itu merupakan siri pertama anjuran majalah WANITA, terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) dan telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Wan Hasmah Wan Mohamad

Dalam ucapan perasmiannya Wan Hasmah berkata, bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang wanita ia pastinya memerlukan pembahagian masa yang bijak dan dalam masa yang sama tidak melupakan kesihatan diri sendiri. Ini kerana, ada segelintir wanita ataupun para ibu yang lupa akan kesihatan diri dan sanggup berkorban apa saja demi kesejahteraan keluarga. Oleh itu, aspek mental, fizikal dan spiritual perlu diuruskan dengan baik agar semua tugas berjalan lancar.

Oleh itu, katanya lagi pengisian pelbagai topik yang menarik serta panduan ilmu kekeluargaan yang disediakan melalui bengkel ini diharapkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut, Ketua Pengarang Majalah (UKSB), Badrul Azhar Abdul Rahman; Pengurus Besar Operasi UKSB, Zurzaliza Bajuri; Pengarang Kanan Majalah Keluarga merangkap Pengarang WANTA, Normala Hamzah dan Ketua Unit Komunikasi Korporat, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZS), Nor Mukshar Harun dan Pengasas II yang juga Pengarah Urusan Syarikat Kumpulan DCL dan D'Navechee, Datuk Azlina Che Abdullah yang merupakan rakan strategik juga kerjasama daripada konsultan imej dan pemilik butik Women 2 Women (W2W), Yasmin Sidek dan Pengasas Jamu Mak Dara, Ibu Halimah Shuib.

Antara topik yang dikongsi bersama dengan peserta pada bengkel tersebut adalah etika berpakaian serta penampilan diri yang disampaikan oleh Yasmin Siddek. Juga tidak ketinggalan aspek kesihatan yang berkaitan dengan kehidupan sihat oleh Pakar Sakit Puan, Datuk Dr. Norashikin Mokhtar, demostrasi penjagaan kulit dan solekan oleh D'Navechee, ceramah Anggun dan Cemerlang oleh Datuk Azlina Che Abdullah, Agar Bidadari Iri Hati Pada Mu, satu tajuk yang agak menarik yang berjaya menggamatkan suasana dewan disampaikan oleh Ustaz Ahmad Husni Abd. Rahman dari Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan. Selain itu, peserta turut disajikan dengan perkongsian atau rahsia penjagaan diri (luar dan dalam) serta senaman oleh Ibu Halimah dari Jamu Mak Dara dan juga pertunjukan fesyen busana muslimah daripada Butik W2W.

Acara eksklusif tahunan ini yang mana Kuala Lumpur menjadi destinasi pertama tidak bererti tanpa adanya sokongan daripada pelbagai pihak yang memberi tajaan. Selain daripada rakan strategik yang dinyatakan sebelum ini, bengkel ini turut mendapat tajaan daripada Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, sokongan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Empire Classic Furniture, Norizan Bakers dan ramai lain.

Setelah bergerak ke Alor Setar pada 18 Julai lalu, bengkel akan ke Kota Baharu, Kelantan pada 30 Julai akan datang bertempat di Perdana Beach Resort, Pantai Cahaya Bulan. Mereka yang berminat menyertainya diminta menghubungi Iskandar 013-3451945b atau redaksi WANITA 89262999- 476/471/472 untuk pendaftaran dan pertanyaan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Skim cepat kaya memiskinkan rakyat

PEMBONGKARAN polis mengenai kegiatan skim cepat kaya di Bandar Sunway, Petaling Jaya kelmarin menggambarkan betapa masih ada rakyat yang mudah terpengaruh dengan janji-janji kosong segelintir pihak untuk memperoleh keuntungan segera.Tidak dinafikan faktor ekonomi yang kian mendesak ketika ini mendorong rakyat menceburi bidang perniagaan.Kebanyakan daripada mereka benar-benar berjiwa usahawan, namun tidak kurang juga kakitangan awam yang mencari pendapatan sampingan.Perniagaan jualan langsung (MLM) bukan semuanya palsu. Ada yang mampu menjadi jutawan setelah menceburi perniagaan itu hanya dalam tempoh yang begitu singkat.Namun rahsia untuk mengecap status jutawan seperti itu, ia juga perlu dimulakan dengan usaha gigih, tidak mengenal jemu, banyak berkorban masa untuk keluarga dan ia bukan datang bergolek.

Sindiket skim cepat kaya yang dibongkar di Bandar Sunway semalam, difahamkan meminta setiap ahli untuk melabur serendah RM10,000 sebagai permulaan dan mereka ini dijanjikan pulangan wang keuntungan sebanyak RM40,000.Hati siapa yang tidak terdetik apabila dijanjikan jumlah wang tiga kali ganda itu. Malah, ejen-ejen atasan atau upline akan membuktikan mereka mampu mencapai kemewahan itu dengan memiliki kenderaan mewah kepada setiap ahli-ahli baru yang sedang dipancing.

Itulah yang berlaku kepada lebih 100 bakal-bakal ahli yang hadir untuk mendengar taklimat atau demo mengenai syarikat skim cepat kaya itu di empat buah restoran, sebelum polis menyerbu dan menahan 59 ejen-ejen upline tersebut bersama 18 kenderaan mewah.Meskipun ini bukan kali pertama polis atau agensi penguat kuasa melakukan serbuan ke atas sindiket skim cepat kaya yang menipu pengguna, masih ada yang menjadi mangsa.

Sesuatu perlu dilakukan agar masyarakat kita tidak mengalami kerugian setelah terjebak dalam skim penipuan seperti ini.Sesi dialog dan taklimat mengenai baik buruknya skim cepat kaya haram itu juga sudah banyak kali diberikan, namun sebenarnya masyarakat kita sahaja yang masih belum sedar.Perlu disedari, keuntungan berlipat kali ganda itu bukannya datang bergolek, tanpa sebarang usaha. Tanyalah kepada mana-mana usahawan MLM yang telah berjaya, adakah mereka hanya tunggu di rumah sahaja sementara keuntungan masuk dalam akaun mereka?Sudah tentu tidak. Mereka perlu menjual barangan tertentu, perlu berjumpa ahli, mengadakan 'demo', perlu bersabar sekiranya hasil jualan itu tidak seberapa dan tidak seperti yang diharapkan.

Penantian mereka ini juga memakan masa berbulan-bulan. Malah ada yang menyifatkan mereka perlu 'jatuh' dahulu sebelum mencapai kejayaan.Oleh itu, kita hendaklah sentiasa beringat bahawa kewujudan segelintir pihak atau sindiket skim cepat kaya yang cuba mengaut keuntungan wang hasil titik peluh dan penat lelah orang lain semakin banyak di negara ketika ini.Ia sama banyak dengan masyarakat yang kian rasa terhimpit dengan kedudukan ekonomi dan perlu mencari sumber pendapatan, seterusnya mudah terpedaya dengan janji-janji palsu penganjur skim palsu ini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Contohi semangat Korea Selatan

SELEPAS menggariskan langkah-langkah untuk menuju ke arah negara berpendapatan tinggi menerusi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Model Baru Ekonomi (MEB), Malaysia tidak menoleh ke belakang lagi. Negara ini giat berusaha menarik sebanyak mungkin pelaburan asing yang mampu menjana ekonomi negara ke arah yang disasarkan.

Ini kerana dalam menuju dan mencapai status negara maju, Malaysia memerlukan pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya enam peratus setahun dalam tempoh 10 tahun akan datang. Justeru, peranan sektor swasta amat penting bagi mencapai kedudukan tersebut.

Korea Selatan merupakan antara negara yang menjadi tumpuan Malaysia untuk mendapatkan pelaburan asing kerana kekuatan ekonominya, selain mempunyai hubungan dagang dan diplomatik yang sudah lama iaitu mencecah separuh abad.

Kekuatan ekonomi negara republik itu yang didorong oleh semangat bersaing yang luar biasa dalam kalangan rakyatnya boleh dijadikan contoh oleh Malaysia untuk menuju ke arah negara maju menjelang 2020.

Semangat itulah yang telah membawa negara republik itu di kedudukannya sekarang iaitu sebagai pengeluar utama kereta serta televisyen LED sekali gus mengalahkan Jepun yang merupakan ‘musuh tradisinya’.

Ia juga membantu Korea Selatan semasa krisis ekonomi dunia baru-baru ini apabila negara republik itu menjadi antara negara terawal yang berjaya keluar dari kemelut berkenaan.

Berdasarkan kejayaan yang dicapai itu, tidak hairan jika pada awal tahun ini sahaja, sebanyak empat menteri Kabinet Malaysia telah melawat Korea Selatan dalam melaksanakan misi perdagangan dan kerjasama antara kerajaan kedua-dua negara.

Ia diikuti dengan lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 26 Julai hingga semalam (29 Julai) bagi meyakinkan lagi pelabur mengenai kemampuan Malaysia dalam menyediakan infrastruktur pelaburan berimpak tinggi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Usahawan mi


Dua pekerja menggunakan mesin untuk meleperkan tepung.

USIA bukan penghalang untuk berjaya. Setiap usaha sekiranya dilakukan bersungguh-sungguh pasti mendatangkan manfaat walaupun hanya bermula secara sambilan dan kecil-kecilan.

Bersandarkan kepada keinginan untuk hidup lebih selesa dan menambah pendapatan keluarga pasangan suami isteri Tukimon Watim, 63, dan Marhamah Marhani, 59, mencuba nasib berniaga mi simpul (siput) secara kecil-kecilan kira-kira enam tahun lalu.Mereka bermula dengan modal RM500 untuk membeli bahan-bahan bagi memproses mi simpul dan membuat mengikut kemampuan.Tanpa sebarang mesin canggi, pasangan suami isteri itu gigih mengusahakan apa yang telah dipelajari di rumah mereka di Kampung Sungai Nibong, Semerah Batu Pahat, Johor.

Dalam keadaan serba kekurangan ketika itu, mereka hanya mampu menghasilkan 20 hingga 25 kilogram mi simpul sehari untuk dipasarkan di sekitar kawasan Semerah sahaja kerana tidak mampu untuk menghasilkan produk lebih banyak.

Bagaimanapun, semakin hari permintaan terhadap mi simpul yang mereka usahakan bertambah dan mereka kemudian membeli sebuah mesin menguli tepung berharga RM1,500 bagi meningkatkan pengeluaran.

"Dengan adanya mesin penguli itu kerja-kerja membuat mi simpul lebih mudah dan jumlah yang dihasilkan juga semakin meningkat,'' ujar Tukimon.Mereka tidak pernah meminta bantuan daripada mana-mana pihak tetapi kegigihan pasangan itu mendapat perhatian Jabatan Pertanian Daerah Batu Pahat yang telah memberi bantuan mesin pemotong berharga RM3,000 supaya mampu menghasilkan sehingga 40 kilogram mi simpul sehari.Setelah produknya mula mendapat permintaan yang lebih tinggi, mereka mendaftarkan perniagaan atas nama Usahasama T & M Enterprise dengan label produk sebagai Mee Siput.Kini mi simpul keluaran syarikat T & M ini semakin digemari kerana ia merupakan salah satu makanan ringan yang rangup dan popular di Batu Pahat juga Johor amnya.

Produk itu semakin mendapat permintaan yang tinggi tetapi mereka tidak mampu memenuhinya kerana tiada alatan atau mesin yang sesuai.

Bagaimanapun, kegigihan mereka sekali lagi mendapat perhatian Jabatan Pertanian Daerah dan sekali lagi diberi bantuan membina bangunan bernilai RM28,000 untuk meneruskan perusahaan kecil dan sederhana itu dengan lebih teratur.Sebelum itu mereka melakukan kerja-kerja tersebut di kawasan rumah sahaja.Menurut Marhamah, mi simpul yang telah siap di proses akan disusun di atas pemidang dan dijemur di bawah cahaya matahari sehingga benar-benar kering.Katanya, masalah timbul sekiranya musim hujan apabila mi simpul tidak cukup kering dan ia akan dijangkiti kulat serta terpaksa dibuang dan ini mendatangkan kerugian kepada perniagaan mereka.Untuk itu mereka berusaha mendapatkan alat pengering untuk membolehkan operasi berterusan walaupun hujan."Sekarang apabila hujan kami tidak lagi bimbang kerana sudah mempunyai tempat pemanas untuk mengeringkan mi smpul yang dikeringkan menggunakan cahaya matahari," kata Tukimon.Permintaan yang semakin meningkat dan pemasaran yang semakin meluas menjadikan pasangan suami isteri ini tidak menang tangan untuk menyediakan tempahan yang diterima.

Pasangan itu dibantu oleh anak mereka, Mohd. Azri Yim, 30, yang bertanggungjawab memasarkan produk itu di sekitar negeri Johor juga menguruskan segala urusan penghantaran.Marhamah berkata, mi simpul dijual pada harga RM5 sekilogram atau RM4 bagi 700 gram yang telah siap dibungkus sekiranya dibeli terus di kilang mini mereka.Tukimon menambah, kini mereka dibantu oleh lima orang pekerja tetap dan sedia menerima pelatih yang ingin mempelajari pembuatan makanan ringan tersebut seperti yang dilakukan Mara baru-baru ini.

Beliau juga berkata, setakat ini ramai orang perseorangan atau pelancong datang untuk melihat sendiri bagaimana mi simpul dihasilkan dan meeka juga menerima lawatan daripada pelbagai pihak yang ingin melihat sendiri kegigihan pasangan suami isteri ini.Kini mereka boleh tersenyum bangga apabila produk yang dihasilkan secara kecil-kecilan kini menjadi produk yang mendapat permintaan menggalakkan dan kehidupan mereka kini jauh lebih baik dari dahulu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

LZS bantu Salina berdikari


SALINA mohd. Yatim berharap dapat menjadi pembayar zakat hasil daripada perniagaan kecil-kecilan yang diusahakannya.

BUKAN mudah mengendalikan kehidupan. Apatah lagi dengan status ibu tunggal pada usia yang masih muda. Ujian pasti lebih menduga. Pada anak-anak, mereka adalah sandaran harapan dan pembakar semangat masa hadapan.

Inilah secebis kisah Salina Mohd. Yatim, 35, yang mengisi ruangan Jejak Asnaf kali ini.

Ketika rombongan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tiba di sebuah apartmen bersaiz sederhana terasa nyaman sekali. Ruang tamunya bersih, ceria dan rapi.Salam berjawab dan perkenalan pun bermula. Ditemani ibu, Salina menyambut ahli rombongan dengan ceria."Sejak remaja saya suka hidup berdikari. Pada usia sangat muda, 17 tahun saya sudah bergelar isteri.

"Sebab itu, apabila ditimpa kesusahan, amat berat bagi saya untuk menceritakannya kepada keluarga. Jika boleh saya mahu hadapinya sendiri," demikianlah antara permulaan perbualan dengan ibu muda beranak tiga itu."Sayangnya jodoh saya tak panjang. Rumahtangga saya diuji dengan sedikit kemelut dan tanpa duga, suami menjatuhkan talak ke atas saya kira-kira tiga tahun lalu.

"Gelap rasanya dunia kala itu. Bayangkan, selama 13 tahun hidup mengikut suami ke rantau orang, saya langsung tidak pernah berkerja dan hanya menjadi suri rumah sepenuh masa," kata Salina.Meneruskan hidupnya bersama tiga anak pasca perceraian bukanlah suatu tempoh yang mudah. Selama setahun, hidupnya tidak menentu.Kala itu, air mata sering menjadi teman. Setahun itu jugalah, jenuh dia mencari pekerjaan dan setahun jugalah, beliau hanya berdikit-dikit memanfaatkan wang simpanan.

"Jujurnya, saya langsung tidak pernah terfikirkan perceraian. Memang benar kami ada masalah. Namun saya tidak menyangka sampai diceraikan. Saya tidak memikirkan hanya diri in, tetapi juga anak-anak," jelasnya.Hasil pernikahan, Salina dikurniakan tiga puteri, iaitu Puteri Syahira, 17, Puteri Nursyakila, 15, dan Puteri Nur Alisa, 10."Selepas bercerai, saya pulang ke kampung di Klang. Di kampung, keluarga saya bukanlah orang senang untuk tampil membantu. Saya faham, untuk hidup saya wajib berusaha.

"Malangnya, semasa itu saya langsung tidak sedar bahawa ada tempat untuk mengadu. Rupa-rupanya, di Selangor, ada LZS yang boleh saya sandarkan harapan," katanya.

Pada tahun 2008 anak sulungnya Puteri Syahira mendapat keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), iaitu 8A.Bukan main gembira anaknya itu untuk meneruskan pelajaran di sekolah berasrama penuh."Anak saya merengek-rengek untuk masuk ke sekolah berasrama penuh. Apatah lagi surat tawaran kemasukan sudah di tangan.

"Dia bercita-cita mahu belajar hingga ke luar negara. Baginya, dengan memasuki asrama penuh, pintu ke luar negara kian terbuka," kata beliau.Sayangnya, kata Salina, saat itu beliau tidak mampu untuk memenuhi impiannya. Bagaimana hendak menghantarnya ke asrama penuh, sedangkan untuk belanja harian di rumah pun tidak cukup."Lagi pun, saya memang memerlukan beliau sebagai penguat semangat saya. Saya tahu, tindakan saya itu mungkin tidak tepat. Tetapi, saya tiada pilihan lain.

"Sejak bercerai, sayalah ayah sayalah ibu. Segala-galanya di atas bahu saya. Andai kata saya sedar ada LZS kala itu…," katanya.Katanya, pernah anak-anaknya meminta nuget yang harganya RM1, tetapi itu pun dia tidak mampu membelinya.Lalu sejak tahun 2009, Salina sekeluarga mulai menerima bantuan LZS di bawah asnaf miskin."Memang agak terlambat sebenarnya, namun ia benar-benar amat bermakna kepada saya sekeluarga. Terasa benar bahawa banyak manfaat yang ada di sebalik zakat ini."Saya diberi bantuan sewa rumah dan juga bantuan saraan bulanan. Bagi saya yang masih baharu bertatih meneruskan hidup sebagai ibu tunggal, bantuan seperti ini amat besar ertinya," tambah Salina.Kini, LZS turut memberi bantuan peralatan bagi memudahkan dia membuat perusahaan kecil-kecilan di rumahnya.

LZS turut membekalkan sebuah mesin pengadun dan ketuhar kepadanya."Saya masih muda, maka saya harus berusaha. Alhamdulillah, kini saya banyak menerima tempahan baulu kemboja, roti, jem, kek cawan dan kuah rojak."Semuanya saya buat secara sederhana di rumah. Namun sambutannya menggalakkan. Letih juga sebenarnya bekerja seorang diri," katanya.Kata Salina, dengan perusahaan kecil-kecilan itu dia mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM750 sebulan."Namun, untuk menampung keluarga seramai empat beranak, memang masih belum cukup sebenarnya. Tetapi saya bersyukur kerana LZS banyak membantu. Saya berazam mahu keluar daripada kepompong asnaf ini satu hari kelak dan bergelar pembayar zakat," katanya penuh azam.Kepada semua pembayar zakat, kata Salina, budi baik anda amat bermakna kepada golongan sepertinya."Dengan sumbangan andalah, kami para asnaf dapat meneruskan kehidupan. Saya amat berterima kasih dan semoga Allah SWT sahajalah yang membalasnya," kata Salina.

lNota: Mereka yang berminat menempah kek, kuih, roti jala, baulu kemboja, kuah rojak dan sebagainya boleh menghubungi Salina di talian 012-907 1727.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Cekal usahakan perniagaan percetakan


Fairus Mohd. Tabiee, bersama kakitangannya di The Red Studio.

INGIN bergelar seorang usahawan bukanlah satu perkara mudah. Diri perlu dipersiapkan baik dari segi fizikal mahupun mental. Mereka yang menceburkan diri di dalam bidang perniagaan juga perlu sanggup menghadapi apa jua risiko.

Ini termasuklah risiko seperti mengalami 'gulung tikar', ditipu pelanggan ataupun pembekal, kekurangan modal dan sebagainya.

Walaupun bidang perniagaan mempuyai pasang surutnya, berbekalkan 'percaya bahawa rezeki ada di mana-mana', Fairus Mohd. Tabiee, 28, telah menceburkan diri dalam bidang itu sejak 2005.

Apa yang menarik mengenai anak kelahiran Batu Pahat, Johor, ini, tanpa berbekalkan sebarang pengalaman apatah lagi ilmu di dalam bidang perniagaan, beliau sanggup menongkah arus dalam usaha memuaskan kehendak hati sendiri.

Pelajar jurusan Perancangan Bandar dan Wilayah, dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu tidak mudah putus asa malah berani mengambil risiko dalam mengendalikan perniagaannya sehingga berjaya.Menurut Fairus, minat dalam bidang perniagaan bermula semasa beliau menuntut di UiTM terutama setelah diberi kepercayaan untuk membekalkan barang-barang keperluan dalam menjayakan pelbagai aktiviti pelajar di UiTM seperti T-Shirt, tag nama, barangan cenderahati dan sebagainya.

Selepas tamat pengajian, Fairus telah cuba memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan dengan membuka kiosk di Alamanda, Putrajaya.Ketika itu beliau menjual barangan perhiasan dalaman dan juga produk-produk cenderahati.Di situlah bermulanya penerokaan beliau dalam mempelajari tentang selok-belok pengurusan perniagaan dan pada masa yang sama Fairus banyak dibimbing oleh rakan-rakan usahawan yang lebih berpengalaman.Berbekalkan modal yang telah dikumpul hasil perniagaan kecil-kecilan di Alamanda, beliau bertekad untuk membuka sebuah perniagaan yang berkonsepkan percetakan.Ternyata apa yang dilakukan oleh Fairus selama lima tahun lalu tidak sia-sia apabila kini beliau merupakan Pengarah di TRS Media Sdn. Bhd. (The Red Studio).

Ketika ditemui baru-baru ini, ternyata bapa kepada seorang cahaya mata itu tidak takut dengan apa yang telah dilakukannya kerana yakin ia mampu melaksanakannya.''Terus terang saya katakan bahawa saya tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang perniagaan malah saya juga tidak mempunyai pengalaman bekerja sebelum ini.''Jika saya tidak pernah bekerja, ini bermaksud saya tidak pernah mempunyai resume sekali gus tidak pernah menghadiri sebarang temuduga untuk sebarang jawatan.''Bagaimanapun Alhamdulillah, perniagaan yang diusahakan hari ini semakin berkembang berkat doa dan sokongan keluarga dan kawan-kawan serta pelanggan The Red Studio,'' ujarnya ketika ditemui di premis syarikatnya di Bandar Baru Bangi.

Kini The Red Studio mampu menggaji sembilan orang pekerja dan turut memiliki lima buah mesin pencetak.The Red Studio hari ini telah melangkah maju dalam aktiviti percetakan.

Daripada lakaran konsep, reka bentuk logo, penghasilan kad nama, kepala surat, risalah, buku, majalah, poster, bunting, kain rentang dan seterusnya ke produk-produk yang lebih besar seperti papan tanda nama, kertas dinding restoran, billboard, pelekat promosi pada bas, lori dan lain-lain kenderaan.Malah kini The Red Studio sedang bergiat cergas dalam penghasilan ruang galeri di jabatan-jabatan kerajaan.Walaupun sudah lima tahun beroperasi, dalam usaha memberikan yang terbaik kepada pelanggan-pelanggannya, menurut Fairus, beliau sentiasa membuat kajian terlebih dahulu sebelum menghasilkan reka bentuk yang dikehendaki pelanggan.

''Di sini kami amat mementingkan kepuasan hati pelanggan dan sebab itulah kami akan memberikan yang terbaik.''Ini kerana perniagaan yang saya ceburi mempunyai ramai pesaing dan sebab itulah saya akan memastikan yang terbaik dari The Red Studio,'' tambahnya.

Namun Fairus mengakui, cabaran dalam menjalankan apa jua perniagaan pasti mempunyai pasang surutnya.Segala-galanya menurut beliau memerlukan usaha berlipat ganda kerana untung atau rugi perniagaannya itu nanti terletak di tangannya sendiri.Untuk itu, menurut Fairus, dia membohongi dirinya sendiri sekiranya memberitahu bahawa perniagaanya tidak pernah menghadapi sebarang masalah.''Pastinya saya rasakan masalah yang timbul adalah satu cabaran yang akan membawa kita ke satu tahap yang lebih baik.

''Ia adalah satu proses yang pasti,'' ujarnya.

Mengenai strategi syarikatnya pada masa hadapan, katanya, selaku pengasas syarikat tersebut beliau perlu memastikan prestasinya sentiasa berada pada tahap sebenar, sejajar dengan matlamat untuk menjadi pemain dalam industri itu di peringkat global.''Kerjaya ini adalah satu ibadah. Saya amat gembira jika satu hari nanti saya dapat memberi peluang kepada orang lain khususnya generasi muda untuk menceburi bidang ini di mana saya boleh berkongsi pengalaman dan kemahiran saya serta rahsia kejayaan The Red Studio.

''Mungkin saya akan menjadikan The Red Studio ini sebagai sebuah perniagaan francais satu hari nanti, Insyaallah,'' katanya.Bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan The Red Studio, anda boleh hubungi talian 03-89256878/03-89258878, layari laman web di www.theredstudio.com.my atau boleh datang terus ke No.7, Jalan 7/7C, Seksyen 7, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor (bersebelahan JPJ Bangi).

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Mari Terokai Keusahawanan Sosial

Saya berkecimpung dalam bidang keusahawanan sosial di kota London sejak kira-kita tiga tahun lalu. Kini saya menguruskan tiga projek bernilai kira-kira RM2.5 juta untuk membantu keusahawanan sosial di seluruh England mendapatkan kontrak mengendalikan perkhidmatan kesihatan, pendidikan, dan juga untuk memenangi kontrak daripada pihak berkuasa sukan Olimpik yang akan diadakan di London pada tahun 2012.

Walaupun keusahawanan sosial masih baru, kerajaan Britain bersungguh-sungguh mahu membangunkannya. Malahan sebuah kementerian khusus telah diberi tanggungjawab menyelia strategi kerajaan terhadap keusahawanan sosial dan lain-lain organisasi dalam 'sektor ketiga'. Walaupun ekonomi United Kingdom kini merudum, komitmen kerajaan terus kekal.

Keusahawanan sosial bukan badan kebajikan. Keusahawanan sosial merupakan perniagaan yang bermatlamatkan memaksimakan keuntungan. Tetapi operasi perniagaan tersebut membolehkannya membantu menyelesaikan sesuatu isu sosial atau alam sekitar. Keuntungan tetap penting kerana hanya perniagaan yang untung sahaja boleh menyumbang kepada negara.

Model yang diguna pakai oleh keusahawanan sosial ialah model perniagaan kapitalis yang diserikan dengan etos untuk menyumbang ke arah pembangunan masyarakat. Bagi saya model enterprais sosial ini merupakan pelengkap, bukan pengganti kepada model perniagaan biasa.

Contohnya Restoran Fifteen di yang diusahakan oleh chef terkemuka Britain, Jamie Oliver. Jika kita menjejak kaki ke restoran tersebut, kita akan segera sedar bahawa ia merupakan sebuah restoran yang berkualiti tinggi. Harga makanan di situ pun boleh tahan mahal. Tidak ramai yang tahu bahawa ia merupakan sebuah keusahawanan sosial yang berjaya.

Fifteen ditubuhkan untuk melatih anak-anak muda yang tersisih daripada masyarakat agar mempunyai keyakinan diri. Restoran tersebut memberi peluang pekerjaan dan latihan intensif kepada anak-anak muda yang menganggur, ketagih dadah atau alkohol, serta yang terbuang dari rumah. Mereka dilatih untuk menjadi chef, pengurus restoran, dan pelayan restoran berkualiti tinggi. 'Graduan' daripada Fifteen dibantu mendapat pekerjaan lain setelah tamat latihan. Fifteen mula dibuka pada tahun 2002 dengan lima belas orang pelatih. Menjelang tahun 2007 ia mempunyai 90 orang pelatih dengan pusing ganti mencecah £4juta (RM21.2juta). Kualiti perkhidmatan anak-anak muda ini begitu diiktiraf sehinggakan mereka mendapat kontrak untuk menyediakan makanan kepada para pemimpin dunia yang hadir ke persidangan G20 di London baru-baru ini.

Contoh kedua ialah Bulky Bob's yang beroperasi di Liverpool. Syarikat ini ditubuhkan untuk mengurangkan jumlah perabut dan alat-alat elektrik seperti mesin basuh, televisyen, dan peti sejuk yang dibuang kerana ia boleh merosakkan alam sekitar. Biasanya khidmat memungut barang terbuang daripada rumah-rumah disediakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). Tetapi, PBT di Liverpool memberikan kontrak memungut barang terbuang kepada Bulky Bob's. Dengan cara ini, PBT tersebut menjimatkan wang kerana mereka tidak perlu menggaji pekerja jangka panjang. Semuanya diserahkan kepada pihak swasta, iaitu Bulky Bob's, yang jauh lebih efisien.

Dengan kontrak PBT tersebut Bulky Bob's menyediakan khidmat pungutan barang terbuang rumah ke rumah. Sekitar 65 peratus daripada barang yang dipungut di kitar semula. Bulky Bob's memperbaiki barang-barang tersebut untuk dijual semula dengan harga yang rendah. Ada juga yang diberikan secara percuma kepada mereka yang benar-benar tidak berkemampuan. Bukan itu sahaja. Syarikat ini juga melatih penganggur membaiki peralatan elektrikal, lantas memberikan kepakaran baru kepada warga tempatan.

Fifteen dan Bulky Bob’s merupakan contoh keusahawanan sosial yang agak besar. Kebanyakan keusahawanan sosial di Britain sebenarnya adalah perusahaan kecil. Contohnya ialah syarikat Catering to Order yang beroperasi di selatan London. Saya mengenali syarikat ini melalui salah satu projek yang saya uruskan. Pusing gantinya tidaklah terlalu besar tetapi sejarah syarikat ini amat menarik.

Pemilik Catering to Order ialah rakan saya yang buta dan berkulit hitam. Oleh kerana beliau sukar mendapat pekerjaan tetap, beliau memilih untuk menubuhkan syarikat katering sendiri. Disamping untuk menyara diri, matlamat beliau ialah untuk membantu mereka yang juga cacat penglihatan seperti beliau. Kini Catering to Order mempunyai empat belas orang pekerja. Semasa melawat pusat operasi syarikat ini, saya terpegun melihat para pekerja yang cacat penglihatan boleh menyediakan makanan yang berkualiti dengan begitu baik sekali. Mutu perkhidmatan syarikat ini terbukti apabila mereka memenangi bida terbuka untuk membekalkan makanan kepada pihak berkuasa Olimpik 2012.

Semua keusahawanan sosial ini mempunyai dua persamaan iaitu mereka mempunyai matlamat sosial yang jelas dan mereka menggunakan model perniagaan yang kompetitif. Ada yang mahu membantu orang kurang upaya untuk mendapat pekerjaan. Ada yang mahu memastikan anak-anak muda tidak dilanda keruntuhan moral. Ada yang mahu menyelamatkan alam sekitar. Tetapi semuanya bersaing untuk menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi di pasaran terbuka tanpa mengharapkan layanan istimewa daripada kerajaan.

Setelah tiga tahun bergiat membangunkan keusahawanan sosial di England, dan menjelajah ke pelbagai tempat di sini untuk mengembangkannya, saya kini yakin bahawa sudah tiba masanya negara kita juga meneroka dan membangunkan model perniagaan baru ini. Sewaktu ekonomi dunia sedang gawat, keusahawanan sosial boleh membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan tanpa menurunkan kualiti perkhidmatan awam. Kita tidak perlu bermula daripada kosong. Berdasarkan pengalaman saya, saya percaya banyak perkara yang telah dicuba di United Kingdom ini yang boleh di bawa ke negara kita.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Membenihkan Keusahawanan Sosial

Social Entrepreneurship Empowerwent & Development (SEED) ataupun Pembangunan dan Pemerkasaan Keusahawanan Sosial adalah inisiatif terbaru daripada AIESEC, sebuah pertubuhan NGO global yang dianggotai oleh puluhan ribu pelajar dan graduan-graduan baru dari lebih 800 institusi-institusi pengajian tinggi di lebih 90 negara.

Antara aktiviti pertama yang dianjurkan oleh kumpulan SEED (ataupun 'benih' sebagai petanda permulaan yang subur!) ialah pemahaman dan penerapan nilai-nilai keusahawanan sosial di kalangan ahli-ahli yang berminat.

Justeru, sebuah delegasi SEED dari AIESEC Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, yang diketuai pimpinan dari kalangan pelajar sendiri -- misalnya, Andy, pelajar tahun dua sarjana muda di bidang Pengurusan Perniagaan Antarabangsa (International Business Management), telah mengadakan program Seminar Keusahawanan Sosial AIESEC-UUM SEED selama tiga hari dua malam di Rumah Tetamu Universiti Sains Malaysia (USM), Minden, Pulau Pinang pada 11 hingga 13 DISEMBER 2008. Program kali ini disertai juga oleh pelajar-pelajar antarabangsa di UUM yang berasal dari negara-negara China dan Indonesia. Annemiek Woudenberg (Miek), graduan yang yang berasal dari Netherlands turut sama-sama membantu perlaksanaan program ini.

Menurut Andy, penubuhan AIESEC-SEED adalah untuk membolehkan ahli-ahli anggotanya mendalami dan membangunkan potensi masing-masing sambil dapat memberi impak positif kepada masyarakat tempatan. Konsep ini amat bertepatan dengan konsep "Think Global, Act Local".

