terkaya




'Raja Gula' miliki kekayaan RM42.76 bilion bertambah RM16.1 bilion tahun lalu

PENERAJU Kumpulan Kuok Brothers, Tan Sri Robert Kuok Hock Nien kekal sebagai orang paling kaya di Malaysia tahun lalu dengan nilai kekayaan RM42.76 bilion, meningkat 60.52 peratus atau RM16.1 bilion daripada RM26.6 pada 2008 susulan pemulihan ekonomi global.

Beliau yang bakal melepaskan gelarannya sebagai 'Raja Gula' berikutan cadangannya menjual operasi penanaman dan pemprosesan gula dalam PPB Group Bhd kepada Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd Oktober tahun lalu, telah mengekalkan kedudukan di tempat teratas sejak 2003.


Tokoh telekomunikasi, T Ananda Krishnan pula mengekalkan kedudukan sebagai orang kedua paling kaya di negara ini dalam senarai 40 orang terkaya Malaysia hasil kajian majalah Malaysian Business, dengan kekayaan RM27 bilion, diikuti pemegang saham terbesar IOI Corporation Bhd, Tan Sri Lee Shin Cheng dengan nilai kekayaan RM11.92 bilion.

Tokoh perbankan, Tan Sri Teh Hong Piow yang juga peneraju Public Bank Bhd, di tempat keempat dengan kekayaan bernilai RM10.86 bilion, diikuti Tan Sri Lim Kok Thay, peneraju kumpulan Genting Bhd yang juga anak pengasas kumpulan itu, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong dengan nilai kekayaan RM10.39 bilion.

Puan Sri Lee Kim Hua, balu pengasas kumpulan Genting kekal sebagai wanita terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan RM4.41 bilion untuk berada di senarai kelapan secara keseluruhan.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan AlBukhary, Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary kekal mengungguli individu Bumiputera paling kaya untuk berada di tempat ketujuh keseluruhan dengan kekayaan RM6.01 bilion.

Beliau diikuti tokoh perbankan yang juga peneraju kumpulan Arab-Malaysian Corp, Tan Sri Azman Hashim yang berada di tempat ke-11 keseluruhan dan Ketua Eksekutif Kumpulan Kencana Petroleum Bhd, Datuk Mokhzani Mahathir dengan nilai kekayaan masing-masing adalah sebanyak RM2.86 bilion dan RM1.08 bilion. Dalam senarai keseluruhan Mokhzani berada di tempat ke-20.

Kaji selidik yang dibuat berasaskan nilai pegangan individu dalam syarikat tersenarai di pasaran saham itu turut menyenaraikan lima muka baru dalam senarai 40 orang terkaya itu, iaitu Lee Swee Eng dari KNM Group; Datuk Shahril Shamsuddin dan Shahriman Shamsuddin dari Sapura Group; Datuk Seri Nazir Razak dari CIMB Group dan Ong Leong Huat dari OSK Holdings Bhd.

Secara umumnya, kaji selidik berkenaan mendapati semua 40 individu dalam senarai itu mencatat peningkatan kekayaan masing-masing tahun lalu. Jumlah kekayaan terkumpul 40 individu berkenaan setakat 15 Januari lalu ialah sebanyak RM156.7 bilion, meningkat lebih 63 peratus berbanding RM96.3 bilion pada tarikh sama tahun lalu.

Peningkatan berkenaan juga mengatasi kenaikan penanda aras, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) sebanyak 44 peratus tahun lalu berikutan pemulihan ekonomi global.

Bagaimanapun, kekayaan terkumpul berkenaan masih rendah berbanding rekod tertinggi RM171.9 bilion yang dicatat pada 2008.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: