Pelancongan pendidikan makin popular
|
BENTONG 16 Feb. - Produk pelancongan berkonsepkan rekreasi pendidikan, berpotensi tinggi untuk dikembangkan di negeri ini memandangkan keindahan alam semulajadi yang luas dan terpelihara serta amat sesuai untuk aktiviti riadah.
Konsep pelancongan menggabungkan rekreasi dan pendidikan merupakan aktiviti yang amat popular di kalangan masyarakat Barat yang dikenali sebagai summer camp atau team building yang menjadi program musim cuti bertujuan membentuk keperibadian individu.
Kini ia semakin popular di negara ini kerana memberi kesan positif kepada masyarakat khususnya golongan pelajar dan belia untuk melancong sambil beriadah serta menjalankan aktiviti motivasi diri di lokasi yang jauh daripada kesibukan kota seperti di hutan dan perkampungan.
Pengarah Pelancongan Malaysia cawangan Pahang, Amran Abdul Rahman berkata, konsep pelancongan seumpama itu semakin mendapat permintaan ketika ini berikutan meningkatnya kesedaran masyarakat terhadap motivasi diri melalui aktiviti pelancongan.
"Justeru program rekreasi tertentu akan dianjurkan dengan melancong ke sesuatu lokasi seperti hutan lipur, taman negara, pulau dan hutan simpan untuk beriadah sambil diterapkan dengan pelbagai elemen pendidikan.
"Dengan berkembangnya trend pelancongan seperti itu, secara tidak langsung ia turut meningkatkan permintaan terhadap lokasi dan infrastruktur bersesuaian bagi memenuhi keperluan kumpulan pelancong terbabit.
"Ia amat berpotensi kepada pengusaha pelancongan di luar bandar seperti di Kampung Janda Baik untuk memanfaatkan pelancongan ini dengan fokus terhadap aktiviti riadah ekopelancongan seperti hutan, bukit, sungai dan air terjun," katanya.
Menurutnya, aktiviti yang menjadi tumpuan pelancongan rekreasi pendidikan adalah seperti meredah hutan, berakit, berkayak, mendaki bukit atau menuruni jurang, perkhemahan dan sesi pengenalan spesies flora dan fauna.
''Kebanyakan pelancong dari kumpulan seperti ini tidak terlalu mementingkan aspek kemudahan penginapan yang sempurna kerana mereka inginkan sesuatu persekitaran yang lebih semulajadi dan mencabar khususnya kepada golongan pelajar universiti," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Amran, pihaknya amat menyokong aktiviti pelancongan sedemikian kerana program pelancongan pelajar merupakan sebahagian daripada tumpuan promosi Pelancongan Malaysia dalam mengembangkan pendidikan pelancongan kepada masyarakat.
Bagaimanapun, beliau menasihati individu yang mengusahakan produk pelancongan seumpama itu supaya memastikan mereka menjalankan perniagaan tersebut secara profesional dengan mendaftar dan mendapatkan kelulusan daripada pihak berkaitan supaya tidak timbul sebarang isu membabitkan pelancong.
0 comments:
Post a Comment