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Memperbaiki sekolah dengan keusahawanan sosial

Hari Isnin lepas saya terlibat dalam menganjurkan sidang kemuncak keusahawanan sosial di London. Lebih seratus orang pemimpin politik dan pegawai tinggi kerajaan hadir sama.Sidang kemuncak ini merupakan satu langkah penting dalam rangka menyusun strategi keusahawanan sosial di sini. Strategi tersebut dijangka akan dilancarkan pada bulan September nanti, dan saya merupakan salah seorang yang bertanggungjawab menyediakan drafnya.Agenda utama strategi ini ialah untuk menjadikan kota London sebagai kota yang menerajui pergerakan keusahawanan sosial di peringkat global.

Agenda keusahawanan sosial memang mendapat sokongan daripada banyak pihak di sini. Dalam artikel saya sebelum ini, saya ada menulis mengenai salah satu projek yang saya uruskan, ialah projek untuk membantu usahawan sosial memenangi kontrak berkaitan temasya Olimpik 2012.Baru-baru ini saya mendapat dua lagi kontrak baru. Kontrak yang pertama ialah untuk mengkaji bagaimana model keusahawanan sosial boleh digunakan dalam sistem persekolahan di seluruh England. Kontrak yang kedua ialah untuk membantu Kementerian Kesihatan United Kingdom menjadikan usahawan sosial sebagai pembekal perkhidmatan dan peralatan kesihatan. Kedua-duanya amat menarik sekali, dan menunjukkan betapa model keusahawanan sosial semakin mendapat tempat dalam kehidupan rakyat Britain.Sama seperti perniagaan lain, keusahawanan sosial merupakan satu bentuk perniagaan yang bermatlamatkan keuntungan. Tetapi untung tersebut digunakan untuk kebaikan masyarakat. Maksudnya, setiap sen yang digunakan untuk membeli daripada usahawan sosial akhirnya akan memberi faedah langsung kepada rakyat.

Keusahawanan sosial menggabungkan efisiensi dan produktiviti sektor swasta dengan etika perkhidmatan awam. Hasilnya kita mendapat faedah daripada kedua-dua budaya kerja ini.

Saya amat berharap negara kita Malaysia satu hari nanti akan menjadi pemimpin utama gerakan keusawanan sosial di rantau kita. Jika diberi peluang, saya sedia berkongsi kepakaran dalam hal ini, terutama untuk memindahkan pengetahuan daripada England ke Malaysia.Saya melihat bidang pendidikan merupakan satu peluang besar untuk kita mengerakkan keusahawanan sosial.Sejak kebelakangan ini ramai yang memberi pandangan bagaimana sistem pendidikan negara kita boleh diperbaiki. Tetapi saya bimbang jika semua dasar pendidikan negara hanya diputuskan oleh beberapa orang individu di Putrajaya.

Seharusnya, semua ibu bapa dilibatkan dalam proses ini. Bukan setakat dalam proses awal penggubalan dasar sahaja, tetapi ibu bapa perlu terlibat setiap hari dalam usaha mempertingatkan kualiti sekolah di negara kita.Cara terbaik untuk melibatkan ibu bapa secara berterusan ialah dengan memberi mereka pilihan dan kemampuan untuk memilih sekolah yang mereka suka. Majoriti ibu bapa sekarang tidak mempunyai pilihan selain daripada sekolah yang berdekatan dengan rumah mereka sahaja. Ini perlu dirobah.

Bayangkan jika ibu bapa ada pilihan ke sekolah mana mereka akan menghantar anak-anak mereka. Sudah pasti sekolah-sekolah akan bersaing untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk memastikan pelajar di sekolah itu tidak berpindah ke sekolah lain.

Persaingan boleh diwujudkan dengan cara memberhentikan peruntukan yang diberikan terus kepada sekolah, lantas memastikan sekolah beroperasi sebagai sebuah perusahaan tersendiri. Mereka perlu menarik pelanggan dengan menawarkan perkhidmatan yang lebih baik daripada yang lain.Dalam kata lain, sekolah perlu berfungsi sebagai sebuah usaha niaga yang berteraskan matlamat sosial, iaitu memberikan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak.

Peruntukan yang sebelumnya disalurkan kepada sekolah boleh diberikan kepada ibu bapa melalui baucar untuk membayar yuran pengajian di sekolah pilihan mereka. Dalam kata lain, ibu bapa bertukar status menjadi pelanggan yang bebas memilih sekolah yang terbaik untuk anak-anak mereka. Mereka membayar dengan baucar.Jika sesebuah sekolah itu tidak cukup baik, maka bilangan pelanggan mereka akan berkurang dan mereka akan akan kehilangan sumber pendapatan. Sekolah yang gagal akan terpaksa gulung tikar.Ini mungkin satu idea yang radikal tetapi prinsipnya telahpun wujud di Malaysia. Contohnya apabila ibu bapa memilih tadika atau tuisyen. Mereka membuat keputusan berdasarkan harga dan kualiti. Cuma dalam kes tadika dan tuisyen, ibu bapa membayar dengan wang sendiri, bukan menggunakan baucar yang diberikan oleh kerajaan. Hakikatnya, asas sistem pasaran telah sedia ada dalam sistem pendidikan kita.

Sistem baucar akan memastikan bahawa pendidikan masih lagi percuma dan dibiayai oleh kerajaan. Hanya mekanisme penyaluran dana sahaja yang berbeza kerana sekolah-sekolah kini menjadi badan “swasta” yang bersaing untuk memberikan kualiti terbaik demi menarik pelanggan dan pembiayaan.Dana akan mengikut pergerakan pelajar, bukan mengikut sekolah. Malahan syarikat-syarikat korporat juga boleh dijemput untuk turut membantu membiayai kos yang perlu.Melalui cara ini, ibu bapa akan berterusan terlibat dalam proses pendidikan anak-anak mereka. Pada masa yang sama, etika keusahawanan sosial yang mendasari operasi setiap sekolah akan memastikan sekolah-sekolah “swasta” ini terus menghayati semangat perkhidmatan awam.

Mungkin ada yang bimbang dengan nasib golongan miskin jika sekolah-sekolah tidak lagi dibiayai oleh kerajaan. Untuk menjawab kebimbangan itu, kami di Malaysia Think Tank sedang bekerjasama dengan Yayasan Nursalam untuk menubuhkan sebuah sekolah untuk anak-anak miskin dan pelarian, dengan berteraskan semangat keusawanan sosial.

Anak-anak yang tersisih ini memang tidak mampu untuk membayar yuran pengajian tinggi untuk belajar di sekolah swasta. Tetapi model keusahawanan sosial akan membolehkan ia dibiayai dengan cara yang lebih kreatif.Kami akan menganjurkan majlis mengumpul dana di Kuala Lumpur pada 11 Julai nanti. Matlamat awal kami ialah untuk mengumpul sekurang-kurangnya RM50,000 untuk membayar gaji guru, membeli buku teks dan sebagainya. Kami amat mengalu-alukan sokongan anda.

------
Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Pengarah Malaysia Think Tank yang kini bertugas di London.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Bantuan Sosial vs Keusahawanan Sosial

Sekian lama rakyat Malaysia terutamanya mengambil pendekatan bahawa orang miskin, anak yatim, ibu tunggal harus dibantu terutamanya dari segi kewangan atau material yang lain. Bila tersebar didalam media massa tentang kesusahan atau kemiskinan sesebuah keluarga atau individu maka berduyun-duyunlah masyarakat menghulurkan bantuan. Bantuan yang mencurah-curah itu datang dari orang ramai dan juga pertubuhan-pertubuhan yang simpati dengan keadaan kemiskinan yang dipaparkan. Atas kemurahan masyarakat maka kehidupan individu atau keluarga tersebut berubah sekelip mata. Soalnya sekarang adakah kemiskinan tersebut akan berhenti disitu sahaja.

Artikel ini bukanlah untuk mempertikaikan hak orang ramai atau pertubuhan untuk menghulurkan bantuan atau menyatakan simpati mereka tetapi skop yang lebih luas harus didalami dalam mengatasi kemiskinan sesebuah keluarga atau individu tersebut. Bentuk bantuan sosial yang kita hulurkan itu adakah akan mencapai matlamat untuk mengatasi kemiskinan yang dihadapi bertahun-tahun itu. Dapatkah kita menjamin bahawa dalam masa beberapa bulan akan datang kemiskinan yang dihadapi itu tidak akan melanda semula. Berdasarkan pengalaman kita individu atau keluarga yang sama akan kembali meminta-minta selepas dua atau tiga bulan dan masyarakat tidak kembali membantu kerana masih ramai lagi yang perlu dibantu dan sedang menunggu giliran.

Pepatah Cina ada menyatakan bahawa berikan ikan dan ianya dapatkan dimakan untuk sehari tetapi jika mengajar mereka memancing akan memberikan mereka makanan untuk seumur hidup. Bermaksud jika kita memberi bantuan secara terus maka ianya akan memberi kelegaan untuk sementara waktu berbanding dengan mengajar mereka membantu diri mereka sendiri yang akan memberi kesan jangkapanjang. Disinilah berlakunya peranan keusahawanan sosial yang dijalankan oleh sebuah NGO di Malaysia iaitu Yayasan Pembangunan Nur Hikmah. Pada peringkat awal penubuhannya dalam tahun 2005 yayasan ini menyalurkan bantuan secara terus kepada golongan yang memerlukan seperti anak-anak yatim, miskin, terbiar dan juga ibu-ibu tunggal. Bantuan diperingkat awal ini adalah bagi mengukuhkan institusi rumah-rumah jagaan dan juga keluarga yang terbabit. Bantuan yang diterima dari orang ramai dan juga badan-badan yang bersimpati disalurkan terus kedalam empat kategori iaitu tempat berlindung yang selamat, pakaian yang memadai, makanan yang berkhasiat dan pendidikan yang sesuai. Setelah hampir 5 tahun bantuan sedemikian rupa disalurkan maka pihak yayasan kemudiannya mengambil inisiatif bagi membantu mereka dalam satu bentuk yang akan membolehkan mereka keluar dan berjalan dengan sendiri bagi meneruskan kehidupan.

Inisiatif keusahawanan sosial mengambil tempat dengan terlaksananya beberapa program keusahawanan seperti MangkukTingkat.com , BondaMama , Kedai Rakyat , Myza Collections dan Simbaza. MangkukTingkat.com umpamanya telah memberi peluang kepada lebih 1,000 orang suri rumah terutamanya ibu tunggal bagi menjalankan usaha dari rumah mereka sendiri. Dengan menyediakan sajian makan tengahari dan makan malam kepada pelanggan-pelanggan yang didapatkan oleh pihak yayasan mereka memperolehi pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan. Mereka tidak perlu mendapatkan peralatan tambahan atau pinjaman kewangan bagi memulakan usaha ini kerana pihak yayasan akan menyalurkan wang modal hasil dari bayaran pelanggan yang membayar sebelum sajian dihantar. Inisiatif ini mendapat liputan meluas bukan sahaja didalam negeri malah keluar negara dan mendapat perhatian dari negara-negara OIC bagi menjadikan usaha ini sebagai satu perniagaan bagi membasmi kemiskinan terutamanya kemiskinan bandar.

Inisiatif lain dibawah program keusahawanan sosial Yayasan Pembangunan Nur Hikmah telah banyak memberi kesan kepada golongan yang memerlukan sokongan untuk hidup seperti ibu-ibu tunggal, individu yang tidak lagi mampu untuk keluar bekerja akibat kecacatan atau menghidap penyakit kronik. Model bantuan yang dilaksanakan oleh pihak yayasan ini boleh dicontohi dalam usaha-usaha NGO lain menghulurkan bantuan. Ianya bukan sahaja boleh dilaksanakan kepada golongan miskin tetapi juga dalam bentuk bantuan kepada mangsa-mangsa bencana. Bantuan boleh dihulurkan dalam dua fasa iaitu fasa pertama dengan menyediakan bantuan bagi mereka bangun semula manakala di fasa kedua ialah bantuan bagi mereka meneruskan usaha untuk menyambung kehidupan.

Dalam kita menyusun bentuk bantuan yang perlu dihulurkan untuk inisiatif keusahawanan sosial perlu diingatkan bahawa bentuk bantuan hendaklah dalam bentuk yang tidak boleh ditukarkan kepada mata wang kerana ianya boleh menjerumuskan mereka kepada hutang berganda apabila ianya tidak dikawal. Banyak kes berlaku dimana modal yang disalurkan dalam bentuk kewangan akan dilupuskan bagi melangsaikan hutang-hutang lapuk atau mengadakan keperluan yang kurang perlu seperti membeli TV baru, melanggan saluran TV berbayar dan lain-lain.

Berdasarkan pengalaman Yayasan Pembangunan Nur Hikmah dalam menggerakkan inisiatif keusahawan sosial banyak perkara yang boleh dilakukan tanpa melibatkan pinjaman samada pinjaman modal berkelompok ataupun pinjaman yang melibatkan cagaran. Perkhidmatan atau barangan yang akan ditawarkan kepada pengguna itu sebenarnya boleh diraih modalnya dari pembayaran melalui proses pra bayar oleh pelanggan. Perolehan tersebut kemudiannya boleh dijadikan modal untuk memulakan perniagaan tanpa perlu mendapatkan bantuan atau pinjaman dari institusi kewangan atau agensi-agensi kerajaan.

Kita patut mengkaji semula akan ta'arif bantuan sosial yang diamalkan selama ini agar ianya betul-betul dapat membantu dalam jangkamasa yang panjang dan berterusan. Kaedah-kaedah perlaksanaannya kena dihalusi semula supaya lebih ramai yang mendapat manafat. Bantuan dalam kaedah 30% kelegaan hidup dan 70% modal keusahawan harus dipertimbangkan agar kesusahan serta kemiskinan dapat dibenteraskan sebaik mungkin. Namun demikian kita juga tidak boleh mengabaikan bentuk bantuan kepada golongan yang ditimpa bencana dan juga mereka yang tidak mampu membiayai kos perubatan penyakit kronik

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

USAHAWAN SOSIAL

Isu pengganguran masih lagi dibincangkan di sana sini. Penggangguran bukan sahaja lagi terbatas dikalangan mereka yang kurang pendidikan tetapi kini sudah menjalar dikalangan mereka yang berpendidikan tinggi. Namun begitu 15 peratus daripada tenaga kerja di negara ini adalah terdiri daripada warga asing. Salah satu strategi kerajaan untuk menangani masalah pengangguran adalah dengan menggalakan tenaga muda negara menjadi usahawan. Ini bermakna mereka perlu mengubah mentaliti bahawa hanya dengan menjadi pekerja dan makan gaji sahaja mereka boleh menyara hidup mereka. Generasi muda di negara ini digalakan untuk menjadi usahawan. Apabila perkataan usahawan diucapkan seringkali pula kita akan membayanagkan satu perniagaan yang besar, berjaya dan usahawan itu adalah orang orang yang kaya. Tanggapan sedemikian tidak boleh dinafikan kerana istilah usahawan seringkali dikaitkan dengan perniagaan. Dengan sifat manusia moden yang materialistik maka tidak hairanlah ramai orang yang ingin jadi usahawan, tetapi berapa pula yang berjaya.

Pernahkah kita mendengar istilah usahawan dikaitkan dengan isu-isu sosial. Sekarang ini telah wujud istilah usahawan sosial. Usahawan sosial adalah individu yang mempunyai penyelesaian inovatif atau innovative solution kepada masalah sosial yang yang sedang dihadapi oleh masyaratnya.

Seorang usahawan adalah individu yang merangsangkan kemajuan ekonomi dengan mencari cara baru atau cara yang lebih baik untuk melaksanakan sesuatu. Seperti juga usahawan yang mengubah sesuatu perniagaan melalui kemahiran berniaganya, usahawan sosial bertindak sebagai agen perubahan kepada masyarakatnya.

Seseorang usahawan sosial akan mengambil apa juga peluang dan kesempatan yang terbuka, yang mana tidak disedari oleh orang lain, untuk memperbaiki sistem masyarakat, mengilhamkan pendekatan baru dan juga memikirkan cara penyelesaian yang baru untuk memperbaiki lagi masyarakat disekelilingnya. Jika seorang usahawan perniagaan berjaya membuka satu perniagaana baru, seorang usahawan sosial akan memikirkan satu penyelesaian baru kepada sesuatu masalah sosial dan melaksanakannya bagi memperbaiki lagi keadaan masyarakatnya.

Usahawan sosial mempunyai misi sosial. Kekayaan atau keuntungan bukan misi usahawan sosial. Disebaliknya usahawan sosial akan lebih mementingkan pencapaian dan impak misi sosialnya. Seorang usahawan sosial harus menyampaikan ideanya secara mesra, mudah difahami, beretika dan mendapat sokongan ramai untuk membolehkannya mengerakkan sebanyak mungkin orang ramai menerima dan melaksanakan ideanya. Dalam kata lain, seorang usahawan sosial mestilah berupaya menyakin dan mengembelingkan seramai mungkin tenaga agen perubahan tempatan untuk sama-sama melaksana dan mencapai matlamat menangani isu-isu sosial dalam sesebuah masyarakat.

Diantara usahawan sosial yang terkenal adalah Mary Montessori dari Itali yang telah mengilhamkan pendekatan Montessori dalam pendidikan kanak-kanak pra sekolah. Di India pula terdapat uVinoba Bhave yang telah berjaya membantu rakyat yang tidak mempunyai tanah dengan mengagihkan hampir tujuh juta ekar tanah. Beliau adalah pelopor Land Gift Movement.

Dalam usaha pembangunan belia di Malaysia, kita dapati banyak pendekatan perlu diolah semula untuk menjadikannya lebih inovatif, menarik dan pragmatik kepada situasi sekarang dan juga citra diri generasi muda dalam era globalisasi sekarang ini. Ada ketikanya kita sering kali mengulangi apa yang telah kita lakukan sejak bertahun-tahun tanpa banyak mempersoalkan keberkesanan pendekatan pembangunan belia yang kita laksanakan. Kita akui bahawa tidak semua pemimpin sosial dengan sendirinya boleh menjadi usahawan sosial.

Usahawan sosial perlu mempunyai ciri-ciri tertentu yang bersifat pragmatik dan inovatif. Sudah sampai masanya dalam usaha kita menangani pelbagai masalah generasi muda kita bagi menggalakkan kelahiran usahawan sosial untuk memberikan nafas baru dalam pendekatan pembangunan belia. Pendekatan pembangunan belia melalui keusahawanan sosial akan lebih mantap kerana ia akan dibimbing dan dilaksanakan oleh usahawan sosial yang seharusnya mempunyai ciri berikut:

· memilih misi untuk mewujud dan mengekalkan nilai sosial

· mengiktiraf dan sentiasa mencari peluang baru untuk mencapai misinya

· berterusan terlibat dalam proses inovasi, adopsi dan pembelajaran

· melaksanakan secara berani tanpa had dengan sumber yang terhad dan sedia ada

· menunjukkan kebertanggungjawaban yang tinggi kepada mereka yang mendapat khidmatnya dan juga kepada pencapaian misinya. Perlaksanaan program pembangunan belia memerlukan ciri-ciri input usahawan sosial.

Program tersebut memerlukan pendekatan yang inovatif yang mana kita perlu mencari pendekatan seterusnya membangunkan model pembelajaran yang baru. Jika tidak pun, kita tidak perlu mencipta sesuatu yang benar-benar baru. Yang perlu kita dapat menyesuaikan pendekataan dan misi kita dengan situasi baru agar ia menjadi relevan pada situasi masa kini.

Memanglah dalam setiap usaha baru akan ada unsur kegagalan. Kebanyakan daripada kita akan mengulangi yang lama dan takut berubah kerana kita takut pada kegagalan. Usahawan sosial seperti usahawan lain tidak takut gagal, mereka akan terus mencuba kerana kegagalan pada usahawan bukanlah satu tragedi tetapi adalah satu usaha pembelajaran.

Usahawan sosial menilai prestasinya berdasarkan kemajuan yang dicapai dari aspek sosial dan pengurusannya tidak semata-mata kepada proses dan sains sesuatu program yang dilaksanakan. Bersediakah kita untuk menjadi usahawan sosial?. Anda sendiri bakal menentukannya.

Prof Dr Samsudin A Rahim

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments