Kejayaan IKS menjana ekonomi negara

MODEL Ekonomi Baru (MEB) akan diumumkan pada penghujung bulan depan. Tujuan utama MEB diperkenalkan adalah untuk mempertingkatkan pendapatan rakyat Malaysia yang kini berada pada lingkungan berpendapatan sederhana kepada berpendapatan tinggi. Sudah tentu rakyat tertunggu-tunggu apakah mekanisme baru yang bakal diumumkan oleh kerajaan agar tujuan utama MEB ini tercapai. Tanpa dasar ekonomi yang baru, bukan konvensional dan segar, tentulah negara akan semakin terperangkap sebagai negara berpendapatan sederhana.

Melihat balik sejarah lalu, negara kita telah mencapai pertumbuhan yang amat memberangsangkan pada tahun-tahun 1990-an sehinggalah krisis kewangan Asia melanda negara. Ketika itu, pelaburan-pelaburan dari luar negara mencurah masuk ke dalam negara sehinggakan Malaysia dikenali sebagai antara negara yang berpotensi untuk menjadi negara maju. Pelaburan langsung asing (FDI) amat tinggi sekali berbanding dengan negara-negara lain.

Kini, negara kita telah disaingi oleh banyak negara lain. Malaysia tidak boleh lagi berada dalam keadaan statik. Bahkan, Malaysia mesti bergerak lebih pantas lagi berbanding dahulu. Daya saing Malaysia tidak lagi terletak pada kos buruh yang murah. Banyak lagi negara yang mempunyai kos buruh yang lebih murah berbanding Malaysia. Begitu juga, Malaysia tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada FDI. Lebih-lebih lagi, keadaan ekonomi yang masih tidak menentu dengan rakan dagangan utama Malaysia iaitu Amerika Syarikat (AS) masih lagi tercari-cari formula untuk memulihkan ekonominya.

Persekitaran global telah berubah sama sekali dan memaksa Malaysia membentuk serta mencari mekanisme baru. Atas dasar itu, satu pelan induk perusahaan atau industri kecil dan sederhana (IKS) bagi tempoh 2011 hingga 2020 akan dirangka dan dimasukkan sebagai sebahagian daripada MEB. Setelah sekian lama, IKS memainkan peranan yang amat penting dalam menjana ekonomi Malaysia. IKS merupakan enjin pelaburan domestik yang mesti diperkukuhkan dan mestilah menjadi peneraju utama ekonomi negara. Sebagai peneraju utama ekonomi negara, IKS sewajarnya berkeupayaan untuk berkembang bukan sahaja dalam sektor domestik negara tetapi juga berjaya melangkaui pelaburan serantau dan global.

Keupayaan-keupayaan IKS yang perlu dipertingkatkan meliputi pengurusan kewangan terbaik, pemasaran yang dinamik dan sokongan logistik yang mantap. Tidak lupa juga, teras daya saing IKS adalah sentiasa memberi ruang kepada seluruh warga IKS berinovasi dan kreatif sejajar dengan strategi-strategi yang ampuh. IKS tidak boleh lagi bergerak sendiri tetapi perlu mempunyai jaringan perniagaan yang meluas merangkumi jaringan dengan sektor swasta yang lain dan juga sektor awam. Tanpa kerjasama yang kukuh dengan kedua-dua sektor ini, IKS tidak mampu untuk berkembang dengan cepat sekali. Umpamanya, sektor awam kini dilihat semakin mesra perniagaan dengan menumpukan kepada penambahbaikan sistem penyampaian yang lebih baik seperti memperkenalkan satu nombor rujukan perniagaan yang dikenali sebagai MyCoID. Perkenalan MyCoID menggambarkan perniagaan mestilah berjalan dengan pantas dan berintegriti kerana setiap saat yang berlalu amat penting untuk warga IKS dan peniaga menjana pendapatan mereka. Kejayaan IKS bukan sahaja menjana ekonomi negara tetapi juga membuka peluang pekerjaan yang lebih luas lagi kepada rakyat Malaysia.

Selain IKS, peranan pelabur-pelabur institusi juga mestilah diperkukuhkan lagi. Mereka mestilah melabur dengan lebih agresif agar dapat memulangkan balik keuntungan yang lebih besar kepada para pendeposit mereka. Mereka tidak seharusnya sekadar berpuas hati dengan memberi pulangan yang lebih kurang sama saban tahun dan akhirnya menyebabkan rakyat beralih kepada pelaburan lain meskipun berisiko tinggi. Maka, tidak hairanlah apabila Permodalan Nasional Berhad (PNB) menjangkakan kegiatan penipuan menerusi pelaburan dijangka meningkat di kalangan penduduk luar bandar kerana golongan ini akan mudah terpengaruh dengan pelbagai pelaburan yang kononnya memberi pulangan sehingga 300 peratus. Suatu yang amat menyedihkan apabila penduduk luar bandar ditipu sedangkan rata-rata di kalangan mereka berpendapatan rendah. Selain mendidik mereka mengenai pelaburan, kita juga tidak boleh salahkan mereka seratus peratus kerana sesiapa sahaja akan mudah kelam mata apabila mendengar sesuatu pelaburan mampu memberi pulangan yang amat tinggi berbanding dengan pelaburan yang sedia ada.

Jadi, disyorkan melalui MEB, pelabur-pelabur institusi mestilah memikirkan bagaimana caranya untuk memberi pulangan yang amat tinggi kepada para pendeposit mereka. Sememangnya diakui, selama ini, pelabur-pelabur institusi telah banyak membantu rakyat tetapi bagi memacu ekonomi rakyat dengan lebih tinggi lagi, mereka sewajarnya mencari alternatif pelaburan yang memberi pulangan berlipat kali ganda seterusnya mengurangkan risiko rakyat Malaysia daripada ditipu oleh sindiket pelaburan.

Salah satu caranya adalah mengkaji pelaburan-pelaburan yang berdaya maju melibatkan perniagaan yang kreatif, inovatif dan bernilai tinggi. Jika pelabur-pelabur institusi mampu membayar pulangan yang amat tinggi kepada para pendeposit, mereka bukan sahaja dilihat sebagai bertindak membela nasib rakyat tetapi juga menjayakan agenda kerajaan untuk mempertingkatkan pendapatan rakyat kepada berpendapatan tinggi melalui pendekatan pelaburan yang lebih dinamik.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: