Ladang ternakan dalam resort


Lembu Bali antara baka yang diternak di Ladang Syamille.

BELIAU merenung jauh ke kawasan kandang memerhatikan ternakan kambing Boer yang sedang rancak mengunyah. Tidak jauh dari situ, lembu Bali yang montel dan bersih sedang berkeliaran. Sungai yang memisahkan kompleks ladang dan penginapan serta pusat rekreasi sekali mengalir lesu tetapi dengan airnya yang sangat jernih.

Renungan itu diselangselikan dengan kerutan dahi, mungkin memikirkan mengenai apa yang telah dan sedang dilakukannya di ladang itu yang baru beberapa tahun beroperasi.

''Mulanya di kawasan ini , saya berhasrat menjadikannya kompleks Tahfiz al-Quran dan membina pondok," kata Mohd. Zainuri Mohd. Idrus memberitahu mengenai niat murninya itu.

Namun , ketika itu insiden-insiden melibatkan Al-Maunah di Bukit Jenalik mungkin menjadi penghalang kepada niatnya dan kerana itu, kawasan seluas 4.8 hektar (12 ekar) serta kawasan tambahan 2.4 hektar bertukar wajah dalam tempoh yang singkat.

Siapa menyangka bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) itu sanggup membangunkan kawasan tersebut yang terletak di Kampung Chuar Hulu, Kati, Kuala Kangsar dengan menjadikannya sebagai kompleks pelancongan tani yang menempatkan calet, kemudahan berkursus, dan juga kandang kambing dan lembu selain projek penghasilan baja daripada tinja ternakan.

Dengan dibantu adik beradiknya Badrul Hisham Mohd. Idrus dan Mohd. Zulkifli Mohd. Idrus serta Ketua Pegawai Operasi, Hiruddin Hashim, mereka membangunkan kawasan tersebut sejak hujung 2004 dengan kerja-kerja pembelian tanah daripada penduduk kampung.

Dengan operasinya digerakkan menerusi syarikat Syamille Agro Farm Sdn. Bhd. dan modal berbayar RM250,000, kawasan yang mula beroperasi pada 2005 itu menggabungkan ciri-ciri kawasan pelancongan tani, kemudahan latihan serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Menurut Mohd Zainuri, konsep ladang Syamille dibangunkan berasaskan kepada tiga zon iaitu Zon A untuk kawasan rekreasi, asrama, pejabat dan sumber maklumat. Manakala Zon B untuk kawasan penternakan dan Zon C pula adalah kawasan penanaman rumput dan kemudahan bangunan.

Zon A yang seluas 1.2 hektar (tiga ekar) itu diperuntukkan untuk mendirikan kemudahan seperti pintu masuk utama, rumah penginapan, surau, rumah tamu, taman rekreasi, landskap dan pejabat.

Di Zon B pula ialah kawasan penternakan dan pemeliharaan baka kambing serta ternakan lembu. Di sini terdapat kadang kambing sistem fidlot dan semi fidlot, kadang lembu untuk baka Bali, stor makanan, pusat R&D untuk baja kompos dan kolam kumbahan serta kawasan penanaman rumput Napier.Kawasan ini menempatkan 660 ekor kambing Boer Saanen dan Jamnapari, selain lembu tenusu dan baka lembu Bali, Kedah Kelantan dan Brahman serta biri-biri Dopper.Untuk tujuan rekreasi, ladang tersebut juga menternak beberapa ekor rusa dan kancil. Projek R&D menghasilkan baja kompos daripada tinja ternakan dan juga makanan ternakan juga dihasilkan di sini.Semua projek tersebut menurut Mohd. Zainuri menelan belanja antara RM5 dan RM6 juta sejak 2004 meskipun beliau juga menggunakan bahan buangan seperti kayu dari landasan keret api, membina landskap dan penginapan bertaraf hotel.

''Kami tidak bermula dengan mudah kerana pada awalnya ia menimbulkan prejudis dan pada masa sama, tidak seorang pun daripada kami berpengetahuan dalam ternakan," katanya.

Pada mulanya, 50 ekor kambing dibawa masuk dari Australia dan hampir setiap hari, seekor akan mati.

Kali kedua, kejadian sama berulang dan mereka terpaksa bertungkus lumus untuk mencari petua dan belajar daripada pelbagai pihak.

''Saya pernah dihalau oleh penternak apabila cuba menawarkan diri mendapatkan bimbingan daripadanya dan seorang penternak Cina akhirnya membantu saya memberikan tip berguna," ujar beliau.Beliau kemudiannya membangunkan kawasan tersebut sedikit demi sedikit bersesuaian dengan konsep pelancongan tani dan pada masa sama projek pembangunan kemudahan termasuk pejabat, gelanggang sukan masih diteruskan.Beliau berkata, selain usaha gigih, bantuan kerajaan negeri pada 2004 termasuk penganugerahan tanah banyak membantu menjayakan perancangan ladang berkenaan.

Malah, ladang berkenaan akan terus menggiatkan usaha mengimport dan membiak baka Boer, lembu pedaging serta tenusu serta penghasilan baja kompos dan makanan ternakan seperti silaj dan jerami.

Selain menjalankan aktiviti pembiakbakaan dan pengimportan baka, ladang tersebut juga menjadi pengimport dan pengedar probiotik dari Indonesia dan mengeluarkan produk Starbio, Stardec dan multivitamin.

Bahan probiotik tersebut digunakan untuk proses penghasilan makanan ternakan, tanaman dan pembuatan baja.

Menurut Hiruddin, konsep pembangunan R &D ladang Syamille ialah menggunakan semua bahan terbuang termasuk tinja ternakan. Ladang terbabit juga menggunakan jerami.

''Jerami tersebut digunakan sebagai bahan asas untuk makanan ternakan lembu dan kambing menerusi teknologi fermentasi dengan penggunaan probiotik.''Proses fermentasi memakan masa selama 21 hari yang akan meningkatkan kandungan protein kepada sembilan peratus,'' katanya.

Silaj pula dihasilkan daripada rumput Napier yang diperam selama empat hari untuk makanan menambah varieti ternakan selain memanfaatkan semula rumput yang berlebihan.Kata Hairuddin lagi, baja kompos dihasilkan menggunakan tinja kambing dan lembu menggunakan probiotik Stardec.Bahan-bahan lain yang digunakan ialah sekam bakar, habuk kayu gergaji dan kapur pertanian. Proses tersebut melibatkan tempoh selama 35 hari dan digaul dan diterbalikkan setiap tujuh hari atau lima kali setiap dalam tempoh tersebut.Sementara itu menurut Mohd. Zainuri, pihaknya akan meluaskan aktiviti kepada penjualan ternakan apa bila projek tersebut dilaksanakan di Perlis tidak lama lagi.Tumpuan akan diberi kepada pengeluaran di kawasan tersebut manakala ladang sedia ada akan tertumpu kepada pembiakbakaan dan R&D.Syarikat tersebut terus menerima pengiktirafan apabila dipilih sebagai ladang pengganda kambing Boer dan lembu pedaging serta penggalak bagi industri ternakan kambing dan lembu.

Mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, ladang tersebut akan mewujudkan pusat latihan untuk penternak baru, membina kilang makanan ternakan, memproses baja kompos dan juga pengeluaran daging kambing dan lembu segar.

Menurut beliau lagi, syarikatnya beroperasi bukan sahaja membabitkan usaha beliau dan pekerjanya seramai 13 orang tetapi turut mendapat kerjasama dari pelbagai pihak.

Antara rakan niaga tersebut termasuk LHM Research Station dari Indonesia, MardiTech Sdn. Bhd. bagi pemprosesan baja kompos, makanan ternakan dan semen.Selain itu, syarikat terbabit juga mendapat sokongan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan akan bertindak sebagai mentor untuk bakal penternak.Mengakhiri pertemuan itu, Mohd. Zainuri akhirnya mengakui minat menjadi pendorong kepadanya dan rakan lain untuk menggerakkan projek murni tersebut meskipun hasrat awalnya belum dapat ditunaikan.Syarikat tersebut akan menjadi pembimbing dan lokasi bagi bengkel ternakan anjuran bersama Agro Bank, MayConsult dan Mega Utusan Malaysia pada 24 hingga 27 April ini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Bijak mengurus kewangan


Marina Yusoff

KESAN krisis ekonomi dunia yang bermula di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah sejak tahun lalu kini dirasai di negara ini.

Lebih membimbangkan, ramai pakar ekonomi meramalkan kegawatan ekonomi kali ini lebih buruk dan mungkin mengambil masa lebih lama untuk dipulihkan.Keadaan ini masih lagi terkawal di negara ini tetapi masalah pembuangan pekerja menjadi isu utama apabila ramai yang hilang sumber rezeki.

Berdasarkan perangkaan Bank Negara Malaysia, seramai 16,800 pekerja diberhentikan tahun lalu, sebahagian besarnya sejak Oktober terutama dari sektor perkilangan. Manakala Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menyatakan, lebih 10,000 pekerja kehilangan pekerjaan sejak awal tahun ini. Kesan itu dijangka semakin dirasai oleh masyarakat di negara ini menjelang pertengahan dan akhir tahun ini. Malah, ada ramalan yang menyebut kadar pengangguran di negara ini berada pada tahap enam peratus tahun ini, iaitu yang tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

Dalam konteks ini, wanita perlu bersedia menghadapi kegawatan ekonomi khususnya dalam perancangan kewangan belanja harian.

Selain perbelanjaan berhemah, kaum wanita perlu bijak mengutamakan keperluan dan meneruskan tabungan bulanan.Menurut Pengurus Akademi Usahawan Utama (AUU), Marina Yusoff, wanita perlu bijak merancang kewangan dari awal lagi."Perancangan kewangan yang betul memerlukan asas pengetahuan mengenai wang itu sendiri dan mengenal pasti senario serta faktor sekeliling yang mempengaruhi tabiat menggunakan wang yang dimiliki.

Untuk merancang kewangan, kaum wanita perlu berpengetahuan, bertanggungjawab dan berdisiplin terhadap pelan kewangan yang dipilih, sama ada melalui nasihat pakar kewangan atau yang dibuat sendiri seperti analisis perbelanjaan setiap bulan," katanya.Kaum wanita sama ada bekerja atau suri rumah perlu bijak merancang kewangan keluarga. Suri rumah misalnya, perlu mengetahui hal kewangan suam seperti urusan insurans dan perbelanjaan."Insurans amat penting untuk wanita khususnya ibu tunggal atau balu. Jika kematian suami, keluarga bergantung sepenuhnya kepada ibu," jelasnya.Tambahnya, dalam keadaan tertekan, banyaklah wanita yang hilang punca dan mencari jalan mudah menampung keperluan kewangan menyebabkan ada yang meminjam dengan ceti haram atau menceburi skim cepat kaya.

Namun, katanya, semua itu boleh diatasi jika wanita merancang kewangan daripada awal, sama ada mereka bekerja atau tidak kerana ia boleh menjamin kedudukan kewangan yang lebih stabil jika berlaku penceraian atau kecelakaan lain.

"Sebagai panduan, wanita boleh mengamalkan enam sistem tabungan dari awal lagi. Ini termasuk memperuntukkan 10 peratus daripada gaji untuk akaun kewangan bebas sebagai simpanan hari tua. Kedua, tabung simpanan jangka masa panjang untuk pembelian kereta, rumah dan menunaikan haji kelak sebanyak 10 peratus. Ketiga, perbelanjaan keperluan harian yang meliputi 50 peratus daripada gaji termasuk pembiayaan bil, sewa rumah dan kereta. Masing-masing 10 peratus untuk pendidikan diri sendiri, tabungan derma, serta zakat dan hiburan (membeli pakaian, kasut dan aktiviti sosial)," jelasnya.Tidak ketinggalan, dalam keadaan ekonomi masa kini, kurangkan membeli atau jangan langsung membeli barang yang tidak diperlukan. Tumpukan merancang belanjawan untuk barang keperluan saja.

"Elakkan membeli harta benda yang memerlukan anda membuat pinjaman bank seperti kereta, rumah dan sebagainya. Lazimnya, kita membeli mengikut emosi dan bukan logik akal. Justeru itu, kita perlu menangguhkan pembelian kehendak diri," jelasnya.Sementara itu, orang ramai yang ingin menyertai kursus merancang kewangan secara percuma dan bengkel pengurusan harta pusaka boleh menghubungi AUU di talian 03-61858350

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Kulit cantik boleh dicipta



SEBAGAI jenama rangkaian penjagaan kulit yang membina reputasinya tersendiri, Clinique ternyata mempunyai catatan sejarah yang panjang.

Pengurus Kanan Komunikasi Clinique Malaysia, Yen Choong berkata, catatan sejarah inilah yang menjadi asas kepada kekukuhan jenama tersebut sehingga ke hari ini.

"Kami membina reputasi berlandaskan sejarah yang dicipta lebih 41 tahun lalu," katanya ketika merungkai sejarah jenama berasal dari AS itu.

Katanya, Clinique bermula daripada kisah yang berlaku secara kebetulan pada tahun 1967 ketika era revolusi mula menyelubungi masyarakat Amerika Syarikat (AS).

Pengarang majalah Vogue , Carol Phillips telah menemubual pakar dermatologi terkenal di Manhanttan, Dr. Norman Orentreich.

Sewaktu menjelaskan falsafah penjagaan kulitnya, Dr. Orentreich melahirkan idea mudah yang dapat merubah industri kecantikan.Bagi beliau kulit cantik boleh dicipta. Ketika itu, ramai berpendapat kulit yang cantik mulus disebabkan genetik.Kenyataan oleh pakar dematologi itu menjadi permulaan kepada satu era baru dalam penjagaan kulit di mana produk sebenarnya boleh memulihkan kulit dan wanita tidak akan lagi dibelenggu dengan masalah kulit secara semula jadi.Keyakinan falsafah Dr. Orentreich ini menggembirakan wanita di seluruh dunia. Malah, wawasan keluarga Estee Lauder, menggerakkan usahanya bersama Carol Phillips, menjadikan impian suatu kenyataan dengan kehadiran rangkaian baru produk penjagaan kulit.

Dengan pengenalan sistem penjagaan kulit tiga langkah - membersih, mengeksfoliat dan melembap - Clinique dilahirkan pada 1968.

Menurut Choong, Clinique telah melancarkan rangkaian penjagaan kulit pertama yang diuji pakar dermatologi selain ujian alahan dan seratus peratus bebas wangian dan ia menjadi sesuatu yang klasik hingga ke hari ini.

"Tahun ini, Clinique berusia 41 tahun dan misinya tetap sama seperti ketika kali pertama diperkenalkan dahulu iaitu menyediakan rangkaian produk yang bermutu dan berkesan bagi menyerlah dan memulihkan setiap jenis kulit," katanya.

Hingga kini, semua produk Clinique dihasilkan ahli dermatologi dan terus berpegang teguh dengan prinsipnya dalam ujian alahan.

Ini bermaksud, sebelum sesuatu produk dilancarkan, produk itu perlu diuji pada 600 orang sebanyak 12 kali, dan ini bermakna sebanyak 7,200 ujian dijalankan.Jika ujian ini menunjukkan sebarang kesan alahan, produk tersebut tidak akan dilancarkan malah dihantar semula di makmal untuk dirumus semula.Semua produk Clinique seratus peratus bebas wangian kerana kajian menunjukkan wangian antara salah satu penyebab keradangan kulit.Sementara itu, sebagai penghargaan kepada golongan wanita jenama tersebut berbangga untuk berkolaberasi sebagai antara penaja utama bagi Pertandingan Tanda Kasih Buat Ibu anjuran Mega Utusan Malaysia sempena sambutan Hari Ibu pada Mei ini.

"Penyertaan kami adalah bagi berkongsi aspirasi dalam menghargai wanita khususnya para ibu," kata Choong.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Kaftan Ras Batik ke Ireland

KAFTAN bermotif bunga orkid menjadi tarikan di gerai Ras Batik pada aktiviti Sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2009 yang diadakan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, baru-baru ini.Motif bunga orkid yang dilukis di atas kaftan yang berlatar belakang warna-warna terang seperti merah, kuning, jingga, hijau dan hitam dengan mudah menarik pandangan mereka yang lalu lalang di hadapan puluhan gerai yang menjual batik kain dan baju batik.Kata Pengurus Jualan Ras Batik, Salina Mohd. Hanifa, 32, kaftan bermotif bunga orkid ini amat laris sehingga terpaksa ditambah stok beberapa kali.Ini kerana corak kaftannya berbeza dengan kaftan yang dijual di gerai lain.

''Gerai lain tidak ada yang menjual kaftan dengan motif batik yang dilukis besar daripada bahagian bawah hingga ke atas. Warna bunga yang terang dan dilukis di atas kain rayon dan kain kapas yang juga berwarna terang menjadi pilihan ramai.''Bukan setakat orang tempatan malah pelancong asing juga menggemari corak yang sedemikian bagi dipakai sendiri atau dihadiahkan kepada kawan-kawan.

"Inilah yang menjadi kelebihan pada kaftan Ras Batik yang berbeza dengan kaftan Kelantan dan Terengganu,'' kata Salina yang ditemui di Kompleks Kraf.

Menurutnya, motif bunga orkid yang dilukis pada kaftan dan produk Ras Batik dihasilkan oleh suaminya, Rasli Tumin, 35, di bengkelnya yang terletak di Kampung Parit Penghulu, Sungai Rambai, Melaka.

Cuma kebetulan pada pertemuan itu, Rasli tidak bersama kerana pulang ke bengkel bagi menyiapkan tempahan yang diterima.

Kata Salina, suaminya pernah menimba pengalaman bekerja dan membuat demo batik untuk pelancong di sebuah syarikat batik di Kuala Lumpur.Setelah berhenti kerja, Rasli pulang ke kampung dan membuat bengkel sendiri di atas tanah milik keluarga.''Semua kerja membuat batik dihasilkan sendiri daripada mencanting, mencelup dan sebagainya. Kami hanya menggunakan warna Jerman kerana warna ini terang, berkualiti dan harganya pun lebih mahal.

''Setakat ini produk Ras Batik telah pun sampai ke Ireland, Hong Kong, Taiwan dan China.

''Untuk pasaran ke luar negara, baju yang sudah siap seperti blaus wanita, pareo dan kemeja lelaki lebih diminati sementara masyarakat di Malaysia lebih menyukai kain ela bagi dibuat baju kurung dan kebaya,'' jelas Salina.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Transformasi snek tradisional


Azlihana Abdul Rahim.

Kudapan ringan seperti kerepek bawang, karipap mini, muruku ranggup, muruku mini, mini rempeyek, popia mini, simpul kasih dan kuih siput yang sentiasa terhidang di meja semasa hari raya, bukan lagi makanan pada waktu perayaan saja.

Kini, setiap hari dan masa, juadah ini boleh diperoleh di rak-rak premis membeli-belah atau kios-kios makanan ringan dengan paket yang lebih komersial.

Dengan memperkenalkan pek komersial ini, snek tradisional bakal dikenali bukan sahaja di kalangan rakyat tempatan tetapi ke arena antarabangsa.Usaha bijak ini dilakukan oleh PVI Food Industries Sdn. Bhd. iaitu syarikat milik penuh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Operasinya, Abdul Rahim Abu berkata, pengenalan snek tradisional Pinang-Penang Oriental Flavour dalam paket komersial bagi menyebarluaskan kewujudannya di kalangan generasi muda yang masih tidak mengenal makanan tradisi ini.''Walaupun diketahui, selalunya snek ini boleh ditemui semasa hari raya sahaja, namun bukan semua rumah orang menjamukannya. Sekarang, orang lebih suka, juadah yang ringkas dan biskut ala Barat. Justeru itu, dibimbangi, snek-snek seperti ini akan dilupai sedikit demi sedikit.''Ditambah pula dengan kegilaan generasi muda dalam menikmati snek ala Barat kerana terpengaruh dengan iklan dan tawaran promosi yang dibuat. Ekoran itu, PVI mengambil inisiatif mengumpulkan produk hiliran penduduk luar bandar yang berkualiti dan meletakkan di dalam program inkubator,'' katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra, baru-baru ini.

Menurut Abdul Rahim, reformasi pembungkusan yang menarik, pasti membuat pelanggan teruja untuk memilikinya sementelah setelah merasa juadah di dalamnya, yang dijamin lazat dan menepati cita rasa, sudah tentu tidak cukup satu untuk memilikinya.

''Setakat ini, kami mempunyai 12 produk termasuklah lapan snek tradisi, sambal belimbing buluh dan tiga jenis biskut,'' ujarnya.

Bercerita mengenai produk, katanya, setakat ini semuanya dipaketkan dalam berat 150g iaitu paket keluarga dan bakal diperkenalkan dalam berat 40g. Dengan pengisian nitrogen di dalam pembungkusan, produk ini boleh bertahan selama 18 bulan.

Istimewanya produk snek ini adalah dari segi rasa, kerangupan dan kualitinya. Kebanyakan resipinya telah diolah mengikut cara masakan Pulau Pinang iaitu banyak menggunakan rempah ratus.Sementara itu, Pengurus Pemasaran Emina (M) Sdn. Bhd., Azlihana Abdul Rahim, yang bertindak sebagai pengedar Pinang di kawasan tengah memberitahu, di samping snek tradisional, turut dipasarkan sambal belimbing buluh yang sememangnya terkenal di kalangan masyarakat Pahang.''Sambal yang boleh dimakan bersama dengan nasi, roti dan snek ini boleh bertahan selama sebulan. Khasiatnya memang banyak terutama dalam membantu menurunkan kolestrol dan tekanan darah,'' katanya yang turut berkecimpung dalam bisnes hamper untuk hari perayaan dan majlis.

Bagi yang berminat dengan produk PVI ini, bolehlah hubungi 012-3450256.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Dua restoran pelbagai konsep setempat


MOHD. Basri Abdul Aziz (kanan) dan Normazilla Chik Omar bersama sajian istimewa di Restoran Chipz.

PEMILIHAN nama Citra Aroma oleh pemilik restoran ini memang mampu menarik perhatian pelanggan. Mahu membuktikan kepelbagaian aroma yang menyelerakan di restorannya membuatkan Nur Azrin Mohd. Rashid berusaha menghidangkan pelbagai jenis juadah masakan untuk pelanggannya.

Bagaimanapun, restoran yang mengambil tempat di Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, ini lebih mengkhusus kepada masakan dari Negeri Sembilan dan Melaka.

Ini kerana, menurut Nur Azrin masakan dari dua negeri ini mudah diterima dan mendapat sambutan masyarakat Malaysia tidak mengira bangsa.

"Menu istimewa kami ialah asam pedas yang kami sediakan mengikut resipi asli Melaka. Sejak restoran ini dibuka tujuh bulan lalu, saya dapati pelanggan amat meminati hidangan ini terutama untuk makan tengahari," jelasnya ketika ditemui di premisnya.Nur Azrin yang bekerjasama dengan kakaknya, Norazwa menitikberatkan kepuasan pelanggan.Justeru, setiap pelanggan yang datang dialu-alukan untuk memberi komen tentang mutu dan kesedapan hidangan yang mereka nikmati.

"Konsep ini secara tidak langsung memberitahu kami apa yang kebanyakan pelanggan gemari. Dari situ para chef akan dapat menyesuaikan resipi dengan cita rasa pelanggan," katanya yang mempunyai tukang masak berpengalaman lebih 20 tahun dalam penyediaan makanan.Demi meluaskan lagi pasaran perkhidmatan penyediaan makanan, Nur Azrin telah merancang untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah."Saya lihat kebanyakan ibu bapa kini bekerja, jadi saya bercadang menyediakan perkhidmatan menghantar makanan ke rumah dan mereka tidak perlu ke kedai untuk membeli makanan," jelas Nur Azrin lagi.

Gerai di Citra Aroma

Kesibukan dan gaya hidup yang mengejar masa juga menyebabkan kebanyakan pasangan berkeluarga selesa membungkus makanan untuk dibawa pulang selepas waktu kerja.Menyedari hakikat itu maka, Nur Azrin telah bekerjasama dengan bekas chef di sebuah hotel terkemuka untuk memenuhi ruang hadapan di restorannya dengan konsep gerai.

Pemilihan Noormah Sirone, 51, yang mempunyai pengalaman lebih 12 tahun sebagai chef untuk membuka gerai khas di bahagian hadapan restoran Citra Aroma telah membeli lebih banyak pilihan kepada pelanggan."Saya hanya menyediakan empat menu sahaja, iaitu nasi ayam, bihun sup utara, mi rebus dan laksa utara," ujar wanita kelahiran Bagan Serai, Perak ini.Menurut Noormah, gerainya mendapat sambutan terutama daripada pasangan yang ingin membungkus makanan selepas waktu kerja. Selain keenakannya, ia juga mudah dan cepat disediakan.

Restoran berjiran

Sementara itu di Restoran Chipz, namanya sahaja sudah cukup untuk menjelaskan jenis masakan yang disajikan.Terletak bersebelahan dengan Citra Aroma, ia umpama pelengkap dengan sajian masakan-masakan Barat dikendali oleh Chef Mohd. Basri Abdul Aziz, 26.

Jejaka kelahiran Kelantan ini memiliki diploma penyediaan makanan dari Institut Kemajuan Ikhtisas Pahang (IKIP).Dengan persekitaran selesa dan dekorasi indah ala Barat yang diilhamkan oleh pereka hiasan dalaman, Noraini Alias, membangkitkan suasana eksklusif lagi mendamaikan.Mohd. Basri yang ditemui dalam sesi mencuba makanan berkata, restoran ini mempunyai dua suasana."Pelanggan boleh memilih untuk menikmati makanan dalam hawa dingin atau di luar," jelasnya.Menurut Mohd. Basri, antara menu yang mendapat perhatian pelanggan ialah sup cendawan, sirloin steak, spaghetti bolognaise, fish and chip dan sebagainya."Kami juga menyediakan minuman istimewa iaitu jus buah naga Bagi pelanggan yang ingin mencuba silalah berkunjung ke Restoran Chipz," ujarnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Ingat kerjaya, keluarga dan kesihatan

RAMAI di kalangan kita yang bertugas lupakan dua perkara penting dalam kehidupan. Pertama kepentingan keluarga kita dan kedua kesihatan kita.Kita melihat semasa muda, ramai yang tidak mengambil kira tentang masa yang perlu dilapangkan kepada keluarga terutama sekali anak-anak.Bekerja sepanjang hari sehingga larut malam kadang-kadang termasuk hujung minggu sehinggakan tiada masa untuk keluarga.Anak-anak yang baru membesar perlukan kasih sayang ibu bapa. Malangnya kalau bapa sibuk mengejar kerjaya dan lebih buruk lagi ibu pun bekerja, maka tinggallah anak-anak di tangan pengasuh rumah atau rumah pengasuh.

Kerap kali yang membuka perniagaan menjaga anak orang terdiri daripada kakitangan yang belum berumah tangga dan tidak hairanlah kalau pembangunan anak dilentur oleh persekitaran rumah pengasuh.Apa yang bakal dihadapi apabila anak sudah membesar ialah mereka tidak akan berasa kasih dan sayang kepada ibu bapa. Akan wujud jurang komunikasi antara ibu bapa dengan anak-anak apabila anak-anak sudah membesar dan inilah yang dapat kita lihat sebagai salah satu masalah sosial hari ini.Anak-anak tidak mendapat kasih sayang mencari kasih sayang di tempat lain. Mereka yang sanggup mengorbankan kerjaya mereka demi menjaga pembangunan minda anak- anak adalah mereka yang patut dicontohi. Bagaimana pun kadang kala tekanan hidup memerlukan kedua-dua ibu bapa mencari rezeki.

Sebenarnya jarang sekali pasangan yang ingin berkahwin berpengetahuan tentang ilmu keibubapaan. Selain daripada kursus sebelum berkahwin yang hanya dua tiga hari, ibu bapa jarang sekali mendidik anak-anak dengan tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Kita lihat ibu-ibu yang mendidik anak-anak mereka sendiri seperti ibu kepada Tan Sri Azman Hashim, kesemua anaknya menjadi 'orang'. Ibu itulah dikenali sebagai ibu mithali.

Memang mudah bagi seseorang eksekutif melupakan tentang perlunya meluangkan sedikit masa untuk keluarga. Tambahan pula kadang kala kini ramai yang meluangkan masa di kelab atau bermain golf yang lazimnya mengambil masa sepanjang hari.Bapa yang agak baik sedikit membawa anak dan isteri ke kelab golf. Tetapi mereka kenalah melayan diri sendiri semasa si bapa bermain golf.Suatu perkara yang lazim berlaku juga ialah apabila permainan golf ini di tempat lain atau kadang kala di negara lain.Tidak kurang juga mereka yang terpaksa berjumpa pelanggan atau rakan perniagaan di malam hari atau terpaksa melayan untuk makan malam dan hiburan.

Ini membawa kepada perkara kedua yang penting iaitu kesihatan. Jarang sekali kita mendengar seseorang taat mengikuti jadual pemeriksaan doktor katakan setiap enam bulan.

Banyak penyakit yang boleh diperolehi di masa umur tua yang mungkin tidak diketahui semasa umur muda kerana masih bertenaga.Semasa mengejar kerjaya ini dengan keraian yang perlu diberi dan dihadiri serta mesyuarat yang tidak putus-putus, kerap kali makanan tidak terkawal dari segi akibat yang mungkin diterima.

Misalnya penyakit jantung boleh dihidapi melalui tekanan kerja, melalui makanan yang tidak mengira buruk baik kesannya.Seseorang yang gemar misalnya meminum air bergas berkemungkinan mendapat kencing manis di hari tua. Begitu juga penyakit darah tinggi yang boleh membawa strok atau angin ahmar.Dunia masa kini dipenuhi dengan pelbagai jenis vitamin dan penambaikkan makanan terutama sekali dengan pelbagai tuntutan seperti mengandungi herba tertentu. Mengambil ubat-ubat yang disangka akan mendatangkan kebaikan kepada badan yang sudah sihat akan membawa mudarat.Mungkin ini salah satu sebab kenapa ramai orang terkena pelbagai jenis barah selain yang jelas seperti barah paru-paru akibat menghisap rokok.

Antara penyakit-penyakit yang lazim dihadapi oleh warga tua atau selepas bersara ialah sakit jantung, kencing manis, darah tinggi, buah pinggang. Malahan ada kajian yang menyatakan walaupun umur purata untuk lelaki di Malaysia ialah 74 tahun tetapi 14 tahun terakhir dipenuhi dengan pelbagai penyakit.Ini melibatkan banyak wang perubatan dan rawatan. Tidak termasuk seseorang yang perlu menjaga sama ada isteri atau anak-anak.Walau apa sekali matlamat kehidupan kita, kita wajar ingat akan perlunya mencurahkan kasih sayang kepada keluarga dan badan kita sendiri. Minda yang sihat datangnya dari badan yang sihat.Bersara tidak bererti tidak melakukan apa-apa. Mereka yang duduk saja tidak melakukan apa-apa selepas bersara akan cepat menemui ajal.

DATO' SALLEH MAJID ialah Felo Utama

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments