Bengkel Pesona Humairah


Peserta pada bengkel korporat Muslimah, 'Pesona Humaira' di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


MENJAGA imej atau penampilan diri bukan soal kecil yang boleh dipandang remeh. Ia sangat perlu dan penting dalam menjalani urusan kehidupan, apatah lagi bagi wanita Muslim dewasa ini yang turut terdedah dengan globalisasi.

Malah tidak dinafikan, wanita Muslim sekarang ini sudah ada yang berjawatan hebat di organisasi bertaraf antarabangsa, sumbangan dan suara mereka sudah semakin diiktiraf dan didengari, keberanian dan kejayaan mereka dalam lapangan perniagaan serta banyak lagi keterampilan lain.

Justeru tidak hairanlah dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengatakan terdapat peningkatan pembayar zakat wanita antara tahun 2008 dan 2009.

Bagi kutipan tahun 2009, pembayaran zakat oleh pembayar wanita adalah sebanyak RM71 juta berbanding tahun 2008 iaitu sebanyak RM57 juta, meningkat sebanyak 25 peratus. Manakala bagi bilangan pembayar pula, meningkat sebanyak 16 peratus iaitu 35,646 orang bagi tahun 2009 berbanding tahun 2008 sebanyak 30,769 orang.

Lantas sebagai satu simbol penghargaan pihak PPZ kepada semua wanita yang membayar zakat di institusi zakat tersebut, satu bengkel korporat Muslimah dengan menggunakan tema, 'Pesona Humaira' telah diadakan.

Bengkel yang berlangsung di Impiana KLCC Hotel & Spa, Jalan Pinang, Kuala Lumpur pada 11 Februari lalu telah menerima sambutan hangat di mana seramai 130 orang wanita daripada pelbagai lapangan kerjaya menyertai bengkel separuh hari itu.

"Kebiasaannya, pihak PPZ menganjurkan kaedah berupa seminar zakat dengan kerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta tetapi buat julung kalinya bagi menghargai pembayar zakat wanita, pendekatan lain sedikit telah digerakkan.

"Alhamdulillah, sambutannya begitu memberangsangkan. Ini berkemungkinan kerana dua orang panel yang telah diundang iaitu Eksekutif Unit Dakwah di PPZ yang juga penceramah bebas yang tidak asing lagi iaitu Ahmad Husni Abdul Rahman serta Yasmin Siddik, Pengasas Butik Women 2 Women yang juga merupakan seorang perunding imej yang juga tidak kurang hebatnya.

"Harapan PPZ agar hubungan baik yang terbina ini tidak putus setakat berlangsungnya seminar ini. Malah kita juga berharap agar ada di antara peserta ini akan dapat menguar-uarkan kepada teman-teman wanita mereka yang lain atau ditekankan kepada para pekerja mereka soal tanggungjawab dan kewajipan berzakat," terang Ketua Unit Komunikasi Korporat PPZ-MAIWP, Nor Mukshar Harun yang mengakui bahawa potensi wanita yang membayar zakat dilihat semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Bengkel tersebut dirasmikan Pengurus Besar PPZ, Rais Alias.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: